Thursday, 1 May 2014

Kembara Borneo - Jom ke Menumbok


Dari Limbang kami berhenti di Lawas dan Sipitang sebelum ke Labuan

15 Feb 2012
Pada hari ini kami tinggalkan Limbang dan meneruskan perjalanan ke Wilayah Persekutuan Labuan. Dalam perjalanan ini kami sempat berhenti di Lawas dan juga Sipitang. Walaupun di awal pengembaraan ini kami sudah bermalam di Lawas, namun kali ini kami ingin ke pasar tamunya untuk mencari durian merah. Nasib kami sangat baik hari itu kerana masih ada beberapa biji lagi yang belum terjual semasa kami ke sana. Maka berjayalah misi  kami hari itu.!

Ni dia .....durian yang dicari
Di Sipitang pula kami hanya berhenti untuk solat Zohor dan Asar. Kemudian kami berpusing-pusing melihat pekan sambil mengambil foto sebagai kenangan. Sebenarnya Sipitang adalah daerah di bawah jajahan Sultan Brunei sebelum 1884, yang kemudiannya diserahkan kepada pihak British. Sipitang juga bandar di Sabah yang paling hampir dengan sempadan Sarawak, hanya sekitar 30 km.

Di belakang......dewan serbaguna Sipitang

Sipitang 'waterfront' mengadap Laut China Selatan ......pemandangan dari jeti 

Esplanad Sipitang...........tempat rekreasi bagi warga  Sipitang
Di jeti........kelihatan masjid di belakang
Dari Sipitang kami lalu bandar Buefort, kemudian ke arah Kuala Penyu sebelum membelok ke Menumbok di persimpangan. Kami akan naik bot laju dari Jeti Menumbok ke Pulau Labuan. Kami tiba di jeti agak lewat petang. Nasib baik masih ada lagi bot yang akan ke sana. Kami tiba di Labuan hampir waktu maghrib.

Gambar ini diambil dpd Mr Google kerana kami tidak sempat berhenti 'mengelik'........inilah simpang yang membelok ke Menumbok di kiri
Terminal Jeti Menumbok

Menunggu bot di jeti.......satu penantian yang agak lama!

At last...........botnya tiba
Ok sekarang kita naik bot......Jom ke Labuan!

Related post:

Kembara Borneo:
Jom ke Limbang
Driving from KK to Seria
Driving from KK to BSB
Driving from KK to Lawas
KK to Brunei by land
Kampong Ayer Brunei

Wednesday, 30 April 2014

Kembara Borneo - Jom ke Limbang

Pada 14 Feb 2012,  lebih kurang pukul 6.30 petang kami tinggalkan Pekan Seria, Brunei dan bertolak ke Limbang, Sarawak untuk bermalam di sana. Kami perlu sampai di pintu sempadan sebelum ia ditutup pukul 10 malam,
Mengikut perancangan kami bermalam di Limbang dan besoknya meneruskan perjalanan ke Labuan
 Kami tiba di sempadan Kuala Lurah Brunei lebih kurang pukul 9 malam dan tinggalkan sempadan Tedungan Sarawak dalam pukul 9.15 malam. Ketika kereta kami menyusur keluar meninggalkan sempadan dan masuk ke Tedungan, kami agak hairan mengapa kereta begitu banyak sekali di sana. Bila diperhatikan, rupa-rupanya orang Brunei datang menyeberang ke Malaysia mengunjungi pub-pub yang banyak beroperasi di sana. Kita sedia maklum bahawa di Brunei tidak dibenarkan menjual arak secara terbuka maupun tertutup. Saya tidak pasti samada mereka ini memang orang Brunei atau pun pendatang yang menetap di Brunei. Walauapapun yang pasti mereka datang daripada sempadan Brunei.

Sebenarnya di Brunei pada keesokan harinya adalah cuti umum sempena menyambut Maulidur Rasul. Jadi memang menjadi kebiasaan mereka datang ke seberang pada malam-malam cuti umum. Mungkin ada yang bermalam di sana kerana ada yang baru tiba bersaing dengan kami, sedangkan pintu sempadan hampir nak tutup. Wallahualam!

