Showing posts with label muzium. Show all posts
Showing posts with label muzium. Show all posts

Thursday, 17 August 2023

Kompleks Sejarah Pasir Salak

Lawatan ke Pasir Salak ini dibuat pada 30 Julai 2023, pada hari yang sama kami melawat Galeri Rumah Lat di Batu Gajah.

Pasir Salak merupakan sebuah mukim dan kawasan bersejarah yang terletak di tepi Sungai Perak, Perak Tengah, Perak, Malaysia. Di seberang sungai terletaknya pekan Kampung Gajah. Kampung Gajah juga adalah sebuah mukim dalam Daerah Perak Tengah.
Kedudukan Kampung Gajah berdekatan dengan Pasir Salak
Di sepanjang Sungai Perak di daerah Kampong Gajah ini terdapat kampung-kampung tua. Kewujudan kampung ini boleh dilihat sebagai petanda betapa pertempatan telah lama wujud di sini. Kewujudan kampung-kampung ini membuktikan bahawa daerah Kampung Gajah ini amat bersejarah di negeri Perak.

Di belakang Pasir Salak terletaknya jelapang padi Seberang Perak. Kini Pasir Salak berbangga dengan adanya Kompleks Sejarah Pasir Salak. Kompleks ini dibina di Pasir Salak kerana di sinilah mula tumpahnya darah pejuang-pejuang Malaysia menentang penjajah British.
Kedudukan kompleks Sejarah Pasir Salak
Nama Pasir Salak berasal dari pasir di tepi sungai Perak yang dipenuhi kulit buah salak. Salak ialah sejenis buah, kulitnya berwarna coklat, isi agak putih dan pokoknya seperti Pokok Nipah. Sungai Perak yang di sini airnya jernih kerana ia jauh dari kawasan pencemaran air lombong bijih timah yang amat-amat keruh. Oleh kerana itu banyaklah pokok salak tumbuh liar di kawasan ini dan sesetengahnya ditanam.
Buah salak
Sungai merupakan nadi kehidupan masyarakat di tepi sungai sebagaimana penduduk Pasir Salak. Di sungai inilah penduduk kampung menyara hidup dengan menjadi nelayan sungai, bot penambang, menghanyutkan buluh dan balak, mengangkut buah durian dan lain-lain buah-buahan ke Teluk Intan.

Sebelum tahun 1980, ramai penduduk kampung di tepian Sungai Perak terpaksa menaiki bot penambang berenjin untuk pergi ke bandar Teluk Intan. Sebelum tahun 1987, penduduk Pasir Salak terpaksa naik bot penambang kayuhan tangan untuk pergi ke Kampung Gajah yang terletak di seberang sungai. Sehingga 2005, Pasir Salak masih lagi merupakan sebuah kampung tradisional Melayu beridentitikan rumah kutai dan rumah limas negeri Perak.

Pada tahun 1987, sebuah jambatan telah dibina antara Kampung Gajah dengan Pasir Salak. Sejak itu perkhidmatan bot penambang telah ditutup, bekalan air dibekalkan ke merata kampung dan jalan tar dibina ke semua hujung kampung.

Latarbelakang sejarah

Pasir Salak sinonim dengan sejarah kebangkitan orang Melayu menentang penjajah British yang memandai-mandai mengutip cukai mengikut peraturan mereka. Lantaran itu Dato' Maharaja Lela Pandak Lam bingkas bangun menjulang keris apabila Sultan Abdulah iaitu Sultan Perak pada tahun 1874 yang curiga, kesal dan 'terlajak' dengan Perjanjian Pangkor yang ditandatangani di dalam HMS Pluto di Pulau Pangkor. 

Mengikut fakta sejarah Perang Perak bermula dan terjadi di sini pada tahun 1875 selepas setahun Sultan Perak setuju menerima nasihat Residen British. Residen British yang pertama di Perak ialah J.W.W. Birch yang buta jiwa Melayu, tuli kepada bahasa Melayu dan naif dengan budi bahasa. 

