Pada pagi hari ke-3 di Genting Highlands, kami telah melawat Colmar Tropicale di Bukit Tinggi. Kami telah berada di Genting sejak 7 Oktober 2020 dan lawatan ini dibuat pada 9 Okt, dalam perjalanan ke Bukit Fraser, destinasi percutian kami seterusnya.
Colmar Tropical Berjaya Hills ialah resort penginapan bersejarah di Bukit Tinggi, Pahang. Ia adalah resort yang unik kerana dibina bertemakan perkampungan asli Colmar dari kurun ke-12. Suasana di sini membuatkan pelancong seolah-olah seperti bercuti di negara Perancis, kerana rekaan bangunan-bangunan hotel di sini mendapat ilhamnya dari Colmar Village Alsace, sebuah perkampungan Perancis yang terkenal dengan jalan batu buntar dan bangunan peninggalan zaman Renaissance. Tidak hairanlah tempat menarik di Bukit Tinggi ini menjadi destinasi yang popular di kalangan pelancong.
Kawasan sebelum masuk resort ..... pintu gerbang, air pancut dan bangunan tempat letak kereta
Plak pada air pancut yang menyebut ia sebagai cenderamata dari pejabat daerah Alsace, bandar Colmar dan daerah selatan Alsace
Tempat letak kereta resort ini agak jauh daripada kedudukan hotel, menyebabkan kami tidak jadi menginap di sini. Ketika melawat hari itu, suami turunkan saya berdekatan dengan air pancut supaya saya tidak perlu berjalan jauh sangat sebab bekas pembedahan di lutut saya masih belum pulih sepenuhnya. Dari sini ke tempat letak kereta mungkin lebih kurang 200 meter jauhnya.
Colmar Tropicale dikelilingi hutan belantara
Ia terletak 2,600 kaki (790 m) di atas paras laut dan dikelilingi sekitar 80 ekar hutan belantara asli. Tempat ini dibangunkan mengikut rekabentuk bangunan, susun-atur dan suasana perkampungan sebenar di Colmar, Perancis. Namun senibinanya diterapkan beberapa elemen perkampungan yang terdapat di Riquewihr, Turckheim dan Kaysersberg ( semua pekan atau kampung ini berada dalam wilayah Alsace). Keunikan ini pasti mengagumkan hati sesiapa sahaja yang pertama kali berkunjung ke Colmar Tropicale Berjaya Hills ini.
Suasana seperti berada di luar negara
Kami tidak menginap di sini, hanya datang melawat, menjamu selera, serta bergambar di lokasi menarik sebagai kenang-kenangan. Colmar Tropicale adalah lebih dari sekadar sebuah hotel. Pengunjung tidak semestinya menginap di sini untuk menikmati suasana ala Perancis ini. Bagi mereka yang merancang untuk balik hari, dikenakan sedikit bayaran untuk melawat kawasan ini.
Harga Tiket: Dewasa (RM16) | Kanak-kanak (RM8)
Mengikut maklumat dari internet terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti rock climbing dan mountain biking. Pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan persembahan pelbagai jenis tarian termasuk tarian Perancis. Waktu persembahan adalah seperti berikut:
Selasa, Rabu, Khamis dan Ahad: 12.00pm, 4.00pm dan 9.30pm Jumaat, Sabtu dan cuti umum: 12.00pm, 3.30pm, 7.30pm, 10.00pm
Kita juga boleh menajamu selera di kafe-kafe yang terdapat di sini, tetapi harga makanannya agak mahal. Antaranya:
La Cigogne: Hidangan tradisonal Perancis. Le Blason: Masakan Melayu dan antarabangsa. La Flamme: Sajian Itali seperti pasta, pizza dan lain-lain. Le Paulet Roti: Menu utama adalah ayam panggang dan makanan sampingan yang lain. La Boulangerie: Restoren Perancis yang menyajikan aneka roti dan minuman panas. L’Orient: Restoren yang menyajikan makanan Asia
Deretan kafe-kafe .... kami hanya makan piza
Harga hotel di resort ini antara RM200 -RM250 semalam. Ada sebuah lagi resort di Bukit Tinggi ini,
The Chateau Spa & Organic Wellness Resort yang juga menawarkan suasana penginapan gaya abad ke 12 zaman medieval tetapi bercitarasa moden dan perkhidmatan spa yang bertaraf dunia. Rekaan resort ini sungguh elegan membuatkan kita terasa seperti berada di negara Eropah. Harga bilik di sini pula antara RM400 - RM500 semalam.
