Showing posts with label pahang. Show all posts
Showing posts with label pahang. Show all posts

Saturday, 2 June 2018

Kembara Tanah Tinggi - Bukit Fraser

Dari 6-9 April lepas, saya dan suami serta seorang anak telah membuat satu perjalanan merentasi Banjaran Titiwangsa. Sebenarnya suami ada seminar di Cameron Highlands. Kebetulan saya ada seorang abang ipar yang tinggal di Pasir Mas Kelantan yang sedang sakit tenat. Jadi kami mengambil kesempatan ini menziarahinya di sana, kerana dari sini ke Pasir Mas hanya tinggal separuh perjalanan. Saya sangat bersyukur membuat perjalanan ini kerana abang ipar yang saya lawati itu kini telah meninggal dunia seminggu selepas kami ke sana. Alhamdulillah kami sempat bertemu buat kali terakhir dengannya di bilik icu, dalam keadaan yang sangat lemah. Semoga almarhum diterima di sisi Allah SWT, diterima semua amal baiknya dan diampuni segala dosanya .... ameen.


Jalan pergi dan pulang ....
Batu Pahat - Cameron - Pasir Mas - Bukit Fraser - KL
Ketika perjalanan balik dari Pasir Mas kami sengaja mengambil jalan yang melalui Bukit Fraser - Kuala Lumpur kerana kami berhajat untuk menyinggah sebentar di Bukit Fraser. Kami belum pernah sampai ke sana. Kemudian dalam perjalanan pulang, kami singgah pula di Kota Damansara menziarahi anak dan cucu sebelum pulang terus ke Batu Pahat, Johor.

Banjaran Titiwangsa menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Banjaran ini menganjur dari selatan Thailand hingga ke Gunung Ledang di Johor. Ia sebenarnya menganjur dari Banjaran Himalaya dan puncak tertingginya ialah Gunung Korbu yang terletak di Perak. Banjaran ini menjadi legeh bagi sungai-sungai utama di Semenanjung Malaysia. Di sini juga terdapat tiga buah pusat peranginan iaitu Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser.

Bukit Fraser
Jika Cameron Highlands terkenal dengan ladang teh dan sayur-sayuran, Genting Highlands popular dengan jolokan kota keriangan, Bukit Fraser pula lebih dikenali sebagai "The Little England of Malaysia".

Bukit Fraser terletak  dalam mukim Tras di Daerah Raub Pahang. Ia merupakan kawasan pelancongan pergunungan yang menarik kerana suhunya sejuk antara 17 ke 24 darjah celcius. Puncak tertinggi Bukit Fraser ialah 1,310 meter dari aras laut. Ia memiliki keistimewaan tersendiri dari segi kepelbagaian flora dan fauna di samping keunikan bangunan yang berkonsepkan senibina gaya Inggeris.

Bukit ini terletak kira-kira 100 kilometer dari bandaraya Kuala Lumpur. Bagi warga Lembah Klang yang ingin menikmati percutian di Bukit Fraser boleh melalui dua jalan iaitu dari Kuala Kubu Bharu, Selangor atau Raub, Pahang sebelum tiba di Gap yang menjadi pintu masuk ke puncak Bukit Fraser. Perjalanan  mengambil masa kira-kira dua jam setengah.

Kami pula datang dari pantai timur iaitu dari Pasir Mas Kelantan. Sebelum masuk daerah Raub kami singgah dahulu di Kuala Lipis untuk bermalam, kerana kami bertolak balik sudah petang, selepas menziarahi arwah abang ipar di hospital. Inilah pertama kali kami sampai di bandar ini. Keesokan paginya kami berjalan-jalan di bandar dan kawasan berdekatan yang mempunyai banyak bangunan bersejarah, sebelum meneruskan perjalanan ke Bukit Fraser.

Sejarah Kuala Lipis
Kuala Lipis terbina di pertemuan Sungai Jelai dan Sungai Lipis. Ramai pengkaji sejarah bersetuju mengatakan Lipis merupakan daerah pertama di Pahang dengan Kuala Lipis menjadi ibu negeri pertama antara tahun 1898 hingga 1955 sebelum pusat pentadbiran kerajaan negeri berpindah ke Kuantan hingga kini.

Sejajar dengan statusnya sebagai ibu negeri, Kuala Lipis juga merupakan tempat Kesultanan Pahang bersemayam sebelum berpindah ke Pekan selain menjadi ibu pejabat Residen British iaitu Sir Hugh Clifford ketika era penjajahan British.

