Tuesday, 28 April 2026

Kembara Eropah - Andalusia di Hatiku


Ini adalah antara bandar yang dilalui semasa Kembara Eropah 2006
Ada yang lalu sahaja, ada yang singgah sebentar dan ada yang bermalam
INI adalah satu catatan perjalanan yang dibuat 20 tahun yang lalu. Kemungkinan ada fakta-fakta yang kurang tepat kerana kebanyakan yang tercatat hanyalah melalui ingatan dan gambar-gambar kenangan sahaja. Tidak terfikir ketika itu untuk mencatat dengan baik supaya boleh dijadikan bahan rujukan di kemudian hari. Ketika itu blog ini pun masih belum wujud.

Pengembaraan ini bermula dari Loughborough UK ke Andalusia Sepanyol, yang dibuat pada April 2006.  Kami (saya, suami dan 5 orang anak) mengembara selama 2 minggu dengan memandu sendiri dari UK, melalui Peranchis dan terus ke Sepanyol.

Tahun 2006 mempunyai aura yang tersendiri -- zaman di mana peta kertas masih menjadi teman setia dan memori kamera digital perlu dijimatkan sebaik mungkin. 

Mengimbas kembali lipatan tahun 2006, segalanya terasa lebih ringkas. Tanpa bantuan aplikasi navigasi yang canggih atau hantaran 'story' di media sosial, perjalanan kami kali ini adalah tentang tersesat di lorong yang asing dan menemui keindahan dalam ketidaktahuan. Ini bukan sekadar catatan tentang destinasi, tetapi sebuah kapsul masa tentang sebuah pengembaraan yang membentuk keluarga saya hari ini.

Sejarah jadual perjalanan
2006 adalah tahun terakhir kami berada di Loughborough UK. Selama 4 tahun berada di sana memang menjadi kebiasaan bagi kami untuk pergi "makan angin" setiap kali cuti sekolah. Pada bulan April ada Easter break bagi sekolah-sekolah di UK selama 2 minggu. Memikirkan ini merupakan tahun terakhir kami di sini, maka saya dan suami merancang bercuti ke Paris dan Andalusia Sepanyol melalui jalan darat. 

Jadual perjalanan pergi dan balik kami yang bermula dan berakhir di Loughborough UK lebih kurang seperti yang ditulis di bawah ini:

7 April 2006 Jumaat bertolak
Perjalanan bermula pada petang hari ini sebaik saja anak-anak balik dari sekolah sebelum cuti bermula. Kami telah menempah tiket keretapi Eurotrain yang akan bertolak pada tengah malam ini dari Folkestone Devon UK ke Calais Peranchis. Waktu bertolak ini menawarkan harga tiket yang paling murah. Perjalanan merentasi laut English Channel hanya mengambil masa 35 minit.

( 8 - 11 ) April - Paris
Kami berada selama 4 hari 4 malam di sini, melawat Disney Land, Eiffel Tower, Arc de Triomphe, Grand mosque Paris dan merayau-rayau di kota Paris sedaya yang mampu dengan menaiki metro. Ketka di sini kami ada membeli kad Formule 1 yang membolehkan kami naik tren ke mana sahaja dalam kota Paris.

11 April - bertolak ke Spain
Perjalanan bermula dari kota Paris ke Bordeaux selama 6 jam. Di sini kami berhenti sekejap untuk solat dan kebetulan kami terjumpa masjid dan solat berjemaah di situ. Kami juga membeli sedikit bekalan makanan sebelum meneruskan perjalanan yang masih jauh. Malam ini kami hanya tidor dalam kereta di sebuah kawasan parking RnR di Sepanyol .... membersihkan diri dan solat Subuh juga di sini.

(12 - 13) April - Bilbao
Kami ada menempah hotel F1 di sini dan  menyinggah hanya untuk satu malam sahaja. Kami sempat juga bersiar-siar di bandarnya bagi mengisi masa yang terluang. Pada keesokan harinya kami menyambung perjalanan ke Madrid.

(13 - 14) April - Madrid
Di sini juga kami bermalam untuk  satu malam sahaja, juga di hotel bajet F1. Walaupun duduk sekejap sahaja, kami sempat juga meronda ke beberapa tempat menarik di kota Madrid seperti stadium Realmadrid. Sepertimana di Paris kami berjalan-jalan di sini dengan menaiki metro.

(14 - 16) April - Cordoba
Kami tiba di sini waktu petang dan telah memasang khemah untuk tinggal di sini selama 2 malam. Malangnya khemah kami telah terbakar semasa menyediakan makan malam. Kejadian ini berlaku
 pada hari Jumaat disebabkan kelalaian kami. Pada malam itu kami hanya tidur dalam kereta kerana tidak sempat mencari hotel yang murah kerana hari sudah gelap dan tidaklah mudah ketika itu mencari sesuatu  tempat seperti zaman sekarang. Alhamdulillah pada keesokan harinya kami berjaya jumpa hotel bajet. Di sini kami melawat tapak arkeologi Madinat al Zahra, Mosque Cathedral of Cordoba, serta bersiar-siar di bandarnya.

