Showing posts with label fitnah. Show all posts
Showing posts with label fitnah. Show all posts

Monday, 9 September 2024

Fitnah di Hujung Jari

Betapa banyak kehidupan yang musnah angkara fitnah dan penipuan. Kewujudan aplikasi media sosial yang tidak terbendung menyebabkan bercampur aduknya maklumat yang sahih dan palsu, hingga masyarakat menjadi keliru, siapa teman siapa seteru. Sukar bagi kita untuk mendapatkan kebenaran hinggakan apa yang batil itu akan terlihat benar dan yang benar itu sukar dipastikan.

Dari sebesar besar benda, hingga sekecil kecil perkara, dunia hari ini telah diselubungi oleh penipuan. Penipuan bukan sahaja di pentas politik besar, ia turut berlaku di dalam pasar, atau di hujung jari, atau di dalam kamar sendiri. Contoh yang paling ketara pada hari ini berlaku dalam isu Palestin. Media Barat telah menyebarkan berbagai berita palsu demi mempertahankan tindakan zalim negara haram Israel terhadap rakyat Palestin.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Berita ucapan Datuk R. Ramanan dalam pidato
di Himpunan Pembebasan Palestin
Dalam ucapan  di atas beliau berkata, "Banyak (media barat) laporkan rakyat Palestin itu pengganas, tapi kita kena tanya adakah kanak-kanak yang dibunuh itu pengganas? Jururawat itu pengganas? Doktor, pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu pengganas?"

Dalam negara pula, hadir sekelompok masyarakat yang menjadikan gosip dan aib orang lain sebagai bahan dagangan, bahan kempen, untuk mengaut keuntungan dunia, dalam meraih populariti. Perbuatan ini semua terjadi kerana kemudahan dan  kecanggihan teknologi terkini. Taip sahaja kata kunci pada enjin carian internet, setiap perincian maklumat yang diperlukan akan dipamerkan. Isunya, adakah maklumat yang mudah untuk diperoleh ini, mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya?. Jika perkhabaran itu merupakan satu kebenaran, maka ia adalah baik bagi yang menerimanya, namun jika ia adalah sebaliknya maka pasti mengundang kepada permusuhan dan perselisihan.

Penyebaran berita viral melalui aplikasi media sosial seperti Facebook dan Whatsapp sering berlaku. Amat menyedihkan apabila berita dan video yang disebarkan sebahagiannya dibuat tanpa usul periksa, sekadar ingin mahu nama dan rating yang tinggi. Ada yang sanggup menyunting video lalu disebarkan bahawa si fulan ini memberi fatwa sesat atau melakukan perkara terkutuk dan sebagainya. Perbalahan  timbul hanya kerana satu dua video  yang pendek ini, dan kita mula bercakap dan menjatuhkan hukum. Kemudian diteruskan dengan menyebarkan aib, fitnah - memfitnah, dan akhirnya berlaku saman menyaman. 

Apa yang lebih dikesalkan, kadangkala produk kesihatan pun ditipu maklumatnya, melalui pengiklanan di saluran tv, radio dan kini di aplikasi media sosial. Minuman yang dipenuhi gula dikatakan berkhasiat, snek yang dipenuhi kimia dikatakan makanan berzat. Begitu juga ramai yang telah terpedaya dengan aktiviti scammer yang telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit disebabkan penipuan atas talian. Allah telah berpesan dalam firmannya yang bermaksud:

“Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu kesemuanya). Dan ketahuilah bahawa Allah sangat berat siksanya.” 
(al-Anfal: 25)

Kemudahan itu telah disalahgunakan bagi mengancam atau pun menjatuhkan seseorang mahupun sesebuah organisasi. Perkara ini boleh mengganggu gugat keharmonian dan keamanan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara.

Dalam hal ini, kecanggihan teknologi maklumat tidak dapat disalahkan sepenuhnya tetapi diri manusia yang harus dipertanggungjawabkan. Setiap manusia diciptakan dengan akal fikiran yang dapat menilai perkara yang baik dan juga yang buruk. Dalam agama Islam,  perbuatan menabur fitnah itu hukumnya haram, tercela dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Sebarkan perkara yang bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat akan menjadi saham yang sentiasa mengalirkan pahala.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ العِلْمُ، وَتَكْثُرَ الزَّلاَزِلُ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، وَتَظْهَرَ الفِتَنُ، وَيَكْثُرَ الهَرْجُ

Maksudnya: “Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.”
  [Riwayat al-Bukhari (1036)]

Apakah sedang berlaku semua tanda-tanda akan berlakunya kiamat seperti yang disebut dalam hadis? Di antara tanda-tanda Kiamat adalah masa terasa begitu pantas. Apakah maksudnya?