Bagi mereka yang muda-muda ada banyak lagi aktiviti yang boleh dibuat di sini seperti melawat Taman Jepun yang berada tidak berapa jauh dari resort ini. Walaupun kami telah sampai ke tempat letak kereta taman ini, apabla melihat kecuraman dan ketinggian tangga untuk sampai ke sana, terus batalkan niat untuk melawatnya.πTaman Arnabnya juga ditutup pada ketika itu.
Perjalanan hari ke-3 percutian kami
Dari sini kami teruskan perjalanan ke Bentong, tetapi sebelum ke sana kami melencong balik ke Kampung Janda Baik. Tujuan ke sini untuk melihat tapak Camp Site Sungai Kuali, yang menjadi tempat Hari Keluarga kami pada Januari 2021 akan datang. Kemudian baharulah kami terus ke Bentong dan Bukut Fraser.
Sungai Kuali Camp Site
Ketika melalui bandar Bentong kami singgah sebentar di sini untuk bergambar sebagai kenang-kenangan. Ini pertama kali kami sampai di Bentong.
Masjid Jamek Bentong & Dataran Bentong .... 4.50 ptg
Alhamdulillah .... akhirnya kami sampai di Bukit Fraser ketika hari sudah gelap. Insya Allah entri seterusnya percutian di Fraser Hill. Jumpa di sana!
Ini percutian kedua kami sejak negara dilanda wabak covid-19. Kami telah merancang percutian ini bagi meraikan ulang tahun perkahwinan kami yang ke-38 yang jatuh pada 9 Oktober 2020. Alhamdulillah, Allah telah memberkati rumahtangga kami sehingga mampu bertahan sampai kini. Selama ini kami tidak pernah menyambutnya secara beria-ria seperti kali ini. Mungkin sebab sudah berasa jemu berada di rumah di kebanyakan masa, di musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan ) ini, mendorong kami mengambil kesempatan hari istimewa ini.π untuk pergi bercuti sekali lagi.
Kami telah merancang percutian selama 4 hari 3 malam, iaitu 2 malam di Genting Highlands dan semalam di Fraser Hill, dari 7 Oktober hingga 10 Oktober 2021. Pada April 2018 kami juga telah membuat pengembaraan yang sama dalam siri Kembara Tanah Tinggi yang pertama. Kedua-dua tanah tinggi ini berada di Banjaran Titiwangsa.
Perjalanan bermula dari Parit Raja Batu Pahat, ke Genting, Kg Janda Baik, Bentong, Bukit Fraser, dan balik semula terus ke BP
Banjaran Titiwangsa menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Banjaran ini menganjur dari selatan Thailand hingga ke Gunung Ledang di Johor. Ia sebenarnya menganjur dari Banjaran Himalaya dan puncak tertingginya ialah Gunung Korbu yang terletak di Perak. Banjaran ini menjadi legeh bagi sungai-sungai utama di Semenanjung Malaysia. Di sini juga terdapat tiga buah pusat peranginan iaitu Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser.
Semasa di Genting, kami duduk di Hotel Swiss Garden. Kami telah mengambil pakej bilik berserta sarapan dan makan malam yang ditawarkan oleh pihak hotel. Kami tiba di hotel di awal petang Rabu dan kami tidak ke mana-mana kerana cuaca pun tidak berapa baik. Esoknya baru kami pergi berjalan-jalan di Genting. Alhamdulillah bilik hotel sangat selesa.π
Bilik selesa dengan pemandangan yang cantik
Taman di luar dining hall
Khamis 8/10/2020
Ini merupakan lawatan kali kedua kami ke Genting Highland. Walaupun terdapat banyak tempat-tempat menarik yang baharu dibuka di sini sejak lawatan kami pada kali yang pertama, namun kami hanya memilih aktiviti yang dirasakan sesuai dengan jiwa kami yang sudah menjadi warga emas.
Hari ini kami bercadang naik cable car ke puncak gunung. Kami naik dalam pukul 11 pagi dari stesen Awana dan terus ke SkyAvenue. Kita juga boleh turun di Stesen Chin Swee dengan mengguna tiket yg sama, sebelum meneruskan perjalanan ke puncak. Kereta boleh ditinggalkan di tempat letak kereta, bersebelahan Genting Highlands Premium Outlets.