Di Limbang kami bermalam di Hotel Purnama, sebuah hotel bajet. Hotel ini juga menjadi tumpuan warga Brunei kalau di hujung minggu mereka iaitu hari Jumaat dan Sabtu. Hari Khamis malam Jumaat mereka sudah berada di Limbang  bagi yang ingin duduk lama sedikit. Kebanyakan mereka ke sini untuk berbelanja kerana tukaran wang yang sangat rendah walaupun harga barang di Limbang dikatakan antara yang termahal di Sarawak.

15 Feb 2012
Pada hari ini kami bertolak ke Pulau Labuan, tetapi sebelum meneruskan perjalanan kami berjalan-jalan dahulu sebentar di bandar Limbang sambil mengambil foto yang boleh diabadikan sebagai kenangan-kenangan. Pada pagi itu ketika bersarapan di sebuah restoran, kami  melihat ramai lelaki yang berbaju Melayu lengkap bersarapan bersama di situ. Mereka ini sebenarnya orang Brunei yang singgah bersarapan di Limbang sebelum meneruskan perjalanaan mereka ke Brunei lagi satu,  bagi tujuan menghadiri Majlis Sambutan Mauidur Rasul. Daerah Limbang tersepit di antara 2 bahagian negara Brunei. Inilah keunikan bandar Limbang, menjadi tempat persinggahan warga Brunei dan juga warga tempatan yang sedang dalam perjalanan dari Sarawak ke Sabah atau sebaliknya.

Ikon  bandar Limbang

Di hujung jalan.......Hotel Pernama



Sungai Limbang......
Dalam perjalanan........sebelum tinggalkan daerah Limbang sempat berhenti di sini
Jom  ke Menumbok!

Related post:

Kembara Borneo:
Jom ke Menumbok
Driving from KK to Seria
Driving from KK to BSB
Driving from KK to Lawas
KK to Brunei by land
Kampong Ayer Brunei

Saturday, 26 April 2014

Nikmat Sakit - Kafarah Dosa

Ada tiga perkara dalam kehidupan ini yang Allah beri pada kita dan kita tidak mampu menolaknya, iaitu sakit, tua dan mati. Ada orang yang bercita-cita hidup selama-lamanya dan ada pula yang ingin sentiasa kelihatan muda. Maka dicarilah jalan dan kaedah untuk mencapai cita-cita ini. Tidak kurang pula mereka yang mengamalkan mengambil pelbagai ubat-ubatan agar sentiasa sihat. Namun semua itu tidak dapat menolak takdir Allah SWT.

قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ

 Katakanlah, “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu. 
(Al Jum’ah 62:8)

Hari ini sudah hampir seminggu saya mengalami "gangguan" urat saraf yang sangat menyakitkan. Keadaan bertambah rumit apabila ia melibatkan tangan kanan yang menjadi nadi dalam semua urusan rumahtangga dan urusan peribadi. Terasa begitu "helpless" kerana nak makan pun terpaksa guna tangan kiri. "Alahai.....masih ada lagi tangan sebelah! Cuba lihat mereka  yang tiada kedua-dua belah tangan....hemmm......".Hati kecil cuba memujuk.

 Ini bukanlah kali pertama Allah SWT menarik balik nikmat yang diberi untuk seketika. Saya pernah sakit urat saraf di pinggang yang menyebabkan saya tidak mampu berdiri dan berjalan tanpa rasa sakit selama sebulan. Saya juga pernah kehilangan nikmat pendengaran selama seminggu. Alhamduillah saya sangat bersyukur diberi peluang untuk merasai bagaimana hidup tanpa nikmat-nikmat tersebut. Saya juga bersyukur kerana Allah mencabut nikmat itu hanya untuk sementara waktu. Apabila dipulangkan terasa begitu nikmatnya anugerah Allah SWT.

