Showing posts with label Shanghai. keretapi. Show all posts
Showing posts with label Shanghai. keretapi. Show all posts

Thursday, 23 July 2020

Jalan-jalan di China - Fuzimiao Nanjing

Kami bertolak dari Shanghai ke Nanjing dengan menaiki keretapi pada petang 9 May 2019. Nanjing terletak lebih kurang 300 km di barat laut dari Shanghai dan 1,200km di tenggara dari Beijing. Ia merupakan salah satu kota yang terawal dibangun di China. Kini Nanjing menjadi ibukota wilayah Jiangsu bahagian China Timur. Ia juga menjadi pusat pendidikan. penyelidikan, pengangkutan dan pelancongan yang utama di China.
Nanjing, tempat yang sarat dengan budaya serta sejarah ini telah banyak dinukilkan dalam tulisan-tulisan sejarah China dan juga dunia. Ini kerana Ibu kota Nanjing ini telah dijadikan pusat pemerintahan kepada banyak Dinasti di China semenjak abad ke-3 lagi. Ia juga telah menjadi saksi kepada banyak sejarah peradaban manusia sejak beribu tahun serta telah banyak menyaksikan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah China.

Salah satu peristiwa besar yang berlaku di sini ialah Pembunuhan Beramai-ramai Nanjing yang juga dikenali sebagai "The Rape of Nanking". Ia merupakan satu perisitwa jenayah perang berbentuk genosid yang dilakukan oleh tentera Jepun di Nanjing yang ketika itu ibu negara Republik China, setelah kecundang di tangan Tentera Diraja Jepun pada 13 Disember 1937. Tempoh pembunuhan beramai-ramai ini tidak begitu jelas, namun keganasan berkekalan selama 6 minggu, sehingga awal Februari 1938

Ketika pendudukan Nanjing, tentera Jepun telah melakukan banyak kezaliman, seperti merogol, menjarah, membakar dengan sengaja dan menghukum  mati tahanan perang dan orang awam. Tiada kepastian berapa jumlah sebenar rakyat China yang menjadi mangsa kekejaman ini. Sebilangan penyelidik Jepun mengira antara 100,000 – 200,000 sebagai anggaran. Negara-negara lain pula percaya bilangan korban adalah antara 150,000 – 300,000. Selain bilangan mangsa, beberapa pengkritik dari Jepun juga meragui kewujudan kezaliman itu pun.
Nanjing .... petang 11 May 2019
Perjalanan ke Nanjing hanya mengambil masa lebih kurang sejam dengan keretapi laju. China mempunyai rangkaian keretapi yang sangat baik. Ada beratus pasang keretapi yang berulang-alik ke Shanghai-Nanjing-Shanghai. Jadi kalau terlepas keretapi boleh dapatkan tiket ganti di kaunter tiket untuk naik keretapi yang kemudian ( mengikut maklumat dari internet) Namun kami menempah tiket awal kerana takut kehabisan tiket pada hari dan masa yang kami hendak. Alhamdulillah kami sempat menaiki keretapi yang dijadualkan walaupun hampir-hampir terlepas. Perlu diingat agar datang ke stesen 1.5 jam sebelum waktu bertolak kerana stesen ini sangat luas dan ia memerlukan masa untuk melepasi pemeriksaan keselamatan dan mencari  laluan keretapi.
Alhamdulillah .... dapat tempat duduk yang selesa
... dari Shanghai ke Nanjing selatan
Tiket keretapi laju, kelas kedua yang berharga CNY 139.5,
masa bertolak ke Nanjingnan (Nanjing selatan)
dan nama kita sekali dicetak
Dalam keretapi laju kelas kedua .... dari Nanjing ke Shanghai
  Semasa berada dalam keretapi saya lihat ada di antara penumpang yang berdiri. Kemungkinan yang berdiri itu memang membeli tiket tanpa tempat duduk atau ada yang membawa anak tanpa tiket. Ini semua dibenarkan dalam kelas kedua ini. Inilah pilihan pengangkutan yang terbaik di China untuk perjalanan dari bandar ke bandar .... cepat dan murah jika dibandingkan dengan bas atau kapalterbang.
Sekali lagi berada di Shanghai Railway Station .... 6.30 pm 12 May 2019
Kami berada di Nanjing dari 9 -12 May 2019. Suami dijemput sebagai 'keynote speaker' dalam seminar yang diadakan di sini dan kami diberikan tempat tinggal di Hotel Holiday Inn, alhamdulillah ... sangat selesa. Jadinya, lawatan ini juga termasuk dalam siri-siri 'lawatan sambil berkerja' kami. Biasanya dalam lawatan seperti ini kami akan melawat tempat-tempat menarik di sebelah petang selepas suami selesai menghadiri seminar di sebelah pagi.
 Holiday Inn Nanjing Qinhuai South
Hotel ini agak jauh dari pusat bandar Nanjing, Kalau naik kereta perjalanannya lebih kurang setengah jam ke sana, tetapi selalunya kami naik metro sahaja. Tidak pasti berapa lama kalau naik metro. Mungkin dalam 20 minit.