Ada pendapat ulamak yang mengatakan, ini berlaku disebabkan hilangnya keberkatan (di dalam kehidupan), sedikitnya amalan untuk akhirat, membuang waktu pada perkara yang tidak penting dan berfaedah sehingga tiada lagi nilainya serta ia (masa) berlalu seperti berlalunya awan yang mana tidak dirasai oleh seseorang akan umurnya seakan-akan dia tidak hidup melainkan hanya sementara di waktu siang.

Maksudnya di sini, masa berlalu dengan begitu pantas adalah disebabkan keberkatan masa telah hilang dalam kehidupan kita. Apabila ini berlaku, ini menandakan kurangnya amalan soleh yang dilakukan dalam kehidupan kita, banyak masa-masa dalam sehari dihabiskan pada perkara yang tidak bermanfaat seperti melayari internet dan membaca berita-berita gosip, komen-mengomen, yang mana akhirnya kita terjebak dalam perbuatan memfitnah. 

Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud:

 “Bersegeralah kamu melakukan amal soleh sebelum datangnya fitnah yang seperti potongan-potongan malam yang gelap gelita. Iaitu seseorang yang pada waktu paginya beriman, tetapi dipetang hari sudah menjadi kafir.” (Riwayat Muslim)

Kita sering terlupa bahawa Allah SWT berpesan di dalam al-Quran bahawa umat Islam perlu berhati-hati dalam meneliti dan mencari bukti yang berkaitan isu apabila membuat sesuatu tuduhan atau hal yang menyangkut tentang identiti seseorang. Selalu bersikap tabayyun ditekankan agar kita tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas keaiban dan membahayakan pemikiran. Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.

Allah SWT memerintahkan supaya menyelidik serta mendapat kebenaran berita yang disampaikan seseorang. Ini kerana bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku. Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran, firmannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”
( al-Hujurat: 6) )

Ulamak Ibn Jarir berkata: Hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguh seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu makrifah dan yakin akan kebenarannnya. Jangan sekali-kali kamu gelojoh untuk menerimanya.

Fitnah berlaku dalam dua keadaan:
1. Apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut\

2. Apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

Kesimpulannya sebelum memetik jari-jari ke keyboard, buatlah perkara-perkara ini:

1.Senantiasa menyelidiki setiap maklumat dan berita yang sampai kepada kita, terutamanya di media sosial. Lakukan semakan dan bertanya setiap isu yang berbangkit kepada ahlinya. Hal ini amat penting agar kita tidak terjebak di dalam fitnah mengenakan seseorang yang akhirnya kita sendiri menyesalinya.
 
2.Tidak menjadi terlalu taksub terhadap sesuatu kelompok, kumpulan atau pertubuhan hingga menyebabkan terputusnya silaturrahim.

3. Menjauhkan diri dari fitnah, atau terlibat menjadi salah seorang yang mencetuskan fitnah dengan mendekati para alim ulama’ dan orang-orang soleh serta menjauhi orang-orang yang suka menyebarkan fitnah.

4. Mengingati balasan yang dasyat yang disediakan bagi mereka yang melakukan fitnah dan menyebarkannya.

Dan akhir sekali, sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan solat, berdoa agar diri serta keluarga dilindungi dari bahaya fitnah akhir zaman. Berdoalah kepada Allah dengan doanya: 

Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perbuatan kebaikan, meninggalkan kemungkaran, kasihkan orang miskin dan Engkau ampunkan dosaku, Engkau rahmatiku dan Engkau terima taubatku. Jika Engkau menghendaki dengan hamba-hamba-Mu fitnah, maka matikanlah aku tanpa sebarang fitnah. - [HR Tirmizi 3233].

Pokok pangkalnya fitnah terbit daripada hati seseorang yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh. Sesungguhnya syaitan sememangnya tidak pernah berdiam agar manusia sentiasa berbalah dan berkonflik antara satu sama lain. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.”     (QS Al – Maidah: 91)

Dalam perundangan Islam ada prinsip “andaian tidak bersalah”  dalam kes-kes jenayah. Ia digunakan bukan sahaja dalam kes-kes hudud, tetapi juga dalam jenayah-jenayah lain iaitu qisas dan takzir. Maka hendaklah kita sentiasa mengamalkan primsip ini dalam menangani isu-isu fitnah yang belum dibuktikan kesalahannya.

Sahara Mohamed Said
Kg Dato Ahmad Said, Ipoh
September 2024

Thursday, 1 August 2024

Kejamkah Hukum Islam (4) - Fitnah di Akhir Zaman

HARI ini fitnah akhir zaman melanda kehidupan kita dari segenap penjuru dan ruang. Fitnah tidak mengenal orang besar atau peniaga jalanan, orang politik atau rakyat marhaen. Fitnah tidak membezakan orang jahil atau ilmuan. Fitnah juga tidak pernah mengira lelaki atau perempuan, tua atau muda, kufur atau bertakwa. Ia datang dan cuba menggugat iman agar tergelincir, menghasut umat agar kucar kacir.

Fitnah sudah ada sejak dahulu lagi. Dalam sejarah Islam terdapat peristiwa fitnah yang melanda rumahtangga Rasulullah SAW di mana kisahnya telah disebut dalam Hadith al-Ifki (berita bohong). Fitnah ini dibuat terhadap Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah SAW. Cerita ini telah sengaja diada-adakan dan disebar oleh kaum munafik.

Ringkasnya, Hadith al-Ifki menyaksikan Aishah difitnah berdua-duaan bersama seorang Sahabat, Sofwan Ibnu Mu'attol  ketika dalam perjalanan pulang dari medan perang menentang Bani Mustaliq pada Syaaban tahun kelima ( atau keenam ) Hijrah. Aishah telah dituduh melakukan perkara yang tidak bermoral dengan Sofwan. Berikutan peristiwa tersebut, Aishah sendiri sebagai mangsa fitnah dan Rasulullah SAW sebagai suami telah menanggung aib dan malu. Kesan fitnah tersebut telah menyebabkan Nabi SAW tidak banyak bercakap dan terpaksa mengurungkan diri daripada masyarakat awam. Keadaan kembali pulih dengan turunnya wahyu Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat) [11]. 
Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata: ini ialah tuduhan dusta yang nyata [12].
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangksan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta [13]”- 
Surah An-Nur:11-13.

Penyakit fitnah yang diwarisi kini  melanda masyarakat bagaikan barah yang merebak ke seluruh anggota lapisan masyarakat. Pada hari ini, fitnah berlaku berleluasa dengan cara yang lebih mudah berbanding dahulu. Jika sebelum  ini fitnah disebar hanya dari mulut ke mulut, mungkin melalui jiran, ketika berborak di kedai kopi ataupun sekitar dalam kampung mereka sahaja tetapi pada hari ini teknologi yang semakin canggih menjadikan amalan fitnah juga berlaku di hujung jari dengan lebih pantas. Ia boleh dilakukan melalui teknologi maklumat seperti Internet yang mampu menyebarkan apa juga maklumat dengan sekelip mata tanpa dapat dibendung.

Khutbah Jumaat negeri P. Pinang
Nov 2020
Khutbah Jumaat negeri P. Pinang
Mac 2021
Perbuatan fitnah sudah menjadi seperti penyakit kronik di malaysia. Ia perlu dibendung sebelum lebih ramai yang teraniaya angkara fitnah dan penipuan yang tidak terkawal. Banyak sudah masjid-masjid dalam khutbah Jumaatnya mengingatkan  ahli kariah agar menjauhi perbuatan fitnah kerana kesan-kesan negatif yang ditinggalkan dalam kehidupan masyarakat.

Dosa fitnah juga disebut dalam hadis riwayat Ibnu Abbas RA. Ia berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW pernah berjalan melewati dua buah kubur. Salah satu penghuni kubur tersebut adalah orang yang selama hidupnya suka melakukan fitnah, lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya dua orang ahli kubur itu sedang diazab dan tidaklah kedua-duanya diazab kerana dosa besar. Ya, benar. Sesungguhnya dosa itu amatlah besar. Salah seorang di antara keduanya ialah (mereka) yang berjalan di muka bumi dengan menyebarkan fitnah (mengumpat). Sementara yang lain tidak bertirai ketika kencing.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa orang yang suka menyebarkan fitnah akan mendapatkan siksa yang amat pedih di alam kubur. Itu adalah balasan yang sesuai kerana telah mengabaikan perintah Allah.

Hukuman jenayah fitnah di dunia
Di sisi undang-undang negara, seksyen 499 Kanun Keseksaan memperuntukkan mengenai kesalahan fitnah. Secara kasarnya, Seksyen 499 menyatakan bahawa jika mana-mana individu ada membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain, serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat, adalah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah.

Lantas, jika sabit kesalahan memfitnah orang lain, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Selepas memfitnah bekas Menteri Agama ....
ada yang mohon maaf, ada yang menarik balik tuduhan
dan ada juga yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah
Hukuman jenayah fitnah ciptaan manusia ini amatlah ringan jika dibandingkan dengan hukuman dari Allah yang meliputi dunia dan akhirat seperti yang difirmankan  Allah di dalam al Quran yang bermaksud,  

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (surah An-Nur ayat 19)

Kejamkah hukum Islam

Petikan dari buku Kejamkah Hukum Islam
tulisan Abdul A'la Almaududi

Sebagai contoh, perbuatan qazaf yang bermaksud membuat tuduhan zina terhadap seorang Islam yang akil baligh dan dikenali sebagai seorang yang bersih dari perbuatan zina tanpa dibuktikan dengan empat orang saksi. Qazaf boleh berlaku dengan membuat kenyataan secara jelas seperti mengatakan seseorang itu telah berzina, atau dengan cara tersirat seperti menyatakan bahawa seseorang itu bukan anak atau bukan bapa kepada seseorang yang tertentu.

Orang yang melakukan qazaf disebat dengan 80 kali sebatan kecuali jika dia dapat membawa 4 orang saksi yang dapat mensabitkan kesalahan orang yang dikatakan berzina tadi dengan kesalahan zina. Hukuman ini berasaskan kepada kepentingan kehormatan dan maruah di kalangan masyarakat. Ia juga untuk memastikan tidak ada sebarang tuduhan zina yang dibuat tanpa asas yang kukuh, kerana tuduhan zina itu suatu yang amat memalukan dan boleh memporak-perandakan keharmonian keluarga.

Hukuman Hudud ke atas pesalah qazaf adalah satu ketetapan Allah berasaskan firmanNya yang bermaksud:

Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang muhsanat(baik) dan kemudian mereka gagal membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka dengan lapan puluh sebatan dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.
( surah an-Nur:4)

Perlu difahami bahawa konsep undang-undang Hudud ini disyariatkan adalah untuk mendidik orang Islam khususnya dan orang bukan muslim amnya. Ini kerana untuk melaksanakan hudud itu sendiri bukanlah suatu yang mudah. Dalam sesuatu kes Hudud, ia memerlukan kepada kesaksian dan pembuktian yang ketat dan jelas. Jika terdapat keraguan walaupun sedikit maka pesalah tersebut tidak boleh dihukum dengan hukuman Hudud sepertimana yang ditunjukkan olah Rasulullah SAW. Prinsip “menolak hudud kerana ada keraguan” ini pada asasnya berdasarkan kepada hadis-hadis Rasulullah SAW. Antara hadis-hadis tersebut ialah yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:

“Tolaklah hudud daripada orang-orang Islam selagi boleh. Kalau masih ada jalan lepaskan mereka. Kerana kesilapan pemerintah dalam memberi kemaafan lebih baik daripada kesilapannya dalam mengenakan hukuman.” -Hadis riwayat al-Termizi6

Dengan kepayahan dan kesukaran untuk melaksanakan Hudud (contoh jenayah qazaf) jelas menunjukkan bahawa undang-undang ini tidaklah sekejam seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Malah sebaliknya ia telah pun mengambil kira unsur kemanusian bukan setakat kesan ke atas pesalah tersebut bahkan kepada umat Islam seluruhnya. Undang-undang ini bukanlah semata-mata untuk menghukum tetapi untuk perkara yang lebih besar iaitu melindungi kehidupan manusia. 

Fitnah di hujung jari
Hari ini perbuatan fitnah dalam masyarakat berlaku terlalu pantas ditambah pula dengan kemudahan teknologi yang membolehkan sesuatu disebarkan tanpa merujuk kepada situasi yang sebenar. Kewujudan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok membuatkan lebih banyak fitnah yang tersebar dan ia berlarutan seperti surat berangkai.