Ramai di kalangan kita yang mengeluh apabila ditimpa sakit. Bagi orang yang banyak bersyukur dan bersabar dalam menghadapi kesakitan, ia akan memperoleh nikmat. Sakit juga boleh diibaratkan sebagai guru yang mengajar kita erti sabar dan tahu menghargai  waktu sihat..
Ada pepatah berkata: 
“Hanya orang yang miskin tahu nikmat kekayaan, hanya orang sakit tahu nikmat kesihatan dan hanya orang mati tahu nikmat kehidupan”
Bersungguh-sungguhlah melakukan ibadat pada waktu sihat, agar mendapat pahala yang sempurna ketika lemah dan sakit.                                                                                                                                     Dari Abu Musa Al-Asy‘ari ra, Rasulullah saw telah bersabda: Maksudnya: 
"Apabila seorang hamba sakit atau musafir, dituliskan (pahala kebajikan) seperti apa yang diamalkan sewaktu tidak bermusafir dalam keadaan sihat."                                                                    [Hadis riwayat Al-Bukhari: 2996]
Sebaik-baiknya apabila kita ditimpa musibah, hendaklah kita bersabar dan redha dengan ketentuan Ilahi dan menganggap ia sebagai ujian daripada Allah SWT ke atas hambanya.
Dari Suhaib ra, Rasulullah saw telah bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ،
وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
[صحيح مسلم: 2999]

Maksudnya: "Pelik sekali keadaan orang yang beriman; semua urusannya baik, tidak berlaku sedemikian itu kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat mereka akan bersyukur, maka syukur itu baik bagi mereka, jika ditimpa kesusahan pula, mereka bersabar, maka sabar itu baik bagi mereka."   [Hadis riwayat Muslim: 2999]
Jangan mengeluh apabila ditimpa sakit kerana sakit itu adalah kafarah                                             atau penghapus dosa.

Dari Abi Sa’id Al-Khudri ra dan Abu Hurairah ra, Rasulullah saw telah bersabda: Maksudnya:
 "Tiada seorang Muslim pun yang mengalami penderitaan, kesiksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan atau kesedihan, walaupun hanya terkena satu tusukan duri, melainkan dihapuskan olah Allah (kerana kesusahan tersebut) sebahagian daripada kesalahannya.                                         [Hadis riwayat: Al-Bukhari: 1283, Muslim: 926]
Dari Abdillah bin Mas’ud ra, Rasulullah saw telah bersabda: Maksudnya: 
"Tiada seorang muslimin yang menanggung derita kesakitan atau yang selainnya, melainkan Allah menggugurkan dosanya sebagaimana gugurnya daun daripada pokoknya."                                   [Hadis riwayat: Al-Bukhari: 5647, Muslim: 2571] 
Musibah adalah tanda kecintaan Allah SWT kepada hamba-Nya
 Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya besarnya pahala yang kita perolehi bergantung besarnya dugaan, dan Allah SWT apabila mencintai suatu kaum, maka Allah akan menguji mereka. Barang siapa yang redha, maka ia akan mendapatkan keredhaan-Nya dan barang siapa yang kesal terhadapnya, maka ia akan mendapatkan kemurkaan-Nya.” - (HR. Ahmad dan Tirmidzi).

Justeru itu, janganlah disesali akan musibah yang dihadapi, malah seharusnya disyukuri. Dalam keadaan sakit, kita lebih mudah mengingati Allah, merasa kelemahan dan ketidakmampuan di hadapan-Nya. Bila kita sakit kita akan bersungguh-sungguh memohon perlindungan dan bantuan daripada Allah SWT.

Abdullah bin Umar ra berkata, di antara doa Rasulullah saw ialah:
للَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
 [مسلم: 2739]
Maksudnya: "Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada lenyapnya nikmat yang telah Engkau kurniakan, daripada terjejasnya kesihatan yang Engkau kurniakan, daripada bencana yang tidak disangka-sangka dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu"                                                        [Hadis riwayat Muslim: 2739]
Doa dan amalan ketika sakit:
“Letak tangan di tempat sakit kemudian baca: بِسْمِ اللهِ.“Bismillah” ( 3x ), dan baca doa di bawah ( 7x )
أَعُوْذُ بِاللهِ وَقُدْرَتِهِ، مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وأُحَاذِرُ
“Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaanNya dari kejahatan yang aku dapati dan aku takuti”
 [HR: Muslim].



Versi video ini ditambah kalimah " bi-'izzatillahi " yang membawa maksud yang sama.

