Selama 18 tahun saya tinggal dengan orang tua ......sekali pun tidak pernah berpisah. Seingat saya dari kecil lagi saya telah membantu emak dengan kerja-kerja rumah. Ibu saya seorang yang garang terhadap anak-anaknya. Oleh kerana itulah saya jaranng membantah sebarang suruhannya. Oleh kerana itu jugalah saya tidak kekok dengan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh dan mengemas apabila sudah berumah-tangga. Saya sangat bersyukur di atas tunjuk ajar emak yg banyak membantu dalam kehidupan sehingga kini walaupun semasa kecil saya melihatnya sebagai satu deraan.
Saya berpisah dengan ibu ketika menyambung pelajaran di UK. Itulah pertama kali berpisah dengan jarak yang begitu jauh sekali. Saya hanya akan pulang waktu cuti panjang setahun sekali. Jadi setiap kali saya berpeluang bersama emak saya semasa cuti, saya akan membantunya membuat sebanyak mungkin kerja rumah yang lazim dibuatnya setiap hari. Ada ketikanya saya juga berasa tak sihat seperti yang dirasai oleh anak saya. Namun disebabkan rasa kasihan pada emak yang tidak pernah ”cuti” daripada kerja-kerja rumah, saya terus juga membantu apa yang terdaya. Tidak sampai hati rasanya membiarkan dia bekerja seorang diri sedang saya duduk berihat.
Kini emak dan bapa saya sudah lama meninggal dunia. Kadang-kadang apabila melihat kawan-kawan yang masih mempunyai ibu-bapa , terasa rindu juga kepada mereka. Kalaulah mereka masih hidup dapatlah saya berjasa lebih lama lagi kepada mereka. Kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu-bapa, cubalah balas jasa mereka sebaik mungkin. Ketika mereka masih hidup kita terlupa bahawa mereka akan meninggalkan kita suatu hari nanti. Apabila mereka sudah tiada barulah terasa rugi kita tidak berpeluang berbakti kepada mereka lagi. Oleh kerana itu rebutlah peluang keemasan ini sementara boleh. Jadilah anak yang soleh dan solehah. Berdoalah untuk kebaikan mereka ketika masih hidup dan juga selepas kematian mereka.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)
Apakah lagi yang boleh seorang anak lakukan selain berdoa untuk ibu-bapa yang sudah meninggal? Banyak. Carilah amalan-amalan yang boleh menambah pahala mereka dan jauhilah perkara-perkara maksiat supaya mereka tidak terseksa di alam kubur .Anak yang soleh akan selalu berbuat kebaikan di dunia. Menurut keterangan hadis ini, kebaikan yang diperbuat oleh anak soleh pahalanya sampai kepada orang tua yang mendidiknya yang telah meninggal dunia tanpa mengurangkan nilai atau pahala yang diterima oleh anak-anak tadi. Doa anak yang soleh kepada orang tuanya mustajab di sisi Allah SWT.
Kita boleh bersedekah bagi pihak mereka seperti yang diberitahu oleh Rasulullah saw yang bermaksud:
Dari Aisyah r.a. (menceritakan),
"Bahawa ada seorang lelaki menemui Nabi .s.a.w. dan menanyakan : "Ya Rasulullah! Sesungguhnya ibu saya meninggal dengan tiba-tiba dan dia tiada berwasiat. Saya menduga kalau dia boleh berbicara tentu dia akan bersedekah. Apakah dia akan memperoleh pahala, kalau saya menggantikannya?" Nabi menjawab : "Ya (memperolehi pahala)".
Hadis sahih riwayat Muslim
Kita boleh membayar balik hutang mereka yang belum sempat dibayar, berpuasa utk menggantikan puasa mereka yang tertinggal dan juga buat haji bagi ibu-bapa yang tidak berkemampuan semasa hidupnya.
Namun bagi mereka yang masih mempunyai ibu atau bapa, layanilah mereka dengan sebaik mungkin. Beringatlah selalu sebelum kita kehilangan mereka buat selama-lamanya;
Apakah kita sudah pernah berjasa padanya?
Apakah kita sudah membalas jasa-jasa mereka?
Apakah kita pernah menggembirakan mereka?
Apakah kita sudah meminta maaf pada mereka?
Atau Kita hanya mengecewakan mereka pada setiap masa?
Dalam masyarakat hari ini kita sering terdengar kisah ibu-bapa yang sudah lanjut usia mereka ditinggalkan oleh anak-anaknya hidup bersendirian dalam keadaan yang uzur.
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu”
(Luqman, 31: 14)
Sanggup kah kita perlakukan ibubapa kita sebegitu rupa? Ibu yang telah mengandungkan kita dengan keadaan lemah dan menyusukan selama 2 tahun. Tegarkah kita? Fikir kembali. Sabda Nabi saw yang bermaksud:
“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud :“Keredhaan Allah s.w.t terletak pada redha kedua ibubapa”
(Riwayat Muslim)
Ingatlah tanpa mereka, kita tidak akan hadir di muka bumi Allah ini.
No comments:
Post a Comment