Showing posts with label Sabang. Show all posts
Showing posts with label Sabang. Show all posts

Monday, 7 August 2023

Memburu 0 KM

Apa itu kilometer sifar/ziro/nol? Seperti namanya sendiri, ia bermaksud titik permulaan jarak bagi sesebuah bandar atau jalan raya. Dengan kata lain, itulah titik pusat bandar utama bagi sesebuah bandar.

Maklumat dari internet:

Di kebanyakan negara, kilometer sifar (juga ditulis 0 km) atau istilah sama dalam bahasa lain (juga dikenali sebagai penanda batu kosong, stesen kawalan atan titik kawalan) merujuk kepada satu lokasi khusus (biasanya terletak di ibu negara), dari mana jarak diukur secara tradisional.

Terdapat tiga jenis utama kilometer sifar, iaitu kilometer sifar bandar, kilometer sifar jalan dan kilometer sifar negara. Kilometer sifar bandar ialah titik khas di pusat bandar di mana jarak sesebuah bandar dikira. Dalam pengukuran jarak sesebuah bandar di Malaysia, biasanya pejabat pos dijadikan sebagai titik kilometer sifar bagi sesebuah bandar. Namun demikian, Kota Kinabalu adalah satu-satunya bandar di mana kilometer sifarnya tidak terletak di pejabat pos, sebaliknya Kilometer Sifar Kota Kinabalu terletak di perkarangan bangunan Lembaga Pelancongan Sabah di mana satu monumen khas Kilometer Sifar KK dibina, pertama kali seumpamanya di Malaysia.

Kilometer sifar negara pula ialah titik pangkal utama bagi rangkaian jalan raya di sesebuah negara, biasanya ibu negara. Misanya, Kilometer Sifar bagi Jepun ialah di Jambatan Nihonbashi di Tokyo, manakala Kilometer Sifar bagi Perancis ialah di perkarangan bangunan gereja Notre Dame di Paris. Di Malaysia, kilometer sifar bagi jalan raya di Semenanjung Malaysia terletak di depan Pejabat Pos Besar Johor Bahru dan bukannya di ibu negara di Kuala Lumpur sebagaimana kebanyakan negara lain. Ia berikutan jarak bagi ketiga-tiga laluan tulang belakang utama di Semenanjung Malaysia iaitu Laluan Persekutuan Malaysia 1, Laluan Persekutuan Malaysia 3 dan Laluan Persekutuan Malaysia 5 dikira dari Johor Bahru.

Ada beberapa KM 0 yang telah kami pergi samada di luar negara atau dalam negara. Tidaklah memburu sangat tetapi lebih secara kebetulan sahaja. Antaranya,

1. KM-0 Sabang Acheh

KM-0 Sabang ini kebetulan letaknya di hujung paling barat Indonesia.yang kita sebut tanah hujung atau " end of land ". Saya dan suami memang suka melawat tempat yang seperti ini kerana ia membuat kita terasa seolah-olah berada di hujung dunia.

 Kebiasaannya tanah hujung, sebahagian besar kawasannya dikelilingi laut sejauh mata memandang dan mempunyai pemandangan yang indah. Begitu juga di KM-0 ini yang disempadani oleh Laut Andaman. Ia masih dirimbuni tumbuhan-tumbuhan hutan ciptaan Allah yang begitu menyegarkan tetapi sayang, tempat ini tidak diurus dengan baik dan kemudahan yang ada seperti tugu diconteng dan dirosakkan. Ia kelihatan seperti kawasan terbiar. Namun ia bepotensi menjadi tempat rekreasi yang menarik bagi warga Sabang dan juga pelancong luar. Allah yang Maha Besar dan Maha Berkuasa telah mencipta alam ini untuk kita nikmatinya bersama dan mengajak kita memikir-mikirkan tentang kejadiannya,

Cerita selanjutnya di SINI
Bermulanya pengiraan jarak dari barat ke timor Indonesia
2. KM '0' Kota Bandung

Tepatnya ia terletak di depan pejabat Dinas Bina Marga Propinsi Jawa Barat, tidak jauh dari Hotel Savoy Homan, hotel yang pernah dikunjungi Presiden Sukarno dan pelawak dunia terkenal Charlie Chaplin. Selain itu hotel ini juga digunakan oleh para peserta Persidangan Asia Afrika.

Monumen setinggi lebih kurang 1 m ini banyak menyimpan sejarah panjang perkembangan kota Bandung. Titik 0 kerap dikaitkan dengan pusat atau awal mula perkembangan kota, di mana pemindahan pemerintahan Bandung yang berada di wilayah Krapyak atau Dayeuh Kolot, dipindahkan ke wilayah ini pada 1810 mengikuti jalan yang sedang dibina.

Cerita selanjutnya di SINI
KM 0 kota Bandung
3. KM 0 kota Jogjakarta

Setelah puas berbelanja, bolehlah pergi pula ke persimpangan yang tidak jauh dari Malioboro, Titik Nol Kilometer namanya. Inilah titik permulaan di mana jarak semua jalan dari sini diukur
Tiada tanda apa pun ..... hanya disebut di persimpanagan
depan Pejabat Pos Besar

Cerita selanjutnya di SINI

4. KM 0 Bukit Fraser

Penanda ini terletak di halaman Aida Daniya Restoran & English Teahouse  Bukit Fraser.

