Showing posts with label maze. Show all posts
Showing posts with label maze. Show all posts

Wednesday, 18 April 2012

Dinamik Korea - Jeju-do (the new 7 Wonders of Nature)

Awal Disember 2011 saya menemani suami ke Korea Selatan. Dia ke sana atas urusan kerja ( menghadiri konferens) sementara saya pula mengambil kesempatan  "makan angin" ...... melancong sambil bekerja. Konferens suami berlangsung di Pulau Jeju. Jadi kebanyakan masa kami berada di situ. Penerbangan dari Seoul ke bandar Jeju mengambil masa sejam. Kami tinggal di Hotel December  selama empat hari empat malam ( 7 Dis - 11 Dis)

Pulau Jeju (Jeju-do) adalah pulau terbesar di Korea dan terletak di sebelah selatan Semenanjung Korea. Pulau Jeju adalah satu-satunya wilayah berotonomi khusus Korea Selatan dan juga wilayah yang terkecil. Di tengah-tengah pulau ini tersergam puncak gunung Halla yang tingginya mencecah 1,950m di atas paras laut, merupakan gunung tertinggi di  seluruh Korea.


Ada lebih kurang 750 orang Islam kini tinggal di  Jeju. Mereka datang dari negara-negara Islam seperti Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan lain-lain. Dianggarkan seramai 60,000 orang  Islam datang melancong ke Jeju setiap tahun, mengikut kata Professor Kim Dae Yong, anak kelahiran Jeju yang kini menjadi pengarah Persatuan  Muslim Korea.

Prof. Kim juga adalah timbalan presiden  RISEAP (Regional Islamic Da’wah Council of South-East Asia & the Pacific, Kuala Lumpur, Malaysia) dan setiausaha kehormat Korea & Qatar Friendship Association.

Prof Kim dalam pejabat RESEAP........ ia juga dikenali sebagai Mahmud Taib Islamic centre ........ Ketua Menteri Sarawak ini juga adalah  Presiden RISEAP
Pada tahun 2010 ada lebih kurang 40 orang penuntut Islam yang belajar di  Jeju National University. Kebanyakan mereka (orang Islam) yang tinggal dan bekerja di Jeju melakukan kerja-kerja yang tidak digemari penduduk tempatan iaitu "3-D jobs" yang bermaksud dirty, dangerous and difficult, seperti sebagai nelayan.

Keluarga Prof Kim (isteri dan seorang anak lelaki) adalah satu-satunya keluarga Islam yang berasal dari Jeju. Beliau dan isterinya  Prof Saffia menjadi pensyarah di universiti Nasional Jeju. Anak  tunggalnya belajar di UIA, Malaysia.

Tempat-tempat Menarik Jeju

Ketika kami melawat Jeju, penduduknya masih merayakan kejayaan Jeju diiktiraf sebagai salah satu dari 7 Wonders  of Nature yang baru. Mereka meraikannya dengan memberi masuk percuma kepada pengunjung-pengunjung ke beberapa tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong, yang mana pada hari-hari biasa dikenakan yuran masuk.

Uniknya pulau Jeju ini ialah keseluruhan pulau itu dipenuhi kecantikan alam semulajadi ciptaan Allah ..... di mana-mana kita pergi dapat melihat  tumbuhan-tumbuhan semulajadi menghiasi bandar dan diselang-seli dengan kebun atau ladang yang diusahakan penduduk. Tidak perlu bersusah payah mencarinya jauh-jauh untuk menikmati keindahannya.

Buah limau 'tangerine' banyak di tanam di sini ...... tanaman utama Jeju dan buah ini hanya boleh didapati di  Jeju
Untuk melihat keseluruhan pulau ini memerlukan beberapa hari. Namun kami hanya mampu meluangkan separuh hari saja kerana kos , cuaca dan masa. Kami menyewa teksi (pemandu yang boleh berbahasa Inggeris) untuk sehari bagi memudahkan kami bergerak. Kosnya antara RM 450- RM 500 .Walaupun begitu kami hanya boleh melawat sehingga petang sebelum masuk waktu solat Maghrib (kerana ingin menjamak solat zohor dan asar). Ketika ini musim dingin di mana hari cepat gelap dan keadaan ini juga tidak sesuai untuk melihat dan menikmati keindahan alam, ditambah pula cuaca yang semakin sejuk.