Pada petang 10 May kami pergi ke sebuah tempat yang dikenali sebagai Fuzimiao. Ia kota lama yang indah dengan seni bina yang unik. Di sini terletaknya Kuil Konfusius yang telah dibina sebagai pusat pembelajaran aliran Konfusius pada waktu itu. Ia dikenali sebagai Fuzimiao dalam bahasa China. Maka kawasan yang berhampiran dengannya juga dikenali sebagai Fuzimiao.

Kuil yang asal dibina pada tahun 1034 tetapi setelah melalui proses pemulihan beberapa kali, kini ia menjadi sebuah kompleks dengan gaya senibina Dinasti Ming dan Qing, yang menempatkan kuil Konfusius, 'Imperial Examination Museum of China' dan Xue Gong (the Imperial Academy). Pada tahun 1980-an, sebuah muzium telah dibina di tempat asal Dewan Peperiksaan Jiangnan untuk memperingati sejarah budaya peperiksaan kekaisaran di China yang telah menjangkau lebih dari 1.300 tahun.
Ini bentuk tiket untuk metro Nanjing
Terpikat dengan gambar di dinding subway ....
.... tidak pasti ia membawa mesej apa
Pintu gerbang ke kawasan kompleks Fuzimiao
Bahagian "new town" berjiran dengan Fuzimiao
Tourist supermarket .... cari cenderamata
Terdapat begitu banyak sekali kedai menjual barang-barang China di sini. Kita boleh membeli belah dan mencari cenderamata untuk dibawa pulang dengan harga yang murah. Kedai makanan juga tidak kurang banyaknya, Kami ada ternampak sebuah kedai menjual buah durian ketika dalam perjalanan ke bahagian "old town" dengan menaiki "mini bas".
Naik mini bas untuk ke "old town"
Ini pula bahagian "old town" atau Fuzimiao

Gaya senibina Dinasti Ming dan Qing
Jalan Gongyuan .... wujud sejak dinasti Ming lagi
... di sinilah letaknya kuil Konfusius atau Fuzimiao
Kawasan berhampiran kuil Konfusius (Fuzimiao)
Bersiar di Sungai Nanjing
Selain itu, antara aktiviti menarik yang kita boleh lakukan di sini ialah menaiki bot sepanjang sungai Qinhuai. Sungai ini merupakan cabang dari sungai besar Yangtze. Panjangnya 110 kilometer (sekitar 68 batu).  Pada awalnya ia disebut sebagai Sungai Huai, dan dikatakan bahawa  pada masa pemerintahan Maharaja Qin Shi Huang, sungai itu telah disalurkan ke kota Nanjing. Sejak dari zaman itu ia dikenali sebagai Sungai Qinhuai. Ia adalah sungai terbesar di kawasan bandar Nanjing dan merupakan 'nadi kehidupan' kota ini.
Sungai Qinhuai mengalir di hadapan kuil Konfusius
Kapal pesiar boleh didapati di Dermaga Panchi berhadapan kuil Konfusius. Kapal pelayaran mewah adalah untuk pelancong berkumpulan; kapal pelayaran biasa adalah untuk pelancong individu yang berharga CNY60 setiap orang pada waktu siang dan CNY80 pada waktu malam. Keseluruhan perjalanan mengambil masa lebih kurang 50 minit. Aktiviti ini beroperasi dari jam 9 pagi hingga 10 malam. Tempat ini dikatakan lebih cantik di waktu malam berbanding siangnya kerana lampu-lampu yang dipasang sepanjang laluan.
Tiket kapal .... gambar suasana di waktu malam
Ini kapal yang kami naik
Jom masuk dalam kapal
Suasana dalam kapal




