Showing posts with label Salahuddin Ayyubi. Show all posts
Showing posts with label Salahuddin Ayyubi. Show all posts

Sunday, 18 January 2026

Generasi Salahuddin



The Salahuddin Generation

 Siri "The Salahuddin Generation" (Generasi Salahuddin) yang diterbitkan oleh Yaqeen Institute merupakan sebuah karya dokumentari sejarah yang sangat signifikan pada tahun 2026. Dikendalikan oleh Dr. Hassan Elwan, siri ini bukan sekadar penceritaan kronologi perang, tetapi sebuah bedah siasat ke atas kebangkitan tamadun Islam dari fasa perpecahan sehingga kepada pembebasan Al-Aqsa. 

Berbeza dengan dokumentari sejarah biasa yang hanya memfokuskan kepada karisma Salahuddin, siri ini menekankan bahawa kejayaan beliau adalah hasil daripada usaha kolektif merentas generasi. Ia menghuraikan bagaimana para ulama, cendekiawan, dan pemimpin sebelum Salahuddin telah menyediakan "peta jalan" (roadmap) melalui pendidikan dan penyatuan ummah. 

Berikut adalah ulasan ringkas komponen-komponen utama siri ini:

1. Falsafah Utama: Reformasi Sebelum Revolusi

Tema paling kritikal dalam siri ini adalah penolakan terhadap konsep "menunggu penyelamat" (savior complex). Siri ini berhujah bahawa Salahuddin Al-Ayyubi tidak muncul dalam vakum. Beliau adalah "produk" daripada sistem yang telah diusahakan selama hampir 50 tahun oleh tokoh-tokoh sebelumnya. Episod-episod awal menggambarkan betapa hancurnya moral dan politik umat semasa Perang Salib Pertama (1099), di mana pemimpin Muslim sering berperang sesama sendiri dan mengabaikan nasib rakyat. 

2. Arkitek Di Sebalik Tabir: Pena Mendahului Pedang

Siri ini memberi penghormatan kepada tokoh intelektual yang sering dipinggirkan dalam naratif popular:

Imam Al-Ghazali: Dilihat sebagai arkitek spiritual yang merombak pemikiran umat melalui karyanya, Ihya' Ulum al-Din, bagi memulihkan integriti ilmu dan jiwa.

Nizam al-Mulk: Wazir yang membina Madrasah Nizamiyyah, pusat pendidikan yang melahirkan generasi pentadbir dan ulama yang bersatu di bawah satu visi.

Nur ad-Din Zengi: Digambarkan sebagai pemimpin yang menukar model pemerintahan daripada "kekuatan semata-mata" (Dawla) kepada "berasaskan iman" (Din), termasuk menghapuskan cukai yang tidak adil dan menegakkan keadilan Syariah. 

3. Garis Masa dan Evolusi Perjuangan

Siri ini membahagikan kebangkitan ini kepada beberapa fasa penting:

Zaman Keruntuhan: Kejatuhan Baitul Maqdis akibat perpecahan dalaman dan serangan "Assassins" yang melemahkan kepimpinan.

Zaman Benih (Revival): Usaha pendidikan oleh ulama seperti Abdul Qadir Al-Jilani dan Ibn Khashab yang menyemai semangat jihad dan pembaharuan rohani.

Zaman Penyatuan: Kepimpinan Imad ad-Din Zengi dan kemudian anaknya, Nur ad-Din, yang berjaya menyatukan wilayah-wilayah penting seperti Aleppo dan Damsyik.

Zaman Kemenangan: Kemuncak perjuangan di bawah Salahuddin Al-Ayyubi yang akhirnya membuahkan hasil daripada landasan yang telah dibina oleh generasi sebelumnya. 

4. Relevansi Moden: Peta Jalan (road map) untuk Hari Ini

Siri ini mendapat pujian kerana berjaya menghubungkan sejarah abad ke-12 dengan krisis umat Islam pada tahun 2026. Ia menggabungkan naratif sejarah dengan pengajaran Islam yang relevan untuk zaman moden, menjadikannya bukan sekadar "cerita sebelum tidur" tetapi panduan untuk masa hadapan.Ia menjawab persoalan mengapa umat hari ini kelihatan tidak berdaya walaupun memiliki jumlah yang besar. Melalui siri ini, penonton diajak melihat bahawa "peta jalan" untuk kembali kepada kemuliaan ('izzah) adalah melalui penyatuan ideologi, reformasi pendidikan, dan integriti kepimpinan. 

