Showing posts with label hotel. Show all posts
Showing posts with label hotel. Show all posts

Monday, 23 August 2021

Kembara Tanah Tinggi (2) - Colmar Tropicale Bukit Tinggi

Pada pagi hari ke-3 di Genting Highlands, kami telah melawat Colmar Tropicale di Bukit Tinggi. Kami telah berada di Genting sejak 7 Oktober 2020 dan lawatan ini dibuat pada 9 Okt, dalam perjalanan ke Bukit Fraser, destinasi percutian kami seterusnya.

Colmar Tropical Berjaya Hills ialah resort penginapan bersejarah di Bukit Tinggi, Pahang. Ia adalah resort yang unik kerana dibina bertemakan perkampungan asli Colmar dari kurun ke-12.  Suasana di sini membuatkan pelancong seolah-olah seperti bercuti di negara Perancis, kerana rekaan bangunan-bangunan hotel di sini  mendapat ilhamnya dari Colmar Village Alsace, sebuah perkampungan Perancis yang terkenal dengan jalan batu buntar dan bangunan peninggalan zaman Renaissance. Tidak hairanlah tempat menarik di Bukit Tinggi ini menjadi destinasi yang popular di kalangan pelancong.
Kawasan sebelum masuk resort ..... pintu gerbang, air pancut dan
bangunan tempat letak kereta
Plak pada air pancut yang menyebut ia sebagai
cenderamata dari pejabat daerah Alsace,
bandar Colmar dan daerah selatan Alsace
Tempat letak kereta resort ini agak jauh daripada kedudukan hotel, menyebabkan kami tidak jadi menginap di sini. Ketika melawat hari itu, suami turunkan saya berdekatan dengan air pancut supaya saya tidak perlu berjalan jauh sangat sebab bekas pembedahan di lutut saya masih belum pulih sepenuhnya. Dari sini ke tempat letak kereta  mungkin lebih kurang 200 meter jauhnya.
Colmar Tropicale dikelilingi hutan belantara
Ia terletak 2,600 kaki (790 m) di atas paras laut dan dikelilingi sekitar 80 ekar hutan belantara asli. Tempat ini dibangunkan mengikut rekabentuk bangunan, susun-atur dan suasana perkampungan sebenar di Colmar, Perancis. Namun senibinanya diterapkan beberapa elemen perkampungan yang terdapat di Riquewihr, Turckheim dan Kaysersberg ( semua pekan atau kampung ini berada dalam wilayah Alsace). Keunikan ini pasti mengagumkan hati sesiapa sahaja yang pertama kali berkunjung ke Colmar Tropicale Berjaya Hills ini.
Suasana seperti berada di luar negara
Kami tidak menginap di sini, hanya datang melawat, menjamu selera, serta bergambar di lokasi menarik sebagai kenang-kenangan. Colmar Tropicale adalah lebih dari sekadar sebuah hotel. Pengunjung tidak semestinya menginap di sini untuk menikmati suasana ala Perancis ini. Bagi mereka yang merancang untuk balik hari, dikenakan sedikit bayaran untuk melawat kawasan ini. 
Harga Tiket: Dewasa (RM16) | Kanak-kanak (RM8)

Mengikut maklumat dari internet terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini  seperti rock climbing dan mountain biking. Pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan persembahan pelbagai jenis tarian termasuk tarian Perancis. Waktu persembahan adalah seperti berikut:
Selasa, Rabu, Khamis dan Ahad: 12.00pm, 4.00pm dan 9.30pm
Jumaat, Sabtu dan cuti umum: 12.00pm, 3.30pm, 7.30pm, 10.00pm