Antara pemandangan yang terdapat
di sepanjang laluan di Sungai Qinhuai
Salah satu tempat yang dilalui kapal ini ialah Zhonghua City Gate. Kami turun di sini untuk bersiar-siar di tempat ini dan meneruskan 'penerokaan' kami pada petang itu dari sini. Ramai pelancong yang mengikuti ejen turun di sini dan terus dibawa melawat dan masuk ke dalam pintu gerbang tembok kota lama Nanjing ini. Namun kami hanya melihatnya dari luar kerana kesuntukan masa dan juga kerana  kurang upaya😀
Pelayaran kami berakhir di sini ... ke Zhonghua City Gate
Zhonghua City Gate ... petang 10 May 2019
Ramai pelancong beratur untuk masuk
Pintu Gerbang Zhonghua adalah pintu masuk sebelah selatan Tembok Kota Nanjing, dan ia merupakan gerbang kota gaya istana terbesar yang ada di China. Meliputi kawasan seluas 15.168 meter persegi, Zhonghua City Gate dibina di zaman Dinasti Ming dari tahun 1369 hingga 1375 dengan panjang 128 meter, lebar 118.5 meter, dan ketinggian 20.45 meter.

Gerbang ini, yang awalnya dipanggil Jubao City Gate (Gathering Treasure City Gate), adalah gerbang terbesar dan paling menionjol di antara 13 gerbang yang terdapat di Tembok Kota Nanjing. Ia adalah kawasan bersejarah yang dilindungi di wilayah ini. Struktur yang rumit dan reka bentuk yang bijak menjadikan tembok kota pertahanan ini berkedudukan penting dalam sejarah istana dunia

Maklumat mengenai pitu gerbang ini
Pengenalan ringkas kepada Tembok Kota Nanjing
dan kedudukan pintu gerbang Zhonghua di selatan
Gerbang Zhonghua .... pemandangan dari luar
Kelihatan orang menaiki tangga di tepi dinding gerbang
yang tinggi ini dari luar
Gambar gerbang diambil dari atas .... rekaan unik gaya istana
Kawasan lapang di luar dinding kota
dijadikan tempat beraktiviti untuk masyarakat
Dari sini kami kembali semula ke kawasan bandar dengan menaiki teksi. Alhamdulillah petang itu kami sempat melawat sebuah masjid di sini. Insya Allah kita jumpa di sana pula.



Monday, 8 June 2020

Jalan-jalan di China - Shanghai

Kami belum pernah sampai ke negara China sebelum tahun 2019. Namun tahun ini (2019) mencatat sejarah bagi kami kerana dapat pergi  ke China 2 kali dalam masa 3 bulan. Perjalanan ke Shanghai-Nanjing ini dibuat pada 7 May 2019 dan merupakan lawatan pertama kami ke negara China. Kedua-dua lawatan kami ke China adalah atas urusan kerja suami, maka ia termasuklah dalam siri  perjalanan 'lawatan sambil bekerja' yang  banyak kami buat sebelum ini.
Lawatan pertama kami ini agak unik kerana ia dibuat dalam bulan Ramadhan. Kami meneruskan puasa seperti biasa walaupun berada dalam keadaan bermusafir. Lebih baik kami berpuasa kerana tidaklah mudah mencari makanan halal di sini. Kami banyak makan dari bekalan yang kami bawa dari Malaysia. Penerbangan dari Malaysia pada pukul 11 malam dan tiba di Pudong International Airport, Shanghai pukul 4.50 pagi.
Berbuka bersama anak dan cucu-cucu di airport sebelum flight
Dari airport kami naik 'maglev train' (maglev dari magnetic levitation)  ke stesen Jalan Longyang. Ini adalah keretapi laju China yang berteknologi German. Kami sangat kagum dengan kelajuannya dan sangat teruja dengan pengalaman pertama menaikinya. Keretapi meglev Shanghai ini dikatakan keretapi yang pertama dan satu-satunya di dunia yang beroperasi secara komersial. Untuk perjalanan sejauh 30km ia hanya mengambil masa selama 8 min. Ia boleh mencapai kelajuan setinggi 431km sejam, dan ini menjadikan ia keretapi komersial yang terpantas di dunia.
Dari airport ... boleh naik metro atau meglev
Kami pilih untuk naik maglev
Di stesen Maglev ..... bersama model maglev train

