Showing posts with label Nabi Yusyak. Show all posts
Showing posts with label Nabi Yusyak. Show all posts

Wednesday, 18 September 2019

Matahari lewat terbenam kerana Yusyak

 Lawatan ke sini dibuat ketika transit di Amman selama 17 jam dalam perjalanan ke pulau Cyprus. Penerbangan kami dari Bangkok tiba di QAIA pada jam 5.15 am waktu Jordan. Sebelum memulakan perjalanan ini suami telah membuat temujanji dengan bapa kepada salah seorang pelajar Phdnya yang tinggal di Amman Jordan, Dr Jamaal. Beliau telah menawarkan dirinya untuk membawa kami ke Petra.

Selepas lawatan ke Petra, Dr Jamaal membawa kami balik ke rumahnya di Amman. Di sinilah kami solat, makan dan berihat sebelum bertolak ke airport.

Makam Nabi Yusyak bin Nun (يوشع بن نون)

Sebelum dihantar ke airport Dr Jamaal membawa kami pergi menziarah makam  Nabi Yusyak (Joshua- bahasa Ibrani) bin Nun terlebih dahulu.  Makam ini terletak  di sebelah barat laut kota as-Salt, sekitar 25 km arah barat dari kota Amman. Ia berada di atas sebuah bukit yang dikenali oleh penduduk Salt sebagai Bukit Yusyak, yang tingginya 1130 meter di atas permukaan laut.

Walaupun nama Yusyak bin Nun tidak disebut secara langsung di dalam al-Quran, tetapi al-Quran ada menyebutnya bersama dengan kisah Nabi Musa AS di dalam surah al-Maidah dan al-Kahfi.

Dari surah al-Kahfi,

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada pemuda yang bersamanya: ‘Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun." (QS. 18:60)
Maka tatkala mereka berjalan lebih jauh, berkatalah Musa kepada pemuda yang bersamanya: "Bawalah kemari makanan kita, sesungguhnya kita telah merasa letih karena perjalanan kita ini." (QS. 18:62) 
  
Mengikut ahli tafsir;

Pemuda yang menjadi teman nabi Musa di sini adalah Yusyak bin Nun.

Dari surah al-Maidah ayat 23,

Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: “Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya niscaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman”.

Mengikut ahli tafsir;

Ada dua orang yang beriman dalam kalangan Bani Israil itu yang berani bercakap. Seorangnya bernama Yusyak ibnu Nun dan seorang lagi bernama Kalib ibnu Yufana. Mereka takut dengan Allah, iaitu takut tidak mengikut perintah Allah apabila Allah telah keluarkan perintah untuk masuk ke dalam kota dan berperang. Allah beri kepada keduanya nikmat kenabian kerana Yusha itu akan menjadi Nabi selepas ketiadaan Nabi Musa atau boleh juga bermaksud, nikmat tidak membuat dosa.

Dari Hadis;

Rasulullah pernah bersabda, “Sesungguhnya matahari itu tidak pernah tertahan tidak terbenam hanya kerana seorang manusia kecuali untuk Yusyak. iaitu pada malam-malam dia berjalan ke Baitul Maqdis (untuk jihad).’” (HR: Ahmad).

Didakwa  sebagai makam Nabi Yusyak bin Nun
... ukuran makamnya sangat panjang!
Sebenarnya ada beberapa tempat lain di dunia ini yang didakwa sebagai makam Nabi Yusyak. Antaranya di Turki, Israil dan Iraq. Makam yang di Jordan ini sangat panjang ukurannya. Mengikut cerita penjaganya ia dibina sedemikian kerana lokasi makam yang sebenarnya tidak dapat ditentukan di sebelah mana ia berada.

Merebut Kanaan (sejarah)

Firman Allah SWT yang bermaksud,

(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)". 
(Al-Maaidah 5:21)

Mereka menjawab: "Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)". 
Al-Maaidah 5:22)

Nabi Musa AS menyedari bahawa selagi hati kaumnya masih tertarik pada kecintaan hidup di dunia, mereka tidak akan mungkin mampu menduduki Jurusalem. Keadaan ini pernah disebut oleh Rasulullah SAW tatkala beliau menerangkan mengapa Bani Israil tertunda memasuki Baitulmaqdis. Rasulullah bersabda yang bermaksud;

"Tidak akan ada seorang pun penyembah berhala yang boleh memasuki Baitul Maqdis (Jurusalem)."

Firman Allah SWT yang bermaksud,

Allah berfirman: "Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu".
(Al-Maaidah 5:26) |

Disebabkan keengganan mereka untuk berjihad ini, Bani Israil telah dihukum dengan menjalani kehidupan yang terumbang-ambing di padang pasir selama 40 tahun. Jarak masa 40 tahun ini memberi kesempatan yang cukup untuk melahirkan sebuah generasi baharu Bani Israil. Generasi inilah yang dipersiapkan oleh Nabi Yusyak untuk misi merebut Juruselam, tanah yang dijanjikan kepada mereka.

Nabi Musa wafat sebelum sempat membebaskan Baitulmaqdis dari pasukan Jababirah yang orang-orangnya berbadan besar dan perkasa. Nabi Yusyak meneruskan jihad Nabi Musa.