Apa yang menarik, British memilih bandar Kuala Lipis sebagai lokasi permulaan bagi mengira perbatuan bagi negeri ini apabila sebuah batu yang bertanda '0' terdapat di tengah-tengah bandar ini. Batu itu juga masih boleh dilihat hingga kini.

Jom pusing-pusing bandar Kuala Lipis

Masjid Sultan Mahmud - masjid daerah Lipis yang baru
... dirasmikan penggunaannya pada tahun 1971
.... bawah kuasa Majlis Daerah Lipis
Dataran sejarah Kuala Lipis - maklumat sejarah serta lokasi
bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di sini
Maklumat Masjid Negeri yang berusia 130 tahun

Masjid Jamek Lipis (Masjid Negeri)
- kini lebih dikenali sebagai Madrasatul Firdaus
Masjid Jamek Lipis merupakan salah satu warisan sejarah tempatan prakolonial. Setelah dibaik pulih dan boleh digunakan semula, Masjid Jamek Kuala Lipis telah diubah namanya kepada “Madrasatul Firdaus”. Kini Madrasatul Firdaus yang ditadbir secara langsung oleh Persatuan India Muslim Lipis menjadi “Pusat Pembangunan Pendidikan Islam” bagi komuniti India Muslim. Imam, guru-guru agama dan kelas-kelas fardhu ain yang dijalankan di madrasah ini dibiayai sepenuhnya oleh Persatuan India Muslim. Dari segi komunikasi pendidikan, institusi ini menggunakan sepenuhnya bahasa Tamil memandangkan pelanggan-pelanggan mereka terdiri daripada generasi muda India Muslim.

Bahagian dalam Madrasatul Firdaus
Maklumat Pejabat Pentabiran Daerah Lipis
Pejabat pentadbiran daerah Lipis - berusia 99 tahun
Inilah  antara beberapa bangunan bersejarah yang sempat kami pergi melihat secara dekat serta bergambar bersamanya, ada yang kami melihat dari jauh sahaja kerana kesuntukan masa. Kami ingin bertolak ke Bukit Fraser seawal mungkin kerana ia juga sebuah tempat yang kami belum pernah sampai lagi.

Jom ke Bukit Fraser
Bukit Fraser mendapat nama dari seorang pengembara British pada zaman kolonial iaitu Louis James Fraser. Terdapat pelbagai cerita menarik tentang beliau tetapi tidak begitu jelas termasuk beliau sebagai pengeluar dadah candu dan perjudian di antara para pelombong di Pahang.

Pintu gerbang ke negeri Selangor
Ini simpang ke Bukit fraser
Simpang ini dipanggil The Gap
Gap ialah pintu masuk ke puncak Bukit Fraser. Pada satu masa dahulu kenderaan akan beratur di sini untuk menunggu giliran naik ke atas kerana jalannya sempit, tidak mengizinkan kenderaan berselisih. Namun kini tiada lagi jadual untuk naik dan turun seperti dahulu kerana jalan naik dan turun berasingan. Dari sini ke puncak bukit lebih kurang 8km.

Jalan sehala naik dan turun ke puncak Bukit Fraser
Menyelusuri jalan sejauh 8 kilometer menaiki Bukit Fraser ternyata begitu memenatkan berikutan keadaan laluan yang sempit di samping banyak selekoh berbahaya dan curam. Akhirnya tiba perasaan lega apabila kelihatan sebuah menara jam di jalan bulatan yang menjadi mercu tanda Bukit Fraser. 

Mercu tanda pekan Bukit Fraser


Banyak bangunan dan banglo dibina mengikut cita rasa kolonial British. Dinding rumah dari batu konkrit besar yang disusun dan disimen. Warna dinding berwarna putih dengan diselang-seli warna hitam pada tiang jenang. Pagar rumah dibuat daripada pokok-pokok bunga.

Cantik pekan kecil ini - dihiasi dengan taman-taman
Meskipun kegiatan pelancongan tidak semeriah pusat peranginan tanah tinggi lain di Pahang, namun Bukit Fraser sering menjadi tumpuan pelancong khususnya pencinta alam dan pengkaji hidupan semula jadi. Semasa melalui jalan turun, kami ada ternampak sekumpulan pelancong (seperti dari Jepun) berjalan-jalan sambil membawa teropong besar. Mereka kelihatan seperti sekumpulan pemerhati burung.

