Dari 6-9 April lepas, saya dan suami serta seorang anak telah membuat satu perjalanan merentasi Banjaran Titiwangsa. Sebenarnya suami ada seminar di Cameron Highlands. Kebetulan saya ada seorang abang ipar yang tinggal di Pasir Mas Kelantan yang sedang sakit tenat. Jadi kami mengambil kesempatan ini menziarahinya di sana, kerana dari sini ke Pasir Mas hanya tinggal separuh perjalanan. Saya sangat bersyukur membuat perjalanan ini kerana abang ipar yang saya lawati itu kini telah meninggal dunia seminggu selepas kami ke sana. Alhamdulillah kami sempat bertemu buat kali terakhir dengannya di bilik icu, dalam keadaan yang sangat lemah. Semoga almarhum diterima di sisi Allah SWT, diterima semua amal baiknya dan diampuni segala dosanya .... ameen.
 |
Jalan pergi dan pulang .... Batu Pahat - Cameron - Pasir Mas - Bukit Fraser - KL |
Ketika perjalanan balik dari Pasir Mas kami sengaja mengambil jalan yang melalui Bukit Fraser - Kuala Lumpur kerana kami berhajat untuk menyinggah sebentar di Bukit Fraser. Kami belum pernah sampai ke sana. Kemudian dalam perjalanan pulang, kami singgah pula di Kota Damansara menziarahi anak dan cucu sebelum pulang terus ke Batu Pahat, Johor.
Banjaran Titiwangsa menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Banjaran ini menganjur dari selatan Thailand hingga ke Gunung Ledang di Johor. Ia sebenarnya menganjur dari Banjaran Himalaya dan puncak tertingginya ialah Gunung Korbu yang terletak di Perak. Banjaran ini menjadi legeh bagi sungai-sungai utama di Semenanjung Malaysia. Di sini juga terdapat tiga buah pusat peranginan iaitu Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser.
Bukit Fraser
Jika Cameron Highlands terkenal dengan ladang teh dan sayur-sayuran, Genting Highlands popular dengan jolokan kota keriangan, Bukit Fraser pula lebih dikenali sebagai "The Little England of Malaysia".
Bukit Fraser terletak dalam mukim Tras di Daerah Raub Pahang. Ia merupakan kawasan pelancongan pergunungan yang menarik kerana suhunya sejuk antara 17 ke 24 darjah celcius. Puncak tertinggi Bukit Fraser ialah 1,310 meter dari aras laut. Ia memiliki keistimewaan tersendiri dari segi kepelbagaian flora dan fauna di samping keunikan bangunan yang berkonsepkan senibina gaya Inggeris.
Bukit ini terletak kira-kira 100 kilometer dari bandaraya Kuala Lumpur. Bagi warga Lembah Klang yang ingin menikmati percutian di Bukit Fraser boleh melalui dua jalan iaitu dari Kuala Kubu Bharu, Selangor atau Raub, Pahang sebelum tiba di Gap yang menjadi pintu masuk ke puncak Bukit Fraser. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam setengah.
Kami pula datang dari pantai timur iaitu dari Pasir Mas Kelantan. Sebelum masuk daerah Raub kami singgah dahulu di Kuala Lipis untuk bermalam, kerana kami bertolak balik sudah petang, selepas menziarahi arwah abang ipar di hospital. Inilah pertama kali kami sampai di bandar ini. Keesokan paginya kami berjalan-jalan di bandar dan kawasan berdekatan yang mempunyai banyak bangunan bersejarah, sebelum meneruskan perjalanan ke Bukit Fraser.
Sejarah Kuala Lipis
Kuala Lipis terbina di pertemuan Sungai Jelai dan Sungai Lipis. Ramai pengkaji sejarah bersetuju mengatakan Lipis merupakan daerah pertama di Pahang dengan Kuala Lipis menjadi ibu negeri pertama antara tahun 1898 hingga 1955 sebelum pusat pentadbiran kerajaan negeri berpindah ke Kuantan hingga kini.