Tuesday, 22 April 2014

Bosphorus Cruise - Sultan Muhammad al-Fateh - Constantinople


Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq,

“…Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera…”    (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Hadis Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang tenteranya

Konstantinopel adalah nama lama bagi bandar Istanbul, Turki. Istanbul ialah bandaraya yang terbesar, serta juga pusat kebudayaan dan ekonomi Turki. Ia terletak di selat Bosphorus dan merangkumi pelabuhan asli yang dikenali sebagai Golden Horn ( salah sebuah pelabuhan yang paling sibuk di dunia ), di baratdaya negara ini. Istanbul juga adalah satu-satunya bandaraya di dunia ini yang berada di antara dua benua,.... Eropah dan Asia yang dipisahkan oleh selat Bosphorus

.

 Istanbul adalah bandar bersejarah yang menjadi tarikan pelancong di seluruh dunia. Statistik pada 2012 menujukkan ia sebagai bandar yang ke-5 di dunia paling banyak menerima pelancong. Istanbul juga dikenali sebagai  "city with thousand mosques". Ada lebih kurang 3,113 buah masjid di sini termasuk Masjid Sultan Ahmet dan Masjid Suleymaniye.

Kata orang, lawatan ke Istanbul tidak lengkap tanpa pengalaman bersiar-siar menyusuri selat Bosphorus dengan bot. Aktiviti ini sangat menarik kerana selain dari menghayati panorama yang indah dan menakjubkan, ia juga mengujakan kerana apabila berada di situ kita sebenarnya berada di dua buah benua .....kiri Eropah, kanan Asia. Bila berada di sini kita juga dapat membayangkan dan mengimbau kembali bagaimana Sultan Muhammad 11 telah menakluk konstantinopel pada tahun 1453.

Rantai besi direntang di muara Golden Horn utk menghalang kapal dari memasuki pelabuhan

Semasa Sultan Muhammad al Fateh cuba menakluk Istanbul melalui jalan laut, perairan Teluk Golden Horn telah direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Setiap sambungan rantai ini berukuran 2 kaki panjang. Walaupun armadanya dihalang Sultan Muhammad bertekad untuk membawa kapal-kapalnya yang berada di perairan Selat Bosphorus melepasi rantai ini. Baginda telah mengarahkan orang-orangnya mengangkut kapal-kapal mereka melalui jalan darat dengan menggoleknya  di atas kayu log yang berminyak, merentasi Galata dan diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn di belakang rantai. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan  yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri.

Sultan Muhammad al-Fateh

Siapakah dan apakah keistimewaan Sultan Muhammad al-Fateh ini yang berjaya membebaskan Konstantinopel selepas 800 tahun dari ramalan Rasulullah SAW? Umat Islam sebelum baginda berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis di atas. Termasuklah seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al-Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri.

Sultan Muhammad dididik dan diasuh sebagai seorang pemimpin. Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepaduDalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera. Dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Dalam bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya Sultan Murad II semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, dengan tujuan mendidik, telah mengamanahkannya memangku jawatan Khalifah walaupun beliau hanya berusia 12 tahun ketika itu..

 Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun. Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Kostantinopel setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang strategi yang sesuai untuk digunakan. Apabila segala persediaan telah siap barulah baginda meneruskan perancangan menyerangnya.

Inilah kehebatan seorang Sultan yang sangat tawaduk, cintakan ulamak dan berjiwa rakyat. Ketika tentera baginda hampir berputus asa selepas 53 hari mengepung kota Konstantinopel tanpa sebarang tanda kemenangan, baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku”.

Istanbul kini.......Jambatan Bosphorus dan Jambatan Fatih menghubungkan antara dua benua
Bosphorus Cruise

Pada pagi 18 Februari 2014 rombongan 'Cik Din' dari Poto Travel telah menaiki bot persiaran yang disewa khas, pergi bersiar-siar di pesisir pantai Selat Bosphorus. Kawasan ini memang terkenal dengan kecantikan dan keindahan pemandangan di sepanjang pantai yang ditaburi dengan bangunan-bangunan moden dan lama.  Senibina yang bercampur-aduk dari berbagai era, baru dan lama, menghasilkan panorama yang unik dan menarik. Hari itu cuaca sangat baik walapun dikira masih berada di musim sejuk, dengan langit yang cerah dan matahari menyinari bumi. Perjalanan kami bermula lebih kurang pukul 11.30 pagi dan berakhir sejam kemudian. Jom kita belayar!

Ini dia bot kami.........besarkan?