Berada di pekan kecil Bukit Fraser sungguh menenangkan hati dan perasaan. Sebelum kami ke sini, kami telah pergi ke Cameron Highlands pada hari Jumaat dan Sabtu. Suasana di sana sangatlah berbeza dari sini. Kebetulan pula kami berada di sini pada hari Isnin, di mana pelancong tempatan tiada langsung. Saya terfikir .... alangkah indahnya kalau saya dapat berada lebih lama di sini dalam suasana senyaman ini. Mungkin selepas suami sudah pencen nanti boleh datang bersantai lagi ke sini untuk beberapa hari insya Allah.

Tujuan kami ke Bukit Fraser hanyalah untuk melihat-lihat sahaja. Kami tidak bercadang untuk berlama-lama di sini kerana perjalanan kami masih jauh lagi.

Di bawah kelihatan jalan ke arah air terjun Sg Jeriau
 - ditutup pada hari itu untuk kerja-kerja pembaikan
Lagi satu tempat rekreasi yang terdapat di sini
Antara aktivitinya ialah memancing, boat ride dan memberi makan ikan.
Taman Flora Bukit Fraser - di sebelah Allan's Water
Kalau ingin membeli pokok bunga dan strawberry bolehlah ke sini
Taman ini ada juga menjual tanaman lain seperti kobis, keledek, kentang dan tomato. Kami juga tidak masuk di kedua-dua tempat ini  Insya Allah lain kali jika ada rezeki.

Setelah puas berpusing-pusing kami pun meneruskan perjalanan ke Lembah Kelang mengikut jalan turun.


Related Posts:

Kembara Tanah Tinggi (2) - Genting Highlands

Kembara Tanah Tinggi (2) - Colmar Tropicale Bukit Tinggi

Saturday, 24 May 2014

Menyusuri Lagenda Tasik Chini


BERATUS tahun lamanya legenda naga mengisi pemikiran dan kepercayaan Orang Asli yang berumah di sekitar Tasik Chini, Pekan, Pahang. Saya sendiri telah mendengar kisah kewujudan naga di Tasik Chini sejak kecil lagi. Memang sudah lama teringin hendak pergi melihat tasik yang penuh misteri ini tetapi tidak pernah kesampaian sehinggalah pada akhir tahun 2012. Tepatnya pada 17 Nov 2012.

Beberapa hari sebelumnya saya bersama seorang anak telah mengikuti suami berkursus di Dungun, Terengganu. Pada hari tersebut kami dalan perjalanan pulang dari Dungun ke Batu Pahat, Johor. Bila tiba di Pahang, hari sudah petang sedangkan perjalanan masih jauh dan badan pula sudah terasa keletihan. Jadi kami memutuskan untuk menangguh perjalanan dan mencuba cari tempat bermalam di Tasik Chini...... kira-kira macam 2 in 1 lah....

Tasik Chini bukanlah satu tempat yang berada berdekatan dengan jalan utama. Untuk sampai ke sana kami perlu melencong jauh dari jalan utama dan melalui jalan yang agak terpencil. Kebetulan hari pula semakin gelap, dan jalan yang dilalui bagaikan tiada penghujungnya, membuat kami berasa cemas sepanjang perjalanan. Alhamdulillah akhirnya kami sampai juga.
Dari Pekan kena masuk jauh ke dalam untuk sampai ke Tasik Chini
Kami bernasib baik pada malam itu kerana kami dapat blik untuk bermalam di Lake Chini Resort, walaupun harga biliknya agak mahal. Namun yang penting kami ada tempat untuk berihat dan pada masa yang sama berpeluang menikmati keindahan Tasik Chini yang selama ini hanya terbayang di minda.
Resit bilik dan resit sewa bot
Malam itu kami seolah-olah bermalam di dalam hutan kerana resort ini memang dikelilingi hutan dan terletak di pinggir Tasik Chini. Suasananya nyaman dan sangat berbeza dari resort-resort lain yang berdekatan dengan bandar-bandar.
  
Pemandangan keluar dari balkoni bilik kami
 Tasik Chini

bunga lotus atau teratai
Tasik Chini salah satu tasik daripada 12 tasik yang berdekatan denganSungai Pahang di Pahang tengah, Malaysia. Tasik Chini yang merupakan tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera. Pinggiran tasik berkenaan didiami oleh orang asli suku Jakun.