 Penanda KM 0 di halaman Aida Daniya Restoran & English Teahouse
Mungkin lepas ini kami akan pergi memburu KM 0 ini, kerana di tempat yang saya tinggal ini pun, khabarnya terdapat titik nol atau KM 0 yang kami belum sampai😁. Insya Allah akan di 'update' lagi tempat-tempat di mana terdapat KM 0 yang berada di Malaysia.

UPDATE - JULAI 2023

Kangar Perlis
Padang Besar Perlis
Wang Kelian Perlis
Johor Bharu Johor
Alor Setar Kedah
Batu Pahat Johor
Minyak Beku Batu Pahat Johor
Lumut Perak
Tanjung Belungkor Johor
Kuala Gula Perak
Lobuk Merbau Perak
Tanjung Balau Johor
Kampung Gajah

KM 0 Kangar
Penanda ini terletak di hadapan CIMB dan Pejabat Pos Besar Kangar di tengah bandar. Menurut cerita penduduk tempatan penanda ini 'kembali diletakkan' , bermakna ada penanda lain sebelum ini tetapi telah dibuang. Agaknya itulah sebab mengapa saya baru ternampak tanda ini sedangkan sudah berpuluh tahun saya balik ke sini (kampung suami) tak pernah nampak pulak penanda ini. 
KANGAR PERLIS 0 KM

KM 0 Johor Bahru
KM0 JB merupakan permulaan kiraan bagi 3 Laluan Persekutuan Semenanjung Malaysia FT1, FT3 dan FT5. Selalunya di negara-negara lain, permulaan kiraan jalan raya terletak di ibu kota negara masing-masing, tetapi tidak berlaku di negara kita. Jika mengikut kebiasaan sepatutnya jalan di Kuala Lumpurlah terletaknya KM0 ini.
KM 0 J0H0R BAHRU
Mercu tanda Kilometer Sifar atau 0 KM yang terletak di tengah bandar Johor Bahru ini merupakan kedudukan yang paling selatan bukan sahaja di Semenanjung Malaysia malah bagi Tanah Besar Asia. Tt

Dari segi sejarah, semua jalan raya utama di Semenanjung Malaysia bertemu di Johor Bahru sebelum ia dihubungkan ke Singapura melalui Tambak Johor apabila ia dibuka kepada lalu lintas pada tahun 1924. Dengan itu, Johor Bahru telah menjadi Kilometer Sifar Kebangsaan sejak lebih kurang 92 tahun dahulu.

KM 0 Batu Pahat
Penanda KM 0 tidak ada di Batu Pahat tetapi mengikut penduduk lama atau asal di sini, ianya wujud tetapi tidak ada sebarang monumen untuk menandainya. Walau bagaimanapun ada beberapa petunjuk yang membayangkan kawasan di mana ia mungkin berada. 
Di sekeliling Dataran Penggaram itulah kemungkinan
Kedudukan penanda KM 0 Batu Pahat
Tanda drop pin di peta itu adalah Santai @ BP Walk. Di sini terdapat satu monumen yang berbentuk Ikon drop pin dan nombor poskod Batu Pahat 83000. Tidak jauh dari sini juga tedapat mercu tanda lama Batu Pahat dan pejabat pos. Kebiasaannya penanda 0 KM bagi sesebuah bandar diletakkan berdekatan dengan pejabat pos. Ini semua boleh dijadikan sebagai petunjuk di mana batu KM 0 itu berada. 
Ini salah satu monumen yang terdapat di
Santai@BP Walk

L0kasi pusat poskod Batu Pahat
hanya 4 min berjalan kaki dari Pejabat Pos
Ini mercu lama Batu Pabat
 .... berbentuk 'batu yang dipahat'
Lagi satu petunjuk adalah permulaan Jalan Tanjung Labuh FT 5 (0 KM - 11 KM) mempunyai poskod Batu Pahat 83000, seperti yang ditandakan dalam peta. Jalan ini juga dikenali sebagai Jalan Batu Pahat-Pontian FT 5, yang mana permulaannya di Skudai Johor.  Di Batu Pahat jalan ini bermula dari bulatan Banang yang juga menjadi permulaan kepada Jalan Batu Pahat-Keluang-Mersing FT 50 atau Jalanraya Timur-Barat Johor FT 50.
Mula dan akhir poskod Batu Pahat

KM 0 Minyak Beku Batu Pahat

Ini Jalan Minyak Beku ke Batu Pahat
Jalan ini menghubungkan Pantai Minyak Beku ke pusat bandar Batu Pahat atau Penggaram, dan dengan jarak sejauh 9.2 km, ia termasuk antara jalan yang terpanjang di Batu Pahat. Nama jalan ini diambil dari nama Kampung Minyak Beku. Ia berakhir di persimpangan Jalan Jeragan dan bermula di pantai, tetapi ketika kami pergi mencari batu penanda 0 km ini, batunya sudah hilang, walaupun saya pernah melihat gambarnya.
Pantai Minyak Beku
Gambar dari Google map
... 9 tahun yang lalu yang
menandakan 10 km ke Batu Pahat
Batu penanda yang sama - 0 KM
...permulaan Jalan Minyak Beku

KM  0 Wang Kelian Perlis
Kampung Wang Kelian merupakan sebuah kampung yang terletak di Kaki Bukit, dalam negeri Perlis Indera Kayangan. Ia bersempadan dengan negara Thailand. 

Zon aliran bebas di Wang Kelian yang terletak kira-kira 500 meter dari Wang Pranchan, Thailand mula dimansuhkan pada 1 April 2015 sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk dan kawalan sempadan bagi menyekat ancaman dan mengekang penyeludupan barangan terlarang yang dilihat menjadi ancaman kepada negara.

Pemansuhan itu dibuat susulan penemuan kubur besar yang menempatkan 139 mayat mangsa pemerdagangan manusia. 

Ketika ke sini tempat ini sangat sunyi dan sepi kerana sempagan masih belum dibuka selepas PKP. Namun semasa pergi baru-baru ini ada kelihatan kenderaan dan orang berjalan kaki keluar masuk sempadan, tetapi aktiviti berniaga masih belum ada lagi walaupun ada permintaan untuk menghidupkannya kembali.

Pintu sempadan ini terletak kira-kira 38 km dari bandar Kangar. Jalan ke Kangar bermula dari sini, tetapi  kami tidak berjumpa sebarang batu tanda 0 KM di sini. Jadi ini bermakna permulaan jalan atau 0 km itu adalah sempadan negara ini.

Inilah pintu sempadan negara dengan Thailand

Kami hanya jumpa batu tanda 1 KM

KM 0 Lumut Perak
Lumut merupakan bandar tepi laut yang menghadap Selat Dinding (selat yang yang memisahkan Pulau Pangkor dan Bandar Lumut) dan Selat Melaka di negeri Perak. Lokasi bandar ini bersetentangan dengan Pulau Pangkor dan dikenali ramai sebagai pintu masuk ke pulau tersebut.

Lumut berada di bawah pentadbiran daerah Manjong yang merupakan nama baru bagi daerah Dinding. Bandar ini terletak kira-kira 84 km ke selatan bandaraya Ipoh, ibu negeri Perak.

Monumen KM 0 berada di luar bangunan
Pejabat Pos Lumut
Pemberitahuan Laluan 18 ...
Jalan Lumut ke Setiawan
KM 0 Alor Setar Kedah
Monumen ini terletak di persimpangan Jalan Raja dengan Jalan Penjara Lama. FT 256 seperti yang dalam gambar ini adalah Jalan Langgar.
Ini lokasi sebenar monumen KM 0 yang diambil
dari Google map ... gambar 3 tahun lalu
Gambar terkini diambil dari dalam kereta saja
KM 0 Kuala Gula Perak
Kuala Gula merupakan sebuah perkampungan nelayan terletak di persisiran pantai utara negeri Perak, bersebelahan dengan Kuala Kurau.

Ianya merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Paya Laut Matang yang terdiri daripada hutan bakau dan kawasan pantai berlumpur. Ia terletak di lokasi paling utara Hutan Simpan Paya Bakau Larut-Matang di Daerah Kerian, Perak. Kedudukannya lebih kurang 50km ke barat Taiping, 126km ke barat-laut bandar Ipoh dan 80km ke selatan dari Pulau Pinang. 

Kuala Gula mempunyai pelbagai jenis habitat tanah lembap yang terdiri daripada dataran lumpur, hutan paya bakau, muara sungai dan sistem-sistem sungai. ladang-ladang kelapa sawit dan kawasan sawah padi juga mempunyai liputan yang luas di Kuala Gula. Kawasan ini penting sebagai kawasan mencari makan untuk burung-burung berhijrah dan tempat bertelur untuk burung residen

Kuala Gula juga terkenal di peringkat tempatan dan antarabangsa terutamanya kepada pemerhati burung kerana ianya penting dengan kewujudan burung air/berhijrah. Ramai pelawat tempatan dan antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Jepun dan negara lain datang ke Kuala Gula untuk melihat burung-burung ini.

Kami hanya jumpa penanda 1 KM .... 😀
pi mai pi mai jalan tak kelihatan nombor 0
Ini gambar yang diambil dari Google Map yang
bertarikh 9 
tahun yang lalu
Mengikut batu penanda yang sama Kuala Gula berada 2 km dari sini, manakala Batu Kurau pula 11 km dari sini. Lokasi batu penanda bertepatan dengan penggerak anak panah  di atas peta. Perjalanan ini mengikuti jalan A196, yang penghujungnya seperti di atas peta. Maknanya di sinilah letaknya penanda 0 KM bagi Kuala Gula
Berakirnya atau permulaan Jalan A196 di Kuala Gula
... gambar diambil dari Google Map
KM 0 Lubok Merbau Perak
Mukim Lubok Merbau merupakan salah sebuah mukim yang terdapat dalam negeri Perak, dan juga merupakan pecahan kawasan pentadbiran bagi negeri Perak. Perak dibahagikan kepada beberapa buah daerah dan setiap daerah dibahagikan kepada beberapa mukim .

Mukim Lubok Merbau adalah mukim yang paling kecil di dalam daerah Kuala Kangsar, negeri Perak. Mukim ini terdiri daripada beberapa buah kampung kecil, seperti Kg Laneh, Kg Labu Kubong dan lain-lain. Ia merupakan kawasan yang mempunyai purata hujan tahunan yang terendah di Malaysia, dengan purata hujan tahunan sebanyak 2000mm.

Batu penanda 0 KM bagi Lubuk Merbau dan
kawasan berhampiran

KM 0 Tanjung Belungkor Johor
Menariknya Tanjung Belungkor ini ada sebuah jeti atau terminal feri bertaraf antarbangsa. Uniknya pula inilah satu-satunya pengendali terminal yang beroperasi menghubungkan Tg Belungkor dan Changi, Singapura melalui Terminaal Feri Changi dan juga Terminal ferry Batam Center.

Lembaga Pelabuhan Johor bertanggungjawab untuk menguruskan Terminal Feri Tanjung Belungkor (TFTB) di Kota Tinggi dan Terminal Feri Changi (TFC) di Singapura. Kedua-dua terminal telah dibina bagi memajukan aktiviti pelancongan di Desaru dan telah mula beroperasi pada 8 September 1993. Perkhidmatan feri RORO ('Roll On Roll Off' yang boleh mengangkut kenderaan) pertama telah dijalankan oleh Syarikat Ferrylink sehingga 8 April 2002. Pada masa ini perkhidmatan feri RORO telah dihentikan dan hanya feri penumpang yang berjadual sahaja beroperasi di antara kedua-dua terminal. Kini perkhidmatan feri penumpang disediakan oleh Syarikat Limbungan Maju. Sementara Terminal Feri Tanjung Belungkor kini diuruskan oleh Syarikat Marina Island Venture Capital Sdn. Bhd.
Kedudukan Tg Belungkor di hujung tanjung
JB 109 km dari Tg Belungkor
Di belakang itu pintu Gerbang Terminal Feri

KM 0 Tanjung Balau Johor
Tanjung Balau merupakan sebuah bandar berpantai di Daerah Kota Tinggi, Johor. Ia terletak berdekatan Desaru dan Bandar Penawar. 

Pantainya cantik, melandai dan ditaburi pasir halus. Di bahagian barat pantai, kelihatan gugusan batu hitam pelbagai bentuk yang berusia 200 juta tahun Tarikan utama pantai di Tanjung Balau adalah pada formasi batuan akibat hakisan angin (wind-stress rock) yang boleh dilihat jelas ketika air surut.

Dipercayai wujud sejak zaman Permo-karbon sekali gus lebih tua dari era Permian yang bermula sekitar 275 juta tahun silam.

Sebaik menghampirinya, selain warna hitam seperti arang, jelas terpampang strukturnya yang berlapis malah sekali pandang seperti kesan ditinggalkan laluan lahar gunung berapi. Ia adalah kesan kepanasan matahari yang menjadikan bentuknya berlapis-lapis seperti itu.

Suatu ketika dahulu, gugusan batu ini tenggelam jauh di bawah perut bumi namun udara panas dan sejuk silih berganti membentuk formasi seperti yang dilihat sekarang, .

Permulaan jalan J226 di Tanjung Balau

Peta - 0 km Tanjung Balau menjadi tempat pertemuan
 beberapa jalan utama di Johor ... 90 km ke Jb dari tanda batu ini

KM 0 Kampung Gajah Perak
Kampung Gajah terletak di tepi tebing kanan Sungai Perak, Perak, kira-kira 75 km di barat bandar Ipoh. Bandar Teluk Intan terletak di selatan Kampung Gajah, kira-kira 25 km. 

Kedudukan Kg Gajah di tebing kanan Sg Perak
Di sepanjang Sungai Perak di Daerah Kampong Gajah ini terdapat kampung-kampung tua. Kewujudan kampung ini boleh dilihat sebagai petanda betapa pertempatan telah lama wujud di sini. Kewujudan kampung-kampung ini membuktikan bahawa daerah Kampung Gajah ini amat bersejarah di negeri Perak. 

Tidak jauh dari Kg Gajah, iaitu di Pasir Salak, terdapat Kompleks Sejarah Pasir Salak. Ia  sebuah kompleks sejarah di Pasir Salak, Perak Tengah, Perak. Ianya dibina tahun 1990 atas inisiatif Tan Seri Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak ketika itu. Kompleks ini dirasmikan oleh Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990.

Kompleks ini dibina di Pasir Salak kerana di sinilah mula tumpahnya darah pejuang-pejuang Malaysia menentang penjajah British.

Perang Perak bermula dan terjadi di sini pada tahun 1875 selepas setahun Sultan Perak setuju menerima nasihat Residen British. Residen British yang pertama di Perak ialah J.W.W. Birch yang buta jiwa Melayu, tuli kepada bahasa Melayu dan naif dengan budi bahasa.

Kampung Gajah juga  sinonim dengan buah durian, kerana terdapat banyaknya kebun-kebun yang ditanam dengan pokok durian. Pokok-pokok durian ini berusia puluhan malahan ratusan tahun. Antara nama durian yang popular ialah durian Tok Paduka Raja. Antara kampung-kampung yang amat popular dengan tanaman durian ialah Selat Pulau, Kepala Pulau, Pasir Salak dan Pulau Tiga.

Ramai orang luar yang keliru antara Kampung Gajah dengan Batu Gajah dan Alor Gajah. Alor Gajah terletak di negeri Melaka. Batu Gajah terletak di Perak juga. Saya sendiri selalu tersasul apabila menyebut 2 tempat di Perak ini.
Batu penanda 1 km ke Kg Gajah dan sebelahnya
tertulis 60 km ke bandar Ipoh dari Kg.Gajah
Seperti kebanyakan tempat lain, Kg Gajah juga tidak menandakan di mana kedudukan batu penanda 0 KM, tetapi kemungkinan besar berada di tengah pekannya. Kg Gajah ini bukanlah sebuah kampung, tetapi sebenarnya sebuah pekan. Pernah ada cadangan untuk menukar namanya kerana sudah tdak sesuai dengan nama kampung itu tetapi dibantah oleh kebanyakan penduduk. Maka kekallah nama Kg Gajah selama-lamanya, insya Allah. 
Tg Tualang ke Kg Gajah 25 km
Jalan A15 juga boleh membawa kita ke Tanjung Tualang, hanya 1 km dari papan tanda. Di sini ada satu tempat menarik yang wajib dilawati bagi pecinta sejarah. Satu ketika dulu, Perak antara pengeluar utama bijih timah dunia.

Destinasi ini dikenali sebagai Tanjung Tualang Tin Dredge No 5 (TT5), yang merujuk kepada nombor kapal korek terakhir yang ada di Tanjung Tualang iaitu kapal kelima.
Ini kerana satu ketika dahulu ia adalah kawasan cukup sibuk dan mempunyai beberapa siri kapal dibawa masuk bagi menampung keperluan industri berkenaan.

Bagi anda yang ingin mengunjungi lokasi ini, ia terletak dalam kawasan Tanjung Tualang yang juga terkenal dalam kalangan pemancing udang galah. Jarak pemanduan kira-kira 30 kilometer dengan masa perjalanan 40 minit dari bandar Ipoh. 
Kapal korek Timah terakhir .... kapal no 5
Ini sahaja lokasi-lokasi Km 0 yang kami pernah terjumpa dalam perjalanan dan pengembaraan kami samada di dalam atau di luar negara. Jika ada yang baru akan saya update lagi insya Allah.






Tuesday, 31 March 2015

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 4 )

Day 1 - 2/6/2014
Destinasi lawatan di hari pertama:

1 Masjid Raya Baiturrahman
2 Kapal PLTD Apung
3 Kapal Apung Lampulo
4 Makam Syiah Kuala

Day 2 - 3/6/2014
Destinasi lawatan pada hari kedua:

1 Taman Sari Gunongan
2 Masjid Teuku Omar
3 Muzium Rumah Cut Nyak Dien
4 Pantai Lampuuk Lhoknga
5 Masjid Rahmatullah Lampuuk
6 Masjid Baiturrahim Ulee Lheue
7 Pelabuhan Ulee Lheue
8 Kuburan Massal Ulee Lheue
9 Lapangan Blang Padang
10 Muzium Aceh
11 Pasar Aceh

Day 3 - 4/6/2014
Destinasi lawatan pada hari ketiga - Pulau Weh   

1. Tugu Kilometer Nol
2. Pantai Iboih
3. Pantai Gapang
4. Gerai Rojak Pulau Klah
5. Masjid Jamek Kota Sabang
6  Pantai Sumur Tiga
7. Sabang Hill
8. Kota Sabang
9. Taman Wisata Kuliner

Day 4 - 5/6/2014
Destinasi lawatan pada hari keempat :

1. Perjalanan pergi ke  Kota Lhokseumawe
2. Masjid Kayu Tua Indrapuri
3. Perpustakaan Kuno Tanoh Abee

Kota Lhokseumawe


Lhokseumawe berada di pertengahan Jalan Lintas Banda Aceh - Medan
Kota Lhokseumawe adalah bandar kedua terbesar  di Provinsi Aceh dan ia berada di pertengahan jalur timur Sumatera, tepatnya di antara Kota Banda Aceh dan Kota Medan  Kedudukan  kota ini menjadikannya berfungsi sebagai pusat pengedaran dan perdagangan yang sangat penting bagi Aceh. Jarak tempuh Medan ke Lhokseumawe memakan waktu lebih kurang 6 jam melalui jalan jalur ini dan begitu juga untuk Banda Aceh ke Lhokseumawe.

 Kata Lhokseumawe berasal dari kata "Lhok" dan "Seumawe". Lhok artinya dalam, teluk, palung laut dan Seumawe artinya air yang berputar-putar atau pusat mata air. Kota kecil ini juga dikenali sebagai kota gas. Ia adalah sebuah pulau yang luasnya hanya 11 km yang dikelilingi laut dan dibelah sungai Krueng Cunda.

Kota Lhokseumawe terletak di sebelah utara yang berbatasan dengan Selat Malaka, sebelah Selatan dengan Kecamatan Kuta Makmur (Kabupaten Aceh Utara), sebelah barat dengan Kecamatan Dewantara (Kabupaten Aceh Utara) dan sebelah timur dengan Kecamatan Syamtalira Bayu (Kabupaten Aceh Utara).

Kota Lhokseumawe....sebuah "pulau " kecil
5/6/2015
Hari ini kami akan melakukan satu perjalanan yang sangat jauh. Ia akan bermula dari Kota Sabang dan berakhir `di Kota Lhokseumawe. Pagi ini kapal ke Banda Aceh dijadualkan bertolak jam 8.00 pagi. Oleh kerana itu pukul 6.45 pagi Mas Har sudah datang ke hotel menjemput kami (seperti yang dijanji) untuk dihantar ke Pelabuhan Balohan. Walau pun tempuh perjalanan dari hotel ke pelabuhan antara 15-20 minit sahaja tetapi kami tidak mahu mengambil risiko 'terlambat' kerana tiket sudah dibeli. Tambang ke pelabuhan ini dibayar asing daripada bayaran sewa sebelumnya kerana sudah termasuk hari lain.

Sebelum bertolak sempat bergambar di depan hotel sebagai kenang-kenangan pernah 'menjejak kaki di Sabang', kota paling barat di Indonesia.



Amaran dari pihak hotel kepada
 pelanggan-pelanggannya yang masih belum berkahwin
Alhamdulillah, tiada apa-apa halangan dalam perjalanan ke pelabuhan. Jam 7.05 pagi kami sudah sampai ke Pelabuahn Balohan. Masih ada banyak waktu lagi sementara menunggu kapal cepat yang akan bertolak pukul 8.00 pagi. Kami bersarapan dahulu di salah sebuah gerai yang banyak terdapat di situ. Pagi ni saya mencuba Nasi Gurih Aceh. Kami juga sempat bergambar di sekitar pelabuhan. Ketika sampai pagi semalam kami tidak dapat bergambar kerana hari hujan, tetapi hari ini cuaca sangat baik. 



Welcome To Sabang, Weh Island
Tepat jam 8.00 pagi kapal bertolak ke Banda Aceh. Kali ini pelayarannya tenang......tidak seperti pagi semalam yang agak 'ganas', kerana cuaca pagi ini sangat elok sekali. Tempoh perjalanan juga terasa sekejap sahaja berbanding ketika datang semalam.


Pagi ni happy.....tak mabuk laut....
Pelayaran tenang aje!
 Sekali lagi alhamdulillah, kami selamat sampai di Pelabuhan Ulee Lheue. Syukur yang tidak terhingga kepada Ilahi yang telah memudahkan segala urusan kami dari awal sehingga akhir pengembaraan ringkas kami, sehari semalam, ke Pulau Weh. Walau pun sangat sekejap tetapi kami tetap berpuas hati kerana diberi kesempatan mengunjunginya.

Hari ini kami akan membuat satu lagi pengembaraan ringkas, dua hari satu malam, tetapi kali ini melalui Jalan Lintas Sumatera. Kami sudah berurusan dengan Pak Iskandar untuk terus menyewa keretanya ke Lhokseumawe tetapi dengan harga yang lain kerana ia melibatkan perjalanan di luar kota. Harga sewa yang baharu yang telah dipersetujui ialah 650 ribu sehari, termasuk supir tetapi tidak termasuk benzin atau minyak. Seperti biasa makan minum supir ditanggung dan kali ini tempat tidurnya juga ditanggung.

Lebih kurang pukul 9.30 pagi kami memulakan perjalanan. Singgah sebentar di bank untuk menukar ringgit ke rupiah....RM 1000 dapat Rp 3.4 juta. Oleh kerana perjalanan ini agak jauh, kami perlu bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku...."sediakan payung sebelum hujan".  

Dalam perjalanan ini kami memang merancang untuk berhenti dan melawat 2 tempat yang sarat dengan sejarah Aceh. Tempat pertama yang kami lawat ialah Masjid Tuha (tua) Indrapuri.  Letaknya tidak jauh dari pasar Indrapuri atau sekitar 24 kilometer ke arah Utara dari Banda Aceh. Lokasinya berhampiran jalan Banda Aceh-Medan, Desa Pasar Indrapuri, Kecamatan Indrapuri, Aceh Besar

  

Gambar Google
Tembok tinggi itu adalah bekas candi yang mengelingi masjid
 Ada beberapa versi yang menceritakan bagaimana terdirinya bangunan ini. Ada versi yang mengatakan ianya dibina ketika masuknya Islam di Aceh pada masa Sultan Iskandar Muda sekitar tahun 1607-1636. Dengan berkembangnya Islam, candi itu harus diruntuhkan. Sultan akhirnya membina masjid di atas runtuhan tempat beribadah umat Hindu itu.

Versi lain pula mengatakan bahawa bangunan ini telah dibina sejak abad 10 Masehi lagi sebagai peninggalan kerajaan Poli/Puri yang kemudian disebut kerajaan Lamuri oleh bangsa Arab.

Sebelum masa Iskandar Muda, seorang pendakwah Islam bernama Abdullah Kan’an yang bergelar Tengku Abdullah Lampeuneuen dari Peurelak, bersama Meurah Johan dari kerajaan Lingga mencuba mengajak raja beserta rakyat Kerajaan Lamuri untuk memeluk Islam. Hasil dari dakwah mereka dan juga bantuan yang diberi ketika menentang musuh Kerajaan Lamuri sehingga membawa kejayaan, menyebabkan Raja dan rakyat Lamuri menerima Islam.

Setelah menjadi kerajaan Islam, Raja Lamuri diberi gelaran Sultan Alaidin Johan Syah Dhilullah Fil’alam. Raja memerintahkan rakyat agar meruntuhkan semua tempat peribadatan mereka. Candi-candi itu pun diruntuhkan dan kemudian di  atas runtuhan candi itu dibinalah masjid.

Dalam mana-mana versi pun. masjid ini tetap menjadi saksi masuknya Islam di Aceh kerana yang pasti ia dibina  di atas pertapakan bekas candi. Masjid ini diperbuat daripada kayu, didirikan di atas tapak binaan daripada batu kapur dan tanah liat. Ia dikelilingi tembok batu yang bertingkat-tingkat.

Masjid ini telah menjadi saksi sejarah sejumlah peristiwa penting semasa Kerajaan Aceh Darussalam.
Ia pernah berfungsi sebagai benteng pertahanan ketika pendudukan Portugis dan Belanda di Aceh. Di masjid ini, Muhammad Daud Syah dilantik sebagai Sultan Aceh yang terakhir pada tahun 1874. Ketika itu dikatakan Indrapuri menjadi ibu kota Kesultanan Aceh untuk selama beberapa bulan sebelum dikuasai Belanda., Dari masjid ini pula, banyak ulama besar dan para pemikir Aceh muncul.

Pintu gerbang ......Benteng/Masjid Indrapuri
Sebelum masuk ke dalam kawasan bangunan, ada sebuah pintu gerbang kecil di bahagian timur. Setelah melepasi gerbang kecil itu, kita harus berjalan seperti melewati pelataran. Demikian luasnya halaman masjid ini.

Di halaman masjid
Di halaman tingkat kedua, terdapat kolam yang menampung air hujan. Gunanya sebagai tempat untuk menyucikan diri. Halaman kedua ini sekitar 10 meter, yang dibuat mengelilingi masjid. Sekali pandang, bentuk bangunan ini berkonsepkan perpaduan masjid dan benteng, sekaligus bercorak candi.


Di halaman masjid tingkat 2
Pada bahagian dalam masjid terdapat satu mimbar, yang biasa digunakan khatib ketika menyampaikan khutbah Jumaat. Untuk naik ke mimbar ini, ada tiga anak tangga yang harus diinjak, masing-masing luasnya setapak kaki orang dewasa.




Meski pun masjid ini dilihat kurang terurus, namun ia masih tetap terjaga dan tetap menjalankan fungsinya sebagai rumah ibadah bagi warga di sekitarnya

Lebih kurang pukul 10.30 pagi kami meninggalkan Indrapuri dan meneruskan ke lokasi kedua dalam agenda lawatan iaitu Perputakaan Kuno Tanoh Abee. 



Sebenarnya lokasi perpustakaan ini tidaklah jauh sangat daripada Indrapuri, mengikut jalan Lintas Banda Aceh - Medan. Walau bagaimana pun kedudukannya yang jauh dari jalan utama membuat kami tersesat kerana silap masuk simpang. Ada satu ketika kami tersesat hingga ke kaki Gunung Seulawah.....mendaki naik menyebabkan kami berasa curiga dan terus berpatah balik. Kami hampir saja berputus asa mencarinya kerana wujud masalah bahasa apabila suami turun bertanya arah kepada penduduk sekitar. Yang peliknya supir kami langsung tidak ingin membantu dalam masalah ini. Apabila suami ahkirnya 'give up' bertanya, baharulah dia turun dari kenderaan dan membantu bertanya arah daripada penduduk setempat. Alhamdulillah, setelah melalui gunung, hutan, sawah dan kampong selama lebih sejam, akhirnya kami sampai juga ke destinasi yang dituju.

Setelah tiba dan siap hendak masuk ke kawasan zauyah ( dayah/pondok/pesantren) ini, saya mendapat satu kejutan. Saya tidak dibenarkan masuk  oleh salah seorang santri zauyah. kerana memakai celana.  Hari itu saya memakai seluar panjang dengan bajuh labuh sampai ke lutut. Terpaksalah saya menyalin pakai kain. Tidak lama kemudian, ketika hendak masuk bilik perpustakaan, saya dan anak perempuan mendapat kejutan lagi. Orang perempuan tidak dibenarkan masuk kecuali dengan izin umi tetapi umi tidak sihat hari itu untuk keluar bertemu kami. Aahh..... tempat ini memang anti-wanita! Ironinya, yang bertanggungjawab menjaga perpustakaan ini sekarang ialah seorang wanita. Hmm....tidak sangka masih lagi wujud diskriminasi terhadap wanita di zaman ini.

 Namun ada satu hal yang peraturannya berbolak-balik, iaitu menghisap rokok dalam kawasan zauyah. Ada satu masa dilarang merokok dalam kawasan ini tetapi kini dibolehkan pula. Mungkin yang mengepalai zauyah ini sekarang mempunyai pandangan yang berbeza daripada pemimpin sebelum ini sehingga membenarkan perokok berada dalam kawasan zauyah....kuasa lelaki!

 Ikutilah  coretan saya seterusnya pasal Perpustakaan kuno Tanoh Abee ini di sini.

Kira-kira jam 12 tengahari kami tinggalkan dayah Tanoh Abee, meneruskan pejalanan ke Kota Lhokseumawe. Dalam perjalanan kami singgah makan tengahari di sebuah kedai makan yang terletak di pinggir jalan, yang kelihatan seperti kawasan  R&R kalau di Malaysia. Kedai makan ini berada di  Mukim Saree, kecamatan Lembah Seulawah, Kabupaten Aceh Besar.

Makan nasi longgok -  Rp 98,000
Rumah Makan Rayhan
Masakan Khas Minang Saree Aceh
Selesai makan kami ke masjid pula untuk menunaikan solat Zohor-Asar di Masjid Baitul Muttaqin yang juga berada di Saree, Aceh Besar. Daerah Seulawah, pasti dilewati siapa pun yang memasuki Banda Aceh melalui jalan lintas Sumatera. Ia terletak di antara perbatasan Kabupaten Pidie dan Aceh Besar, Aceh. Saree terkenal dngan produk kerepek ubi keledek dan juga tapai ubi kayu dalam wilayah Aceh tetapi kami tidak berkesempatan membeli apa-apa kerana perjalanan masih jauh.


Masjid Baitul Muttaqin Saree Aceh Besar


Lima minit selepas meninggalkan masjid, kami telah masuk ke Kecamatan Sigli, Kabupaten Pidie. Perjalanan diteruskan sehingga ke Bireun, salah satu kabupaten di Aceh. Di sini, Pak Iskandar berhenti di sebuah gerai air tebu untuk kudapan petang sambil melepaskan lenguh dan berihat sebentar.


Pemandangan unik....mengikuti lori yang dipenuhi wanita-wanita
Air tebu yang dijual digerai ini agak istimewa, tidak seperti air tebu di Malaysia. Air tebunya asli, tidak dicampur gula mahupun ketul ais. Rasanya sangat manis dan kalau dicampur ais pasti sedap sangat. Kebetulan cuaca pula sangat panas hari itu. Namun apakan daya, memang tiada ais di gerai tersebut. Kami juga makan rojak Aceh di sini dan pulut pandan. Lama juga kami berihat di sini, lebih kurang 40 minit.


Selepas diperah terus masuk gelas            


Suasana gerai air tebu

Rojak Aceh yang disediakan secara tradisional.....
memang sedap
Selepas ini kami meneruskan perjalanan tanpa berhenti sehingga sampai ke destinasi yang dituju. Kami tiba di Kota Lhokseumawe lewat petang. Perkara pertama yang harus diselesaikan ialah mencari tempat penginapan. Tidak banyak pilihan di sini....lama juga kami mencari. Nasib baik Pak Iskandar biasa ke sini dan dia bawa ke sebuah hotel bajet. Terpaksalah terima apa yang ada.

Hotel Kita Karang Baru, Lhokseumawe
Alhamdulillah kami dapat juga bilik penginapan akhirnya untuk bermalam, tetapi inilah bilik yang paling teruk yang pernah saya nginap. Saya tidak kisah tempat tidurnya ..... asalkan boleh tidur, dah ok. Namun saya sangat kisah pasal kebersihan bilik air di mana sahaja saya menginap. Agak kesal juga negeri yang mendapat jolokan "Serambi Mekah" tetapi tidak mengamalkan kebersihan sepertimana yang dianjurkan oleh Islam. Sedikit terhibur apabila pihak hotel tetap menyediakan sarapan nasi bungkus walaupun ia hanyalah sebuah hotel bajet.

Sebelah malamnya kami keluar lewat sedikit untuk makan malam, setelah berihat dan selesai solat Isyak-Maghrib, kerana keletihan. Tiada tempat yang khusus dituju dan tiada menu tertentu yang dicari. Masing-masing meminta apa yang diingini.

Sate ada, kerang rebus ada..... suasana lebih kurang sama di Malaysia
Selesai makan kami pusing-pusing sebentar melihat kota Lhokseumawe di sebelah malam. Bandarnya agak gelap kerana tidak banyak dipasang lampu jalan untuk menjimatkan kos letrik.






Lhokseumawe at nite
Beginilah kami mengakhiri hari keempat lawatan ke Aceh sebelum pulang ke hotel. InsyaAllah kita berjumpa lagi di hari kelima dalam entri yang lain.



Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - part 1)

Jejak Aceh - Pantai Lampuuk- Masjid Rahmatullah Lhoknga

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - part 2)

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - Part 3)

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 3)

Jejak Aceh - Perpustakaan Kuno Tanoh Abee

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 5 )

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 6 )

Hujung Dunia - KM 0 (Zero) Sabang