Showing posts with label at-taubah. Show all posts
Showing posts with label at-taubah. Show all posts

Monday, 15 March 2010

Membaca Surah At-Taubah Tanpa Basmalah

Basmalah adalah ringkasan daripada ucapan (lafaz) Bismillahir Rahmanir Rahim.

Soalan


Saya pernah dengar kalau kita baca surah At-Taubah, tidak perlu baca basmalah terlebih dahulu.  Adakah ini benar ustaz dan apa alasannya ?

Jawapan

Disunatkan membaca basmalah kepada sesiapa yang ingin membaca al-quran,  samada pada permulaan surah atau pertengahan surah selain surah Al-Baraah (At-Taubah). Adapun pada surah Al-Baraah pula terdapat perselisihan pendapat di dalam Mazhab Shafie mengenai hukum membaca basmalah padanya. Menurut pendapat Ibn Hajar  haram membaca basmalah pada permulaan surah Al-Baraah dan makruh membaca basmalah pada pertengahan surah ini. Menurut pendapat Ar-Ramli pula,  makruh membaca bismillah pada permulaannya dan sunat membacanya pada pertengahan surah ini. Pendapat ar-Ramli inilah yang muktamad.

Walau bagaimanapun adalah dimaafkan jika kita terbacanya di permulaan surah.

Terdapat perbezaan tentang sebab permasalahan ini :

Ada yang mengatakan bahawa hal itu disebabkan surah At- Taubah diturunkan pada saat peperangan, pertempuran dan untuk membongkar keadaan orang-orang munafik sehingga tidaklah sesuai apabila ia diawali dengan basmalah yang di dalamnya mengandungi rahmat (kasih sayang), sebagaimana kebiasaan orang-orang Arab tatkala mereka menyerang orang lain dengan perkataan maka awal perkataannya adalah disesuaikan dengan isi perkataannya.

Juga yang diriwayatkan dari ibnu Abbas yang bertanya kepada Usman,”Mengapa tidak ditulis kalimah basmalah di antara surah At- Taubah dengan Al-Anfal?” Usman menjawab,”Kerana surah At- Taubah adalah surah yang terakhir turun dan sehingga Rasulullah saw wafat beliau tidak menjelaskan tentang permasalahan ini. Dan aku melihat  kisah awal surah ini hampir sama dengan kisah akhir-akhir surah Al- Anfal maka aku pun sertakan surah At- Taubah setelah surah Al- Anfal.
Wallahu a’lam


Rujukan:

E-Fiqh.com

Era Muslim.com