Monday, 8 June 2020

Jalan-jalan di China - Shanghai

Kami belum pernah sampai ke negara China sebelum tahun 2019. Namun tahun ini (2019) mencatat sejarah bagi kami kerana dapat pergi  ke China 2 kali dalam masa 3 bulan. Perjalanan ke Shanghai-Nanjing ini dibuat pada 7 May 2019 dan merupakan lawatan pertama kami ke negara China. Kedua-dua lawatan kami ke China adalah atas urusan kerja suami, maka ia termasuklah dalam siri  perjalanan 'lawatan sambil bekerja' yang  banyak kami buat sebelum ini.
Lawatan pertama kami ini agak unik kerana ia dibuat dalam bulan Ramadhan. Kami meneruskan puasa seperti biasa walaupun berada dalam keadaan bermusafir. Lebih baik kami berpuasa kerana tidaklah mudah mencari makanan halal di sini. Kami banyak makan dari bekalan yang kami bawa dari Malaysia. Penerbangan dari Malaysia pada pukul 11 malam dan tiba di Pudong International Airport, Shanghai pukul 4.50 pagi.
Berbuka bersama anak dan cucu-cucu di airport sebelum flight
Dari airport kami naik 'maglev train' (maglev dari magnetic levitation)  ke stesen Jalan Longyang. Ini adalah keretapi laju China yang berteknologi German. Kami sangat kagum dengan kelajuannya dan sangat teruja dengan pengalaman pertama menaikinya. Keretapi meglev Shanghai ini dikatakan keretapi yang pertama dan satu-satunya di dunia yang beroperasi secara komersial. Untuk perjalanan sejauh 30km ia hanya mengambil masa selama 8 min. Ia boleh mencapai kelajuan setinggi 431km sejam, dan ini menjadikan ia keretapi komersial yang terpantas di dunia.
Dari airport ... boleh naik metro atau meglev
Kami pilih untuk naik maglev
Di stesen Maglev ..... bersama model maglev train

Landasan maglev di pagi hari (lebih kurang 7 am)
Dalam keretapi .... kelajuan maksimum hari itu
mencapai 301 km sejam ... 7.24 am - 8 May 2019 
Bergambar kenangan bersama maglev train yang sebenar
Akhirnya sampai di sini selepas (7-8) min perjalanan
Tak sempat nak panas tempat duduk😃
Dari sini kami naik teksi ke Home Inn Hotel Shanghai The Bund. Baru jejak kaki ke sini sudah kena tipu dengan pemandu teksi ini😈Pemandunya muda lagi dan boleh berbahasa Inggeris sikit-sikit, jadi mudahlah hendak berurusan. Ingatkan teksi guna meter taklah kena tipu. Perjalanan yang tidak sampai 10 km dia kenakan tambang sebanyak CNY 380 (RM 230). Bila ditanya kenapa mahal sangat, dia kata kena bayar tol di Nanpu Bridge. Kalau tambang ini dari airport (42 km), logik jugalah. Nak cakap banyak di sini susah kerana mereka hanya faham bahasa China sahaja.

Selepas pengalaman ini kami sangat berhati-hati apabila naik teksi. Alhamdulillah ... tiada lagi kes seperti itu berulang. Masalah komunkasi sangat-sangat terasa apabila berjalan-jalan ke China terutama bagi yang pertama kali datang seperti kami. Rata-rata mereka tidak tahu bahasa lain, selain bahasa China. Apabila berurusan dengan mereka sangatlah susah. Ketika hendak cek-in di hotel kami menghadapi masalah kerana nama tiada dalam buku daftar. Mungkin ini disebabkan kami menempah hotel secara online, tetapi hendak bercerita dengan pekerja yang bertugas amatlah siksa. Nasib baiklah saya ada memuaturun aplikasi Google Translate semasa di Malaysia ... dan mereka faham😀😌Syukur alhamdulillah, akhirnya kami dibenarkan terus masuk bilik walaupun masih di pagi hari. Satu pengalaman yang sangat berharga.

Selepas solat zohor dan asar kami keluar berjalan-jalan di Shanghai. Tempat yang pertama kami pergi ialah Zhujiajiao Water Town yang terletak di daerah Qingpu, lebih kurang sejam dari pusat bandar Shanghai. Water town di China ini diibaratkan seperti bandar Venice di Italy. Terdapat banyak jambatan-jambatan lama yang dipelihara dengan baik dan terdapat juga bot-bot yang boleh dinaiki untuk bersiar. Ia juga dikenali sebagai "The Venice from The East".