Sejajar dengan statusnya sebagai ibu negeri, Kuala Lipis juga merupakan tempat Kesultanan Pahang bersemayam sebelum berpindah ke Pekan selain menjadi ibu pejabat Residen British iaitu Sir Hugh Clifford ketika era penjajahan British.
Apa yang menarik, British memilih bandar Kuala Lipis sebagai lokasi permulaan bagi mengira perbatuan bagi negeri ini apabila sebuah batu yang bertanda '0' terdapat di tengah-tengah bandar ini. Batu itu juga masih boleh dilihat hingga kini.
Jom pusing-pusing bandar Kuala Lipis
 |
Jalan sehala naik dan turun ke puncak Bukit Fraser |
Menyelusuri jalan sejauh 8 kilometer menaiki Bukit Fraser ternyata begitu memenatkan berikutan keadaan laluan yang sempit di samping banyak selekoh berbahaya dan curam. Akhirnya tiba perasaan lega apabila kelihatan sebuah menara jam di jalan bulatan yang menjadi mercu tanda Bukit Fraser.
 |
Mercu tanda pekan Bukit Fraser |
 |
|
 |
|
Banyak bangunan dan banglo dibina mengikut cita rasa kolonial British. Dinding rumah dari batu konkrit besar yang disusun dan disimen. Warna dinding berwarna putih dengan diselang-seli warna hitam pada tiang jenang. Pagar rumah dibuat daripada pokok-pokok bunga.
 |
Cantik pekan kecil ini - dihiasi dengan taman-taman |
Meskipun kegiatan pelancongan tidak semeriah pusat peranginan tanah tinggi lain di Pahang, namun Bukit Fraser sering menjadi tumpuan pelancong khususnya pencinta alam dan pengkaji hidupan semula jadi. Semasa melalui jalan turun, kami ada ternampak sekumpulan pelancong (seperti dari Jepun) berjalan-jalan sambil membawa teropong besar. Mereka kelihatan seperti sekumpulan pemerhati burung.
Berada di pekan kecil Bukit Fraser sungguh menenangkan hati dan perasaan. Sebelum kami ke sini, kami telah pergi ke Cameron Highlands pada hari Jumaat dan Sabtu. Suasana di sana sangatlah berbeza dari sini. Kebetulan pula kami berada di sini pada hari Isnin, di mana pelancong tempatan tiada langsung. Saya terfikir .... alangkah indahnya kalau saya dapat berada lebih lama di sini dalam suasana senyaman ini. Mungkin selepas suami sudah pencen nanti boleh datang bersantai lagi ke sini untuk beberapa hari insya Allah.
Tujuan kami ke Bukit Fraser hanyalah untuk melihat-lihat sahaja. Kami tidak bercadang untuk berlama-lama di sini kerana perjalanan kami masih jauh lagi.
 |
Di bawah kelihatan jalan ke arah air terjun Sg Jeriau - ditutup pada hari itu untuk kerja-kerja pembaikan |
 |
Lagi satu tempat rekreasi yang terdapat di sini Antara aktivitinya ialah memancing, boat ride dan memberi makan ikan. |
 |
Taman Flora Bukit Fraser - di sebelah Allan's Water |
 |
Kalau ingin membeli pokok bunga dan strawberry bolehlah ke sini |
Taman ini ada juga menjual tanaman lain seperti kobis, keledek, kentang dan tomato. Kami juga tidak masuk di kedua-dua tempat ini Insya Allah lain kali jika ada rezeki.
Setelah puas berpusing-pusing kami pun meneruskan perjalanan ke Lembah Kelang mengikut jalan turun.
Related Posts:
Kembara Tanah Tinggi (2) - Genting Highlands
Kembara Tanah Tinggi (2) - Colmar Tropicale Bukit Tinggi