Landasan maglev di pagi hari (lebih kurang 7 am)
Dalam keretapi .... kelajuan maksimum hari itu
mencapai 301 km sejam ... 7.24 am - 8 May 2019 
Bergambar kenangan bersama maglev train yang sebenar
Akhirnya sampai di sini selepas (7-8) min perjalanan
Tak sempat nak panas tempat duduk😃
Dari sini kami naik teksi ke Home Inn Hotel Shanghai The Bund. Baru jejak kaki ke sini sudah kena tipu dengan pemandu teksi ini😈Pemandunya muda lagi dan boleh berbahasa Inggeris sikit-sikit, jadi mudahlah hendak berurusan. Ingatkan teksi guna meter taklah kena tipu. Perjalanan yang tidak sampai 10 km dia kenakan tambang sebanyak CNY 380 (RM 230). Bila ditanya kenapa mahal sangat, dia kata kena bayar tol di Nanpu Bridge. Kalau tambang ini dari airport (42 km), logik jugalah. Nak cakap banyak di sini susah kerana mereka hanya faham bahasa China sahaja.

Selepas pengalaman ini kami sangat berhati-hati apabila naik teksi. Alhamdulillah ... tiada lagi kes seperti itu berulang. Masalah komunkasi sangat-sangat terasa apabila berjalan-jalan ke China terutama bagi yang pertama kali datang seperti kami. Rata-rata mereka tidak tahu bahasa lain, selain bahasa China. Apabila berurusan dengan mereka sangatlah susah. Ketika hendak cek-in di hotel kami menghadapi masalah kerana nama tiada dalam buku daftar. Mungkin ini disebabkan kami menempah hotel secara online, tetapi hendak bercerita dengan pekerja yang bertugas amatlah siksa. Nasib baiklah saya ada memuaturun aplikasi Google Translate semasa di Malaysia ... dan mereka faham😀😌Syukur alhamdulillah, akhirnya kami dibenarkan terus masuk bilik walaupun masih di pagi hari. Satu pengalaman yang sangat berharga.

Selepas solat zohor dan asar kami keluar berjalan-jalan di Shanghai. Tempat yang pertama kami pergi ialah Zhujiajiao Water Town yang terletak di daerah Qingpu, lebih kurang sejam dari pusat bandar Shanghai. Water town di China ini diibaratkan seperti bandar Venice di Italy. Terdapat banyak jambatan-jambatan lama yang dipelihara dengan baik dan terdapat juga bot-bot yang boleh dinaiki untuk bersiar. Ia juga dikenali sebagai "The Venice from The East".

Zhujiajiao bermaksud 'Zhu Family Settlement' dan pekan ini berumur lebih dari 1,700 tahun dengan keluasan 47 km persegi. Ia merupakan pekan air yang paling sibuk, terutama di hujung minggu. Terdapat sebanyak 10 buah pekan air seperti ini berhampiran dengan bandar Shanghai. Zhujiajiao merupakan yang kedua terdekat dengan Shanghai. Ia juga dikenali dengan nama lain yang bermaksud 'Pearl Stream'