Zhujiajiao bermaksud 'Zhu Family Settlement' dan pekan ini berumur lebih dari 1,700 tahun dengan keluasan 47 km persegi. Ia merupakan pekan air yang paling sibuk, terutama di hujung minggu. Terdapat sebanyak 10 buah pekan air seperti ini berhampiran dengan bandar Shanghai. Zhujiajiao merupakan yang kedua terdekat dengan Shanghai. Ia juga dikenali dengan nama lain yang bermaksud 'Pearl Stream'

Kami ke sana dengan menaiki metro. Ini adalah mod kenderaan yang paling mudah dan murah di China tetapi memerlukan tenaga yang banyak. Kita perlu pergi ke stesen metro untuk menaikinya. Sebenarnya ini bukanlah pilihan terbaik bagi kami, kerana saya berjalan bertongkat ketika ini. Kami tidak ada pilihan lain kerana kita tidak perlu bercakap dan bertanya untuk ke mana-mana jika naik metro. Tiket semua dibeli melalui mesin dan setengahnya ada arahan dalam bahasa Inggeris. Namun sebelum membeli tiket perlu mengkaji laluan yang akan diambil ke tempat yang dituju supaya tidak terkial-kial semasa membelinya.
Contoh tiket naik metro
Peta Metro
Kalau dari tempat kami tinggal, kami perlu mengambil Line 2 (hijau) dan Line 17 (ungu) untuk pergi ke Zhujiajiao, dan perlu menukar keretapi di Hongqiao Ralway Station. Semasa pergi kami membeli 2 tiket yang berasingan tetapi waktu balik beli terus 1 tiket sahaja, dan ini lebih menjimatkan. Tambang sebenar hanya CNY 8 tetapi bila beli di setiap stesen jumlahnya jadi CNY 11.

Stesen metro di China sentiasa penuh sesak dengan manusia seperti semut. Kebanyakan masa kami naik keretapi ini memang jarang dapat tempat duduk dan penumpang China pun tidak ramai yang 'civic minded'. Walaupun dia nampak kita bertongkat, dia 'buat dek je'😒 walaupun tertera di dinding tempat duduk arahan meminta utamakan ibu mengandung, orang tua dan kanak-kanak. Ini antara kekurangan apabila menaiki metro, perlu berebut tempat duduk. Di sini keretapi dianggap sebagai pengangkutan bagi orang miskin.
Suasana dalam keretapi
Dari stesen Zhujiajiao kita terpaksa berjalan lagi sejauh 1.5 km sebelum sampai ke pekannya. Kami berjalan sebentar sebelum terjumpa tempat orang menunggu bas, beca dan lain-lain untuk ke pekan ini. Kami menaiki beca kayuh dengan bayaran CNY 30 untuk 2 orang. Baliknya kami ambil teksi ke stesen metro dan tambangnya hanya CNY 14.
Pemandangan  dari atas salah satu jambatan yang banyak
terdapat di pekan air ini .... ada 36 buah semuanya
Kebanyakan pelancong yang mempunyai masa yang terhad (seperti kami) datang ke sini hanya untuk berjalan-jalan melihat bangunan lama dan jambatan lama sambil bergambar. Kami juga menaiki bot menyusuri terusan menggunakan laluan yang terpendek untuk menjimatkam masa kerana ketika itu waktu sudah petang. Oleh kerana kami berdua sahaja yang naik pada petang itu, terpaksalah bayar untuk 1 bot sebanyak CNY 80. Biasanya bot ini boleh membawa seramai 6 orang penumpang.
Tiket bot .... CNY 80
Melihat pekan air dari atas bot
Jambatan yang dilalui dan bot yang digunakan
Peta pekan air yang menunjukkan laluan bot
... bot kami lalu di terusan utama sahaja.
Setelah berada lebih kurang sejam di sini kami pun keluar mencari teksi ke stesen metro. Alhamdulillah tidak lama menunggu, ada yang sudi berhenti mengambil kami. Kadang-kadang agak susah juga mencari teksi di China jikalau tidak kena  tempat yang ditunggu. Dalam perjalanan pulang ke Shanghai kami telah berbuka di dalam keretapi dengan bekalan yang dibawa dari Malaysia. Alhamdulillah tidak penat berpuasa di sini kerana cuacanya yang sejuk.