Kita juga boleh menajamu selera di kafe-kafe yang terdapat di sini, tetapi harga makanannya agak mahal. Antaranya:
La Cigogne: Hidangan tradisonal Perancis.
Le Blason: Masakan Melayu dan antarabangsa.
La Flamme: Sajian Itali seperti pasta, pizza dan lain-lain.
Le Paulet Roti: Menu utama adalah ayam panggang dan makanan sampingan yang lain.
La Boulangerie: Restoren Perancis yang menyajikan aneka roti dan minuman panas.
L’Orient: Restoren yang menyajikan makanan Asia
Deretan kafe-kafe .... kami hanya makan piza 
 Harga hotel di resort ini antara RM200 -RM250 semalam. Ada sebuah lagi resort di Bukit Tinggi ini, 
The Chateau Spa & Organic Wellness Resort yang juga menawarkan suasana penginapan gaya abad ke 12 zaman medieval tetapi bercitarasa moden dan perkhidmatan spa yang bertaraf dunia. Rekaan resort ini sungguh elegan membuatkan kita terasa seperti berada di negara Eropah. Harga bilik di sini pula antara RM400 - RM500 semalam.

Bagi mereka yang muda-muda ada banyak lagi aktiviti yang boleh dibuat di sini seperti melawat Taman Jepun yang berada tidak berapa jauh dari resort ini. Walaupun kami telah sampai ke tempat letak kereta taman ini, apabla melihat kecuraman dan ketinggian tangga untuk sampai ke sana, terus batalkan niat untuk melawatnya.๐Ÿ˜žTaman Arnabnya juga ditutup pada ketika itu.
Perjalanan hari ke-3 percutian kami
Dari sini kami teruskan perjalanan ke Bentong, tetapi sebelum ke sana kami melencong balik ke Kampung Janda Baik. Tujuan ke sini untuk melihat tapak Camp Site Sungai Kuali, yang menjadi tempat Hari Keluarga kami pada Januari 2021 akan datang. Kemudian baharulah kami terus ke Bentong dan Bukut Fraser.

Sungai Kuali Camp Site
Ketika melalui bandar Bentong kami singgah sebentar di sini untuk bergambar sebagai kenang-kenangan. Ini pertama kali kami sampai di Bentong.
Masjid Jamek Bentong & Dataran Bentong .... 4.50 ptg

Alhamdulillah .... akhirnya kami sampai di Bukit Fraser ketika hari sudah gelap. Insya Allah entri seterusnya percutian di Fraser Hill. Jumpa di sana!

Thursday, 5 August 2021

Kembara Tanah Tinggi (2) - Genting Highlands

Ini percutian kedua kami sejak negara dilanda wabak covid-19. Kami telah merancang percutian ini bagi meraikan ulang tahun perkahwinan kami yang ke-38 yang jatuh pada 9 Oktober 2020. Alhamdulillah, Allah telah memberkati rumahtangga kami sehingga mampu bertahan sampai kini. Selama ini kami tidak pernah menyambutnya secara beria-ria seperti kali ini. Mungkin sebab sudah berasa jemu berada di rumah di kebanyakan masa, di musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan ) ini, mendorong kami mengambil kesempatan hari istimewa ini.๐Ÿ˜ untuk pergi bercuti sekali lagi.

Kami telah merancang percutian selama 4 hari 3 malam, iaitu 2 malam di Genting Highlands dan semalam di Fraser Hill, dari 7 Oktober hingga 10 Oktober 2021. Pada April 2018 kami juga telah membuat pengembaraan yang sama dalam siri Kembara Tanah Tinggi  yang pertama. Kedua-dua tanah tinggi ini berada di Banjaran Titiwangsa.

Perjalanan bermula dari Parit Raja Batu Pahat, ke Genting,
Kg Janda Baik, Bentong, Bukit Fraser, dan balik semula terus ke BP
Banjaran Titiwangsa menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Banjaran ini menganjur dari selatan Thailand hingga ke Gunung Ledang di Johor. Ia sebenarnya menganjur dari Banjaran Himalaya dan puncak tertingginya ialah Gunung Korbu yang terletak di Perak. Banjaran ini menjadi legeh bagi sungai-sungai utama di Semenanjung Malaysia. Di sini juga terdapat tiga buah pusat peranginan iaitu Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser.