Tebing yang padat dengan bangunan ....... di sebelah Eropah






Dolmabahce mosque

Dolmabahce Sarayi
Istana Dolmabahce - Ini adalah istana yang terbesar di Turki. Ia menjadi pusat pentadbiran kerajaan Uthmaniah. Ia juga didiami oleh 6 sultan sebelum kejatuhan empayar Uthmaniah. Kemudian ia menjadi kediaman rasmi presiden Mustafa Kamal Ataturk apabila beliau berada di Istanbul. Di penghujung hayatnya beliau banyak menghabiskan  masa di sini berubat sehingga beliau meninggal pada 10 Nov 1938. Kini ia menjadi muzium yang mempamerkan nilai-nilai kemewahan yang terdapat pada istana dari sudut buatannya dan juga kelengkapannya.

Masih lagi berada di tebing sebelah Eropah.........
Ciragan Sarayi....... istana yang kini  dijadikan hotel 5 bintang

Tidak pasti bangunan apa ini........??
Menghala ke Jambatan  Bosphorus......
Bangunan baru.....bangunan komersil yang banyak terdapat di tebing sebelah Eropah
Rumeli Hisari 
Kubu Rumeli - Kubu yang tersergam ini dibina oleh Sultan Muhammad pada tahun 1452, hanya dalam masa 4 bulan, sebagai persediaan baginda sebelum menyerang kota konstantinopel. Kedudukannya betul-betul bertentangan dengan  kubu Anadolu Hisari di sebelah benua Asia. Ini adalah bahagian selat yang paling sempit dan kerana ini juga jambatan Fateh dibina tidak jauh dari kubu ini. Kedua-dua kubu ini dijadikan sebagai menara kawalan. Dengan berbuat demikian Sultan Muhammad berjaya mengawal setiap kapal yang keluar masuk melalui selat ini, dan terus menyekat bekalan ke kota ini melalui jalan laut.`

Bot berpusing menghala ke tebing sebelah Asia.....kelihatan jambatan Fateh di belakang
Jom ke Asia pulak!
Tebing di sebelah Asia, kebanyakan bangunannya adalah untuk kediaman, tidak seperti di tebing sebelah Eropah.

Jambatan dari dekat......

Anadolu Hisari....tembok kubu di belakang
Anadolu Hisari - Kubu ini dibina oleh Suitan Yildrim Bayazit pada tahun 1395 di atas sebuah tapak kuil lama untuk tuhan Zeus. Ia adalah kubu pertama yang dibina oleh kerajaan Uthmaniah sebagai persediaan dalam usaha menawan kota Konstantinopel buat pertama kali. Sultan Muhammad telah mengukuhkannya dengan membina tembok setebal 2m di sekeliling kubu.

Kucuksu or Goksu Palace or Pavilion Beykoz Istanbul






Kuleli Military college.....sekolah militeri Turki yg pertama

Beylerbeyi Sarayi......kediaman musim panas para Sultan 

Masuk ke dalam cafe kerana kesejukan dihembus angin laut yang dingin.....berada di hujung pelayaran
Jom ke Golden Horn !
Selepas masuk ke dalam cafe kami tidak banyak mengambil gambar.....hanya melihat dari dalam. Tidak lama kemudian bot mula berpatah balik ke Golden Horn.


Yeni  Camii......masjid Yeni di tebing Goden Horn
 Old City di tebing Golden Horn
Dah mendarat.........my BFF teringin nak posing depan bot pulak sebab nak bergambar dengan bendera Turki
Golden Horn
Ia adalah terusan yang mengalir dari Selat Bosphorus sejauh 7.5 km masuk ke daratan, dan  memisahkan pantai sebelah Eropah menjadi dua bahagian. Ia menjadi pelabuhan semulajadi yang terbesar di dunia. Kedua-dua tebingnya dihubungkan oleh beberapa buah jambatan dan yang paling terkenal ialah Galata Bridge. Mengapa ia digelar Golden Horn? Teori yang paling logik ialah kerana setiap kali matahari terbenam, perairannya akan memantulkan cahaya keemasan. Dari sinilah datangnya katanama 'golden'. Katanama 'horn' pula kerana rupanya yang seperti tanduk.

Teluk Golden Horn........pemandangan  ke bawah dari Topkapi Palace