Ia bermula apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani dan Perak secara rasmi berada di bawah perlindungan kerajaan British. Perjanjian tersebut juga mewajibkan kerajaan negeri Perak menerima seorang penasihat yang akan menasihati Sultan atas semua urusan berkaitan pentadbiran negeri Perak kecuali hal yang melibatkan agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.

Namun nasihat yang difahami oleh Sultan dan pembesar-pembesar Melayu yang menandatangani perjanjian tersebut bukanlah seperti yang dimaksudkan oleh pihak British. Nasihat di sini adalah bahasa diplomasi keatas pemerintah yang bermakna setiap “nasihat” Residen mestilah dituruti.

Bermula dari titik inilah yang menyebabkan orang-orang Melayu rasa tidak dihormati sehingga membawa kepada terbunuhnya J.W.W. Birch pada 2 November 1875 sewaktu umat Islam masih menyambut Hari Raya Aidilfitri ke 2.

Tiga hari kemudian, tentera British memulakan siri serangan untuk membalas dendam di atas kematian Birch dalam peristiwa yang disebut sebagai Perang Perak.

Jom ke kompleks!

Kompleks ini dibina pada tahun 1990 atas inisiatif Tan Sri Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak ketika itu dan telah dibuka oleh DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada 26 Mei 1990. Terletak di tebing Sungai Perak, kompleks sejarah ini dibina dengan harapan supaya generasi-generasi muda akan sentiasa memperingati peristiwa berdarah Pasir Salak pada tahun 1875 yang merupakan kemuncak dalam gerakan orang Melayu menentang penjajah Inggeris di Perak serta mengenang akan jasa dan pengorbanan para pahlawan yang mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

Bangunan-bangunan yang berada di dalam kompleks ini dibina dengan bercirikan rumah tradisional Melayu Perak. Kompleks ini  dirasmikan sepenuhnya oleh DYMM Paduka Sri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 5 Julai 2004.
Contoh rumah tradisional Melayu Perak .... model rumah
dan rumah dalam komik Lat The Kampung Boy
Pada hari kami melawat kompleks ini, hujan turun dengan sangat lebat, sehingga menghalang kami keluar dari kereta. Ketika kami berjaya masuk ke kawasan kompleks hujan masih turun renyai-renyai. Suasana tenang dan damai dapat dirasai ketika berada di kompleks yang sangat luas kawasannya. 

Walaupun kawasan kompleks nampak cantik dan terjaga namun agak sedih melihat keadaan bangunan yang kelihatan terabai dan semakin rosak. Banyak kawasan yang sudah tidak boleh dimasuki, mungkin kerana keadaan yang tidak mengizinkan. 
Lanskap yang sangat cantik ...... binaan dalam gambar
ini adalah "lookout tower" tetapi berkunci
Pemandangan di tepi Sungai Perak ... kawasan di hadapan
muzium atau Terowong Masa
Sundial atau Jam Matahari
tetapi sudah tidak berfungsi
Pihak media pernah melaporkan keadaan Kompleks Sejarah Pasir Salak yang satu ketika dahulu gah tetapi kini semakin hilang seri apabila beberapa bangunan di situ sudah reput dan tidak lagi boleh dikunjungi orang ramai. Tinjauan mendapati semua Rumah Kutai yang terdapat di kompleks tersebut tidak boleh dimasuki pengunjung termasuklah Galeri Sejarah Negeri Perak. Hanya beberapa tugu dan terowong masa yang masih boleh dikunjungi pelawat.

Pembaikan serta pemulihan Kompleks Sejarah Pasir Salak dijangka menelan belanja yang tinggi ekoran kerosakan bangunan bersejarah tersebut terlalu banyak.

