Kami bertolak dari Shanghai ke Nanjing dengan menaiki keretapi pada petang 9 May 2019. Nanjing terletak lebih kurang 300 km di barat laut dari Shanghai dan 1,200km di tenggara dari Beijing. Ia merupakan salah satu kota yang terawal dibangun di China. Kini Nanjing menjadi ibukota wilayah Jiangsu bahagian China Timur. Ia juga menjadi pusat pendidikan. penyelidikan, pengangkutan dan pelancongan yang utama di China.
Nanjing, tempat yang sarat dengan budaya serta sejarah ini telah banyak dinukilkan dalam tulisan-tulisan sejarah China dan juga dunia. Ini kerana Ibu kota Nanjing ini telah dijadikan pusat pemerintahan kepada banyak Dinasti di China semenjak abad ke-3 lagi. Ia juga telah menjadi saksi kepada banyak sejarah peradaban manusia sejak beribu tahun serta telah banyak menyaksikan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah China.
Salah satu peristiwa besar yang berlaku di sini ialah
Pembunuhan Beramai-ramai Nanjing yang juga dikenali sebagai "The Rape of Nanking". Ia merupakan satu perisitwa jenayah perang berbentuk genosid yang dilakukan oleh tentera Jepun di Nanjing yang ketika itu ibu negara Republik China, setelah kecundang di tangan Tentera Diraja Jepun pada 13 Disember 1937. Tempoh pembunuhan beramai-ramai ini tidak begitu jelas, namun keganasan berkekalan selama 6 minggu, sehingga awal Februari 1938
Ketika pendudukan Nanjing, tentera Jepun telah melakukan banyak kezaliman, seperti merogol, menjarah, membakar dengan sengaja dan menghukum mati tahanan perang dan orang awam. Tiada kepastian berapa jumlah sebenar rakyat China yang menjadi mangsa kekejaman ini. Sebilangan penyelidik Jepun mengira antara 100,000 – 200,000 sebagai anggaran. Negara-negara lain pula percaya bilangan korban adalah antara 150,000 – 300,000. Selain bilangan mangsa, beberapa pengkritik dari Jepun juga meragui kewujudan kezaliman itu pun.
|
Nanjing .... petang 11 May 2019 |
Perjalanan ke Nanjing hanya mengambil masa lebih kurang sejam dengan keretapi laju. China mempunyai rangkaian keretapi yang sangat baik. Ada beratus pasang keretapi yang berulang-alik ke Shanghai-Nanjing-Shanghai. Jadi kalau terlepas keretapi boleh dapatkan tiket ganti di kaunter tiket untuk naik keretapi yang kemudian ( mengikut maklumat dari internet) Namun kami menempah tiket awal kerana takut kehabisan tiket pada hari dan masa yang kami hendak. Alhamdulillah kami sempat menaiki keretapi yang dijadualkan walaupun hampir-hampir terlepas. Perlu diingat agar datang ke stesen 1.5 jam sebelum waktu bertolak kerana stesen ini sangat luas dan ia memerlukan masa untuk melepasi pemeriksaan keselamatan dan mencari laluan keretapi.
|
Alhamdulillah .... dapat tempat duduk yang selesa
... dari Shanghai ke Nanjing selatan |
|
Tiket keretapi laju, kelas kedua yang berharga CNY 139.5, masa bertolak ke Nanjingnan (Nanjing selatan) dan nama kita sekali dicetak |
|
Dalam keretapi laju kelas kedua .... dari Nanjing ke Shanghai |
Semasa berada dalam keretapi saya lihat ada di antara penumpang yang berdiri. Kemungkinan yang berdiri itu memang membeli tiket tanpa tempat duduk atau ada yang membawa anak tanpa tiket. Ini semua dibenarkan dalam kelas kedua ini. Inilah pilihan pengangkutan yang terbaik di China untuk perjalanan dari bandar ke bandar .... cepat dan murah jika dibandingkan dengan bas atau kapalterbang.
|
Sekali lagi berada di Shanghai Railway Station .... 6.30 pm 12 May 2019 |
Kami berada di Nanjing dari 9 -12 May 2019. Suami dijemput sebagai 'keynote speaker' dalam seminar yang diadakan di sini dan kami diberikan tempat tinggal di Hotel Holiday Inn, alhamdulillah ... sangat selesa. Jadinya, lawatan ini juga termasuk dalam siri-siri 'lawatan sambil berkerja' kami. Biasanya dalam lawatan seperti ini kami akan melawat tempat-tempat menarik di sebelah petang selepas suami selesai menghadiri seminar di sebelah pagi.
|
Holiday Inn Nanjing Qinhuai South |
Hotel ini agak jauh dari pusat bandar Nanjing, Kalau naik kereta perjalanannya lebih kurang setengah jam ke sana, tetapi selalunya kami naik metro sahaja. Tidak pasti berapa lama kalau naik metro. Mungkin dalam 20 minit.
Pada petang 10 May kami pergi ke sebuah tempat yang dikenali sebagai Fuzimiao. Ia kota lama yang indah dengan seni bina yang unik. Di sini terletaknya Kuil Konfusius yang telah dibina sebagai pusat pembelajaran aliran Konfusius pada waktu itu. Ia dikenali sebagai Fuzimiao dalam bahasa China. Maka kawasan yang berhampiran dengannya juga dikenali sebagai Fuzimiao.
Kuil yang asal dibina pada tahun 1034 tetapi setelah melalui proses pemulihan beberapa kali, kini ia menjadi sebuah kompleks dengan gaya senibina Dinasti Ming dan Qing, yang menempatkan kuil Konfusius, 'Imperial Examination Museum of China' dan Xue Gong (the Imperial Academy). Pada tahun 1980-an, sebuah muzium telah dibina di tempat asal Dewan Peperiksaan Jiangnan untuk memperingati sejarah budaya peperiksaan kekaisaran di China yang telah menjangkau lebih dari 1.300 tahun.
|
Ini bentuk tiket untuk metro Nanjing |
|
Terpikat dengan gambar di dinding subway .... .... tidak pasti ia membawa mesej apa |
|
Pintu gerbang ke kawasan kompleks Fuzimiao |
|
Bahagian "new town" berjiran dengan Fuzimiao |
|
Tourist supermarket .... cari cenderamata |
Terdapat begitu banyak sekali kedai menjual barang-barang China di sini. Kita boleh membeli belah dan mencari cenderamata untuk dibawa pulang dengan harga yang murah. Kedai makanan juga tidak kurang banyaknya, Kami ada ternampak sebuah kedai menjual buah durian ketika dalam perjalanan ke bahagian "old town" dengan menaiki "mini bas".
|
Naik mini bas untuk ke "old town" |
|
Ini pula bahagian "old town" atau Fuzimiao |
|
Gaya senibina Dinasti Ming dan Qing |
|
Jalan Gongyuan .... wujud sejak dinasti Ming lagi ... di sinilah letaknya kuil Konfusius atau Fuzimiao |
|
Kawasan lapang di luar dinding kota dijadikan tempat beraktiviti untuk masyarakat |
Dari sini kami kembali semula ke kawasan bandar dengan menaiki teksi. Alhamdulillah petang itu kami sempat melawat sebuah masjid di sini. Insya Allah kita jumpa di sana pula.
No comments:
Post a Comment