Kami ke sana dengan menaiki metro. Ini adalah mod kenderaan yang paling mudah dan murah di China tetapi memerlukan tenaga yang banyak. Kita perlu pergi ke stesen metro untuk menaikinya. Sebenarnya ini bukanlah pilihan terbaik bagi kami, kerana saya berjalan bertongkat ketika ini. Kami tidak ada pilihan lain kerana kita tidak perlu bercakap dan bertanya untuk ke mana-mana jika naik metro. Tiket semua dibeli melalui mesin dan setengahnya ada arahan dalam bahasa Inggeris. Namun sebelum membeli tiket perlu mengkaji laluan yang akan diambil ke tempat yang dituju supaya tidak terkial-kial semasa membelinya.
Contoh tiket naik metro
Peta Metro
Kalau dari tempat kami tinggal, kami perlu mengambil Line 2 (hijau) dan Line 17 (ungu) untuk pergi ke Zhujiajiao, dan perlu menukar keretapi di Hongqiao Ralway Station. Semasa pergi kami membeli 2 tiket yang berasingan tetapi waktu balik beli terus 1 tiket sahaja, dan ini lebih menjimatkan. Tambang sebenar hanya CNY 8 tetapi bila beli di setiap stesen jumlahnya jadi CNY 11.

Stesen metro di China sentiasa penuh sesak dengan manusia seperti semut. Kebanyakan masa kami naik keretapi ini memang jarang dapat tempat duduk dan penumpang China pun tidak ramai yang 'civic minded'. Walaupun dia nampak kita bertongkat, dia 'buat dek je'😒 walaupun tertera di dinding tempat duduk arahan meminta utamakan ibu mengandung, orang tua dan kanak-kanak. Ini antara kekurangan apabila menaiki metro, perlu berebut tempat duduk. Di sini keretapi dianggap sebagai pengangkutan bagi orang miskin.
Suasana dalam keretapi
Dari stesen Zhujiajiao kita terpaksa berjalan lagi sejauh 1.5 km sebelum sampai ke pekannya. Kami berjalan sebentar sebelum terjumpa tempat orang menunggu bas, beca dan lain-lain untuk ke pekan ini. Kami menaiki beca kayuh dengan bayaran CNY 30 untuk 2 orang. Baliknya kami ambil teksi ke stesen metro dan tambangnya hanya CNY 14.
Pemandangan  dari atas salah satu jambatan yang banyak
terdapat di pekan air ini .... ada 36 buah semuanya
Kebanyakan pelancong yang mempunyai masa yang terhad (seperti kami) datang ke sini hanya untuk berjalan-jalan melihat bangunan lama dan jambatan lama sambil bergambar. Kami juga menaiki bot menyusuri terusan menggunakan laluan yang terpendek untuk menjimatkam masa kerana ketika itu waktu sudah petang. Oleh kerana kami berdua sahaja yang naik pada petang itu, terpaksalah bayar untuk 1 bot sebanyak CNY 80. Biasanya bot ini boleh membawa seramai 6 orang penumpang.
Tiket bot .... CNY 80
Melihat pekan air dari atas bot
Jambatan yang dilalui dan bot yang digunakan
Peta pekan air yang menunjukkan laluan bot
... bot kami lalu di terusan utama sahaja.
Setelah berada lebih kurang sejam di sini kami pun keluar mencari teksi ke stesen metro. Alhamdulillah tidak lama menunggu, ada yang sudi berhenti mengambil kami. Kadang-kadang agak susah juga mencari teksi di China jikalau tidak kena  tempat yang ditunggu. Dalam perjalanan pulang ke Shanghai kami telah berbuka di dalam keretapi dengan bekalan yang dibawa dari Malaysia. Alhamdulillah tidak penat berpuasa di sini kerana cuacanya yang sejuk.

Setibanya di pusat bandar Shanghai kami berjalan-jalan sebentar di kedai-kedai berhampiran. Sebelum pulang ke hotel kami putuskan untuk pergi ke 'The Bund' untuk melihatnya di waktu malam. Kali ini kami telah menaiki beca bermotor juga dengan tambang sebanyak CNY 30 tetapi setelah tawar-menawar dari CNY 50. Dikatakan The Bund ini sangat cantik waktu malam bercahaya bergemerlapan dengan lampu bewarna-warni.