Awana SkyCentral
Dari Awana Skyway ke SkyAvenue hanya 10 min tetapi kalau berkereta mungkin dalam 15 min
Bangunan Genting Highlands Premium Outlets di belakang
Ticket Type
Standard Gondola*
Glass Floor Gondola
One-Way
Return
One-Way
Return
Standard
RM9
RM16
RM21
RM35
Malaysian Senior Citizen
RM5
RM10
RM12
RM24
Ini gondola yang diguna
Gondola yang digunakan ada 2 jenis, yang biasa dan yang berlantai cermin. Ada tiket harga istimewa bagi warga emas yang berumur lebih 60 tahun seperti yang ditunjuk dalam jadual. Kami mengambil gondola yang berlantai cermin dan suami mendapat tiket harga potongan kerana menepati syarat. Saya pula bayar harga tiket yang biasa iaitu RM35 return.
Ini adalah cara yang paling mudah untuk sampai ke puncak. Ia hanya mengambil masa 10 minit perjalanan dari Stesen Awana ke stesen SkyAvenue, yang bersambung terus dengan SkyAvenue Shopping Mall.
Rasa cemas πjugak bila pijak atas lantai kaca ni
Berhenti di Chin Swee station tapi kami tak turun
Stesen cable car ... waktu naik dan turun dari puncak
Floor plan Skytropolis Indoor Theme Park
Sebaik tiba di puncak kami terus menuju ke bangunan berdekatan dan terjumpa Skytropolis Indoor Theme Park ini. Mengikut maklumat taman ini terletak di First World Plaza dan berdekatan dengan SkyAvenue. Mengikut peta di atas ada beberapa jalan keluar menuju ke dua-dua tempat ini. Kami memang tiada merancang apa-apa aktiviti tertentu, melainkan berjalan-jalan sambil bergambar. Bila masuk bangunan dan nampak dari atas suasana yang begitu meriah di bawah, kami pun terus ke sana untuk melihatnya dari dekat.
Skytropolis Indoor Theme Park
Dengan keluasan lebih dari 400,000 kaki persegi, Skytropolis Indoor Theme Park menjanjikan keseronokan tanpa henti untuk semua orang dalam keluarga!πππ Alami dunia pengembaraan di lokasi yang mudah .... ini kata-kata manis yang mempromosikan tempat ini.
Skytropolis menyerupai satu karnival futuristik dengan pelbagai tarikan menarik dan lampu berwarna-warni. Sesuai dikunjungi bersama keluarga atau rakan-rakan, taman tema dalaman ini menawarkan pelbagai tarikan bayar-per-perjalanan (pay-per-ride) untuk para pengunjung dari semua peringkat umur. Terdapat lebih daripada 20 mainan seperti ini di dalamnya. Seperti yang disebut di atas kami hanya berjalan-jalan melihat sekeliling, melihat orang ramai serta aktiviti yang sedang berjalan.
Di puncak sinilah kebanyakan aktiviti berlaku dan hotel-hotel juga banyak terdapat di sini. Di sinilah terletaknya First World Hotel, hotel terbesar di Asia dengan lebih 6,000 buah bilik bajet. Di sini juga terletak satu-satunya pusat perjudian yang sah π‘di Malaysia - mini Las Vegas sendiri di puncak gunung sejak tahun 1971. Selain daripada ini, terdapat taman hiburan yang menyediakan aktiviti yang menyeronokkan untuk orang dewasa dan kanak-kanak, sementara SkyAvenue dan First World Plaza adalah kompleks membeli-belah yang berwarna-warni dengan restoran, hiburan dan butik. Walaupun begitu pada hari tersebut banyak tempat yang masih tidak beroperasi.
First World Hotel .... 7351 bilik
First World Plaza ... suasana seperti malam tetapi sebenarnya pukul 12.30 pada 8 Okt 2020
Pusat peranginan ini bertengger di puncak Gunung Ulu Kali dengan ketinggian 1.800 meter. Terletak di sempadan Selangor sekitar 35km dari Kuala Lumpur, Genting merupakan lokasi percutian hujung minggu yang popular bagi mereka yang ingin melarikan diri dari cuaca panas bandar. Ia dihubungkan dengan lebuh raya, jalan raya dan perkhidmatan kereta kabel melalui Awana Skyway.
Genting mempunyai cuaca sejuk antara 20 ° C hingga 26 ° C pada siang hari dan 15 ° C hingga 20 ° C pada waktu malam. Cuaca berkabus adalah perkara biasa dan ribut petir sering terjadi menjelang akhir tahun. Namun, ia boleh dikunjungi pada bila-bila masa, kerana jalan-jalan di atasnya dibina dengan kukuh, yang mampu menahan kebanyakan tanah runtuh.