Semasa di Genting, kami duduk di Hotel Swiss Garden. Kami telah mengambil pakej bilik berserta sarapan dan makan malam yang ditawarkan oleh pihak hotel. Kami tiba di hotel di awal petang Rabu dan kami tidak ke mana-mana kerana cuaca pun tidak berapa baik. Esoknya baru kami pergi berjalan-jalan di Genting. Alhamdulillah bilik hotel sangat selesa.๐Ÿ˜€
Bilik selesa dengan pemandangan yang cantik
Taman di luar dining hall

Khamis 8/10/2020
Ini merupakan lawatan kali kedua kami ke Genting Highland. Walaupun terdapat banyak tempat-tempat menarik yang baharu dibuka di sini sejak lawatan kami pada kali yang pertama, namun kami hanya memilih aktiviti yang dirasakan sesuai dengan jiwa kami yang sudah menjadi warga emas.

Hari ini kami bercadang naik cable car ke puncak gunung. Kami naik dalam pukul 11 pagi dari stesen Awana dan terus ke SkyAvenue. Kita juga boleh turun di Stesen Chin Swee dengan mengguna tiket yg sama, sebelum meneruskan perjalanan ke puncak. Kereta boleh ditinggalkan di tempat letak kereta, bersebelahan Genting Highlands Premium Outlets.
Awana SkyCentral
Dari Awana Skyway ke SkyAvenue hanya 10 min
 tetapi kalau berkereta mungkin dalam 15 min
Bangunan  Genting Highlands
Premium Outlets di belakang 

Ticket TypeStandard Gondola*Glass Floor Gondola
One-WayReturnOne-WayReturn
StandardRM9RM16RM21RM35
Malaysian Senior
Citizen
RM5RM10RM12RM24
Ini gondola yang diguna
Gondola yang digunakan ada 2 jenis, yang biasa dan yang berlantai cermin. Ada tiket harga istimewa bagi warga emas yang berumur lebih 60 tahun seperti yang ditunjuk dalam jadual. Kami mengambil gondola yang berlantai cermin dan suami mendapat tiket harga potongan kerana menepati syarat. Saya pula bayar harga tiket yang biasa iaitu RM35 return.

Ini adalah cara yang paling mudah untuk sampai ke puncak. Ia hanya mengambil masa 10 minit perjalanan dari Stesen Awana ke stesen SkyAvenue, yang bersambung terus dengan SkyAvenue Shopping Mall.


 Rasa cemas ๐Ÿ˜Ÿjugak
bila pijak atas lantai kaca ni
Berhenti di Chin Swee station
tapi kami tak turun
Stesen cable car ... waktu naik dan turun dari puncak

Floor plan Skytropolis Indoor Theme Park
Sebaik tiba di puncak kami terus menuju ke bangunan berdekatan dan terjumpa Skytropolis Indoor Theme Park ini. Mengikut maklumat taman ini terletak di First World Plaza dan berdekatan dengan SkyAvenue. Mengikut peta di atas ada beberapa jalan keluar menuju ke dua-dua tempat ini. Kami memang tiada merancang apa-apa aktiviti tertentu, melainkan berjalan-jalan sambil bergambar. Bila masuk bangunan dan nampak dari atas suasana yang begitu meriah di bawah, kami pun terus ke sana untuk melihatnya dari dekat.
Skytropolis Indoor Theme Park
Dengan keluasan lebih dari 400,000 kaki persegi, Skytropolis Indoor Theme Park menjanjikan keseronokan tanpa henti untuk semua orang dalam keluarga!๐Ÿ˜€๐Ÿ˜€๐Ÿ˜€ Alami dunia pengembaraan di lokasi yang mudah .... ini kata-kata manis yang mempromosikan tempat ini.

