Tuesday 1 June 2021

Aina Salahuddin - Mencari Salahuddin

KISAHNYA menjadi sumber inspirasi kepada seluruh umat Islam terutamanya di Palestin. " Aina Salahuddin?" menjadi laungan jihad sebahagian umat Islam di sana.

Siapakah Salahuddin yang dicari? Mengapa namanya dijulang oleh pejuang-pejuang Palestin? Mengapa sosok ini dikaitkan dengan pembebasan Palestin dan mengapa mereka mencarinya?

Salahuddin yang dimaksudkan ialah Yusuf bin Najmuddin al-Ayyubi atau Sultan Salahuddin Ayyubi. Salahuddin Al-Ayyubi atau Saladin (1137 - 1193) berbangsa Kurdi yang berasal dari Tikrit Iraq. Beliau adalah pengasas Dinasti Ayyubiah yang berkuasa di Mesir, Syria,sebahagian Yaman, Iraq, Mekkah Hijaz dan Diyar Bakr. Namanya sehingga kini terpahat sebagai panglima yang telah menakluk Jerusalem dan mengikat perjanjian damai dengan tentera Salib.

Tentera Salahuddin bertempur dalam 'Peperangan Hattin' melawan tentera Salib pada tahun 1187. Peperangan demi peperangan telah berjaya dimenangi oleh tentera Salahuddin sebelum mereka tiba di Juruselam. Salahuddin dan pasukannya berhasil menakluki kota-kota penting seperti Acre/Akko (10 Julai), Tyrus (14 Julai), Toron (26 Julai), Sidon (29 Julai), Gibelet (4 Ogos), Beirut (6 Ogos) dan Ashkelon (5 September).

Pertempuran bersejarah pada 1187 ini menghasilkan kemenangan Salahuddin, tepatnya 88 tahun setelah tentara Salib merebut Palestin dari penguasa Muslim. Tarikh 28 Rejab 583 H ( Jumaat - 2 Oktober ) adalah antara tarikh bersejarah bagi umat Islam, iaitu tarikh pembebasan Masjidil Aqsa dari genggaman Kristian. Mereka menurunkan semua lambang salib dan menggantikan dengan bendera Islam serta mengerjakan sembahyang jemaah di dalam Masjidil Aqsa selepas lebih 80 tahun tidak boleh berbuat demikian.

Salahuddin adalah seorang jenderal dan mujahid muslim. Di dunia Islam dan Keristian beliau dikenali kerana kebolehan sebagai ketua, ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kesatriaan dan belas kasihannya  terhadap musuhnya di Perang Salib. Salahuddin al-Ayyubi adalah pahlawan paling mengagumkan yang pernah dipersembahkan oleh peradaban Islam sepanjang abad ke-6 hingga ke-7 Hijriah. Berkat Salahuddin, umat dan peradaban Islam terselamat dari kehancuran akibat serangan dari kaum salib.  Perjuangannya penuh dengan tekad dan tenaga, sepertinya tidak pernah penat, perang demi perang, suatu kuasa yang menakjubkan di zamannya. Pahlawan yang dapat menggoncangkan dunia apabila di medan peperangan.

Salahuddin merupakan sosok tauladan sepanjang masa dan sepanjang musim, baik di Eropah mahupun di seluruh dunia Islam. Kisah Salahudin bukan sahaja mengenai penaklukan Jerusalem, Perang Salib 3, penggabungan Syria dan Mesir, malah perjalanan politik Salahudin itu juga amat menarik dan beremosi untuk ditauladani oleh semua. Kesanggupannya meninggalkan kerajaan, harta dan keluarganya di Damsyik semata-mata kerana seruan syahid, menginspirasikan kita. Beliau bagaikan singa lapar di medan peperangan hanya kerana ingin menakluk kota suci Baitul Maqdis.

Sumber dari  https://tirto.id
Apakah yang menjadi motivasi beliau untuk mempunyai energi dan semangat yang sedemikian?
Baitulmaqdis yang menjadi rebutan sejak dahulu lagi adalah sebuah kota tiga benua, menghubungkan Afrika, Asia dan Eropah. Salahuddin Al-Ayyubi menyebut, "Sesiapa yang dapat menguasai Palestin, dia boleh menawan dunia". Ketika Salehuddin al-Ayyubi dapat menawan kembali al-Aqsa daripada tentera salib, beliau bernazar untuk meletakkan dua mimbar, satunya di Masjid al-Aqsa dan satu di Masjid Ibrahimiyah di Hebron. 

Ketika Allah memberiku tanah Mesir, aku yakin bahawa Dia juga akan memberikan Palestin kepadaku.” Kalimat itu diucapkan Salahuddin dengan penuh kepercayaan diri setelah berhasil menaklukkan Syria dan Mesir pada 1175. Sultan Salahuddin Al-Ayyubi meyakini Allah telah meletakkan tanggungjawab membebaskan Kota Baitulmaqdis di bahunya dan beliau berazam untuk melaksanakan tugas ini sebaik mungkin.