Pada hari yang cerah, puncaknya yang menghadap ke lembah hutan hujan yang subur membentang ke arah KL, dapat dilihat dengan jelas, satu pemandangan yang menakjubkan bagi pengunjung di samping menikmati cuaca yang sejuk dan persekitaran gunung yang tenang. Di lembah di sekitar Genting juga terdapat banyak tempat-tempat pelancongan termasuk tempat makan hotspot, tempat percutian homestay di kampung-kampung, destinasi alam dan banyak lagi.
Malangnya kebanyakan masa kami berada di puncak diiringi dengan hujan
Pada kesokan harinya cuaca bertambah baik dan kami telah melawat Colmar Tropika dan Kampung Janda Baik dalam perjalanan ke Bukit Fraser. Insya Allah kita akan jumpa dalam posting seterusnya.
Dari 6-9 April lepas, saya dan suami serta seorang anak telah membuat satu perjalanan merentasi Banjaran Titiwangsa .... Cerita selanjutnya boleh didapati di sini:
Kembara Tanah Tinggi - Bukit Fraser Kembara Tanah Tinggi - Cameron Highlands Catatan ini hanyalah untuk menceritakan tentang Genting Highlands sebagai salah satu dari 3 buah pusat peranginan bercuaca sejuk yang utama di Semenanjung Malaysia, yang terletak di Banjaran Titiwangsa. Dalam kembara kali ini kami tidak ke sini.Tempat ini juga terkenal sebagai pusat perjudian berlesen yang utama di Malaysia, dan juga dikenali sebagai "Las Vegas" Malaysia. Ramai juga pelancong tempatan yang ke sini semata-mata kerana ingin berjudi.
Banjaran Titiwangsa menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Di kalangan penduduk tempatan ia lebih dikenali sebagai Banjaran Besar. Banjaran ini terdiri dari rantaian gunung dan bukit yang membentuk tulang belakang Semenanjung Malaysia. Ia sebenarnya menganjur dari Banjaran Himalaya, di mana bahagian utaranya berada di selatan Thailand. Kemuncaknya yang tertinggi adalah Gunung Korbu yang terletak di Perak. Di sini juga terdapat tiga buah pusat peranginan yang tekenal, iaitu Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser.
Di kalangan pelancong, Cameron Highlands terkenal dengan ladang teh dan sayur-sayurannya, manakala Bukit Fraser pula lebih dikenali sebagai "The Little England of Malaysia" dan Genting Highlands mendapat jolokan kota keriangan,
Genting Highlands hanya sejam perjalanan dari Lembah Klang
Dalam pejalanan yang terbaharu ini kami tidak ke Genting Highlands tetapi saya dan suami pernah sekali sampai ke sini, beberapa tahun yang lalu. Dari pembacaan saya di internet, kini sudah ada banyak benda-benda baharu di sini, dan juga yang akan datang, dan kebanyakannya bertemakan hiburan .... tepat bagai nama jolokannya "kota keriangan".
Sewaktu saya dan suami ke sini, juga atas urusan kerja, kami tidaklah ke mana-mana sangat memandangkan kebanyakan tempatnya bertemakan hiburan untuk orang-orang muda. Kami pula tidak membawa anak-anak. Kami hanya menikmati cuacanya yang sejuk dan nyaman serta keindahan alam ciptaan Allah.
Genting Highlands Resort - cuaca yang berkabus
Di luar .... cuaca berangin, sejuk dan berkabus
Pemandangan lanskap yang indah dilihat dari hotel Awana Genting
Cuaca di Genting Highlands agak unik kerana ianya boleh berubah sekelip mata, cukup berbeza dengan suhu di Lembah Klang yang hanyalah 1 jam pemanduan dari pusat peranginan ini. Kabus yang tebal dengan wap yang terbentuk setiap kali menarik nafas cukup untuk menggambarkan kedinginan cuaca yang dapat dinikmati di ‘Las Vegas’ Malaysia ini.
Kedudukannya yang terletak tidak jauh dari bandar seharusnya menjadikan ia destinasi percutian pilihan setiap kali tiba musim cuti ataupun di hujung minggu. Dengan suhu serendah 14 ke 16 darjah Celsius, keadaannya tidak ubah seperti bercuti di negara-negara yang sejuk. Suhu nyaman dan pemandangan mempesonakan di Genting Highlands menjadikan ia tarikan yang menarik untuk dilawati bukan sahaja penduduk Malaysia tetapi juga dari luar negara.