Dalam masa yang singkat itu kami berjaya melawat beberapa tempat menarik yang sememangnya menjadi tumpuan para pelancong. Kami tidaklah duduk lama-lama di satu-satu tempat ..... hanya sekadar melihat-lihat sahaja.

1.  Mt. Halla

Ini tempat yang pertama kami pergi di atas cadangan pemandu teksi kerana dia mendapat berita ada salji turun di sana pagi itu. Musim sejuk di Jeju tidaklah begitu sejuk dan jarang-jarang ada salji turun. Namun pada hari itu semua orang begitu teruja kerana berpeluang menikmati kecantikan salji yang turun sekali-sekala. Di aras bawah salji yang turun tidak dapat bertahan tetapi di atas gunung ia meninggalkan pemandangan yang sangat cantik .... gebu,putih bersih di atas tanah dan ranting-ranting pokok.


Mt. Halla ...... menerima salji pada pagi tersebut

Ini kru dari stesen TV Jeju yang membuat liputan keadaan di Mt Halla pada pagi 9 Dis 2011
Dalam perjalanan naik kami bertemu beberapa kereta yang terkandas, tidak dapat meneruskan perjalanan kerana keadaan jalan yang licin dan merbahaya. Kereta mereka tidak dilengkapi dengan tayar yang khusus untuk bergerak di atas salji seperti teksi yang kami naiki. Salji pada pagi itu agak tebal juga, mampu meninggalkan lapisan ais di atas jalan. Kami juga berpeluang melihat beberapa ekor rusa liar melintas di hadapan teksi .... satu pemanadangan yang biasa di sini.

Salah sebuah kereta yang terkandas disebabkan jalan yang licin lagi merbahaya

Kereta kami hanya boleh pergi setakat ini sahaja disebabkan keadaan yang merbahaya ...... dalam cuaca yang baik boleh diteruskan perjalanan ke aras yang lebih tinggi ..... ada taman di atas

2. Mysterious Road

Dalam perjalanan naik ke gunung Halla kami telah berhenti pada sebatang jalan misteri. Pemandu teksi membuat eksperimen di sini ....... matikan enjin dan lepaskan brek. Di sini kereta yang dimatikan enjin bergerak dengan sendiri menaiki bukit.

Tiada apa-apa yang misteri di sini kerana ianya disebabkan fenomena "gravity Hill" di mana jalan yang dilihat seperti menaiki bukit itu sebenarnya menurun sedikit ..... jadi kereta tersebut sebenarnya bergerak mengikut graviti. Namun apabila kita berada dalam kenderaan , kita betul-betul merasakan seperti kereta sedang menaiki bukit kerana ia hanya ilusi semata-mata.




Fenomena ini telah dijadikan sebagai produk pelancongan dengan mengatakan ada kuasa misteri di situ

3. Jungmun Daepo Columnar-Jointed Lava

Sendi Kolumnar (columnar-jointed lava) di Pantai  Jeju Jungmun Daepo adalah tebing berbatu yang menyusuri sejauh kira-kira 2 km  di sepanjang garis pantai dari Jungmun Dong ke Daepo Dong di wilayah Seogwipo. Ia telah dibentuk oleh penyejukan dan pemejalan aliran basalt dari gunung berapi Nokhajiak di antara 14,000 ke 25,000 tahun yang lalu.

Pemandangan di tepi pantai

Pemandangan yang unik sepanjang pantai
Ia berbentuk sendi-tiang yang dibentuk oleh lava basalt. Apabila lava basalt yang bersuhu tinggi menyejuk, ia mengecut dan sering menghasilkan sendi kolumnar. Jika dilihat dari atas,  kolum-kolum dari batuan basalt ini berbentuk poligon bersisi 4,5 atau 6. Kolum-kolum basalt setinggi 25m  kelihatan seperti disusun rapi ..... unik dan sangat cantik.

Batu-batan dari lava yang berbentuk poligon

Kolum-kolum batuan tersusun rapi, kemas, cantik, bagaikan karya agung Alam

4. Joanne Bear Museum

Joanne Bear Museum ialah dewan galleri pameran untuk Joanne Oh, seorang artis teddy bear yang terkenal. Muzium, yang bermegah dengan moto “nature and environmentalism", mempamerkan teddy bear yang dibuat dari bahan-bahan semulajadi .