Setibanya di pusat bandar Shanghai kami berjalan-jalan sebentar di kedai-kedai berhampiran. Sebelum pulang ke hotel kami putuskan untuk pergi ke 'The Bund' untuk melihatnya di waktu malam. Kali ini kami telah menaiki beca bermotor juga dengan tambang sebanyak CNY 30 tetapi setelah tawar-menawar dari CNY 50. Dikatakan The Bund ini sangat cantik waktu malam bercahaya bergemerlapan dengan lampu bewarna-warni.

The Bund adalah lokasi tepian air yang terkenal di Shanghai dan terletak di tebing barat Sungai Huangpu. Pada tebing di daerah Pudong, terletak bangunan pencakar langit moden yang menjadi mercu tanda Shanghai termasuk Menara Oriental Pearl, Shanghai World Financial Center, Menara Jin Mao dan Menara Shanghai. Semua bangunan yang disenaraikan itu menjadi tarikan pelancong dan rakyat tempatan untuk dijadikan latar belakang apabila mengambil gambar kenangan. Di seberangnya pula adalah bangunan era kolonial gaya senibina Barat yang tidak kurang menariknya terutama pada waktu malam.
The Bund waktu malam ..... 8 May 2019
Bangunan era kolonial ... gaya seibina Barat
Ini gambar sebelah siangnya ... bandingkan
Kami singgah sebentar sahaja di Shanghai ini kerana tujuan sebenar ke China  adalah untuk ke bandar Nanjing, tempat suami berseminar. Besoknya kami sempat lagi berjalan-jalan di sini sebelum ke Nanjing dengan menaiki keretapi. 

Sedikit maklumat tentang Shanghai:
Pada kurun ke-19 Shanghai mula jadi pelabuhan penting kerana lokasinya yang strategik dan potensi ekonomi yang bagus. Shanghai yang terletak di Delta Sungai Yangtze, merupakan pusat kebudayaan, perdagangan perindustrian dan komunikasi paling penting buat China. Ia juga merupakan pusat kewangan dunia dan hub pengangkutan dengan pelabuhan kontena paling sibuk di dunia. Ini menjadikan Shanghai bandar yang paling tinggi penduduknya di dunia, melebihi 24 juta orang.
Kota Shanghai ... dari atas jejantas
Kota Shanghai .... pagi 9 May 2019
Pada  9/5/2019 dalam lebih kurang pukul 9 pagi kami  cek-out dari hotel tetapi meminta izin tinggalkan barang di situ  kerana kami ingin berjalan-jalan di sekitar kota Shanghai terlebih dahulu sebelum bertolak ke Nanjing di sebelah petang.
Dari atas jejantas nampak masjid ini ... lalu terus mencarinya
Tanda nama di pintu hadapan
Masjid ini bernama Xiao Tao Yuan Masjid. Kami tidak dapat masuk ke dalamnya kerana ia bertutup. Jadi kami melihatnya dari luar sahaja. Ia adalah bangunan lama yang termasuk dalam 'Heritage Architecture' dan menjadi monumen yang dilindungi di bawah perbandaran Shanghai.
Pintu hadapan masjid
Bangunan berdiri sejak 1943
Ini pintu masuk untuk wanita
Selepas melawat masjid kami mengambil teksi dan pergi sekali lagi ke the Bund. Tujuan ke sini untuk mengikuti 'Huangpu River Tour' yang dijadualkan pada pukul 11.00 nanti. Dalam perjalanan ke tempat membeli tiket kami bersiar-siar di tebing sungai Huangpu sambil begambar. Kali ini gambaran The Bund di waktu siang.
Tiket  tour yang berharga CNY 120 seorang
pada pukul 11.00 pagi 9/5/2019
The Bund di waktu siang .... termasuk Bund Observatory Tower
Naik kapal di sini ... Jeti Shiliu Pu
Ini kapalnya dan Shanghai Tower yang digelar 
The Twist di seberang Sungai Huangpu
Dalam kapal .... nampak mewah
Kami mengambil pakej Regular Route tanpa makan dan ia mengambil masa lebih kurang 50 minit. Laluan yang diambil seperti di bawah.

Regular Route: Shiliupu Wharf near the Bund – Yangpu Bridge – Shanghai World Financial Center (SWFC) – Jin Mao Tower – Shanghai International Convention Center – Nanpu Bridge – Oriental Pearl Tower – Waibaidu Bridge – Monument to the People's Heroes – Observatory on the Bund – Shiliupu Wharf
Menikmati pemandangan di sepanjang sungai Huangpu 
di sebelah tebing daerah Pudong
Shanghai ... 'Pudong skyline'
Pudong skyline ini sangat menarik jika dilihat dari The Bund. Terdapat 4 buah bangunan yang paling ikonik dalam kumpulan bangunan itu seperti maklumat di bawah.
Sumber foto:
https://www.chinahighlights.com/shanghai/the-shanghai-skyline.htm
Oriental Pearl Tower, Jin Mao Tower atau The Syringe,
Shanghai Tower atau The Twist,
Shanghai World Financial Center atau 'The Bottle Opener'
 Shanghai International Convention Center
Yangpu Bridge di kejauhan ..... salah satu jambatan yang dilalui
Monument to the People's Heroes
Pemandangan di sebelah tebing The Bund ..... 
kelompok bangunan gaya senibina Barat zaman kolonial
Dermaga Shiliu Pu  
Observatory on the Bund
Sebaik habis tour ini kami balik semula ke hotel untuk mengambil barang dan terus ke stesen keretapi untuk ke Nanjing. Stesen keretapi ini sangat besar tetapi orang yang menggunanya juga sangat ramai. Tidak pernah lagi melihat sebegitu ramai orang dalam stesen keretapi macam di Shanghai ini.

Tiket keretapi perlu ditempah lebih awal kerana sangat ramai orang yang mengguna perkhidmatan ini, untuk mengelak kehabisan tiket pada hari dan waktu yang kita inginkan. Kami menempahnya beberapa hari sebelum bertolak melalui sebuah ejen yang diiktiraf. Pada hari kejadian hanya perlu pergi mengambil tiketnya tanpa perlu beratur lama-lama seperti mereka yang membeli tiket.
Shanghai Railway Station ... petang 9 May 2019
Bangunan bahagian mengambil tiket
Tiket .... waktu berlepas 3.44 petang
Di China setiap kali naik keretapi barang-barang dan beg yang dibawa perlu diimbas sebagaimana ketika di lapangan terbang. Hari ini kami mendapat satu kejutan kerana menjadi VIP. Sebaik sahaja kami mengambil beg-beg dari mesin pengimbas kami telah dipanggil oleh seorang pekerja wanita mengarahkan kami ke pintu bilik menunggu untuk VIP. Rupanya selain dari mereka yang benar-benar VIP, bilik ini juga khas untuk mereka yang kurang upaya, seperti saya yang bertonkat .... alhamdulillah. Namun ketika balik dari Nanjing tidak ada pula 'layanan khas' ini. Ada bilik untuk VIP tetapi kena bayar kalau hendak meggunanya.
Alhamdulillah dapat guna bilik ini secara percuma
Dalam bilik VIP .... selain tempat duduk yang selesa
dipaparka juga jadual perjalanan keretapi 
Ada satu sahaja hal yang merunsingkan kami ketika berada di sini. Kami tidak dibenarkan keluar ke landasan lebih awal kerana memikirkan saya tidak boleh berjalan laju, perlu mengambil masa lama untuk sampai ke landasan yang dituju. Kami hanya boleh keluar selepas dipanggil. Selain dari itu petugas memanggil dalam bahasa China .... terpinga-pingalah kami mengagaknya  setiap kali dia memanggil. Beberapa kali suami terpaksa bertanya sendiri kepada petugas bila giliran kami dengan mengguna Google Translate.

Akhirnya kami dibenarkan keluar  ke landasan ketika sudah hampir waktu bertolak. Tepat seperti yang dijangka, hampir sahaja kami tidak sempat ke landasan yang dituju .... tercungap-cungap dengan kesakitan.😌Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Dalam keretapi yang dinaiki
Beberapa peringatan ketika melancong ke China.

* Pengimbasan beg/barang dibuat di semua stesen keretapi di China seperti di airport

* Lakukan pencarian lokasi yang hendak di kunjungi dan rancang perjalanan dengan rapi

* Muat turun aplikasi Voice Translate / Google Translate bagi melancarkan komunikasi dua hala

* Periksa suhu destinasi bagi persiapan awal pakaian yang sesuai

* Beli data internet international roaming kerana wifi di China tidak berfungsi dengan aplikasi dalam talipon dan computer kita.


Related posts: