Showing posts with label gunung perahu tangkuban. Show all posts
Showing posts with label gunung perahu tangkuban. Show all posts

Thursday, 18 October 2018

Nyamannya Bandung - Pergunungan Utara

Bila saya kata nyamannya Bandung, saya bukanlah merujuk kepada bandar dan suasananya tetapi kepada cuacanya yang begitu nyaman sekali. Disebabkan kedudukanya di dataran tinggi, Bandung terkenal kerana iklim yang sederhana dan oleh itu telah menjadi salah satu destinasi pelancong yang terkenal. Alhamdulillah saya, suami dan seorang anak perempuan telah diberi peluang berada di sini selama 3 hari 2 malam dari 28 September sehingga 1 Oktober 2016.

Bandung terletak dalam wilayah Jawa Barat dan ia juga adalah ibukota wilayah ini. Kota kembang merupakan sebutan lain untuk kota ini, kerana pada zaman dahulu ia dianggap sangat cantik dengan banyaknya pohon-pohon dan bunga-bunga yang tumbuh di sini. Selain itu Bandung dahulunya juga digelar sebagai Parijs van Java  iaitu "Paris di Jawa" dalam bahasa Belanda  kerana keindahannya dan suhunya yang nyaman.


 Pada umumnya, kawasan-kawasan utaranya (yang tingginya lebih kurang 1050 m) adalah lebih tinggi, berbanding dengan kawasan-kawasan selatan (yang tingginya  lebih kurang 675 m).  Kota Bandung dikelilingi oleh pergunungan, sehingga bentuk fizikal buminya  bagaikan sebuah mangkok gergasi. Kedudukan ini memberikan udara sejuk yang segar bagi kota ini di samping pemandangan yang indah.  

Pemandangan dalam perjalanan ke Gunung Tangkuban Perahu 
Kata Bandung berasal dari kata bendung atau bendungan kerana terbendungnya sungai Citarum oleh lava Gunung Tangkuban Parahu lalu membentuk telaga. Kota Bandung secara geografikalnya memang kelihatan dikelilingi oleh peragunungan, dan ini menunjukkan bahawa pada masa lalu kota Bandung memang merupakan sebuah telaga atau danau

Hari pertama  di kota Bandung kami berjalan-jalan ke pergunungan di utara. Destinasi pertama kami di sini sudah tentulah  Gunung Tangkuban Perahu, diikuti berberapa tempat menarik yang lain.

1. Gunung Tangkuban Perahu

Kata orang, tidak sah ke Bandung kalau tidak sampai ke gunung ini. Gunung Tangkuban Perahu mempunyai ketinggian 2.084 m atas paras laut. Ia terletak di kawasan Lembang, sekitar 20 km ke arah utara Kota Bandung. Gunung Tangkuban Perahu juga merupakan salah satu gunung berapi yang masih aktif. Ini dapat dilihat di beberapa kawahnya yang masih mengeluarkan gas belerang hingga ke hari ini.

Cuaca  di atas gunung  agak sejuk  terutama jika hari hujan seperti pada hari kami melawatnya. Kawasan di sekitar gunung ini juga ditumbuhi subur dengan pohon-pohon pine dan kebun-kebun teh yang membuat pemandangan di sekitar gunung Tangkuban Perahu begitu indah.

Mengapa gunung ini dinamakan Tangkuban Perahu? Jika dilihat dari jauh, gunung ini memang berbentuk seperti perahu yang terbalik. Menurut pakar geografi, gunung tersebut terlihat bentuknya seperti perahu terbalik kerana ada dua kawah yang berdampingan antara arah barat dan timur. Maksudnya, gunung tersebut hanya terlihat seperti perahu terbalik dari arah selatan (Lembang) sahaja. Jika dilihat dari arah timur, barat dan utara, sama sekali gunung tersebut tidak terlihat seperti perahu terbalik, melainkan gunung biasa sahaja..

Gunung dengan pesona alam yang indah ini diseliputi dengan cerita rakyat atau lagenda hingga kini, iaitu legenda Sangkuriang. Di akhir cerita, oleh kerana terlalu marah, Sangkuriang menendang dengan kuat perahu yang hampir siap dibuat itu, hingga terbang melayang dan terjatuh terbalik dan dimitoskan inilah perahu yang menjadi Gunung Tangkuban Parahu. Jika hanya dari selatan sahaja gunung ini kelihatan seperti perahu terbalik, bermakna mereka yang dari selatanlah yang mencipta dan menyebarluaskan lagenda ini.

Harga tiket masuk ke tempat ini agak mahal juga - 200,000 Rupiah seorang bagi orang asing tetapi hanya 25,000 Rupiah bagi warga tempatan.