Dalam galeri Joanne Oh ..... bersama dengan salah seekor teddy bearnya

Di muzium ini, pelawat boleh melihat proses membuat teddy bear  Joanne Oh secara dekat. Pelawat juga dibenarkan naik ke atas bumbung untuk menikmati pemandangan yang cantik dari situ. Ada sebuah kafe di aras kedua. Bagi mereka yang ingin membawa balik buah tangan boleh membelinya di kedai sovenir yang terdapat di muzium.

Salah satu pemandangan cantik dari atas bumbung .... kelihatan ladang tangerin di bawah
5. Cheonjiyeon Falls 

Ini adalah salah satu daripada tiga airterjun yang terkenal di Pulau Jeju. Cheonjiyeon (maksudnya  airterjun yang menghubungkan langit (Ch'eon) dan bumi (ji)) menerima ramai pengunjung yang mengambil gambar mereka berlatar belakangkan airterjun ini.




Tinggi airterjun ini 22 m dan lebarnya 12 m. Walaupun ada satu kawasan utama di mana air terjun dari tebing, namun saiznya boleh bertambah besar atau airnya akan terjun dari beberapa bahagian lain tebing, bergantung kepada berapa banyak hujan yang diterima. Airnya terjun ke dalam sebuah tasik besar buatan manusia sedalam 20 m dan ditakung menggunakan dua empangan, yang juga berfungsi mengawal jumlah atau paras air dalam tasik.

Airnya terjun ke dalam tasik buatan ...... di sinilah terdapat belut marble (atau mutae) yang hanya aktif di  waktu malam
Untuk sampai ke lokasi airterjun para pelawat kena berjalan di laluan yang berlanskap menarik; laluan dalam taman  tumbuhan subtropika. Ia menjadi habitat semulajadi pada 400 spesis hidupan haiwan dan tumbuhan. Dalam sungainya ada berbagai-bagai jenis ikan koi (kap) dan tasiknya pula menjadi habitat bagi belut marble  (mutae eel bagi orang Korea). Itik hijrah juga boleh didapati di sini.

Salah satu jambatan yang boleh digunakan untuk pergi ke seberang sana sungai

Walaupun berada dalam musim sejuk tetapi taman ini tetap cantik berwarna -warni dengan tumbuhan-tumbuhan subtropikanya 

Di pintu masuk ke taman ini ada sebuah kedai sovenir. Sebelum keluar meninggalkan tempat ini, saya telah membeli sehelai saputangan berpeta Jeju sebagai ole-ole untuk dibawa pulang dengan harga 3,000 won.

6. Seongeup Folk Village

Sebuah kampung kecil tradisional yang terletak di kaki Gunung Halla. Kawasan ini pernah menjadi pusat pentadbiran Jeju semasa zaman Koryo. Rumah-rumah di kampung ini diperbuat daripada atap jerami dan dindingya pula daripada batu dan tanah liat. Rumah-rumah ini masih ada yang didiami walaupun sesetengahnya telah ditambah dengan kemudahan-kemudahan moden.

Rumah ini tidak didiami ..... hanya dijadikan sebagai 'showpiece'
Kampung ini sekarang ditonjolkan sebagai kawasan tarikan pelancong yang mempunyai keunikan tersendiri. Ia mempamerkan kehidupan penduduk Jeju zaman duhulu.

Patung batu di sebelah kiri itu dikenali sebagai Hareubang atau Grandfather's statue ..... selalunya diletakkan di luar pintu pagar kerana ia dianggap sebagai tuhan yang akan memberi perlindungan dari  kuasa jahat



Kami tiba di perkampungan ini ketika waktu makan
 tengahari. Jadi pemandu teksi memberhentikan kami
di hadapan sebuah restoran, lalu mengajak kami masuk makan bersamanya. Kami menolak dengan mengatakan kami tidak makan daging ..... nak cerita pasal halal haram dia memanag tidak akan faham kerana kebanyakan orang Korea tidak kenal Islam.  Daging babi berbulu hitam menjadi makanan
kegemaran orang-orang di sini.