Skytropolis menyerupai satu karnival futuristik dengan pelbagai tarikan menarik dan lampu berwarna-warni. Sesuai dikunjungi bersama keluarga atau rakan-rakan, taman tema dalaman ini menawarkan pelbagai tarikan bayar-per-perjalanan (pay-per-ride) untuk para pengunjung dari semua peringkat umur. Terdapat lebih daripada 20 mainan seperti ini di dalamnya. Seperti yang disebut di atas kami hanya berjalan-jalan melihat sekeliling, melihat orang ramai serta aktiviti yang sedang berjalan.

Di puncak sinilah kebanyakan aktiviti berlaku dan hotel-hotel juga banyak terdapat di sini. Di sinilah terletaknya  First World Hotel, hotel terbesar di Asia dengan lebih 6,000 buah bilik bajet. Di sini juga terletak  satu-satunya pusat perjudian yang sah ๐Ÿ˜กdi Malaysia - mini Las Vegas sendiri di puncak gunung sejak tahun 1971. Selain daripada ini, terdapat taman hiburan yang menyediakan aktiviti yang menyeronokkan untuk orang dewasa dan kanak-kanak, sementara SkyAvenue dan First World Plaza adalah kompleks membeli-belah yang berwarna-warni dengan restoran, hiburan dan butik. Walaupun begitu pada hari tersebut banyak tempat yang masih tidak beroperasi.
First World Hotel .... 7351 bilik
First World Plaza ... suasana seperti malam
tetapi sebenarnya pukul 12.30 pada 8 Okt 2020
Pusat peranginan ini bertengger di puncak Gunung Ulu Kali dengan ketinggian 1.800 meter. Terletak di sempadan Selangor sekitar 35km dari Kuala Lumpur, Genting merupakan lokasi percutian hujung minggu yang popular bagi mereka yang ingin melarikan diri dari cuaca panas bandar. Ia dihubungkan dengan lebuh raya, jalan raya dan perkhidmatan kereta kabel melalui Awana Skyway.

Genting mempunyai cuaca sejuk antara 20 ° C hingga 26 ° C pada siang hari dan 15 ° C hingga 20 ° C pada waktu malam. Cuaca berkabus adalah perkara biasa dan ribut petir sering terjadi menjelang akhir tahun. Namun, ia boleh dikunjungi pada bila-bila masa, kerana jalan-jalan di atasnya dibina dengan kukuh, yang mampu menahan kebanyakan tanah runtuh.

Pada hari yang cerah, puncaknya yang menghadap ke lembah hutan hujan yang subur membentang ke arah KL, dapat dilihat dengan jelas, satu pemandangan yang menakjubkan bagi pengunjung di samping menikmati cuaca yang sejuk dan persekitaran gunung yang tenang. Di lembah di sekitar Genting juga terdapat banyak tempat-tempat pelancongan termasuk tempat makan hotspot, tempat percutian homestay di kampung-kampung, destinasi alam dan banyak lagi.
Malangnya kebanyakan masa kami
berada di puncak diiringi dengan hujan
Pada kesokan harinya cuaca bertambah baik dan kami telah melawat Colmar Tropika  dan Kampung Janda Baik dalam perjalanan ke Bukit Fraser. Insya Allah kita akan jumpa dalam posting seterusnya.



Related Posts:

Friday, 4 December 2020

Jalan-jalan di China 2 - Guangzhou

Awal bulan May 2019 adalah kali pertama kami menjejak kaki ke negara China. Pada hujung bulan Ogos sekali lagi suami dijemput sebagai 'keynote speaker' dalam satu seminar yang dibuat di Guangzhou pula. Alhamdulillah ... bertambah lagi tempat yang dilawati dalam siri 'lawatan sambil bekerja' kami. Perjalanan ini merupakan percutian terakhir ke luar negara sebelum wabak covid-19 melanda satu dunia sehingga kini, yang melarang perjalanan ke luar negara tanpa kebenaran. Kami bertolak ke Guangzhou pada malam 28 Ogos 2019 dari lapangan terbang Senai Johor, dan tiba pada esok paginya. Biasanya kami ke luar negara melalui KLIA.

