Monday, 21 February 2022

Bercuti di Desaru - Pusat Penetasan dan Ternakan Belangkas Sedili Kecil

Percutian ini berlaku pada 20 Ogos 2020. Sudah lebih setahun, baru nak mencatatnya😄Memang blog saya ni bukan "live", tetapi lebih sebagai catatan dairi peribadi.

Pada sebelah pagi 21 Ogos kami berjalan-jalan di Sungai Rengit dan Tanjung Pengelih, dan kami makan tengahari di Bandar Penawar. Pada sebelah petang pula kami melawat Desaru Fruit Farm.

22/8/2020 
Ini adalah hari terakhir percutian kami. Pada malam 21 Ogos kami telah merancang untuk makan malam di Restoran Terapung Firefly dan seterusnya pergi melihat klip-klip. Namun kami telah membatalkan niat ini apabila melihat keadaan tempat yang terlalu ramai orang. Kami balik terus walaupun telah sampai ke destinasinya. Kami tidak ingin mengambil risiko dijangkiti covid-19.

 Niat di hati pada pagi itu  hendak melawat muzium nelayan yang terletak tidak jauh dari hotel tetapi malang sekali ia masih ditutup untuk kerja-kerja ubahsuai sejak dari September 2019 lagi. Walau bagaimanapun kami bergambar jugalah di luar pagar sebagai kenang-kenangan.
Muzium Nelayan Tanjung Balau
Muzium Nelayan .... dapatlah tengok kawasan luarnya
serta notis penutupan di luara pagar
Sat 11:07 - 22 Aug 2020
Selepas meninggalkan Tanjung Balau kami terus menuju ke Sedili kecil untuk melawat tempat memelihara belangkas. Sebelum sampai ke sana kami menyinggah sebentar di Pantai Tanjung Buluh. Ketika berada di pantai, hujan turun renyai-renyai, menyebabkan kami tidak turun bermain-main dengan air. Kami hanya singgah bergambar sahaja, kemudian meneruskan perjalanan.
Perjalanan dari Tanjung Balau ke Sedili Kechil
Pantai Tanjung Buluh Water Front 
22 Ogos 2020 1:24 pm
Ketika sampai di pusat ternakan belangkas hujan turun dengan sangat lebat. Kami gagah juga turun dari kereta berlari menuju ke bangunan yang menempatkan belangkas-belangkas yamg dipelihara.

Belangkas (Horseshoe Crabs) sejenis haiwan yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar. Belangkas mudah ditangkap di tepi-tepi pantai kerana tidak menggigit. Haiwan ini merupakan arthropod laut yang bentuk badannya mirip kepada `steel helmet’ tentera dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam. Ia boleh mencapai saiz sehingga 51 cm (20 inci). Mana-mana anggotanya yang putus boleh tumbuh semula dan ia juga mempunyai sistem imun yang baik. 

Darah belangkas berwarna biru disebabkan oleh kehadiran ion tembaga dalam protin hemosianin (protein hemocyanin} yang diguna pakai oleh belangkas untuk mengangkut oksigen dalam darah. Darah biru belangkas ini sangat bernilai. Ia disedut keluar tanpa perlu membunuh belangkas tersebut. Bahan dalam badan belangkas boleh digunakan untuk mengesan virus, bakteria dan toksin dalam darah manusia. Mengikut pakar pengkaji, belangkas didakwa mempunyai nilai tinggi untuk bahan kesihatan dan bahan untuk pembuatan komestik. 

Daging dan telur belangkas boleh dimakan oleh orang Islam. Masyarakat Melayu di Kota Tinggi, Johor menyediakan masakan asam pedas, lemak cili api dan sambal tumis belangkas. Ia juga boleh dimakan dengan hanya memanggang atau membakar sahaja. Namun begitu ia memerlukan kepakaran dalam menyediakannya kerana pada belangkas terdapat sejenis toksin yang boleh membuat seseorang berasa pening atau "mabuk" setelah memakannya.. Hanya bahagian tertentu sahaja boleh dimakan dan hanya seseorang yang benar-benar tahu sahaja tahu cara menyediakan makanan laut dari belangkas ini.
Belangkas masak lemak cili api dari Kota Tinggi
Kerabu telur belangkas .... ketika menjamu selera
di Kuala Perlis pada Feb 2018
Masing-masing teruja dapat pegang belangkas😀
Didapati belangkas bukan sahaja berdepan kepupusan, tetapi paling penting ia mengambil masa lama untuk matang dan proses bertelur selepas mencecah usia 10 tahun. Dalam tempoh sembilan tahun, belangkas akan salin kulit. Tahun ke-10 pula ia baru mencari pasangan untuk mengawan. Bagi mengatasi masalah ini, satu program perintis penternakan belangkas telah diadakan di beberapa lokasi di Johor, Kelantan dan Terengganu bagi memajukan teknologi penternakannya.

Mengikut maklumat yang dikumpul dari internet, Pusat Penetasan dan Ternakan Belangkas Sedili Kecil Kota Tinggi, Johor merupakan satu-satunya pusat seumpama ini di Malaysia yang diuruskan oleh Muhammad Khairul Idham bin Ahmad, selaku Pengurus tempat ini dan dibantu oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Ikan Malaysia (IKM).
Belangkas-belangkas yang dibeli dari nelayan
 disimpan dalam kolam di sini sebelum dijual semula 
Belangkas yang dijual disini merupakan belangkas liar yang dibeli daripada para nelayan kecil bagi membantu hasil penjualan mereka. Di Pusat Penetasan dan Ternakan ini mereka juga membuat pembiakan belangkas dan anak-anak belangkas tersebut dibela sehingga usia setahun ke dua tahun dan kemudiannya akan dilepaskan di pantai yang berhampiran. 

Tujuan pengusaha membuat pembiakan belangkas adalah untuk memulihara hidupan liar bagi memastikan kemandirian spesis ini untuk generasi akan datang dan juga untuk kelangsungan hidup para nelayan.

Dari segi penternakan pula ada dilaporkan seramai 500 nelayan di Semerak, Pasir Puteh, Kelantan dibantu bagi menternak belangkas. Nelayan terbabit didakwa mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM 1,200 sebulan daripada projek ternakan setelah berjaya mengeluarkan hasil berperingkat.
Video belangkas dalam kolam 
Di Pusat Penetasan dan Ternakan Belangkas Sedili Kecil, selain dari belangkas, udang kara juga ada diternak di sini. Harga seekor belangkas boleh mencecah sehingga RM40 mengikut berat manakala harga seekor udang kara diklasifikasikan mengikut gred. Gred A dan Gred B. Berat seekor udang Gred A adalah 200 gram keatas (1kg=RM150) dan berat seekor udang Gred B pula adalah 199 gram kebawah (1kg=RM100). Udang kara yang ada di sini juga adalah udang liar yang dibeli daripada para nelayan sebelum dijual semula.
Udang kara ini dibeli dari nelyan,
 dibela sementara di sini sebelum dijual semula
Video udang kara dalam kolam



Bercuti di Desaru - UPDATE 2 (Muzium Nelayan)

No comments:

Post a Comment