Showing posts with label anak. Show all posts
Showing posts with label anak. Show all posts

Tuesday 8 September 2009

Hari ini UPSR - Pentingkah Ujian Ini?

Hari ini ujian Penilaian Sekolah Rendah bermula dengan kertas Bahasa Melayu. Anak bongsu saya adalah di antara beratus ribu calon yang menduduki ujian ini pada hari ini. Di sekolahnya ada dianjurkan bacaan yasin dan solat hajat beramai-ramai di sepanjang peperiksaan sedang berjalan. Saya tidak mengikuti majlis itu kerana saya lebih gemar membuatnya di rumah sendirian.

exam

Bagaimanakah sikap kita sebagai ibu-bapa apabila ada di antara anak-anak yang akan menduduki  peperiksan besar? Adakah kita sama naik menjadi gelisah dan takut seperti anak-anak ......adakala nya kegelisahan ibu-bapa lebih daripada anak lagi??? Ada di anatara kawan-kawan saya apabila tiba musim peperiksaan penggal anak-anak, semua aktiviti di luar rumah yang lazim dilakukan pada minggu itu terhenti.... kerana ingin memberi perhatian pada anak-anak.

Bagi saya tidak ada perbezaan antara hari-hari biasa bersekolah dengan hari-hari peperiksaan. Saya menganggap setiap hari bersekolah adalah penting dan akan  memberi perhatian dengan kerja-kerja sekolah yang dibawa balik. Saya tidak pernah letak 'pressure' ke atas anak-anak supaya dapat markah tinggi dalam ujian. Saya hanya memberi peringatan berulang kali dengan memberi nasihat apa akan terjadi pada dirinya di masa depan jikalau dia gagal dalam pelajarannya.

exam2


Dengan tidak meletak 'pressure' ke atas anak-anak membuat mereka berfikir sendiri. Jikalau dibantu pula dengan program motivasi, insyaAllah anak -anak akan terfikir untuk membuat yang terbaik bagi diri mereka. Tugas kita hanyalah memantau agar mereka tidak lalai daripada apa telah kita tetapkan.

Jangan meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap keputusan peperiksaan anak-anak. Jikalau pun kita mempunyai harapan seperti itu jangan disebut kepada anak-anak....biarlah ianya terpendam dalam hati. Ini untuk mengelak berlakunya 'pressure' ke atas mereka......maka keluarlah kata-kata kerisauan dalam hati...."macamana kalau aku gagal dapat keputusan seperti yang mak aku hendak?....Habislah akuuu.."

Saya masih teringat ketika saya belajar di  luar negara. Ada seorang 'super senior' saya yang sangat bijak....seorang pensyarah matematik dari Greek sangat-sangat memuji kebijaksanaannya kerana mampu menyelesaikan apa-apa juga masalah matematik yang diberi. Malangnya dia ini ada penyakit 'nervous breakdown'. Bila tiba masa nak ambil peperiksaan dia akan menjadi sebagai seorang yang hilang ingatan......disebabkan ini dia tidak mampu meneruskan peperiksaan tersebut. Akhirnya dia pulang ke Malaysia tanpa sebarang ijazah.....satu kerugian kerana dia memang seorang yang bijak. Baru-baru ini saya ada ternampak dia dan isteri serta anak-anak yang masih kecil (berbanding saya yang dah nak ada menantu) di Majlis Alumni suami saya. Dia juga adalah senior suami saya semasa di sekolah.
Ijazah bukanlah segala-galanya.....
Ijazah bukanlah segala-galanya......


Apakah yang menyebabkan penyakitnya itu? Ada yang menceritakan ianya disebabkan 'pressure' daripada ibu-bapa......wallahu'alam. Apapun saya suka menjamu selera anak-anak saya di kedai makan pada malam sebelum peperiksaan sebagai meraikan tugas yang akan dipikul esok harinya......hehehe ...pelik...kan? Sebenarnya saya ingin mereka 'relaks' sebelum peperiksaan.

Tuesday 16 September 2008

Ramadhan September 2008


RAMADHAN tahun ini agak berbeza daripada tahun-tahun yang lepas. Kalau tahun yang lepas-lepas saya sibuk  menjahit baju melayu anak-anak saya tetapi kali ini saya membeli yang sudah siap saja. Alasannya supaya saya ada masa yang lebih untuk beribadah.  Pendapatan suami yang lebih "besar" dari dulu-dulu juga melayakkan saya  untuk menumpukan masa yang lebih pada amalan ibadah dalam bulan yang mulia ini.

Namun masih ada beberapa perkara yang merunsingkan saya menjelang sambutan Aidilfitri kali ini. Suami telah mengajak saya menemaninya berseminar di Mesir dan hari yang ditetapkan sangat hampir dengan Hari Raya ini. Apa yang menggusarkan saya adalah pengurusan anak-anak selepas percutian Hari Raya . Masing-masing kena balik ke tempat belajar mereka. Selalunya saya akan "monitor" mereka sebelum balik supaya tidak ada benda-benda penting yang tertinggal, memastikan  bekalan perbelanjaan  yang mencukupi dan sebagainya.