Oleh kerana penerbangan kami tiba di awal pagi di Guangzhou, kami telah menempah bilik penginapan untuk tidur dan berihat di Guangzhou Airport Voyage Service Apartment Baiyun Airport. Alhamdulillah sempat berihat dan kembali segar sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Guangzhou. Apartment ini hanya 5 minit dengan kenderaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou. Kaunter pendaftaran beroperasi 24 jam dan ada perkhidmatan 'shuttle' ke/dari airport 24 jam secara percuma. Keadaan bilik biasa-biasa sahaja tetapi cukup selesa untuk berihat sekadar sebentar.
Kaunter pendaftaran  apartment ..... semasa check out
Jadual 'shuttle' ke airport ... setiap setengah atau sejam
Pada tengahari 29/8/2019 kami bertolak ke kota Guangzhou dengan menaiki teksi 'sapu' ( dikenakan tambang sebanyak 120 cny) dan terus ke hotel Amamouillage Inn yang telah ditempah lebih awal. Kami tinggal di hotel ini untuk satu malam sahaja kerana keesokanya kami perlu ke hotel yang menjadi tempat suami berseminar. Biasanya hotel yang dipilih oleh pihak penganjur agak mahal sedikit harga biliknya. Jadi selalunya kami akan mencari hotel yang lebih murah sebelum atau selepas seminar
Duduk di hotel ini untuk satu malam sahaja
Lobi Hotel Gangrun Guangzhou ... tempat seminar
Bilik di Gangrun Hotel yang sangat luas ...
Guangzhou yang juga dikenali sebagai Canton adalah ibu negeri wilayah Guandong. Ia terletak di Sungai Pearl (Mutiara) di Selatan China, kira-kira 120 km utara membarat laut dari Hong Kong dan 145 km utara dari Macau. Guangzhou telah wujud lebih daripada 2,200 tahun dan merupakan destinasi terakhir Laluan Sutera laut, perlabuhan utama dunia dan juga adalah antara tiga bandar terbesar China. Bermula dari penubuhannya semasa Dinasti Qin (221-206 S.M.), bandaraya ini menjadi pusat perdagangan antarabangsa yang penting. Selepas pembaharuan besar dalam tahun 1970-an, Guangzhou menjadi model contoh ekonomi kepada tempat lain di dalam negara ini.
Kali pertama ke China melawat bandar Shanghai dan Nanjing
...... kali kedua melawat bandar Guangzhou
Pada masa kini, dalam perdagangan moden, Guangzhou terkenal dengan Pameran Canton (Canton Fair) tahunannya, pameran perdagangan tertua dan terbesar di China. Selama tiga tahun berturut-turut (2013-2015), Forbes meletakkan Guangzhou sebagai bandar komersial terbaik di tanah besar China.
Guangzhou menduduki tempat ke-10 di dunia dan ke-5 di China (selepas Beijing, Shanghai, Hong Kong dan Shenzhen) dari segi jumlah jutawan menurut Hurun Global Rich List 2020. Bandar ini menempatkan banyak universiti paling berprestij di China, termasuk Universiti Sun Yat-sen, Universiti Teknologi China Selatan, Universiti Normal China Selatan dan Universiti Jinan. Guangzhou juga merupakan salah satu bandar teratas di dunia dalam  penyelidikan saintifik di samping Beijing, Shanghai, Nanjing dan Wuhan. 