Kami bernasib baik kerana terowong masa masih boleh dikunjungi pada hari itu. Sebenarnya ia adalah sebuah muzium dan ia dinamakan sebagai Terowong Sejarah. Rentetan-rentetan peristiwa sejarah dipamerkan di dalam Terowong Sejarah dengan menggunakan teknik pameran diorama iaitu pameran tiga dimensi. Setiap peristiwa dan episod penting dalam sejarah tanah air serta perkembangannya disusun dan disampaikan mengikut kronologi sejarah. Selain itu Kompleks ini juga merupakan sebuah pusat yang menyediakan sumber rujukan mengenai sejarah dan kebudayaan negeri Perak. Di sini juga terdapat Galeri Keris.
Pintu masuk terowong Sejarah
Kaunter tiket
Dalam terowong sejarah ini tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar. Tidak tahulah apa tujuan larangan ini .... mungkin untuk keselamatan negara seperti larangan di setengah bahagian dalam kawasan lapangan terbang😀
Sempat ambil gambar ini sebelum diberitahu
 pasal larangan mengambil gambar dalam muzium
Untuk masuk ke muzium setiap pengunjung dikenakan sebanyak RM 4 bagi dewasa dan RM 2 bagi kanak-kanak dan tidak ada peruntukan khas bagi warga emas. Walaupun bayaran masuk nampak sangat murah tetapi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memperbaiki keadaan dalam muzium agar lebih selesa ketika berada di dalamnya. 

Sebahagian besar kawasan muzium sangat gelap. Saya rasa perlu ada pencahayaan yang lebih agar pengunjung di kalangan warga emas seperti kami terasa lebih selesa apabila membaca maklumat-maklumat yang dipamerkan. Sebahagian besar juga kawasan dalam muzium terasa sangat panas kecuali di Galeri Keris. Tidak pasti samada penyaman udara sengaja ditutup atau ia mengalami kerosakan. Dengan suasana yang gelap dan keadaan yang panas kami tidak mampu untuk berlama-lama di dalamnya.
Dapur Keris
Salah satu keris yang dipamerkan dalam 
Galeri Keris ... gambar yang diambil secara curi-curi
Situasi ini sangat berbeza dengan yang terdapat di Muzium Nelayan di Tanjung Balau Johor. Konsep yang sama digunakan iaitu teknik pameran diorama, tetapi dalam suasana yang lebih selesa .... sangat terang dan sejuk. Bayaran masuk hanya RM 2 untuk dewasa dan RM 1 untuk kanak=kanak. Kami sebagai warga emas diberi masuk percuma😃 .... dan tiada larangan mengambil gambar langsung. Tangkaplah dan ambillah sebanyak mana yang kita mahu😂

Kompleks sejarah ini sangat berpotensi dijadikan sebagai tarikan pelancong ke daerah Kampung Gajah secara khusus dan Perak secara amnya. Namun ia perlu diperbaiki dan diberi penambahbaikan terlebih dahulu jika ingin mengembalikan kegemilangannya semula.

Video memaparkan suasana dalam kawasan  kompleks yang tenang dan damai, diambil  dari dalam bangunan muzium, dari anjungnya.
Keadaan di luar kompleks pun sangat
menyedihkan ... tanda nama jalan yang hampir roboh
Pandak Endut adalah salah seorang watak yang utama dalam perancangan pembunuhan Residen British yang pertama di Perak iaitu J.W.W. Birch 

Kalau ada yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut pasal Muzium Nelayan, boleh membaca di bawah ini ....


Wednesday, 22 April 2020

Surabaya - Kota Pahlawan

Pada petang 11 Oktober 2018 kami bertolak dari kota Batu Malang ke kota Surabaya, yang mengambil masa lebih kurang dua setengah jam perjalanan dengan kereta. Kami sudah berada di Batu selama 3 hari 3 malam sebelum ke Surabaya. Kami sengaja mengambil penerbangan balik dari sini supaya kami dapat berjalan-jalan dan melihat kota Surabaya sekejap sebelum pulang. Penerbangan balik dijadualkan pada 13 Oktober.

Kota Surabaya adalah ibu kota Provinsi Jawa Timur, Indonesia, sekaligus kota metropolitan terbesar di provinsi tersebut. Surabaya juga merupakan kota terbesar kedua di Indonesia setelah Jakarta. Kota ini terletak 800 km sebelah timur Jakarta, atau 435 km sebelah barat laut Denpasar, Bali. Surabaya terletak di pantai utara Pulau Jawa bahagian timur dan berhadapan dengan Selat Madura serta Laut Jawa.
Ruang  lobi Hotel Pop
Kedudukan Surabaya di Pulau Jawa .... 
berhadapan dengan Pulau Madura dan Selat Madura
Surabaya terkenal dengan sebutan Kota Pahlawan kerana sejarahnya yang terkenal di mana para pemuda Surabaya berjuang mempertahankan kemerdekaan bangsa Indonesia dari serangan penjajah. Bagi warga tempatan Surabaya mewakili para pahlawannya yang berkerja keras bermati-matian demi mendapatkan kemerdekaan.