( 16-17) April - Sevilla
 Di sini kami tidor hanya semalam. Sepertimana biasa kami meluangkan masa untuk berjalan-jalan melihat tempat menarik di bandar ini. Antara yang sempat dilawati adalah Plaza de Espana, di mana ia  pernah menjadi lokasi pengambaran filem Star Wars. Tidak lupa juga aktiviti bersiar-siar di kawasan sekitar.

17 April - Gibraltar 
Sebelum meneruskan perjalanan ke Granada, kami menyimpang ke negara Gibraltar. Ia tidak termasuk dalam negara Sepanyol tetapi milik negara UK. Oleh kerana ia sudah sangat dekat, terasa rugi pula kalau tidak  ke sana. Sempatlah anak-anak bermain laut sementara kami memasak makan tengahari di tepi pantai .... gembira semua masa itu😊Dari sini barulah kami menyambung perjalanan semula ke Granada.

(17 -21) April  - Granada
Kami berada di sini selama 4 hari 4 malam kerana inilah destinasi utama kami. Di sinilah terletaknya  Al Hambra, yang menjadi tarikan utama kami mengembara ke Andalusia. Dalam kompleks Alhambra ini juga terletak Nasrid Palaces. Tiket masuk ke sini telah dibeli lebih awal sebelum datang ke sini. Uniknya di Granada ini, jika datang waktu seperti sekarang, kita boleh menikmati 2 jenis cuaca serentak. Kami naik ke pergunungan Sierra Nevada dan bermain salji di sana sebelah pagi. Waktu tengahari kami turun semula ke pusat bandar dan menikmati cuaca panas pula😎sambil berjalan-jalan melihat kota seperti biasa, tetapi kali ini kami meronda dengan kereta. Kami ada juga  cuba mencari Pusat Islam Granada berpandukan peta kertas tetapi sampai kesudah tidak menjumpainya.

21 April (Jumaat) - Barcelona
Kami  hanya menyinggah sebentar sahaja di sini dalam perjalanan balik semula ke sempadan Spain-France. Malang menimpa kami sekali lagi pada hari Jumaat apabila salah satu beg kami yang ditinggalkan dalam kereta telah dicuri.😞Beberapa orang pemuda telah menyibukkan kami sekeluarga, sementara kawannya mencuri beg dalam kereta yang belum sempat dikunci. Nasib baik paspot dan duit sentiasa ada pada badan kami😱Tiadalah barang berharga sangat dalam beg itu. Sejak dari 2 peristiwa malang yang menimpa kami, pada 2 kali Jumaat, dalam pengembaraan ini, suami saya (kalau boleh) tidak mahu meningglkan solat Jumaat ketika bermusafir.

(21- 22) April - sempadan France 
Dari Barcelona kami terus ke sempadan dan bermalam di hotel F1 sekali lagi. Kami tidak ingat hotel ini berada di sebelah negara mana, cuma ingat bandar itu sangat hampir dengan sempadan. Bila dicari tempat ini dengan bantuan AI, ia menunjuk kepada sebuah bandar yang bernama Perpignan di sebelah Peranchis yang hanya 45 minit dari sempadan. Esok paginya kami terus bertolak ke Paris. 

22 April - Paris -Calais
Inilah hari terakhir kami di dalam siri kembara ini. Ada satu lagi  landmark baru ketika itu yang kami ingin pergi, iaitu Jambatan Millau. Ia baru dibuka pada 2004 dan mendapat gelaran sebagai jambatan tertinggi di dunia. Inilah sebabnya mengapa kami memilih jalan ini untuk kembali ke Paris., kerana jambatan ini berada dalam laluan lebuh raya dari Barcelona ke Paris. Destinasi terakhir di Peranchis ialah Calais di mana kami akan menaiki keretapi jam 21:51 ke Folkestone UK. Dari sini kami terus balik ke rumah di Loughborough yang jaraknya lebih kurang 3 jam setengah dari sini.... alhamdulillah kami selamat sampai tanpa sebarang kesulitan.

23 April - berihat di rumah
24 April -  sekolah dibuka selepas 2 minggu bercuti 

Dalam pengembaraan ini detik-detik hitam yang dilalui tidak pernah saya lupakan. Namun begitu keseronokan berpeluang melihat negara orang sedikit sebanyak menutupi kesedihan kami sekeluarga ketika itu. Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran pada kami sekeluarga terutama bagi saya dan suami. Saya sangat bersyukur selepas 2 musibah yang menimpa kami itu,  Allah telah permudahkan semua baki perjalanan sehingga kami sampai dengan selamat ke rumah.

Entri kali ini saya sengaja tidak berkongsi apa-apa gambar pun kerana hendak fokus pada jadual perjalanan serta cerita-cerita di sebaliknya. Selepas ini akan ada sambungannya insya Allah, menceritakan dengan lebih terperinci setiap tempat  yang dilawati.

Related posts:
Kembara Eropah - Merentasi English Channel di Dua Zaman Kembara Eropah - Hujung Dunia - Europa Point Gibraltar ( جبل طارق)

No comments:

Post a Comment