Persediaan yang cukup rapi harus ada supaya semua yang dirancang berjalan seperti yang dikehendaki. Namun kita hanya boleh merancang kerana yang menentukan kejayaannya  hanyalah Allah SWT.  Kekadang yang dirancang tidak menjadi seperti apa  yang dikehendaki kerana sudah ditakdirkan sedemikian  Apa yang kita patut  buat ialah kita berusaha, kemudian bertawakkal serta berdoa semoga Allah memudahkan segala urusan yang mendatang.

Saya amat menghargai keinginan suami membawa saya bersamanya ke luar negara, tetapi masa yang kurang  sesuai menyebabkan saya tidak begitu teruja. Kerisauan mengatasi kegembiraan berpeluang menziarahi negara yang sarat dengan sejarah Islam. Perasaan  tidak yakin dengan kemampuan anak-anak  mengurus diri mereka sendiri menguasai diri saya. Semalam kami telah berbincang dengan anak sulung apa yang patut dia buat semasa ketiadaan kami. Sepatutnya kami boleh mengharapkannya untuk mengurus adik-adiknya, tetapi seperti yang saya sebut tadi saya kurang yakin dengannya.

Saya betul-betul mengharapkan bantuan dari Ilahi dalam hal ini. Semoga semua yang dirancang  berjalan seperti yang dikehendaki.

Friday 29 August 2008

Dairi Kehidupan


Pada 31 hb Ogos ini saya dan anak-anak akan menyertai suami ke Singapura untuk majlis konvonya. Dia akan menerima ijazah kedoktoran , akhirnya , selepas berhempas pulas selama lebih kurang 5 tahun. Kebetulan harinya jatuh sama dengan hari negara menyambut merdeka; terasa seolah-olah seperti merdeka juga bagi pihak saya, kerana itu adalah puncak kerjayanya. Saya berharap selepas ini agar suami saya tidak lagi sibuk membina kerjayanya.

Selama 4 tahun kami berada di luar negara mengikuti suami membuat PhDnya. Selama 4 tahun itulah kami tidak pulang ke Malaysia. Dalam jangka waktu yang begitu panjang sudah tentu berbagai-bagai pengalaman yang telah kami anak-beranak lalui. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya bermusafir meninggalkan negara dan adik-beradik yang tercinta. Ini adalah fasa kehidupan saya yang kali ketiga berada di perantauan. Kali pertama ketika saya sendiri menyambung belajar selepas tamat Tingkatan 5. Manakala kali yang kedua pula ialah juga semasa mengikuti suami menyambung pelajarannya membuat kursus Master.

Saya amat bersyukur terhadap Allah SWT di atas kejayaan suami yang tercinta. Di tahun-tahun terakhir kursus PhDnya, siang dan malam, bila berkesempatan, kami berdoa kepada Allah agar dia mampu menyelesaikan kursus Phd itu. Tanpa bantuan dari Allah yang Maha Esa, kita mungkin tidak dapat melepasi halangan-halangan yang timbul. Tekanan yang begitu hebat boleh membuat seseorang itu "kurang siuman" ketika membuat Phd. Itulah sebabnya saya sangat bersyukur perkara-perkara seperti itu tidak berlaku kepada suami.

Bak kata pepatah Melayu, "Jauh perjalanan banyak pengalaman". Itulah apa yang kami anak beranak alami semasa beberapa tahun berada di luar negara. Sekali lagi saya bersyukur kerana kami diberi peluang untuk melihat kehidupan bangsa lain di bumi Allah yang terbentang luas ini. Ia adalah satu pengalaman yang amat berharga terutama bagi anak-anak saya. "Sambil menyelam minum air", kami dapat pengalaman di atas tiket suami sambung belajar.

Sebenarnya kami mengambil risiko apabila suami memutuskan untuk sambung belajar di luar negara. Masalah kami ialah anak-anak yang sedang membesar yang akan menduduki peperiksaan yang penting, yang akan menentukan halatuju masa hadapan mereka. Apabila mereka berada di luar negera sudah tentu ada peperiksaan  { PMR, SPM, Matrix } yang tertinggal. Pikir punya pikir kami bertekad untuk meneruskan cita-cita suami dengan sokongan kuat dari saya (semestinya!). Alhamdulillah kini setelah hampir 2 tahun kami kembali ke tanahair, semuanya berjalan lancar tanpa ada masalah besar. Anak-anak semua dapat meneruskan pelajaran seperti orang lain, berkat dari doa dan keyakinan kami iaitu kami bertwakkal kepada Allah SWT.

Thursday 10 July 2008

Anak oh Anak!

PADA suatu malam saya masuk ke dalam blog anak saya. Dalam salah satu tulisannya dia merungut terpaksa membantu maknya (saya) membuat kek, walaupun pada malam itu dia berasa kurang sihat. Badannya terasa sengal-sengal dan sakit-sakit. Apabila terbaca akan keluhan anak saya itu, maka teringatlah saya ketika masa muda dulu.