Kami tiba di kota Surabaya lebih kurang 8.30 malam dan terus ke hotel yang telah ditempah lebih awal. Ia merupakan sebuah hotel dari rangkaian hotel bajet Pop yang banyak terdapat di Indonesia. 
Dari sudut kemudahan dan keadaan bilik semuanya sederhana tetapi memuaskan. Hiasan bilik sangat simple tetapi menarik. Siap ada sarapan percuma. Sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan.😎


Hotel Pop Diponegoro Surabaya .... pagi 13 Okt 2018
Surabaya menjanjikan banyak lokasi-lokasi menarik untuk dilawati dan diterokai. Bandar kedua terbesar di Indonesia ini dibangunkan semasa pemerintahan Belanda dan legasi warisan senibinanya masih utuh sehingga ke hari ini. Oleh kerana kami hanya berada di sini untuk sehari sahaja maka tidak banyaklah tempat yang kami boleh teroka. Kami hanya sekadar bersiar-siar melihat kotanya. Untuk sesetengah pelancong, Surabaya merupakan lokasi transit sebelum berkunjung ke destinasi lain di Indonesia.

Kami sempat melawat beberapa tempat menarik di sekitar kota ini seperti monumen kapal selam (monkasel), masjid agung Surabaya dan masjid Mohamed Cheng Ho.

1. Monkasel
Monumen Kapal Selam, atau singkatannya Monkasel, adalah sebuah muzium kapal selam yang terdapat di pusat kota Surabaya. Monumen ini sebenarnya merupakan sebuah kapal selam KRI Pasopati 410, salah satu armada Angkatan Laut Republik Indonesia buatan Soviet tahun 1952. MONKASEL  adalah sebuah monumen Kapal Selam terbesar di kawasan Asia, yang didirikan di tepi sungai Kalimas, Surabaya. Ia adalah kapal selam asal dan bukannya replika.
Kapal selam ini dibawa ke darat dan dijadikan monumen untuk memperingati keberanian pahlawan Indonesia.  Caranya dengan memotong kapal selam ini menjadi beberapa bahagian, kemudian diangkut ke darat, dirangkai dan disambung kembali menjadi kapal selam yang perkasa.
Untuk masuk ke dalam kapal perlu ada tiket yang berharga Rp 15,000 dan akan ditemani oleh  seorang pemandu lokal yang terdapat di sana. Salah satu tujuan utama projek ini juga adalah untuk menjadikannya sebagai tarikan pelancong ke kawasan ini.
Monkasel ... bahagian hadapan
..... bahagian belakang
Kawasan berhampiran monkasel

Tebing Sungai Kalimas
Jom masuk!
Ruang torpedo haluan atau kepala kapal

Ruang tinggal perwira
Ruang istirehat dan bekerja komandan
Lubang (pintu) yang menghubungkan
satu bahagian ke bahagian yang lain
Teropong yang membolehkan kita
 melihat di permukaan atas
Bilik air .....
Ruang torpedo buritan atau belakang kapal
Gambar-gambar di atas hanya menunjukkan sebahagian dari peralatan dan ruang kemudahan yang terdapat dalam sebuah kapal selam. Banyak lagi peralatan yang membantu tugas menjaga keselamatan negara terdapat di sini seperti ruang sonar dan kompas.

2. Jambatan Suroboyo
Kami juga sempat pergi melihat Jambatan Suroboyo atau Jambatan Kenjeran. Jambatan ini menghubungkan kawasan pesisir Surabaya di Pantai Kenjeran, Kecamatan Kenjeran, Kota Surabaya. Ia dibina sejauh  800 meter dengan lebar 18 meter dan tinggi 12 meter yang ditahan dengan 150 tiang pancang. Dikatakan ia menjadi salah satu dari 10 jambatan terbaik di dunia.