Sungai Chini, yang mengalir keluar dari tasik itu, mengalir ke dalam Sungai Pahang. Sungai berkenaan diempang untuk mengekalkan kedalaman tasik tersebut semasa musim kering. Walau bagaimanapun, cara ini akan mengganggu ekologi semulajadi tasik itu dan menyebabkan kematian pokok-pokok pada pesisiran tasik disebabkan oleh kenaikan aras air.

Tasik ini juga terkenal dengan musim berbunga lotus dari Jun hingga September.


Kesokan paginya selepas sarapan kami menyewa bot untuk menyusuri Tasik Chini. Memang tasik ini nampak tenang. Namun, di sebalik ketenangannya itu, banyak kisah yang tersembunyi.....cerita-cerita mistik dari nenek moyang sehinggalah ke cerita-cerita misteri dari pengalaman penduduk-penduduk kampung.
Anak bujang saya.......jom kita tengok apa ada di tasik Chini!
Tasik Chini......begitu indah sekali ....nyaman dan tenang
Mereka yang ke sini adalah pencinta alam kerana tasik ini ibarat taman semulajadi yang paling baik untuk kita terokai. Apabila berada di sini kita seolah-olah disatukan dengan alam ciptaan Allah. Di sepanjang perjalanan bot kami di kiri kanan adalah hutan semulajadi. Rasa teruja sangat melihat tumbuhan-tumbuhan liar yang begitu dekat sekali dengan kita. Ada yang kami kenali tetapi kebanyakan tumbuhan tidaklah dikenali jenisnya.





Lotus atau teratai....antara tumbuhan yang dikenali
Ketika lawatan ini bukan musim berbunga



Bekas tinggalan rumah orang asli




Pengembaraan bot kami hanyalah sehingga kawasan  Lubang Ular ini.
Ada pakej  yang pergi sehingga  ke empangan
Lawatan ke Kg Cendahan
Selepas Lubang Ular kami dibawa melawat sebuah kampung orang asli iaitu Kampung Cendahan. Kampung ini dijadikan sebagai destinasi pelancong. Bagi tujuan itu penduduknya mengeluarkan beberapa produk hasil hutan untuk dijual terus kepada para pelancong yang datang melawat.


Jeti  menuju ke Kg Cendahan......dikelilingi kehijauan yang menyegarkan
Kata-kata aluan dari penduduk kampung
Suasana dalam kampung
Di sini juga disediakan aktiviti khusus untuk pelancong mencuba salah satu gaya hidup mereka, iaitu menyumpit, dengan sedikit bayaran.





Di antara produk yang dibuat dari hasil hutan seperti sumpit buluh, ubat tradisional dari akar kayu dan pemukul bantal dari akar rotan.




Sebelum pulang saya telah membeli sebatang pemukul rotan untuk dibawa balik sebagai ole-ole dan juga sebagai kenangan "semalam di Tasik Chini".



Jom kita pulang
 Dengan berakhirnya lawatan ke kampung ini, maka pengembaraan kami di Tasik chini ini juga sudah hampir ke penghujungnya. Dalam perjalanan pulang bot kami menyusur di pergigian air berhampiran dengan tempat penginapan kami. Kami sempat merakam beberapa pemandangan yang menarik dan indah bagaikan lukisan di kanvas.


Itu jeti ke tempat penginapan kami...Lake Chini Resort

Mengikut cerita penduduk asli di sni, di masa lampau air tasik ini sangat jernih dan mereka menjadikannya sebagai sumber minuman mereka. Kini tidak lagi, bahkan ada notis memberi amaran kepada pelawat agar tidak menyentuh air kerana ianya dicemari dan boleh membahayakan kesihatan. Di masa lalu juga dikatakan pemandangan di tasik jauh lebih cantik dari sekarang. Kerosakan ini semua disebabkan gara-gara pembalakan haram dan pembukaan ladang-ladang kelapa sawit.



   Akhir sekali, marilah kita sama-sama menjaga bumi kita dari kerosakan. Di mana sahaja kita tinggal, peliharalah alam sekitar agar kehidupan kita diberkahi Allah sebagai penciptanya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

    "Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)"       Ar-Rum:41

Berlakunya kerosakan di atas mukabumi disebabkan sikap manusia itu sendiri yang tamak haloba dan rakus terhadap sumber alam seperti pembalakan haram yang tidak dikawal.Kadang kala  Allah turunkan  bencana  kepada mereka akibat kerosakan yang dibuat sebagai peringatan, seperti tanah runtuh di bukit-bukit yang telah digondolkan mereka.