Monday, 30 June 2008

Ibu oh Ibu!


Dalam surah al-Israk: 23, Allah berfirman yang bermaksud,

" Dan Tuhanmu memerintahkan supaya jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu-bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya lanjut usia dalam pemeliharaanmu, janganlah kamu mengatakan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia."

Nabi pula pernah ditanya oleh seorang pemuda.

" Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling perlu untuk saya berbuat baik? ”.
Rasulullah bersabda, " Ibumu "
Kata pemuda itu, " Lagi? "
Jawab baginda, " Selepas itu, ibumu "
" Selepas itu? " tanya pemuda itu lagi.
" Ibumu ", kata Nabi.
Pemuda itu bertanya lagi, " Selepas itu? "
" Bapamu ” , balas Rasulullah.
(HR Bukhari dan Muslim)

Hanya selepas Nabi menjawab 3 kali ibumu, barulah disebut bapamu. Ini menujukkan menghormati ibu itu adalah wajib selagi mana dia tidak menyalahi perintah Allah.

Ibu sendiri-Ibu mertua, Ibu tiri-Ibu angkat

Antara empat di atas manakah ibu yang paling baik? Kalau ditanya pada anak-anak yang normal sudah pasti jawapannya ibu sendiri. Namun pada hakikatnya jawapan yang standard ini tidaklah sentiasa benar. Dalam keadaan yang tertentu mana-mana ibu di atas boleh menjadi ibu yang paling baik.

Ada seorang kawan saya menceritakan mengenai ibunya yang membuat dia berada dalam keadaan serba salah. Dia tersepit di antara ibunya yang tidak berpuas hati dengannya dan suami yang tidak suka dengan sikap ibunya. Ibunya merasakan tidak cukup bantuan kewangan bulanan yang disumbangkan oleh mereka berdua walaupun kawan saya itu nampak apa yang mereka beri itu cukup bagi tujuan memenuhi perkara asas dalam kehidupan. Mereka tidak mampu untuk memberi lebih kerana mereka juga kena menyumbang kepada kaluarga suaminya. Dia memuji Ibu mertuanya yang sangat prihatin dengan keadaan mereka. Sebelum ibu mertuanya menerima sebarang sumbangan daripada mereka dia akan bertanya samada mereka sekeluarga mempunyai belanja yang mencukupi.

Apa yang dipersoalkan oleh suaminya ialah sikap ibunya yang suka menceritakan keburukan mereka berdua yang seolah-olah mengabaikan tanggung-jawab mereka, kepada sanak saudara yang datang menziarahinya. Lebih menyedihkan lagi ibunya cuba membandingkan dirinya dengan kakaknya, yang lebih bermewah dengan ibunya. Ini kerana kakaknya mempunyai suami yang lebih lumayan pendapatannya dan berasal dari keluarga yang kaya. Keadaannya bak kata pepatah, marah anak sindir menantu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu"
(Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim)

Anak-anak adalah amanah dari Allah yang diberi kepada ibu-bapa untuk dijaga, dipelihara serta dididik dengan membimbing mereka ke arah kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Bimbingan ini seharusnya berterusan walaupun selepas mereka berumahtangga.

Ibu-bapa dituntut agar berlaku adil terhadap anak-anak kerana sikap membeza-bezakan anak boleh menjadi faktor yang merosakkan jiwa dan peribadi mereka. Keadaan ini boleh menimbulkan perasaan hasad dengki di kalangan anak-anak yang seterusnya menyebabkan mereka saling bergaduh serta hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.

Sewajarnya ibu-bapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, bijak atau bodoh, cantik atau tidak, sempurna atau cacat, kaya atau miskin, kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata. Hubungan antara ibu-bapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab. Bukan hubungan kasih sayang semata-mata yang mana banyak mendorong  ibu-bapa bersikap tidak adil terhadap anak-anak.

Sesungguhnya ibu-bapa yang adil akan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang disebut Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud:
Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak per" empuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga."
(Hadis diriwayat Abu Daud & Hakim)

Doa seorang ibu juga adalah penting bagi anak-anak untuk mencapai kehidupan yang sejahtera dunia dan akhirat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Doa orang tua untuk anaknya bagaikan doa nabi untuk umatnya."
(Hadis riwayat ad-Dailami)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:
 “Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi; doa orang yang sedang musafir dan doa orang tua ke atas anaknya.”
(Hadis hasan al-Tirmizi)

 Berdasarkan hadis ini, beruntunglah mereka yang ibu bapanya mendoakan kebaikan kepadanya. Rugilah mereka yang menyebabkan ibu-bapa murka sehingga mendoakan sesuatu yang buruk.

Doakanlah kesemua anak-anak kita. Kalau ada 10 orang anak, doakan untuk kesemuanya. Walaupun perangai anak-anak ada yang baik dan ada yang buruk, janganlah lupa mendoakan mereka. 

Sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak kita. Jika marahkan anak-anak, berhati-hati dengan ayat yang keluar dari mulut kita. Apa yang kita katakan adalah doa. Jangan tersalah doa...kasihanilah anak-anak.

No comments:

Post a Comment