Selama 18 tahun saya tinggal dengan orang tua ......sekali pun tidak pernah berpisah. Seingat saya dari kecil lagi saya telah membantu emak dengan kerja-kerja rumah. Ibu saya seorang yang garang terhadap anak-anaknya. Oleh kerana itulah saya jaranng membantah sebarang suruhannya. Oleh kerana itu jugalah saya tidak kekok dengan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh dan mengemas apabila sudah berumah-tangga. Saya sangat bersyukur di atas tunjuk ajar emak yg banyak membantu dalam kehidupan sehingga kini walaupun semasa kecil saya melihatnya sebagai satu deraan.

Saya berpisah dengan ibu ketika menyambung pelajaran di UK. Itulah pertama kali berpisah dengan jarak yang begitu jauh sekali. Saya hanya akan pulang waktu cuti panjang setahun sekali. Jadi setiap kali saya berpeluang bersama emak saya semasa cuti, saya akan membantunya membuat sebanyak mungkin kerja rumah yang lazim dibuatnya setiap hari. Ada ketikanya saya juga berasa tak sihat seperti yang dirasai oleh anak saya. Namun disebabkan rasa kasihan pada emak yang tidak pernah ”cuti” daripada kerja-kerja rumah, saya terus juga membantu apa yang terdaya. Tidak sampai hati rasanya membiarkan dia bekerja seorang diri sedang saya duduk berihat.

 Kini emak dan bapa saya sudah lama meninggal dunia. Kadang-kadang apabila melihat kawan-kawan yang masih mempunyai ibu-bapa , terasa rindu juga kepada mereka. Kalaulah mereka masih hidup dapatlah saya berjasa lebih lama lagi kepada mereka. Kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu-bapa, cubalah balas jasa mereka sebaik mungkin. Ketika mereka masih hidup kita terlupa bahawa mereka akan meninggalkan kita suatu hari nanti. Apabila mereka sudah tiada barulah terasa rugi kita tidak berpeluang berbakti kepada mereka lagi. Oleh kerana itu rebutlah peluang keemasan ini sementara boleh. Jadilah anak yang soleh dan solehah. Berdoalah untuk kebaikan mereka ketika masih hidup dan juga selepas kematian mereka.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
 "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Apakah lagi yang boleh seorang anak lakukan selain berdoa untuk ibu-bapa yang sudah meninggal? Banyak. Carilah amalan-amalan yang boleh menambah pahala mereka dan jauhilah perkara-perkara maksiat supaya mereka tidak terseksa di alam kubur .Anak yang soleh akan selalu berbuat kebaikan di dunia. Menurut keterangan hadis ini, kebaikan yang diperbuat oleh anak soleh pahalanya sampai kepada orang tua yang mendidiknya yang telah meninggal dunia tanpa mengurangkan nilai atau pahala yang diterima oleh anak-anak tadi. Doa anak yang soleh kepada orang tuanya mustajab di sisi Allah SWT.

Kita boleh bersedekah bagi pihak mereka seperti yang diberitahu oleh Rasulullah saw yang bermaksud:
Dari Aisyah r.a. (menceritakan),
"Bahawa ada seorang lelaki menemui Nabi .s.a.w. dan menanyakan : "Ya Rasulullah! Sesungguhnya ibu saya meninggal dengan tiba-tiba dan dia tiada berwasiat. Saya menduga kalau dia boleh berbicara tentu dia akan bersedekah. Apakah dia akan memperoleh pahala, kalau saya menggantikannya?" Nabi menjawab : "Ya (memperolehi pahala)".
                                            Hadis sahih riwayat Muslim

Kita boleh membayar balik hutang mereka yang belum sempat dibayar, berpuasa utk menggantikan puasa mereka yang tertinggal dan juga buat haji bagi ibu-bapa yang tidak berkemampuan semasa hidupnya.

Namun bagi mereka yang masih mempunyai ibu atau bapa, layanilah mereka dengan sebaik mungkin. Beringatlah selalu sebelum kita kehilangan mereka buat selama-lamanya;
Apakah kita sudah pernah berjasa padanya?
Apakah kita sudah membalas jasa-jasa mereka?
Apakah kita pernah menggembirakan mereka?
Apakah kita sudah meminta maaf pada mereka?
Atau Kita hanya mengecewakan mereka pada setiap masa?

Dalam masyarakat hari ini kita sering terdengar kisah ibu-bapa yang sudah lanjut usia mereka ditinggalkan oleh anak-anaknya hidup bersendirian dalam keadaan yang uzur.

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu”
(Luqman, 31: 14)

Sanggup kah kita perlakukan ibubapa kita sebegitu rupa? Ibu yang telah mengandungkan kita dengan keadaan lemah dan menyusukan selama 2 tahun. Tegarkah kita? Fikir kembali. Sabda Nabi saw yang bermaksud:
“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud :“Keredhaan Allah s.w.t terletak pada redha kedua ibubapa”
(Riwayat Muslim)
Ingatlah tanpa mereka, kita tidak akan hadir di muka bumi Allah ini.