5. Kualiti Produksi dan Penyampaian

Dengan gaya penceritaan yang pantas namun padat dengan refleksi, Dr. Hassan Elwan berjaya membawa penonton merasai emosi setiap fasa sejarah. Penggunaan data sejarah yang sahih—merujuk kepada karya Dr. Majid Irsan Al-Kailani dan Ibn Shaddad—menjadikan siri ini sumber rujukan yang dipercayai dan ilmiah. 

 6. Struktur Episod dan Tema

Siri ini disusun secara kronologi bagi menunjukkan kebangkitan semula Islam dari titik terendah:

Ancaman Dalaman & Institusi: Episod awal membincangkan ancaman kumpulan radikal seperti Qarmatians dan Assassins, serta peranan Nizam al-Mulk dalam membina sekolah Nizamiyya sebagai pusat pendidikan generasi baharu.

Keganasan Perang Salib: Membedah punca kejatuhan Baitul Maqdis dalam Perang Salib Pertama, yang menurut siri ini bukan kerana kekuatan musuh semata-mata, tetapi akibat perpecahan dalaman umat Islam.

Peranan Ulama (The Pen and The Sword): Menonjolkan tokoh-tokoh seperti Imam al-Ghazali dan Ibn Khashab yang melakukan reformasi pemikiran sebelum sebarang tindakan ketenteraan diambil.

Kepimpinan Salahuddin: Mengisahkan cabaran awal Salahuddin di Mesir, proses penyatuan wilayah Islam, dan kemuncaknya pada Perang Hattin. 

Kesimpulan:

Siri "The Salahuddin Generation" adalah tontonan wajib bagi sesiapa yang ingin  memahami dinamika perubahan sosial. Ia membuktikan bahawa sejarah bukan tentang masa lalu, tetapi merupakan satu set hukum (Sunnatullah) yang jika dipelajari dan diamalkan, mampu mengubah masa depan sesebuah bangsa.

My POV

Ketika menonton dan mendengar dari video ini tentang penolakan konsep "menunggu penyelamat", saya teringat satu artikel yang saya tulis beberapa tahun yang lalu bertajuk "Aina Salahuddin - Mencari Salahuddin". Benar bagai yang dikata, sikap "menunggu penyelamat" wujud dalam diriku ini, rupanya😓

Inilah konsep yang kebanyakan daripada kita percaya dan terus memegang sehingga kini. Apa yang dikatakan oleh Dr Hassan Elwan ada benarnya bila difikirkan semula. Marilah sama-sama kita berusaha ke arah mengembalikan kemuliaan ('izzah) melalui penyatuan ideologi, reformasi pendidikan, dan integriti kepimpinan, sepertimana yang disarankan oleh beliau.


Tuesday, 1 June 2021

Aina Salahuddin - Mencari Salahuddin



KISAHNYA menjadi sumber inspirasi kepada seluruh umat Islam terutamanya di Palestin. " Aina Salahuddin?" menjadi laungan jihad sebahagian umat Islam di sana.

Siapakah Salahuddin yang dicari? Mengapa namanya dijulang oleh pejuang-pejuang Palestin? Mengapa sosok ini dikaitkan dengan pembebasan Palestin dan mengapa mereka mencarinya?

Salahuddin yang dimaksudkan ialah Yusuf bin Najmuddin al-Ayyubi atau Sultan Salahuddin Ayyubi. Salahuddin Al-Ayyubi atau Saladin (1137 - 1193) berbangsa Kurdi yang berasal dari Tikrit Iraq. Beliau adalah pengasas Dinasti Ayyubiah yang berkuasa di Mesir, Syria,sebahagian Yaman, Iraq, Mekkah Hijaz dan Diyar Bakr. Namanya sehingga kini terpahat sebagai panglima yang telah menakluk Jerusalem dan mengikat perjanjian damai dengan tentera Salib.

Tentera Salahuddin bertempur dalam 'Peperangan Hattin' melawan tentera Salib pada tahun 1187. Peperangan demi peperangan telah berjaya dimenangi oleh tentera Salahuddin sebelum mereka tiba di Juruselam. Salahuddin dan pasukannya berhasil menakluki kota-kota penting seperti Acre/Akko (10 Julai), Tyrus (14 Julai), Toron (26 Julai), Sidon (29 Julai), Gibelet (4 Ogos), Beirut (6 Ogos) dan Ashkelon (5 September).
Pertempuran bersejarah pada 1187 ini menghasilkan kemenangan Salahuddin, tepatnya 88 tahun setelah tentara Salib merebut Palestin dari penguasa Muslim. Tarikh 28 Rejab 583 H ( Jumaat - 2 Oktober ) adalah antara tarikh bersejarah bagi umat Islam, iaitu tarikh pembebasan Masjidil Aqsa dari genggaman Kristian. Mereka menurunkan semua lambang salib dan menggantikan dengan bendera Islam serta mengerjakan sembahyang jemaah di dalam Masjidil Aqsa selepas lebih 80 tahun tidak boleh berbuat demikian.


Salahuddin adalah seorang jenderal dan mujahid muslim. Di dunia Islam dan Keristian beliau dikenali kerana kebolehan sebagai ketua, ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kesatriaan dan belas kasihannya terhadap musuhnya di Perang Salib. Salahuddin al-Ayyubi adalah pahlawan paling mengagumkan yang pernah dipersembahkan oleh peradaban Islam sepanjang abad ke-6 hingga ke-7 Hijriah. Berkat Salahuddin, umat dan peradaban Islam terselamat dari kehancuran akibat serangan dari kaum salib. Perjuangannya penuh dengan tekad dan tenaga, sepertinya tidak pernah penat, perang demi perang, suatu kuasa yang menakjubkan di zamannya. Pahlawan yang dapat menggoncangkan dunia apabila di medan peperangan.

Salahuddin merupakan sosok tauladan sepanjang masa dan sepanjang musim, baik di Eropah mahupun di seluruh dunia Islam. Kisah Salahudin bukan sahaja mengenai penaklukan Jerusalem, Perang Salib 3, penggabungan Syria dan Mesir, malah perjalanan politik Salahudin itu juga amat menarik dan beremosi untuk ditauladani oleh semua. Kesanggupannya meninggalkan kerajaan, harta dan keluarganya di Damsyik semata-mata kerana seruan syahid, menginspirasikan kita. Beliau bagaikan singa lapar di medan peperangan hanya kerana ingin menakluk kota suci Baitul Maqdis.

Sumber dari https://tirto.id
Apakah yang menjadi motivasi beliau untuk mempunyai energi dan semangat yang sedemikian?
Baitulmaqdis yang menjadi rebutan sejak dahulu lagi adalah sebuah kota tiga benua, menghubungkan Afrika, Asia dan Eropah. Salahuddin Al-Ayyubi menyebut, "Sesiapa yang dapat menguasai Palestin, dia boleh menawan dunia". Ketika Salehuddin al-Ayyubi dapat menawan kembali al-Aqsa daripada tentera salib, beliau bernazar untuk meletakkan dua mimbar, satunya di Masjid al-Aqsa dan satu di Masjid Ibrahimiyah di Hebron.


“Ketika Allah memberiku tanah Mesir, aku yakin bahawa Dia juga akan memberikan Palestin kepadaku.” Kalimat itu diucapkan Salahuddin dengan penuh kepercayaan diri setelah berhasil menaklukkan Syria dan Mesir pada 1175. Sultan Salahuddin Al-Ayyubi meyakini Allah telah meletakkan tanggungjawab membebaskan Kota Baitulmaqdis di bahunya dan beliau berazam untuk melaksanakan tugas ini sebaik mungkin.


Bagi Salahuddin, tanah Palestin menjadi penting kerana di sana, tepatnya di Jurusalem, terdapat Masjidil Aqsa yang disucikan umat Islam. Dalam keyakinan Muslim, Masjid Al-Aqsa adalah kiblat pertama. Ia Tempat Nabi melakukan perjalanan Isra' Mikraj yang melahirkan perintah salat lima waktu. Pendeknya, merebut tanah Palestin bukan hanya bermakna spiritual bagi Salahuddin, tetapi juga jalan mensahkan dirinya sebagai khalifah besar di Timur Tengah.


Salahuddin Al Ayyubi adalah satu tokoh dalam Islam yang dapat dijadikan tauladan dalam pendidikan karakter. Apakah iktibar atau pengajaran yang boleh kita ambil dari tindak-tanduk beliau? Dari kisah pahlawan merangkap seorang raja, kita dapat mencontohi sikap beliau dalam terus berjuang untuk membebaskan umat Islam dari cengkaman orang Keristian yang kejam.


Persediaan beliau juga sangat mantap. Pelajaran ketenteraan didapati Salahuddin dari pakciknya Asaduddin Shirkuh yang menjadi panglima perang Turki Saljuk. Bersama dengan pakciknya, Salahuddin menguasai Mesir dan menjatuhkan sultan terakhir Dinasti Fatimiyah. Beliau sememangnya seorang penunggang kuda yang cekap dan panglima tentera yang bermatlamat ‘Jihad Fi Sabillillah’. Dari seorang ketua panglima tentera kepada Sultan Nurudin dari Syria hingga menjadi Khalifah Mesir sebelum diisytiharkan kemerdekaan oleh Kerajaan Abasiyah dan diberikan gelaran Sultan Salahuddin Al-Ayyubi.


Salahuddin mempunyai peribadi yang agung. Bukan sahaja sifat kepahlawanannya, tetapi yang utama adalah akhlaknya. Beliau juga adalah pemimpin yang memelihara ilmu pengetahuan, sangat berpengetahuan dalam agama dan sangat warak, menjadi contoh yang baik dalam menepati janji, keberanian dan pemurah.


Stanley Lane-Poole seorang orientalis dan ahli arkeologi dari England berkata,“Sekiranya penaklukan kota Baitulmaqdis menjadi satu-satunya maklumat yang kita ketahui tentang peribadi Sultan Salahuddin, ia sudah memadai untuk membuktikan bahawa beliau ialah seorang penakluk yang paling berakhlak dan paling berjiwa besar di zamannya dan mungkin juga di setiap zaman.” Kisah ini dinukilkan dalam buku Saviours of Islamic Spirit oleh Syeikh Abul Hasan Ali Nadwi, seorang cendikawan dari India. Beliau menulis di dalamnya mengenai biografi tokoh-tokoh Islam yang hebat seperti Sultan Salahuddin Al Ayyubi.


Sikap pro-aktif Salahudin dalam menyusun tenteranya banyak membantu pasukannya mencapai kemenangan. Beliau juga dikatakan mengguna beberapa strategi perang yang cocok dengan teori Jeneral Tsun Zu dari benua China yang lahir 500 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa AS. Selain dari ini, Salahuddin juga tidak lupa mencontohi tektik-tektik berperang dari Nabi Muhammad SAW. Segala strategi dirancang bersama-sama tenteranya. Sikap optimis terhadap janji kejayaan Rasulullah SAW juga membantu mendorong kepada kemenangan.


Peribadinya yang tidak boros dan gemar bersedakah menyebabkan beliau tidak pernah membayar zakat harta kerana hartanya tidak pernah cukup nasab. Selain itu semasa beliau meninggal dunia, beliau hanya meninggalkan beberapa dinar sahaja serta tidak langsung memiliki sebuah rumah!' Inilah ciri peribadi pemimpin yang ditunggu ummah.

Ingat sepanjang kempen pembebasan Baitulmaqdis dilancarkan, Sultan Salahuddin melalui peperangan demi peperangan sebelum berjaya mengambil semula Baitumaqdis. Kawasan ini digelar Darul Syuhada' kerana sejak dari zaman sebelum Muhammad SAW telah berlaku peperangan kerana agama di Baitulmaqdis. Antaranya, peperangan antara Jalut dan Tholut, Perang Syam'un Al-Ghazi dan kisah Nebuchednizzar yang menghancurkan kota Baitulmaqdis. Kemudian bagaimana kota Baitulmaqdis dihancurkan oleh Titus, tentera Rom pada 70 Masihi.

Dalam konteks hari ini, Israel kembali menguasai Baitulmaqdis dan mengikut sejarah ia adalah kali ketiga penaklukan ke atas kota suci ini dilakukan oleh musuh Islam. Puncanya tetap sama, apabila negara Arab mula berpecah dan sibuk menjaga kepentingan sendiri yang mengakibatkan mereka menjadi lemah dan memudahkan serangan pihak musuh.

Bagaimanapun, apa yang perlu difahami, hak menuntut semula kebebasan Baitulmaqdis, bukan hanya perlu dilakukan rakyat Palestin kerana ia tanggungjawab setiap umat Islam yang berada di muka bumi Allah SWT. Marilah kita sama-sama meneruskan kempen pembebasan Baitulmaqdis dan terus berusaha mencari Salahuddin.



Coretan Sahara M Said
Parit Raja BP
29 May 2021
sempena Kempen PalestinDiHati IKRAM