Pada sebelah pagi 21 Ogos kami berjalan-jalan di Sungai Rengit dan Tanjung Pengelih, dan kami makan tengahari di Bandar Penawar. Pada sebelah petang pula kami melawat Desaru Fruit Farm.
22/8/2020
Ini adalah hari terakhir percutian kami. Pada malam 21 Ogos kami telah merancang untuk makan malam di Restoran Terapung Firefly dan seterusnya pergi melihat klip-klip. Namun kami telah membatalkan niat ini apabila melihat keadaan tempat yang terlalu ramai orang. Kami balik terus walaupun telah sampai ke destinasinya. Kami tidak ingin mengambil risiko dijangkiti covid-19.
Niat di hati pada pagi itu hendak melawat muzium nelayan yang terletak tidak jauh dari hotel tetapi malang sekali ia masih ditutup untuk kerja-kerja ubahsuai sejak dari September 2019 lagi. Walau bagaimanapun kami bergambar jugalah di luar pagar sebagai kenang-kenangan.
Muzium Nelayan Tanjung Balau |
Muzium Nelayan .... dapatlah tengok kawasan luarnya serta notis penutupan di luara pagar |
Sat 11:07 - 22 Aug 2020 |
Perjalanan dari Tanjung Balau ke Sedili Kechil |
Pantai Tanjung Buluh Water Front |
22 Ogos 2020 1:24 pm |
Ketika sampai di pusat ternakan belangkas hujan turun dengan sangat lebat. Kami gagah juga turun dari kereta berlari menuju ke bangunan yang menempatkan belangkas-belangkas yamg dipelihara.
Darah belangkas berwarna biru disebabkan oleh kehadiran ion tembaga dalam protin hemosianin (protein hemocyanin} yang diguna pakai oleh belangkas untuk mengangkut oksigen dalam darah. Darah biru belangkas ini sangat bernilai. Ia disedut keluar tanpa perlu membunuh belangkas tersebut. Bahan dalam badan belangkas boleh digunakan untuk mengesan virus, bakteria dan toksin dalam darah manusia. Mengikut pakar pengkaji, belangkas didakwa mempunyai nilai tinggi untuk bahan kesihatan dan bahan untuk pembuatan komestik.
Daging dan telur belangkas boleh dimakan oleh orang Islam. Masyarakat Melayu di Kota Tinggi, Johor menyediakan masakan asam pedas, lemak cili api dan sambal tumis belangkas. Ia juga boleh dimakan dengan hanya memanggang atau membakar sahaja. Namun begitu ia memerlukan kepakaran dalam menyediakannya kerana pada belangkas terdapat sejenis toksin yang boleh membuat seseorang berasa pening atau "mabuk" setelah memakannya.. Hanya bahagian tertentu sahaja boleh dimakan dan hanya seseorang yang benar-benar tahu sahaja tahu cara menyediakan makanan laut dari belangkas ini.
Belangkas masak lemak cili api dari Kota Tinggi |
Kerabu telur belangkas .... ketika menjamu selera di Kuala Perlis pada Feb 2018 |
Mengikut maklumat yang dikumpul dari internet, Pusat Penetasan dan Ternakan Belangkas Sedili Kecil Kota Tinggi, Johor merupakan satu-satunya pusat seumpama ini di Malaysia yang diuruskan oleh Muhammad Khairul Idham bin Ahmad, selaku Pengurus tempat ini dan dibantu oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Ikan Malaysia (IKM).
Belangkas-belangkas yang dibeli dari nelayan disimpan dalam kolam di sini sebelum dijual semula |
Belangkas yang dijual disini merupakan belangkas liar yang dibeli daripada para nelayan kecil bagi membantu hasil penjualan mereka. Di Pusat Penetasan dan Ternakan ini mereka juga membuat pembiakan belangkas dan anak-anak belangkas tersebut dibela sehingga usia setahun ke dua tahun dan kemudiannya akan dilepaskan di pantai yang berhampiran.
Tujuan pengusaha membuat pembiakan belangkas adalah untuk memulihara hidupan liar bagi memastikan kemandirian spesis ini untuk generasi akan datang dan juga untuk kelangsungan hidup para nelayan.
Dari segi penternakan pula ada dilaporkan seramai 500 nelayan di Semerak, Pasir Puteh, Kelantan dibantu bagi menternak belangkas. Nelayan terbabit didakwa mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM 1,200 sebulan daripada projek ternakan setelah berjaya mengeluarkan hasil berperingkat.
Dari segi penternakan pula ada dilaporkan seramai 500 nelayan di Semerak, Pasir Puteh, Kelantan dibantu bagi menternak belangkas. Nelayan terbabit didakwa mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM 1,200 sebulan daripada projek ternakan setelah berjaya mengeluarkan hasil berperingkat.
Video belangkas dalam kolam
Di Pusat Penetasan dan Ternakan Belangkas Sedili Kecil, selain dari belangkas, udang kara juga ada diternak di sini. Harga seekor belangkas boleh mencecah sehingga RM40 mengikut berat manakala harga seekor udang kara diklasifikasikan mengikut gred. Gred A dan Gred B. Berat seekor udang Gred A adalah 200 gram keatas (1kg=RM150) dan berat seekor udang Gred B pula adalah 199 gram kebawah (1kg=RM100). Udang kara yang ada di sini juga adalah udang liar yang dibeli daripada para nelayan sebelum dijual semula.
Udang kara ini dibeli dari nelyan, dibela sementara di sini sebelum dijual semula |
Video udang kara dalam kolam
Related Posts: