Tuesday, 14 September 2021

Bercuti di Desaru - Pontian

Ini merupakan percutian pertama kami setelah habis PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang pertama, yang telah dibuat pada (20-22) Ogos 2020. Sudah agak lama jugalah kami tidak pergi bercuti. Oleh kerana itu sebaik sahaja selesai PKP, terus merancang untuk pergi bercuti.

Ada  beberapa faktor yang menyebabkan kami lama tidak dapat pergi bercuti. Pertama kerana saya telah menjalani pembedahan lutut (TKR) pada pertengahan Januari tahun lepas dan ia telah membataskan  pergerakan saya selama hampir setengah tahun. Kemudian seluruh negara diletakkan di bawah PKP, yang menyebabkan kita tidak boleh merentas sempadan negeri. dan juga daerah. 

 Kami tinggal di negeri Johor. Pada kali ini kami memutuskan untuk bercuti di dalam negeri sahaja. Walaupun kami sudah lama tinggal di Johor, tetapi masih ada banyak lagi tempat yang kami belum sampai. Orang kata, "kalau pergi melancong ke Johor Bahru, jangan lupa singgah ke Desaru yang terletak di daerah Kota Tinggi". Inilah destinasi utama percutian kami.

Sebut sahaja Desaru, pasti terbayang kewujudan pantai di tepian Laut China Selatan itu, yang menjadi tempat utama pengunjung bercuti untuk berehat dan meneroka pemandangan yang indah. Nikmat bersantai tidak lengkap jika terlepas peluang untuk menginap sambil meneroka pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan seisi keluarga di kawasan sekitarnya dan menjadikan ia pilihan sebagai destinasi yang menggamit memori.
Desaru Fruit Farm .... salah satu aktiviti menarik yang diikuti
Dari Parit Raja ke Tanjung Balau melalui Pontian ...
tetapi melencong ke Tanjung Piai terlebih dahulu
Kalau turun ke Johor jangan lupa juga singgah di Tanjung Piai Kukup. Ada apa  di sini? Bagi pencinta alam seperti kami, ia adalah destinasi yang wajib dikunjungi kerana titik kedudukannya yang istimewa dalam peta dunia. Tanjung Piai merupakan kawasan tarikan pelancongan terkenal di Malaysia kerana ia merupakan tanah paling selatan di benua Asia. Jika kita seorang pecinta alam, kita boleh datang melawat dua Taman Negara yang terdapat di Pontian iaitu Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup.

Tanjung Piai terletak dalam mukim Kukup, Daerah Pontian, Johor. Jadi post kali ini akan menceritakan sedikit kisah Pontian, tempat yang pertama kami singgah dalam perjalanan ke selatan ini. 

Pontian ialah salah satu daerah di Johor, Malaysia. Ibu daerah Pontian ialah Pontian Kechil. Kebanyakan kawasan di sini adalah terdiri daripada paya bakau. Menangkap ikan masih merupakan aktiviti utama penduduk di daerah ini. Ianya di tadbir oleh Majlis Daerah Pontian.Pontian diduduki oleh kaum Melayu yang berketurunan suku Melayu, Bugis dan Jawa. Melayu dan Bugis di kawasan pesisiran manakala Jawa di kawasan pedalaman.

Mengikut fakta sejarah perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar iaitu tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka ketika itu. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kechil menjadi bandar utama bagi daerah Pontian.

Daerah Pontian sangat sinonim dengan buah nanas. Johor merupakan pengeluar terbesar nanas di dunia. Bagi pecinta Sejarah mereka boleh singgah di Muzium Bugis dan Muzium Nanas. Muzium Bugis memaparkan susur galur sejarah Bugis di negara ini seperti adat istiadat, makanan, pakaian, artifak asli dan banyak lagi. Turut termasuk dalam senarai tempat yang harus dilawati di Pontian adalah pekan Kukup. Pekan Kukup merupakan perkampungan nelayan di atas air yang sinonim dengan makanan laut segar, kerepek, keropok lekor dan hasil kraftangan. 
Rencam Pontian ... tanda mercu replika nanas dan dataran Pontian
 yang juga dikenali sebagai Taman Tepi Laut Pontian
Ada beberapa kali kami lalu daerah pontian ini tetapi tidak pernah singgah di sini. Inilah kali pertama kami datang ke dataran ini untuk bergambar sebagai kenang-kenangan. Lokasi "I Love Pontian" menjadi spot kegemaran pengunjung bergambar di sini. Di hujung taman adalah Laman Di Raja dengan monumen mahkota. Taman ini agak luas juga. Kami tidak pergi ke Laman Di Raja itu .... hanya melihatnya dari jauh. Kami tidak boleh berlama-lama di sini kerana ingin sampai ke Tanjung Piai seawal mungkin supaya cuaca tidak terlalu panas ketika di sana nanti. 
Dataran ini berada di pekan Pontian Kechil
.... kedudukannya menganjur ke laut
Taman Rekreasi ini sangat sesuai untuk menikmati pemandangan laut yang indah di Selat Melaka bersama anak-anak dan keluarga. Ada kawasan berumput terbuka untuk anak-anak berlari-lari dan juga kawasan yg dilapisi dengan bata yang saling berkait serta kawasan lapang yang berjubin, sangat sesuai untuk kanak-kanak berbasikal, berskuter atau berkasut roda. Taman ini juga sesuai bagi mereka yang ingin berjoging, berbasikal, bersiar-siar, melihat matahari terbenam, atau duduk bersantai sambil menikmati bayu laut petang yang nyaman.
Di hujung jalan ini adalah Laman Di Raja
di mana terletaknya Gerbang Mahkota
Salah satu kawasan lapang yang terdapat di dataran
Camera man (anak bongsu kami) nak bergambar sekali😍
Dataran Pontian yang juga di kenali sebagai Taman Tepi laut Pontian
Taman ini cantik dan bersih. Semoga ia terus kekal begini, kerana kebiasaannya pihak berkuasa hanya menjaga di awal-awal pembinaan sahaja. Setelah masa berlalu, apabila berlaku kerosakan, ia tidak diambil perhatian.

Alhamdulillah sempat melawat sebentar dataran yang cantik ini. Insya Allah jika ada kesempatan kami akan kembali melawatnya untuk masa yang lebih lama lagi. Jom ke Tanjung Piai Kukup pula.


Related  Posts:

Cuti di Desaru - Tanjung Piai

Bercuti di Desaru - Sungai Rengit & Tanjung Pengelih

Bercuti di Desaru - Desaru Fruit Farm


Bercuti di Desaru - UPDATE

No comments:

Post a Comment