The Bund adalah lokasi tepian air yang terkenal di Shanghai dan terletak di tebing barat Sungai Huangpu. Pada tebing di daerah Pudong, terletak bangunan pencakar langit moden yang menjadi mercu tanda Shanghai termasuk Menara Oriental Pearl, Shanghai World Financial Center, Menara Jin Mao dan Menara Shanghai. Semua bangunan yang disenaraikan itu menjadi tarikan pelancong dan rakyat tempatan untuk dijadikan latar belakang apabila mengambil gambar kenangan. Di seberangnya pula adalah bangunan era kolonial gaya senibina Barat yang tidak kurang menariknya terutama pada waktu malam.
The Bund waktu malam ..... 8 May 2019
Bangunan era kolonial ... gaya seibina Barat
Ini gambar sebelah siangnya ... bandingkan
Kami singgah sebentar sahaja di Shanghai ini kerana tujuan sebenar ke China  adalah untuk ke bandar Nanjing, tempat suami berseminar. Besoknya kami sempat lagi berjalan-jalan di sini sebelum ke Nanjing dengan menaiki keretapi. 

Sedikit maklumat tentang Shanghai:
Pada kurun ke-19 Shanghai mula jadi pelabuhan penting kerana lokasinya yang strategik dan potensi ekonomi yang bagus. Shanghai yang terletak di Delta Sungai Yangtze, merupakan pusat kebudayaan, perdagangan perindustrian dan komunikasi paling penting buat China. Ia juga merupakan pusat kewangan dunia dan hub pengangkutan dengan pelabuhan kontena paling sibuk di dunia. Ini menjadikan Shanghai bandar yang paling tinggi penduduknya di dunia, melebihi 24 juta orang.
Kota Shanghai ... dari atas jejantas
Kota Shanghai .... pagi 9 May 2019
Pada  9/5/2019 dalam lebih kurang pukul 9 pagi kami  cek-out dari hotel tetapi meminta izin tinggalkan barang di situ  kerana kami ingin berjalan-jalan di sekitar kota Shanghai terlebih dahulu sebelum bertolak ke Nanjing di sebelah petang.
Dari atas jejantas nampak masjid ini ... lalu terus mencarinya
Tanda nama di pintu hadapan
Masjid ini bernama Xiao Tao Yuan Masjid. Kami tidak dapat masuk ke dalamnya kerana ia bertutup. Jadi kami melihatnya dari luar sahaja. Ia adalah bangunan lama yang termasuk dalam 'Heritage Architecture' dan menjadi monumen yang dilindungi di bawah perbandaran Shanghai.
Pintu hadapan masjid
Bangunan berdiri sejak 1943
Ini pintu masuk untuk wanita
Selepas melawat masjid kami mengambil teksi dan pergi sekali lagi ke the Bund. Tujuan ke sini untuk mengikuti 'Huangpu River Tour' yang dijadualkan pada pukul 11.00 nanti. Dalam perjalanan ke tempat membeli tiket kami bersiar-siar di tebing sungai Huangpu sambil begambar. Kali ini gambaran The Bund di waktu siang.
Tiket  tour yang berharga CNY 120 seorang
pada pukul 11.00 pagi 9/5/2019
The Bund di waktu siang .... termasuk Bund Observatory Tower
Naik kapal di sini ... Jeti Shiliu Pu
Ini kapalnya dan Shanghai Tower yang digelar 
The Twist di seberang Sungai Huangpu
Dalam kapal .... nampak mewah
Kami mengambil pakej Regular Route tanpa makan dan ia mengambil masa lebih kurang 50 minit. Laluan yang diambil seperti di bawah.