Oeh kerana bandaraya ini berkembang dengan sangat pesat, terdapat ramai penduduk sementara dan pendatang asing dari Asia Tenggara, Timur Tengah, Eropah Timur dan Afrika. Kemasukan penduduk yang beramai-ramai ini menyebabkan ia mendapat gelaran sebagai "Ibu Kota Dunia Ketiga".
Bandar Guangzhou dilihat dari atas hotel
Guangzhou adalah bandar ketiga terbesar di China selepas Beijing dan Shanghai. Bandar ini merupakan salah satu destinasi pilihan pemborong dari Malaysia. Dikatakan di sini ada bermacam-macam produk yang dijual dengan harga yang sangat murah. Ini mendorong ramai peniaga dan pemborong dari Malaysia sanggup ke sini untuk membeli barangan niaga mereka. Selain menjadi destinasi pemborang dunia, Guangzhou juga menjadi salah satu destinasi pelancongan popular di China bagi pelancong Muslim. Ini kerana di sini juga terdapat ramai orang Islam di kalangan masyarakatnya,  dan boleh dikatakan senang untuk mencari restoran Halal di sekitar bandar Guangzhou. Semasa kami berada di sini, di mana-mana sahaja kami pergi pasti terjumpa 'orang Malaysia' .... ada yang datang melancong, ada yang bekerja di sini dan semestinya ada yang datang memborong berbagai-bagai jenis barangan๐Ÿ˜€

Kami datang sebagai 'pelancong sambil bekerja'๐Ÿ˜Kami tiba 2 hari sebelum hari seminar suami. Sebagai pelancong (yang sangat terbatas tenaga dan waktunya), kami berkesempatan melawat beberapa tempat menarik yang menjadi kegemaran para pelancong, seperti Kompleks Saad Abu Waqas, Shamian Island dan Masjid Huaisheng. Kami juga telah mengikuti aktiviti Pearle River Tour.
Seminar suami yang berlangsung di Gangrun Hotel
Satu daripada tanda paling jelas yang menggambarkan kekuatan dan sifat moden bandaraya ini ialah Menara Canton. Ia adalah menara pemerhatian (observation tower) yang sangat tinggi dengan pelbagai kegunaan setinggi 604 meter (1,982 kaki)  Menara ini telah siap dibina pada tahun 2009 dan mula beroperasi pada 29 September 2010 bersempena Sukan Asia 2010. Menara ini secara ringkas pernah memegang gelaran menara tertinggi di dunia, menggantikan Menara CN di Kanada, sebelum dikalahkan oleh Tokyo Sky Tree di Jepun pada 2011. Ia adalah struktur tertinggi di China sebelum dikalahkan oleh Menara Shanghai pada 3 Ogos 2013. 

Menara Canton termasuk dalam ketegori ' Strukutur Hyperboloid ' yang tertinggi di dunia. Apakah yang dimaksudkan dengan ketegori ini? Ini penerangan yang dipetik dari Wikipedia:

Hyperboloid structures are architectural structures designed using a hyperboloid in one sheet. Often these are tall structures such as towers where the hyperboloid geometry's structural strength is used to support an object high off the ground, but hyperboloid geometry is also often used for decorative effect as well as structural economy. The first hyperboloid structures were built by Russian engineer Vladimir Shukhov (1853–1939).The world's first hyperboloid tower is located in Polibino, Dankovsky District, Lipetsk Oblast, Russia.
Canton Tower dibina mengguna teknologi 'hyperboloid'
Kami tidak naik ke atas bangunan ini walaupun dikatakan pemandangan dari sini sangat cantik. Bagaimanapun pada malam itu kami menaiki Pearle River Cruise. Kami hanya menikmati keindahan menara ini dari jauh. Lampu berwarna-warni yang bersilih ganti menerangi bangunan ini di malam hari, sungguh mengasyikkan. Memang benar sekali teknologi  yang diguna memberi kesan serta mempengaruhi kecantikan bangunan ini. Bentuk menara yang menarik menyebabkan penduduk tempatan memberinya berbagai gelaran seperti "Slim Waist" dan "Twisted Firewood".