 Kami ada membawa sandwic sebagai bekalan tetapi tidak dapat mencari tempat yang sesuai untuk makan. Oleh kerana itu kami terpaksa masuk ke dalam sebuah kedai kopi yang hanya menjual kopi, sambil makan sandwic kami. Untuk ini kami terpaksa membayar 8,000 won ...... 4,000 won (RM 12.00) untuk segelas kopi hitam Brazil!

Cara membacuh kopinya pun ada style ....... bukanlah sekadar tuang air panas sahaja

Sebelum meninggalkan tempat ini kami telah masuk ke dalam sebuah kedai menjual berbagai-bagai produk tempatan. Setelah meninjau-ninjau apa yang sesuai dibeli, akhirnya kami telah membeli dua kotak coklat buatan Jeju.

7. Gimnyeong Maze Park

Tempat yang menarik dan pasti meyeronokkan bagi mereka yang gemar mainan maze ini.

Maze ini sengaja direka menyerupai bentuk Pulau Jeju

Oleh kerana kami  kesuntukan masa pada hari itu, kami masuk ke dalam maze dan memilh jalan yang paling singkat berpandukan peta yang diberi. Kami tidak mahu tersesat kerana takut kehilangan masa. Laluan yang paling dekat antara pintu masuk dan keluar adalah sejauh 190 m dan mengambil masa 5 minit sahaja. Keseluruhan laluan sejauh  932 m.

Sebahagian dari laluan maze

Di dalam taman ini juga terdapat sebuah galeri yang mempamerkam berbagai bentuk mainan maze yang disertai dengan penerangan dan asal-usulnya. Di bawah ini adalah beberapa jenis mainan yang dikategorikan sebagai 'maze game'.










                 

Di bahagian luar taman terdapat banyak patung-patung dari batu yang diukir dengan berbagai-bagai rupa yang ganjil. Ukiran seperti ini boleh didapati di merata-rata tempat di pulau Jeju.

Patung yang berbagai rupa pelik ..... di sebelah kanan itu yang dikenali sebagai hareubang atau grandfather's statue                                                                                                   
Di mana kedai halal?

Di Jeju tidak ada kedai yang menjual barangan halal tetapi ada dua restoran yang menjual makanan halal; restoran Baghdad dan restoran Rajmahal. Mereka mendapat bahan mentah halal dari tanah besar. Kedua-dua restoran ini berkonsepkan restoran India dan dimiliki oleh orang bukan Islam.  Kebanyakan orang-orang Korea tidak ada agama.

Di Jeju juga tidak ada masjid. Prof Kim telah menjadikan ruang pejabatnya di Shin Jeju sebagai "masjid sementara". Orang-orang Islam di sini masih tidak mampu memperjuangkan hak-hak mereka kerana faktor yang berbagai-bagai.


Kami  pernah cuba makan sekali sahaja di Restoran Rajmahal kerana ia berdekatan dengan tempat tinggal kami. Di waktu lain kami hanya makan roti dan bekalan yang kami bawa dari Malaysia. Kalau makan selalu takut over bajet pulak! Harganya sangat mahal ..... untuk 2 orang hari itu kami terpaksa berbelanja sebanyak 40,000 won bersamaan lebih kurang RM 120.00 sekali makan.

Menu hari itu ialah ayam tandoori, salad, kari daging kambing yang dimakan dengan nasi dan roti nan, diakhiri dengan samosa.
                                                                 
salad.....
...... ayam tandoor

Pada malam Jumaat, 9 Dis 2011 Prof Kim telah menjemput kami ke rumahnya untuk makan malam yang dimasaknya sendiri. Ketika kami tiba di rumahnya isterinya masih berada di universiti. Mengikut katanya dia lebih pandai masak daripada isterinya ...... itulah sebabya dia sendiri yang masak pada malam itu. Alhamdulillah dapat makan "proper" malam itu ...... kalau tidak makan ala kadar saja!

Prof Kim dan isterinya Prof Saffia di rumah mereka
An-nyeong Hi-gye-se-yo Jeju!

Hanya satu perkataan Korea sahaja yang dapat kami ingat sepanjang berada di Jeju ....... kamsahamnida (terima kasih). Kami pelajarinya sewaktu membeli-belah di sana.

Awal pagi 11 Dis kami telah meninggalkan Jeju dan menuju semula ke Seoul. Kami akan berada selama dua hari satu malam di Seoul sebelum berangkat balik ke Malaysia.

...........di  Jeju International Airport