Hari ini angkara penipuan dan fitnah, telah berapa banyak rumahtangga yang musnah, hubungan kekeluargaan yang punah, silaturrahim yang terpisah, dan airmata yang tertumpah. Malangnya, fitnah akhir zaman yang sepatutnya dihindari, namun ramai yang berpusu- pusu terjun ke dalamnya. Maka jadilah kehidupan dunia hari ini, tenat dan melarat.  Kesannya, ramai yang terpalit dengan fitnah yang merupakan 'pembunuh' utama keharmonian masyarakat.

Namun apakah hakikat sebenar fitnah? Perkataan fitnah dalam bahasa Arab merujuk kepada  kekacauan, bencana, cubaan atau penyesatan. Walau bagaimanapun masyarakat pada hari ini, menggunakan kata fitnah itu memberi maksud suatu berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang atau memporak-perandakan masyarakat.

Walau bagaimanapun, pengertian fitnah daripada definisi Islam mempunyai maksud yang lebih luas. Ia mempunyai persamaan dengan ghibah (mengumpat). Bezanya, ghibah membicarakan keburukan orang lain berdasarkan kenyataan, sedangkan fitnah berunsur pembohongan. Namun, kedua-duanya diucapkan untuk maksud yang tidak baik. Hal itu sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang bermaksud: 

"Wahai Rasulullah, apakah ghibah itu? Lalu Rasulullah menjawab; ‘Menyebut sesuatu yang tidak disukai saudaramu semasa ketiadaannya.’ Kemudian sahabat kembali bertanya; ‘Bagaimana jika apa yang disebutkan itu benar?’ Rasulullah kemudian menjawab; ‘Sekiranya yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika hal itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (kebohongan besar).” 
(Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tirmidzi) 

Al-Ghazali dalam membicarakan tentang fitnah, beliau menyamakan fitnah sama ertinya dengan al-Namimah yang bermaksud membesar-besarkan perihal seseorang kepada pendengar - pendengar lain. Biasanya, dalam proses membesar-besarkan berita itu, terdapat penambahan yang tidak benar atau   biasanya manusia yang lemah imannya suka menyebar cerita-cerita yang sensasi dengan pembohongan. Sebab itu, al-Namimah terkandung di dalamnya fitnah dan mengumpat. Cuma perbezaan antara keduanya ialah fitnah lebih buruk dosanya daripada mengumpat.

Apakah hukumnya membuat fitnah? Perbuatan fitnah dari perspektif agama Islam hukumnya haram dan ditegah kerana ia boleh menjatuhkan maruah seseorang dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan dan kemusnahan harta serta kehilangan nyawa. Dalam Islam, fitnah adalah salah satu dari sifat terkeji dan amat dilarang. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir”.
Surah Al-Baqarah:191

Al quran telah memberikan peringatan kepada umat manusia bahawa dosa fitnah jauh lebih besar daripada pembunuhan. Seseorang yang suka memfitnah orang lain akan kehilangan imannya kepada Allah. Tidak hairan, jika pelakunya akan mendapat ganjaran besar dari Allah, seperti yang disebut dalam Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang beriman, baik laki-laki maupun perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam, dan bagi mereka azab neraka yang membakar.” (QS. Al-Buruj: 10)

Dalam Hadis pula, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: 

Berkata malaikat yang mengiringi Baginda Rasulullah, adapun orang yang disiksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan sehingga seluruh ufuk penjuru dunia. 
 [HR Ibn Hibban 655]

Fitnah berlaku dalam dua keadaan:
1. Apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.
2. Apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

Jenis-Jenis Fitnah Dalam Islam
1 Fitnah syubhah - ini merupakan fitnah yang paling berbahaya kerana kurangnya ilmu, ketika diiringi dengan niat buruk dan hawa nafsu maka timbullah fitnah besar dan keji seperti kekafiran, kemunafikan, dan bidaah penyebab perpecahan. 
2. Fitnah syahwat (penyakit yang mengikuti syahwat) - ia merupakan perbuatan yang dapat melemah dan mengikis iman seseorang disebabkan oleh hawa nafsu. Pelakunya akan mengikuti apa-apa yang disenangi oleh hati atau nafsu yang keluar dari batasan syari’at.

Ketika ini negara kita sedang dilanda fitnah syahwat yang melampau. Ia berlaku di kalangan ahli-ahli politk serta dituruti oleh pengiku-pengikut parti yang fanatik. Fitnah tahkta dan kedudukan termasuk dalam pembahagian fitnah syahwat, disebabkan seseorang berkeinginan dengan kekuasaan yang berkait rapat dengan nafsu mereka untuk berkuasa. Demikian juga apabila seseorang yang akan kehilangan kuasa, nafsu keinginan untuk kekal dalam kekuasaan sangat besar.