Ketika kami ke sini jambatan ini ditutup kepada semua kenderaan. Jadi kami terpaksa berjalan kaki dari kepala jalan sehingga ke hujung jalan jambatan ini. Rupanya sudah beberapa bulan jambatan ini ditutup. Ada yang mengatakan ianya ditutup kerana masalah kewangan untuk menyelenggaranya. Namun dalam satu berita dari internet mengatakan ia telah dibuka kembali secara resmi pada 16 Februari 2019, setelah 10 bulan ditutup kerana kerja-kerja pembaikan.
Jambatan Suramadu merentasi Selat Madura di kejauhan
 boleh dilihat dari sini ..... 12 Okt 2018
Jambatan Suramadu menghubungkan pulau Madura dengan pulau Jawa dan merupakan jambatan terpanjang di Indonesia. Jambatan Suroboyo pula menghubungkan Jambatan Suramadu dengan Lapangan Terbang Juanda  melalui Lingkar Luar Timur Surabaya. Jambatan ini ada laut di bawahnya dan bentuknya melengkung seperti busur panah melingkari pantai Kenjeran. Ia sengaja dibina sedemikian rupa untuk mengelak pengambilan tanah penduduk-penduduk kampung yang terdapat di kawasan ini. Mereka ini kebanyakannya nelayan miskin yang tidak mampu mahu ke mana, jika diambil tempat tinggal mereka.
Kampung Bulak yang dicat berwarna-warni ... secara tidak langsung
 membantu  menaikkan ekonominya dengan kehadhiran pelancong ke sini
Kiri dan kanan jambatan disediakan laluan pejalan kaki
agar mudah untuk mereka yang ingin menikmati keindahan alamnya
Lihat lengkungan jambatan di belakang
Binaan pelantar di belakang
Di bahagian tengah jambatan ada satu binaan seperti pelantar disediakan khas untuk pelawat yang ingin melihat dan menikmati keindahan laut serta kawasan sekeliling, dari atasnya. Malang sekali hari itu kami tidak dapat menaiki nya kerana ia ditutup. Berhampiran dengan jambatan ini juga ada sebuah air pancut berlagu (musical fountain), juga tidak berfunsi. Kini ia sudah berfungsi kembali tetapi hanya beroperasi pada malam minggu.

Dari sini kami menaiki teksi ke plaza Surabaya town square. Jauh jugalah berjalan-jalan😫 untuk mencari tempat yang ada nampak teksi berkeliaran. Di sini kami mengisi perut sedikit sebelum balik ke hotel, sambil mencuci mata di kedai-kedai berhampiran. Sewaktu pulang ke hotel sekali lagi kami menaiki teksi dan sebelum tiba di hotel pemandunya telah menurunkan kami di satu taman untuk bergambar dengan ikon Surabaya.
Patung Sura dan Baya
Patung Sura dan Baya (Jawa: Patung Suro lan Boyo) adalah sebuah patung yang merupakan lambang kota Surabaya. Patung ini berada di depan Kebun Binatang Surabaya. Patung ini terdiri atas dua haiwan ini yang menjadi inspirasi nama kota Surabaya: ikan sura (yu) dan baya (buaya). Ia berdasarkan pada cerita rakyat iaitu pertembungan antara ikan sura dan baya.
Pada keesokan harinya kami masih sempat lagi berjalan-jalan di sini pada sebelah paginya kerana penerbangan balik dijadualkan sebelah petang. Antara destinasi yang dikunjungi ialah:
3. Masjid Agung Surabaya
Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Nasional Al Akbar, ialah masjid  kedua terbesar  di Indonesia setelah Masjid Istiqlal di Jakarta. Kami tidak masuk ke dalam masjid, hanya melihatnya dari luar.
MAS - Masjid Agung Surabaya
MAS mempunyai rekaan senibina yang menarik. Salah satu cirinya yang menonjol adalah kubahnya yang besar, didampingi 4 kubah kecil yang berwarna biru, serta memiliki satu menara yang tingginya 99 meter. Keunikan bentuk kubah MAS ini terletak pada bentuk kubah yang hampir menyerupai separuh telur. Untuk menutup kubah, dipergunakan sebuah produk yang juga digunakan di beberapa masjid besar seperti Masjid Besar Shah Alam.