Mungkin ini pemandangan yang akan dilihat dari atas ... kota Guangzhou 
Seperti biasa kami tidak banyak buat "shopping" di sini. Selalunya menjamu mata sahaja sambil mencari cenderahati untuk dibawa pulang. Ada sekali ke Beijing Street yang terkenal di kalangan "Shoppers" tetapi tidak membeli apa-apa pun kerana tidak terjumpa apa-apa yang berkenan di hati. 

Kemudian sebelum pulang ke Malaysia kami ke Onelink International Plaza untuk mencari cenderahati. Mengikut maklumat dari internet, plaza ini adalah tempat memborong cenderahati dan bunga, tetapi ada bermacam-macam barang yang dijual di sini. Terdapat lebih dari 2,000 buah kedai dalam bangunan setinggi 6 tingkat. Antara barang yang terdapat di sini selain dari cenderahati, termasuk soft toys, educational toys, pakaian, kasut, beg tangan, jam, barangan elektronik, perhiasan rumah, perkakas telefon, dan aksesori wanita. Kami hanya  membeli pin kerongsang, 'fridge magnet' dan jam tangan kanak-kanak di sini. 

Plaza ini beroperasi dari jam 10.00 am sehingga jam 6.30 pm. Ketika pusing-pusing mencari barang, kami juga ternampak beberapa kelibat orang Melayu di sini dan sempat bersembang dengan seorang perempuan Melayu dari Malaysia yang baharu hendak berjinak-jinak menjadi peniaga. Dia sedang mencari alat elektronik yang berfungsi sebagai 'educational toys' untuk kanak-kanak, untuk dijual di Malaysia.
Depan pintu masuk Plaza Onelife International
Hujan ribut di Guangzhou ..... petang 1 Sept 2019
Petang itu tidak lama selepas kami keluar dari bangunan plaza dan mencari teksi untuk pulang ke hotel, tiba-tiba kelihatan semua orang berlari-lari masuk dalam bangunan berdekatan mencari perlindungan. Ketika itu angin sedang bertiup kencang tetapi hujan belum turun. Kami pun terpinga-pinga melihat suasana kelam-kabut .... hati jadi berdebar-debar๐Ÿ˜ŸApabila melihat ke arah angin kencang yang bertiup, baharulah kami nampak segumpulan awan hitam yang sedang menuju ke arah kami. Terus kami pun masuk ke dalam bangunan yang paling dekat untuk berlindung. Tidak lama selepas itu baharulah hujan turun. Kebiasaannya di Malaysia, apabila hujan mulai turun baharulah kita mencari tempat untuk berteduh๐Ÿ˜Š
Suasana di Beijng Road  ....  lewat petang 31 Ogos 2019
Pemberitahuan tentang
Beijing Road Cultural Tourism Zone
Zon 'cultural tourism' di Beijig Road ini berada di satu tapak di mana bandar Guangzhou mula-mula dibangun 2,200 tahun dahulu. Guangzou mungkin telah menetapkan rancangan masa depannya, tetapi bandar ini tidak menghapuskan hubungannya dengan masa lampau. Warisan tempatan masih boleh dilihat pada tokong, masjid, senibina klasik, serta seni dan kraf tradisional yang terdapat di bandar raya ini.

Guangzhou, seperti juga Najing dan Shanghai masih mengalami bencana pencemaran udara.Walaupun begitu mengikut maklumat terkini, bandaraya ini telah melakukan pelbagai usaha untuk menambah baik kualiti udaranya dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Terdapat kawalan pencemaran dan sistem keretapi bawah tanahnya jauh bertambah baik. Keretapi bawah tanah Guangzhou sebenarnya adalah salah satu cara pengangkutan yang paling cepat dan cekap untuk ke mana-mana, dan perkhidmatan ini melalui kebanyakan tempat tarikan utama.