Bagi Salahuddin, tanah Palestin menjadi penting kerana di sana, tepatnya di Jurusalem, terdapat Masjidil Aqsa yang disucikan umat Islam. Dalam keyakinan Muslim, Masjid Al-Aqsa adalah kiblat pertama. Ia Tempat Nabi melakukan perjalanan Isra' Mikraj yang melahirkan perintah salat lima waktu. Pendeknya, merebut tanah Palestin bukan hanya bermakna spiritual bagi Salahuddin, tetapi juga jalan mensahkan dirinya sebagai khalifah besar di Timur Tengah.

Salahuddin Al Ayyubi adalah satu tokoh dalam Islam yang dapat dijadikan tauladan dalam pendidikan karakter. Apakah iktibar atau pengajaran yang boleh kita ambil dari tindak-tanduk beliau? Dari kisah pahlawan merangkap seorang raja, kita dapat mencontohi sikap beliau dalam terus berjuang untuk membebaskan umat Islam dari cengkaman orang Keristian yang kejam.

Persediaan beliau juga sangat mantap. Pelajaran ketenteraan didapati Salahuddin dari pakciknya Asaduddin Shirkuh yang menjadi panglima perang Turki Saljuk. Bersama dengan pakciknya, Salahuddin menguasai Mesir dan menjatuhkan sultan terakhir Dinasti Fatimiyah. Beliau sememangnya seorang penunggang kuda yang cekap dan panglima tentera yang bermatlamat ‘Jihad Fi Sabillillah’. Dari seorang ketua panglima tentera kepada Sultan Nurudin dari Syria hingga menjadi Khalifah  Mesir sebelum diisytiharkan kemerdekaan oleh Kerajaan Abasiyah dan diberikan gelaran Sultan Salahuddin Al-Ayyubi. 

Salahuddin mempunyai peribadi yang agung. Bukan sahaja sifat kepahlawanannya, tetapi yang utama adalah akhlaknya. Beliau juga adalah pemimpin yang memelihara ilmu pengetahuan, sangat berpengetahuan dalam agama dan sangat warak, menjadi contoh yang baik dalam menepati janji, keberanian dan pemurah.

Stanley Lane-Poole seorang orientalis dan ahli arkeologi dari England berkata,“Sekiranya penaklukan kota Baitulmaqdis menjadi satu-satunya maklumat yang kita ketahui tentang peribadi Sultan Salahuddin, ia sudah memadai untuk membuktikan bahawa beliau ialah seorang penakluk yang paling berakhlak dan paling berjiwa besar di zamannya dan mungkin juga di setiap zaman.” Kisah ini dinukilkan dalam buku Saviours of Islamic Spirit oleh Syeikh Abul Hasan Ali Nadwi, seorang cendikawan dari India. Beliau  menulis di dalamnya mengenai biografi tokoh-tokoh Islam yang hebat seperti Sultan Salahuddin Al Ayyubi.

Sikap pro-aktif Salahudin dalam menyusun tenteranya banyak membantu pasukannya mencapai kemenangan. Beliau juga dikatakan mengguna beberapa strategi perang yang cocok dengan teori Jeneral Tsun Zu dari benua China yang lahir 500 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa AS. Selain dari ini, Salahuddin juga tidak lupa mencontohi tektik-tektik berperang dari Nabi Muhammad SAW. Segala strategi dirancang bersama-sama tenteranya. Sikap optimis terhadap janji kejayaan Rasulullah SAW juga membantu mendorong kepada kemenangan.

Peribadinya yang tidak boros dan gemar bersedakah menyebabkan beliau tidak pernah membayar zakat harta kerana hartanya tidak pernah cukup nasab.  Selain itu semasa beliau meninggal dunia, beliau hanya meninggalkan beberapa dinar sahaja serta tidak langsung memiliki sebuah rumah!' Inilah ciri peribadi pemimpin yang ditunggu ummah.

Ingat sepanjang kempen pembebasan Baitulmaqdis dilancarkan, Sultan Salahuddin melalui peperangan demi peperangan sebelum berjaya mengambil semula Baitumaqdis. Kawasan ini digelar Darul Syuhada' kerana sejak dari zaman sebelum Muhammad SAW telah berlaku peperangan kerana agama di Baitulmaqdis. Antaranya, peperangan antara Jalut dan Tholut, Perang Syam'un Al-Ghazi dan kisah Nebuchednizzar yang menghancurkan kota Baitulmaqdis. Kemudian bagaimana kota Baitulmaqdis dihancurkan oleh Titus, tentera Rom pada 70 Masihi.

Dalam konteks hari ini, Israel kembali menguasai Baitulmaqdis dan mengikut sejarah ia adalah kali ketiga penaklukan ke atas kota suci ini dilakukan oleh musuh Islam. Puncanya tetap sama, apabila negara Arab mula berpecah dan sibuk menjaga kepentingan sendiri yang mengakibatkan mereka menjadi lemah dan memudahkan serangan pihak musuh.

Bagaimanapun, apa yang perlu difahami, hak menuntut semula kebebasan Baitulmaqdis, bukan hanya perlu dilakukan rakyat Palestin kerana ia tanggungjawab setiap umat Islam yang berada di muka bumi Allah SWT. Marilah kita sama-sama meneruskan kempen pembebasan Baitulmaqdis dan terus berusaha mencari Salahuddin.

Coretan Sahara M Said
Parit Raja BP
29 May 2021
sempena Kempen PalestinDiHati IKRAM




No comments:

Post a Comment