Kubah setinggi 27m berbentuk separuh telur ....
berwarna seperti Masjid Biru Shah Alam
Menara tunggal masjid .... 99 m
4. Masjid Muhammad Cheng Ho
Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Cheng Ho Surabaya. Bangunan masjid menyerupai kelenteng atau tokong China dan telah diresmikan pada 13 Oktober 2002. Nama masjid ini adalah sebagai penghormatan pada Cheng Ho, Laksamana asal China yang beragama Islam. Dalam perjalanannya di kawasan Asia Tenggara, Cheng Ho bukan hanya berdagang dan menjalin persahabatan, tetapi juga menyebarkan agama Islam.
Masjid Cheng Ho Surabaya .... 13 Okt 2018
Masjid ini didominasi warna merah, hijau, dan kuning. Hiasannya banyak bernuansa China lama. Pintu masuknya menyerupai bentuk pagoda, terdapat juga ukiran naga dan patung singa dari lilin dengan lafaz Allah dalam huruf Arab di puncak pagoda. Di sisi kiri bangunan terdapat sebuah beduk sebagai pelengkap bangunan masjid. Semasa kami ke sini mereka sedang menyiapkan kawasan luar masjid untuk suatu majlis.yang akan berlangsung di situ. Itu sebabnya kelihatan karpet merah dibentang di hadapan masjid serta ada pentas di hadapan pintu masuk.
Beduk masjid
Mural di tembok masjid menceritakan pelayaran Laksamana Cheng Ho



Dalam masjid ... hanya boleh memuat 200 orang sahaja
5. Pasar Atom
Selepas menziarahi masjid ini, kami ke Pasar Atom. Niat di hati nak mencari ole-ole untuk dibawa pulang tetapi tidak terjumpa apa yang diingini walaupun pasar ini sangatlah besar. Pasar ini sebenarnya mempunyai dua bahagian iaitu Pasar Atom dan Pasar Atom Mall. dan ia berdiri di atas kawasan seluas 6 hektar.

Pusat Perbelanjaan Pasar Atum berdiri sejak tahun 1972 dan merupakan salah satu pusat perbelanjaan terbesar di Indonesia Timur pada umumnya dan di Surabaya pada khususnya. Pasar ini bukan sahaja terkenal di kalangan pelancong tetapi juga kerap dikunjungi para pedagang dari daerah Indonesia Timur. Ketika merayau-rayau di sini terjumpalah Kak Marihah ( dari KL) dan kawan-kawannya juga datang 'shopping' di sini 😀

Sebenarnya kami banyak membuat 'window shopping' sahaja di sini. Kami hanya singgah makan Bakso Tomyam di salah sebuah restoran dan membeli Almond Crispy yang terkenal di Surabaya, sebelum meninggalkan pasar ini.
Sementara menunggu Bakso Tomyam di Pasar Atom
Menarik hiasan dalaman restoran ini
Berbagai kerepek di jual di tingkat bawah pasar ....
kelihatan seperti di pasar kerepek Parit Raja😊
Oleh kerana kami tidak berjaya membeli apa yang dicari di Pasar Atom, kami mencuba pula mencarinya di Pasar Wisata Bendara Juanda. Tempat ini hanya 5 mint dari Juanda International Airport. Alhamdulillah jumpa beberapa produk khas buatan Indonesia yang sesuai dijadikan souvenir. Kemudian kami terus ke airport. Kami menyewa sebuah teksi untuk ke semua tempat yang disebut di sini.
Akhirnya berada di airport .... terminal 2
Di lapangan terbang ini banyak tempat menarik untuk bergambar
Alhamdulillah, akhirnya sampai di KL .... penerbangan selama 2 jam 40min.


Related post:

1. Kota Batu - Swiss Kecil di Pulau Jawa (part 1)


2. Kota Batu - Swiss Kecil di Pulau Jawa (part 2)