Regular Route: Shiliupu Wharf near the Bund – Yangpu Bridge – Shanghai World Financial Center (SWFC) – Jin Mao Tower – Shanghai International Convention Center – Nanpu Bridge – Oriental Pearl Tower – Waibaidu Bridge – Monument to the People's Heroes – Observatory on the Bund – Shiliupu Wharf
Menikmati pemandangan di sepanjang sungai Huangpu 
di sebelah tebing daerah Pudong
Shanghai ... 'Pudong skyline'
Pudong skyline ini sangat menarik jika dilihat dari The Bund. Terdapat 4 buah bangunan yang paling ikonik dalam kumpulan bangunan itu seperti maklumat di bawah.
Sumber foto:
https://www.chinahighlights.com/shanghai/the-shanghai-skyline.htm
Oriental Pearl Tower, Jin Mao Tower atau The Syringe,
Shanghai Tower atau The Twist,
Shanghai World Financial Center atau 'The Bottle Opener'
 Shanghai International Convention Center
Yangpu Bridge di kejauhan ..... salah satu jambatan yang dilalui
Monument to the People's Heroes
Pemandangan di sebelah tebing The Bund ..... 
kelompok bangunan gaya senibina Barat zaman kolonial
Dermaga Shiliu Pu  
Observatory on the Bund
Sebaik habis tour ini kami balik semula ke hotel untuk mengambil barang dan terus ke stesen keretapi untuk ke Nanjing. Stesen keretapi ini sangat besar tetapi orang yang menggunanya juga sangat ramai. Tidak pernah lagi melihat sebegitu ramai orang dalam stesen keretapi macam di Shanghai ini.

Tiket keretapi perlu ditempah lebih awal kerana sangat ramai orang yang mengguna perkhidmatan ini, untuk mengelak kehabisan tiket pada hari dan waktu yang kita inginkan. Kami menempahnya beberapa hari sebelum bertolak melalui sebuah ejen yang diiktiraf. Pada hari kejadian hanya perlu pergi mengambil tiketnya tanpa perlu beratur lama-lama seperti mereka yang membeli tiket.
Shanghai Railway Station ... petang 9 May 2019
Bangunan bahagian mengambil tiket
Tiket .... waktu berlepas 3.44 petang
Di China setiap kali naik keretapi barang-barang dan beg yang dibawa perlu diimbas sebagaimana ketika di lapangan terbang. Hari ini kami mendapat satu kejutan kerana menjadi VIP. Sebaik sahaja kami mengambil beg-beg dari mesin pengimbas kami telah dipanggil oleh seorang pekerja wanita mengarahkan kami ke pintu bilik menunggu untuk VIP. Rupanya selain dari mereka yang benar-benar VIP, bilik ini juga khas untuk mereka yang kurang upaya, seperti saya yang bertonkat .... alhamdulillah. Namun ketika balik dari Nanjing tidak ada pula 'layanan khas' ini. Ada bilik untuk VIP tetapi kena bayar kalau hendak meggunanya.
Alhamdulillah dapat guna bilik ini secara percuma
Dalam bilik VIP .... selain tempat duduk yang selesa
dipaparka juga jadual perjalanan keretapi 
Ada satu sahaja hal yang merunsingkan kami ketika berada di sini. Kami tidak dibenarkan keluar ke landasan lebih awal kerana memikirkan saya tidak boleh berjalan laju, perlu mengambil masa lama untuk sampai ke landasan yang dituju. Kami hanya boleh keluar selepas dipanggil. Selain dari itu petugas memanggil dalam bahasa China .... terpinga-pingalah kami mengagaknya  setiap kali dia memanggil. Beberapa kali suami terpaksa bertanya sendiri kepada petugas bila giliran kami dengan mengguna Google Translate.

Akhirnya kami dibenarkan keluar  ke landasan ketika sudah hampir waktu bertolak. Tepat seperti yang dijangka, hampir sahaja kami tidak sempat ke landasan yang dituju .... tercungap-cungap dengan kesakitan.😌Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Dalam keretapi yang dinaiki
Beberapa peringatan ketika melancong ke China.

* Pengimbasan beg/barang dibuat di semua stesen keretapi di China seperti di airport

* Lakukan pencarian lokasi yang hendak di kunjungi dan rancang perjalanan dengan rapi

* Muat turun aplikasi Voice Translate / Google Translate bagi melancarkan komunikasi dua hala

* Periksa suhu destinasi bagi persiapan awal pakaian yang sesuai

* Beli data internet international roaming kerana wifi di China tidak berfungsi dengan aplikasi dalam talipon dan computer kita.


Related posts: