Showing posts with label hijrah. Show all posts
Showing posts with label hijrah. Show all posts

Wednesday, 14 November 2012

Salahkah Menyambut Tahun Baru?


SABAN tahun kita melihat bagaimana Negara menyambut Tahun Baru dengan  rakyat berhimpun beramai-ramai untuk mengira detik 12 malam. Sambutan tahunan yang diadakan ini adalah tidak bermakna dan mengandungi aktiviti yang tidak berfaedah dan tersasar jauh dari budaya ketimuran yang mana akhirnya akan hanya mengundang kepada perlakuan sumbang dan keji para muda-mudi.
Sambutan tahun baru yang dirayakan dan dianjurkan setiap tahun  amat  tidak selaras dengan kehendak Islam serta menyimpang daripada budaya dan adat kesopanan orang timur. Adakah kita mahu dan rela muda-mudi bangsa melalai dan merosakkan diri mereka sendiri setiap kali tibanya tahun baru? Jadi, apakah cara terbaik  bagi umat Islam menyambut  Tahun Baru  mahupun Tahun Hijrah yang mampu meninggalkan kesan kepada kita?

Menyambut tahun baru dengan berpesta bunga api dan berhibur
Tidak kiralah sama ada menyambut Tahun Baru Miladiah (Tahun Baru) ataupun Tahun Hijrah (Awal Muharam), keduanya membawa satu penekanan iaitu setiap individu akan mengalami suatu proses penghijrahan dari satu tahun ke tahun yang berikutnya, sama ada  kita telah bersedia ataupun tidak, atau telah berjaya mencapai azam tahun lalu ataupun tidak.
Tahun baru sepatutnya disambut dengan azam; penghijrahan untuk memperbaiki  diri dan  kehidupan dengan merenung kepada pencapaian tahun lalu. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan
(surah al-Hashr: 18).
Penghijrahan yang hakiki di zaman ini adalah seperti yang disebut oleh Nabi dalam hadisnya yang bermaksud, daripada Abdullah bin Habsyi, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.”
(Hadis riwayat Abu Dawud)
Perayaan Maal Hijrah yang disambut di seluruh negara sebenarnya bukan merupakan semangat yang dihayati tetapi hanyalah satu rutin sempena Muharram. Aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada pemantapan aqidah sepatutnya menjadi agenda utama para pemimpin.
Pendekatan yang digunakan bagi menyambut  tahun baru seharusnya dikaji dengan lebih teliti bagi memastikan ia senantiasa berada di landasan agama dan budaya dan tidak hanya sekadar  sambutan yang melalaikan tanpa diterapkan di dalam sanubari rasa keinsafan dan semangat baru bagi  mengatasi  pencapaian lalu.
Rasa keinsafan dan semangat baru ini hanya dapat diisi oleh mereka yang sanggup serta dengan penuh kesungguhan untuk berubah, kerana Allah s.w.t tidak akan mengubah nasib hamba-hamba-Nya jika mereka sendiri tidak mempunyai semangat dan iltizam untuk berubah. Dengan semangat sedemikian, nescaya perubahan yang dibawa, akan memberi makna yang besar bukan sahaja kepada diri, tetapi juga keluarga, bangsa, agama dan negara tercinta.
Apakah kita langsung tidak boleh mengadakan sebarang majlis pada awal tahun hijrah? (jawapan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin)
Jawapan: Sambutan Hijrah ini tidak boleh dibuat atas asas ianya amalan khas agama ini, kerana kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada mengada-adakan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. dalam soal ibadah atau menokok tambah agama, sedangkan baginda bersabda:
“Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama ini maka dia tertolak”
( Riwayat Muslim )
Namun majlis mengingatkan rakyat tentang tahun baru ini , pada pandangan saya,  boleh diadakan atas adat negeri atau bangsa dengan tujuan mengingatkan rakyat tentang tarikh baru sesuatu tahun. Ini membolehkan mereka merancang aktiviti dan menimbulkan semangat kesepakatan serta kesungguhan. Perhimpunan menggerakkan semangat pencapaian dan kerja adalah urusan kehidupan yang dibolehkan syarak selagi tiada dalil tentang keharamannya. Ia bukan ibadah khusus. Di samping itu, seperti mana apabila kita melintasi sesuatu tempat atau negeri kita menyebut tentang sejarahnya. Demikian juga apabila kita melintasi sesuatu tarikh kita di bolehkan menyebut tentang sejarahnya, sebagai satu pengajaran dan proses pembelajaran.  Namun ibadah yang khusus sempena tarikh berkenaan tidak boleh dilakukan melainkan terdapat dalil yang sabit daripada baginda Nabi s.a.w.
Marilah sama-sama kita menyambut kedatangan bulan Muharram dengan berlumba-lumba mengerjakan amal kebajikan agar  kita memperolehi kebahgiaan yang hakiki. Kita mengisinya dengan tafakur, tasyakur, muhasabah, zikir, dan takhthit (perancangan).