Fitnah lapok yang dimainkan pihak pembangkang
dan ditepis oleh PMX dalam dewan rakyat
Sebagai contoh kita lihat fitnah yang telah dilemparkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burung, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin dalam ceramah kempen sempena PRK DUN Sungai Bakap baru-baru ini, terhadap PMX, 

Ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tahun 2024 Jabatan Perdana Menteri, PMX telah berkata:

“Di Sungai Bakap, saya dipanggil anak angkat AS, Kementerian Kewangan pinjam dari IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan saya ikut nasihat yahudi, ikut saja".

“Itu dari ustaz pakai kopiah dan jubah tapi fitnah terang-terangan. Fakta di sebaliknya mana mungkin saya lakukan ini semua,” 

Perdana Menteri menegaskan, beliau sama sekali bukan anak angkat Amerika Syarikat (AS) mahupun mengikut telunjuk Yahudi seperti yang difitnah.

Islam tidak melarang umatnya berpolitik dengan ideologi yang pelbagai. Namun perbezaan pendapat dan ideologi antara kita bukanlah alasan untuk menghalalkan perbuatan memfitnah. Islam meletakkan syarat yang ketat apabila seorang Muslim ingin menuduh atau mendakwa seseorang yang lain seperti mengatakan si fulan itu penzina, pencuri, pemakan harta anak yatim, penyalah guna kuasa atau pelaku rasuah. Pendakwaan tersebut wajib disertai dengan saksi yang adil dan bukti yang kuat sebagai memenuhi syarat dia menuduh seseorang dengan sesuatu.

Dalam lipatan sejarah kita telah lihat bagaimana fitnah menjadi punca perselisihan para sahabat RA selepas kewafatan Rasulullah SAW sehingga membawa kepada pembunuhan Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman al-Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib. Akhirnya muncul fahaman dan aliran agama yang sesat lagi melampau seperti Syiah, Muktazilah, Jahmiyyah dan Murjiah yang kononnya diasaskan untuk menyelamatkan pengikutnya daripada fitnah sedangkan hakikat sebenar kemunculan ajaran ini juga berpunca daripada fitnah.

Perang Saudara Islam Pertama (656–661), juga dipanggil Fitnah Pertama. "Fitnah Pembunuhan Uthman" adalah perang saudara pertama dalam Khilafah Islam. Ia timbul akibat perselisihan siapa yang berhak menjadi khalifah. Pertikaian ini memecahkan perpaduan umat Islam dan memulakan arah aliran jangka panjang yang berakhir dengan pemecahan Islam kepada mazhab Syiah dan Sunni.

Dewasa ini amat sukar sekali bagi kita untuk mendapatkan kebenaran hinggakan apa yang batil itu akan terlihat benar dan yang benar itu sukar dipastikan. Abu Hurairah RA telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

 “Bersegeralah kamu melakukan amal soleh sebelum datangnya fitnah yang seperti potongan-potongan malam yang gelap gelita. Iaitu seseorang yang pada waktu paginya beriman, tetapi dipetang hari sudah menjadi kafir.” (Riwayat Muslim)
Marilah kita sama-sama membendung perbuatan fitnah agar seluruh masyarakat dapat hidup secara aman damai tanpa ada prasangka antara satu sama lain. Setiap kita mesti memainkan peranan dengan mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama: Senantiasa menyelidiki setiap maklumat dan berita yang sampai kepada kita, terutamanya di media sosial. 
Kedua: Tidak menjadi terlalu taksub terhadap sesuatu kelompok kumpulan atau pertubuhan hingga menyebabkan terputusnya silaturrahim. 
Ketiga: Menjauhkan diri dari fitnah, atau terlibat menjadi salah seorang yang mencetuskan fitnah.
Keempat: Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan solat dan berdoa agar diri serta keluarga dilindungi dari bahaya fitnah akhir zaman.

Bagi pembuat fitnah dan penyebar fitnah mereka kena sedar bahawa dengan sebab perbuatan mereka berapa ramai orang yang bercerai-berai, bergaduh antara adik beradik, memutuskan tali silaturrahim disebabkan oleh fitnah yang disebarkan. Mereka harus ingat apa yang mereka lakukan sekarang Allah pasti akan membalasanya sama ada di dunia ataupun di akhirat nanti. 

KDAS (Kg Dato' Ahmad Said) 
Ogos 2024