Monday, 27 January 2020

Jogjakarta - Never Ending Asia ( part 2 )

Ini adalah bahagian ke-2 daripada catatan memori lawatan kami ke Jogja. Bahagian pertama boleh dilihat di SINI . Jika di catatan sebelum ini saya menceritakan tentang lawatan ke tempat menarik yang berada di luar kota, tetapi pada kali ini yang berada berhampiran dengan kota pula.

Selepas pulang dari lawatan ke Gunung Merapi, kami berpindah ke Hotel Amaris yang lebih murah (400k rupiah untuk 2 malam) kerana kini perbelanjaan akan ditanggung sendirišŸ˜€Kami berpindah dengan menggunakan kereta sewa dan menginap di sini selama 2 malam lagi.

29 September 2017
Untuk lawatan hari ini kami tidak menyewa kereta. Kami hanya menggunakan kenderaan awam untuk bergerak ke tempat-tempat yang ingin dituju.

Kota Jogja sangat kaya akan budaya dan sejarah. Jika melawat Jogja, Malioboro dan Persimpangan Titik Nol Kilometer merupakan tempat wajib untuk didatangi. Ketika kita berkunjung ke kota ini, seboleh mungkin kita menyempatkan untuk singgah ke Tugu Jogja, Jalan Malioboro, dan Pasar Beringharjo. Kononya belum ke Jogja kalau belum ke kawasan ini.

Tempat yang pertama kami tuju pada hari ini ialah Tugu Yogyakarta dengan menaiki beca bermotor. Kami naik berdua dalam satu motor, yang sebenarnya muat untuk seorang sahaja, jika kita berbadan besar sepert kami, dan dikenakan bayaran sebanyak 25k rupiah.

Tugu Yogyakarta merupakan salah satu simbol atau ciri khas Yogyakarta. Ia terletak di simpang empat antara Jl Sudirman di sisi timur, Jl AM Sangaji di sisi utara, Jl Diponegoro di sisi barat dan Jl Mangkubumi di sisi selatan.
Tugu Yogyakarta di belakang .... pagi  29 Sept 2017
Tugu Yogyakarta ini dikenali sebagai Tugu Pal Putih atau dalam Bahasa Belanda disebut De Witte Paal. Dulu pada zaman Belanda juga disebut Tugu Golong-Gilig kerana di bahagian atas berbentuk seperti bulatan bola. Manakala di bahagian bawahnya atau penyangga berbentuk bulat panjang atau dalam Bahasa Jawa disebut gilig. Golong-Gilig membawa maksud menyatukan hubungan antara raja/kasultanan Yogyakarta dengan rakyatnya. Namun setelah terjadi gempa bumi pada tanggal 10 Jun 1867, tugu golong-gilig runtuh, kemudian dibina semula bentuknya seperti sekarang ini.

Tugu Yogyakarta merupakan penanda batas utara kota tua Yogya. Tugu Yogya bukanlah tugu sembarangan, tetapi ia adalah tugu yang memiliki mitos yang sangat bersejarah dan sejuta misteri di dalamnya, sehingga menjadi salah satu keistimewaan yang dimiliki kota Yogya. Ia  dibina pada tahun 1755 oleh Sri Sultan Hamengku Buwono I, yang juga membina kraton Yogyakarta. Satu pembinaan yang mempunyai nilai simbolik di mana kedudukannya berada dalam satu garis imaginasi menghubungkan Laut Selatan, Kraton Yogya dan Gunung Merapi.

Hari ini hari Jumaat. Lebih kurang jam 11.30 am kami singgah di Masjid Jami' Baitul Ma'mur untuk solat Jumaat/Zohor. Ada satu kemudahan dalam masjid ini yang saya sangat suka, iaitu tempat wuduknya yang sangat membantu bagi orang lama seperti kami.

Masjid Jami' Baitul Ma'mur
Inilah tempat wuduknya .... ada 2 batang besi (atas dan bawah)
yang menjadi tempat untuk berpaut dan meletakkan kaki
ketika membasuh kaki
Tugu Yogyakarta juga lebih dikenali sebagai Tugu Malioboro. Ini bermakna jalan yang terkenal ini sudah tentu berada berdekatan dengannya. Selepas solat kami berjalan-jalan sebentar di kawasan ini dan berjumpalah papan tanda nama Jalan Malioboro. Jalan ini terletak di antara Kraton Yogya dan Tugu Pal Putih.
Terjumpa pulak orang yang tolong mengambil gambar kami berdua
Dalam bahasa Sanskrit, "Malioboro" bermakna "Karangan Bunga". Sebutan ini menurut sumber tertenru diyakini memiliki hubungan dengan masa lampau. Pada zaman dahulu, apabila Kraton mengadakan upacara besar-besaran, maka Jalan Malioboro akan dipenuhi dengan bunga.

Jalan Malioboro terkenal sebagai syurga membeli-belah di kalangan pelancong. Di sisi kiri dan kanan jalan, sejauh mata memandang, kita akan berjumpa berbagai jenis kedai yang menjual berbagai jenis ole-ole dari jenis makanan hingga batik. Di sini juga terdapat banyak andong iaitu sejenis kereta kuda.

