Alhamdulillah sebelum ke Desaru kami sempat menyinggah di Dataran Pontian dan melawat Taman Negara Tanjung Piai. Ketika di Desaru kami menginap di Bayu Balau Beach Resort (Hotel), yang telah ditempah lebih awal. Hotel ini terletak di Tanjung Balau. Resort ini juga ada penginapan jenis chalet. Asalnya resort ini dikenali sebagai Pelangi Balau Resort dan ditukar ke Bayu Balau Beach Resort (BBBR).
Hotel ini berdekatan dengan pantai Tanjung Balau dan Muzium Nelayan Tanjung Balau. Malangnya ketika itu kedua tempat ini ditutup untuk kerja-kerja penaikan taraf. Dengar cerita Pantai Tanjung Balau ditutup untuk projek pantai 'walkway' yang masih belum siap setelah sekian lama.
Belangkas masak lemak cili api .... makanan eksotik |
BBBR juga ada menyediakan makanan eksotik dan tradisional. Belangkas dan Siput Gonggong telah diletakkan sebagai menu utama hotel. Malam itu kami makan malam di sini sahaja. Kami bertiga makan nasi putih yang berlaukkan belangkas masak lemak cili padi dan ikan pari masak asam pedas. Alhamdulillah sedap masakannya ataupun kami yang memang lapar😀
BBBR adalah hotel ketegori sederhana yang menawarkan harga RM180 semalam untuk hotel dan RM100 untuk chalet. Kedudukannya juga tidak jauh dari Bandar Penawar.
Bandar Penawar ..... tidak berapa jauh dari sini |
21/8/20
Pagi ini selepas Subuh kami berjalan ke pantai untuk melihat matahari naik. Ini salah satu aktiviti kegemaran kami jika ada kesempatan. Untuk sampai ke pantai memang banyak halangan kerana ianya ditutup kepada orang ramai disebabkan kerja-kerja projek pantai walkway itu.
Keadaan langit sebelum dan ketika matahari terbit dari 7.00 pg - 7.15 pg pada 21 Ogos 2020 |
Keadaan pantai Tanjung Balau |
Ini bahagian chalet hotel .... cantik kawasan persekitaran |
Inilah perjalanan kami pada 21/8/2020 |
Inilah pertama kali kami sampai ke bandar Sungai Rengit. Untuk menyimpan kenangan ini, kami telah pergi ke datarannya untuk bergambar sambil menikmati keindahan laut. Kemudian kami ke Teluk Rumania mencari pantai, kalau ada .... 😃😃 tak jumpa! Lepas itu kami ke Tanjung Pengelih, salah satu dari jeti yang menawarkan perkhidmatan feri ke Singapura dan beberapa pulau berdekatan. Satu lagi jeti adalah di Tanjung Belungkor yang juga terletak di Pengerang, Sebenarnya kami terlupa hendak ke sini.
Dikatakan orang Singapura banyak masuk ke Johor melalui sini. Dari sini mereka akan ke Sungai Rengit dengan menaiki teksi untuk menikmati makanan laut, terutama menu 'lobster' atau udang kara, yang dikatakan lebih murah dari negara mereka. Di sini juga boleh melihat matahari terbenam sambil makan di tepi laut. Kalau laut di sebelah Desaru, kita hanya boleh melihat matahari naik.
Dataran Sungai Rengit dengan mercu tanda lobster serta pemandangan laut yang ditaburi pelantar minyak |
Mee Rebus Legend Wak Nasro |
Walaupun masih terasa kenyang kerana baru lepas bersarapan ketika itu, kami pesan juga sepinggan mee rebus ini untuk 'merasainya' ...... yumm ... memang sedap! Ingat hendak mencuba makan lobster untuk makan tengahari tetapi tidak kesampaian kerana banyak kedai makan masih belum dibuka pada masa itu.
Dalam perjalanan ke Tanjung Pengelih kami lalu di hadapan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC). Pertama kali kami melihatnya walaupun selalu mendengar cerita tentangnya kerana ada seorang menantu yang masih bekerja di sini. Sebelum ini salah seorang daripada anak kami juga bekerja di sini tetapi telah berhenti kerana masalah keluarga yang ditinggalkan di Shah Alam. Teruja jugalah bila dapat melihat sendiri keadaan tempat ini, walaupun hanya melihatnya dari jauh.