Lawatan pada 29 September 2016
Kawah Ratu .... salah satu dari beberapa
 kawah yang terdapat di gunung ini
Bersama Pak Tatang yang pernah mengajar di UTHM
Pemandangan ke bawah di kawasan parkir
Pokok Manarasa (di belakang) hanya tumbuh di kawasan ini
..... di percayai daunnya boleh mengubat cirit-birit dan
membuat awet muda

Peniaga berkeliaran mencari pelanggan
Berhati-hati dengan peniaga-peniaga yang menjual berbagai jenis barangan hasil produk tempatan kerana harga yang ditawar terlalu tinggi. Ada di kalangan mereka itu yang akan mengikut kita sampai ke atas puncak untuk meyakinkan kita agar membeli sesuatu dari mereka .... satu keadaan yang agak merimaskan. Kebanyakan barang-barang yang dijual boleh didapati di bawah dengan harga yang jauh lebih murah.

2. Sari Ater hotsprings Park

Sebelum turun kami singgah di sebuah kolam air panas semulajadi yang terbesar di Jawa Barat. Ia terletak di lereng Gunung Tangkuban Perahu dalam persekitaran hutan hijau dan kebun teh yang subur. Taman ini sangat cantik. Jika ada masa yang banyak memang enak berlama-lama di sini tetapi apakan daya masa tidak mengizinkan.


Ketinggian di sini 987 mdpl dan suhu antara (17 - 23) darjah celcius 
Berbagai-bagai kemudahan terdapat di sini termasuk masjid
Sempat merendam kaki dalam air panas .... percuma





Panorama kebun teh yang indah
Kebun teh di tepi jalan dalam perjalanan turun

3. Makan tengahari di restoran Sunda

Ketika di Malaysia, saya selalu terjumpa orang Indonesia dari Pulau Jawa tetapi tidak boleh berbahasa Jawa. Saya jadi pelik, lalu bertanya kenapa. Rupanya mereka adalah dari suku bangsa Sunda yang menggunakan bahasa Sunda dan kedua bahasa ini sangatlah berbeza. Masyarakat Sunda merupakan majoriti penduduk Jawa Barat.

Secara fizikal agak sukar membezakan antara orang Sunda dan orang Jawa yang sama-sama menduduki Pulau Jawa. Perbezaan yang boleh dilihat dengan jelas mungkin dari segi kebudayaannya, termasuk bahasa, jenis makanan yang disukai dan kesenian yang dimiliki.

 Contoh perbezaan antara suku Sunda dan suku Jawa, boleh dilihat dalam pemberian nama orang atau nama tempat, seperti Sukarno, Suharto, Yudhoyono, Purwokerto, Solo dan Ponorogo, di mana penggunaan vokal 'o' sangat ketara. Sementara bahasa Sunda lebih ketara berakhiran huruf ‘A’ seperti Nana Sutresna, Wiranata, Iskandar Dinata, Purwakarta dan Majalaya.

Kedai makan ini sudah wujud sejak 1978
Kalau di Parit Raja, (Batu Pahat Johor) kami memang sudah biasa dengan masakan  orang Jawa kerana di sini masyarakat Jawa sangat menonjol 😃 Jadi hari ini kami ingin mencuba masakan asli khas Sunda.


 Menu: ikan gurame asam manis, sayur asam, sambal serta ulam-ulaman
dan goreng-gorengan tahu, tempe, ayam dan ikan masin
4. Taman Begonia Lembang

Taman Begonia berada di dataran tinggi Lembang pada ketinggian 1200 m di atas permukaan air laut. Kehadiran taman ini sangat bertepatan dengan gelaran Bandung sebagai Kota Kembang dan Parijs Van Java. Taman ini ditanam dengan berbagai jenis bunga dan terdapat taman-taman buatan yang sangat indah dilihat.
Diberi nama Taman Begonia kerana di taman bunga ini didominasi oleh bunga Balinea, sejenis bunga begonia yang berasal dari Bali. Nama Balinea adalah ringkasan dari Bunga Begonia Bali. Mengapa bunga Balinea sangat banyak terdapat di taman ini? Ada beberapa faktor penyebab:
1. Bunga ini dapat tumbuh dengan baik samada di kawasan dataran tinggi ataupun rendah,
2.  Ia berbunga dengan lebat di sepanjang musim,
3. Bunga ini sangat tahan dengan cuaca ekstrim, samada musim hujan ataupun panas.
4. Ia  juga  sangat mudah untuk dijaga.
Oleh kerana itu Bunga Balinea ini sangat sesuai ditanam di berbagai kontur tanah serta berbagai tempat tanaman seperti di kebun, pekarangan rumah, tepi jalanraya dan jalan perumahan.





Bunga Begonia dari Bali atau ringkasnya Balinea
 mendominasi taman ini
5. Lembang Floating Market

Konsep Lembang Floating Market adalah pasar harian yang dijual dari perahu-perahu buatan yang disusun atur di sekeliling tasik buatan. Di sini kita dapat menikmati berbagai jenis makanan tradisional  Indonesia, sayur-mayur, ikan segar dan lain-lain.

Floating Market Lembang menyajikan konsep pelancongan yang menggabungkan antara penyatuan alam semulajadi Lembang yang mempesona dengan pasar terapung tradisional seperti yang ada di Bangkok Thailand. Selain itu, Floating market Lembang juga menyediakan berbagai macam permainan anak-anak dan dewasa seperti perahu air, kereta air dan aktiviti outbound yang tentunya akan semakin menggairahkan para pelancong.

Keindahan alam yang mempesonakan ..... 
pemandangan dalam perjalanan ke Floating market 

Gerai-gerai makan dalam perahu di pinggir tasik dan
bersiar-siar di tasik dengan menaiki kereta air
Lanskap menarik yang terdapat dalam kawasan pasar
Tema yang sama digunakan di tempat makan
Ikan dalam tasik ......
...... angsa di tepi tasik .... 
.... bersepadu dengan alam sekeliling...
sangat menenangkan berjalan-jalan di sekitar pasar terapung ini
6. Farm  House Lembang
Bayaran masuk - diberi voucher susu atau makanan
Terletak di kawasan tanah tinggi pergunungan Lembang, Farm House Lembang boleh dikatakan seperti sebuah kota Eropah kecil dengan bunga-bungaan yang tumbuh subur pelbagai warna, udara yang sejuk dan bangunan-bangunan dengan senibina negara Eropah. Lebih tepat ia berlatarbelakangkan budaya negara Belanda.

Tempat ini dibuka pada awal Disember 2015 dengan berkonsepkan suasana penternakan. kawasan perkebunan dan kampung orang kerdil atau Hobbit. Tempat ini sangat sesuai untuk berfoto kerana lanskap yang menarik dan juga untuk menikmati keindahan alamnya. Disarankan datang pada hari biasa kerana kalau di hujung minggu atau hari cuti umum terlalu ramai pengunjung, mengikut testimoni mereka yang telah melaluinya. Kebetulan kami datang pada hari Khamis, memang tidak ramai orang.
Ya .... hanya kami sahaja yang menukar voucher susu
Bagi para wanita, anda boleh menyewa gaun era klasik Belanda dengan bayaran Rp.50.000 untuk sejam dan berposinglah anda sepuas hati di sekitar farm house ini. Antara tarikan yang paling unik di sini adalah rumah hobbitnya yang sering menjadi spot pilihan 'kaki instagrammers'.


Orang Belanda memang suka naik basikal
Lanskap yang menarik
Macam berada di negara Eropah😊...kaan?
Ini kawasan perkebunan .... kalau tak silap..
Spot 'Love lock' atau mangga cinta
 Banyak bandar besar di dunia ada spot 'love lock' ini seperti Seoul, Tokyo dan Paris. Di Malaysia, ada di Penang Hill dan Bandung juga tidak mahu ketinggalan mengikuti trend orang-orang muda ini. Jikalau di Paris mangga-mangga ini dikunci pada jambatan dan berat kunci itu mewujudkan isu keselamatan. Suatu masa dahulu, jambatan Pon des Arts hanya sebuah jambatan kecil tetapi kini menampung 93 tan dari kunci. Kerap kali kerja membaik pulih pagar tersebut dilakukan kerana ianya terlalu berat. Terkini dikatakan ada 700,000 biji mangga yang dikunci di pagar jambatan ini dan pihak berkuasa tempatan telah meletak dinding kaca sepanjang pagar jambatan untuk menghalang perbuatan mengunci mangga ini.

Trend 'love lock' ini hanyalah khayalan orang-orang muda. Tidak perlu hendak mengunci cinta itu di mana-mana. Lebik baik mengunci ia di pagar iman dan menjaganya sepanjang hayat agar tidak diceroboh oleh orang lain 😂


Kampung Hobbit
Jom ke ladang ternak pulak ...
Memberi susu botol kepada anak-anak lembu ....
antara aktiviti yang boleh dibuat anak-anak
Pertama kali melihat kambing pakai lampin
Rumah kambing pun cantik
Salah satu bangunan yang terdapat di sini
Berihat sebentar .... jemputan ke Octoberfest pada 9 Okt 2016
German's Famous Festival
Hari ini habis di sini. Jumpa di Pergunungan Selatan pula insya Allah.

Related Posts:

1. Nyamannya Bandung - Pergunungan Selatan

2. Nyamannya Bandung - Berjalan-jalan di Kota

3. DKI Jakarta - The Big Durian