Andong merupakan warisan budaya yang keberadaannya memberikan warna khas kota Jogja. Kami pun tidak melepaskan peluang menaikinya pada petang itu kerana bayaran yang dikenakan agak berpatutan. Kami menyewa secara pakej iaitu mengelilingi kota ke beberapa tempat yang biasa dikunjungi pelancong termasuk Kraton Jogja. Andong ini jalannya tidak laju. Oleh kerana itu kita dapat menikmati  suasana kota Jogja dengan lebih dekat secara bersantai dan menyenangkan.
Ketika berada dalam andong .....
Kraton Yogya .... foto diambil dari andong saja
Tidak masuk kerana kesuntukan masa
Kereta kuda yang dinaiki ...
..... ini pula penariknya
Di akhir perjalanan kami meminta pemandu andong menghantar kami ke Pasar Beringharjo. Kami ke sini 2 hari berturut .... pada petang ini dan esok paginya sebelum balik ke Malaysia untuk menghabiskan saki baki rupiah yang masih ada banyak di tangan.
Pasar Beringharjo .... pagi 30 Sept 2017
Suasana dalam pasar
Pada sebelah malamnya pula kami berjalan-jalan ke Malioboro Mall pula. Niat di hati hendak cari makan malam - makanan khas dari Jogja. Susah juga handak jumpa yang bukan dari jenis nasi. Akhirnya kami mencuba Nasi Gudeg.

Nasi Gudek .... nasi putih, gudek, telor, ayam kampung, krecek
Nasi Gudek adalah nasi putih yang dimakan bersama gudek, makanan khas Yogyakarta dan Jawa Tengah, yang dibuat dari nangka muda yang dimasak dengan santan. Masakan ini memerlukan masa berjam-jam untuk membuatnya. Warna coklat makanan ini biasanya dihasilkan oleh daun jati yang dimasak bersamanya. Turut disajikan bersama nasi gudek ialah telor, ayam kampong, tahu dan sambal goreng krecek (sambel goreng tempe dengan kerupuk kulit sapi)

Malioboro Mall .... malam 29 Sept 2017
Kami pergi beberapa kali ke kawasan yang berhampiran Jalan Malioboro ini. Malioboro menjadi pusat kehidupan masyarakat Yogya. Banyak benda yang boleh dilihat selain berbelanja di sini. Salah satunya ialah seni melukis batik, di mana batik telah diiktiraf oleh UNESCO  sebagai warisan budaya Indonesia.
Sijil pengiktirafan UNESCO
Demo melukis batik
Peralatan membuat batik -
kain putih, lilin, serbuk abu, pewarna dan canting
Aktiviti ini ditempatkan di salah satu sudut dalam sebuah pusat membeli-belah iaitu Hamzah Batik. Kedai batik ini sangat popular di kalangan pelancong dan warga tempatan. Setelah puas berbelanja, bolehlah pergi pula ke persimpangan yang tidak jauh dari Malioboro, Titik Nol Kilometer namanya. Inilah titik permulaan di mana jarak semua jalan dari sini diukur
Lokasi km 0
Ini bukan persimpangan biasa. Lokasinya yang strategik iaitu di depan alun-alun utara, menjadikan tempat ini sebagai salah satu tempat paling tepat menikmati suasana Jogja secara nyaman. Kawasan pejalan kakinya yang luas mampu menampung ramai orang. Beberapa kerusi taman tersedia di sini, menambah kenyamanan pengunjung, dan dihiasi pula oleh lampu hias dan bangunan-bangunan lama peninggalan penjajah Belanda.

Jika kita menghadap ke selatan, nampak bangunan BNI dan Pejabat Pos  mengapit jalan menuju ke kraton. Jika menghadap ke utara, kita akan melihat jalan Malioboro sebagai jalan utama. Kita boleh melihat Gedung Agung (Istana Yogyakarta), Entente Vredeburg dan Monumen Serangan Umum 1 Maret di sebelah sini.
Pejabat Pos Besar Jogja
Bank Negara Indonesia (BNI) Jogja
Kawasan berhampiran monumen

Monumen Serangan Umum 1 Mac 1954
Monumen ini merupakan bukti bahawa persimpangan ini memiliki nilai sejarah yang tinggi. Monumen ini didirikan untuk menghargai jasa pahlawan. Dipimpin oleh Jendral Soedirman, serangan besar dilakukan untuk mengusir Belanda dari Yogyakarta.
Muzium Vredeburg
Kami juga melawat Benteng Vredeburg. Benteng ini dibina sebagai pusat pemerintahan dan pertahanan residen Belanda ketika itu. Benteng berbentuk persegi ini mempunyai bastion (menara pantau) di keempat sudutnya. Sekarang, benteng ini menjadi sebuah muzium.
Mesin cetak Heidelberg ......
salah satu objek yang dipamerkan
Pintu gerbang Kampoeng Ketandan
Selain daripada bangunan dan monumen kita juga boleh berjalan-jalan di kawasan berhampiran Malioboro untuk melihat budaya kehidupan warga Jogja. Dalam "jalan-jalan" ini kami ada melewati sebuah 'chinatown' yang dipanggil Kampung Ketandan. Ketandan dalam bahasa Jawa mempunyai maksud “tanda” atau “simbol”. Ia digelar Pekan Budaya Tionghoa Yogya (PBTY). Ia terletak tidak jauh dari kawasan Malioboro.

Warna-warni kehidupan di kota
Masih banyak lagi yang boleh dilihat di kota Jogja dan kawasan berdekatan. Kami hanya sempat melawat sebahagian kecil sahaja dari tempat-tempat menarik yang ada di daerah ini.


Related post:

Jogjakarta - Never Ending Asia ( part 1 )


No comments:

Post a Comment