Sedikit maklumat dari wikipedia:
Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) is a megaproject development in Pengerang, Kota Tinggi District, Johor, Malaysia. It spans over an area of 80 km2 and will house oil refineries, naphtha crackers, petrochemical plants, liquefied natural gas (LNG) terminals and a regasification plant upon completion.The site where it stands now was chosen because of its location along major shipping routes between the Middle East and China. The project was launched to increase Malaysia's petrochemical output. The components of PIPC was first initiated with the development of the 5 million cubic meters capacity of Pengerang Deepwater Terminal (PDT), a joint-venture between Dialog Group, Royal Vopak of the Netherlands and Johor. The other component of PIPC is the Petronas Pengerang Integrated Complex (PIC).
Antara beberapa lokasi kompleks yang dapat dilihat dari jalanraya ..... keseluruhan kawasan meliputi keluasan 80 km2 |
Kedudukan Marina dan Jeti penumpang Tg Pengelih |
Marina Awam Tg Pengelih |
Sebahagian dari bangunan kompleks jeti penumpang |
Nama-nama 11 marina awam yang dibina |
Menurut satu laporan, marina Kuala Kedah tidak pernah beroperasi sejak siap dibina pada 2003, manakala marina Pulau Mentagor di Perak tidak mencatatkan sebarang kemasukan kapal layar sejak mula beroperasi pada 2010. Menurut satu berita pada 2019 Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk menswastakan pengurusan 6 marina awam bermasalah termasuk di Pulau Mentagor yang kini dikendalikan oleh Jabatan Laut Malaysia. Lima marina lain ialah di Batu Uban (Pulau Pinang), Pulau Indah (Selangor), Melaka, Pulau Tioman dan Kuching. Dua lagi marina awam, iaitu di Muar, Johor dan marina Tanjong City di Pulau Pinang pula menghentikan operasi apabila mengalami kerosakan serius pada struktur pontun, manakala marina Tanjung Gemok di Pahang yang berhenti operasi diserahkan untuk kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Beralih kepada Tanjung Pengelih, salah satu jeti yang ada marina awam, juga ada cerita yang menarik di sebalik pembinaannya. Jeti asal yang dibina pada 1936 ini pernah beberapa kali dicadangkan supaya ditutup kerana saingan daripada Jeti Tanjung Belungkor dekat sini dan dikatakan berbahaya, apabila pusat latihan tentera KD Sultan Ismail yang terletak berhampiran dibuka. Sebaliknya, kerajaan menaik taraf jeti dengan menyediakan kemudahan serba lengkap dengan kos RM39 juta, yang memberi khabar gembira kepada penduduk sekali gus mengubah wajah Tanjung Pengelih serta memberi impak besar kepada penduduk.
Kompleks yang mula beroperasi pada 2009 dilengkapi kemudahan untuk pelbagai saiz bot penumpang awam dan kapal layar berlabuh, serta menyediakan kemudahan marina awam untuk pemilik bot dan kapal layar persendirian. Ia turut dilengkapi jeti sepanjang 36.4 meter, kemudahan KIK (Kumpulan Inovatif dan Kreatif) yang menempatkan 4 jabatan kerajaan, iaitu Jabatan Laut, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan. Terdapat juga restoran, Kelab Marina, kedai serba guna dan kemudahan letak kereta yang luas. Jeti ini menyediakan perkhidmatan bumboat ke Changi Point Singapura dan perkhidmatan feri ke Pulau Batam dan Pulau Bintan (Tanjung Pinang) Indonesia.
Bercerita pasal jeti ini, ada satu jeti lama yang menjadi lokasi popular bagi mereka yang suka bersuafoto, iaitu jeti lama Sungai Rengit di Kg Sungai Rengit Pengerang. Ketika kami ke sini tidak tahu pula wujudnya struktur jeti lama yang sangat menarik ini. Mungkin akan mencarinya kalau ke sana lagi insya Allah. Mengikut kata mereka yang sudah ke sini disarankan datang pada awal pagi atau hampir maghrib untuk mendapat pemandangan yang memukau. Terpaksa pinjam gambar dari google untuk meninjukkan keindahannya ....
Jeti lama Sg Rengit Sumber foto:https://www.facebook.com/viralmuafakatjohor |
Inilah serba sedikit sejarah dan latar belakang Sungai Rengit dan Tanjung Pengelih yang agak menarik juga untuk dijadikan sebagai destinasi percutian dalam negara.
Related Posts:
No comments:
Post a Comment