Nabi Yusyak seorang pemimpin perang yang gagah dan berani. Dia hadir di tengah kehidupan Bani Israil setelah Musa wafat. Dia adalah panglima pertama membebaskan Baitulmaqdis atau Jurusalem dari kaum musyrik. Nabi Yusyak lebih memberi perhatian terhadap kualiti pasukan perangnya. Beliau telah mengasingkan tenteranya dari mereka yang hatinya terikat dengan urusan dunia.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Salah seorang Nabi telah berperang. Dia berkata kepada kaumnya, "Jangan mengikutiku orang yang menikahi wanita sementara dia hendak membina rumah tangga dengannya namun belum sempat, dan tidak juga mereka yang membina rumah tapi belum siap atapnya, dan tidak pula mereka yang membeli kambing atau unta betina bunting sementara dia menunggu kelahirannya." Lalu Nabi itu menuju ke sebuah perkampungan ketika hampir waktu Asar. Maka dia berkata kepada matahari, "Sesungguhnya kamu diperintahkan dan aku pun diperintahkan. Ya Allah, tahanlah matahari untuk kami."  Maka Allah menahan matahari sehingga mereka menang."
[Sahih Muslim 19/4327]

Yusyak AS mengeluarkan orang-orang yang berhati sibuk dari pasukannya, iaitu orang-orang yang badannya di medan perang tetapi fikirannya bersama isteri yang belum disentuhnya atau rumah yang belum diselesaikan atau ternakan yang ditunggu kelahirannya.

Dalam kitab Sulaiman al-Asyqari yang menulis tentang kisah para orang saleh, ada menceritakan mengenai pasukan Yusyak berangkat ke Kanaan yang hendak ditaklukinya. Dia memasuki kota itu pada waktu asar hari Jumaat. Ini bermakna kesempatan untuk menawan kota itu sangat terhad. Dia harus menghentikan perang sebaik matahari terbenam, kerana telah memasuki hari Sabtu dan perang di hari Sabtu hukumnya haram bagi Bani Israil. Dia harus mengundur dari kota itu sebelum menyerangnya kembali dan situasi ini akan memberi peluang kepada penduduk kota untuk memperkuatkan semula pasukannya, memperbaiki benteng-bentengnya dan menambah kekuatan senjatanya.

Yusyak menghadap matahari dan berkata kepadanya; "Kamu diperintahkan, aku juga diperintahkan". Kemudian Yusyak berdoa kepada Allah; "Ya Allah, tahanlah ia untuk kami". Allah mengabulkan permintaannya dan menunda terbenamnya matahari hingga kemenangannya diraih.

Keyakinan Yusyak begitu besar sehingga dia percaya Allah akan menolongnya. Allah mampu memanjangkan siang sehingga kemenangan dapat dicapai sebelum terbenamnya matahari. Allah yang mengatur perjalanan siang dan malam dan putaran bumi dan matahari, maka melewatkan siang sehingga Yusyak memperolehi kemenangan bukanlah suatu yang mustahil atau susah bagiNya.

Masjid Yusyak bin Nun ... berdekatan dengan makamnya
.... struktur di sebelah kanan itu adalah masjid lama
Bahagian depan masjid
Bahagian dalam masjid
Halaman masjid
Kawasan berdekatan masjid
Kawasan makam dan masjid ini berada
di atas tanah tinggi
Jika cuaca baik boleh dilihat Baitulmaqdis dari sini

Palestin: Janji Tuhan kepada bangsa Yahudi ?

Benarkah bumi Palestin adalah tanah yang telah dijanjikan Allah kepada keturunan Nabi Ibrahim? Kaum Bani Israil mendakwa mereka berhak kembali ke Palestin dan menuntut balik tanah yang telah dijanjikan itu. Ikuti hujah-hujah yang menyangkal dakwaan  oleh kaum Bani Israil ini dalam pautan di bawah.

Petikan dari  https://palestinkini.info/?p=403 ( artikel oleh Dr Maszlee Malek)

..... Ketiga, jika pun memang bumi itu dijanjikan kepada kaum Yahudi. Mereka telah pun menduduki bumi tersebut (sebahagian dan bukan kesemuanya) dan telah kehilangannya sebanyak dua kali (kali pertama sewaktu mereka diserang oleh Nebuchadnezar pada tahun 586 S.M dan dibawa berhijrah ke Babylon, dan yang keduanya pada tahun 70 M yang telah menyaksikan Yahudi terakhir meninggalkan bumi Palestin pada tahun 1932M). Maknanya janji itu hanya laku untuk kali pertama sahaja dan bukan untuk kali kedua dan ketiga.

.... Hujah mereka, kaum Yahudi diriwayatkan di dalam Old Testament telah mendiami dan berkuasa di bumi Palestin. Maka mereka juga berhak untuk kembali mendiami bumi tersebut kerana ?historical? dan ?sentimental? value yang terdapat pada bumi itu kepada bangsa Yahudi. Maka usaha-usaha untuk mengembalikan mereka juga merupakan satu usaha yang bersifat ?ketuhanan? dan bertepatan dengan kandungan ?Old Testment? dan ianya adalah usaha mengulangi kegemilangan zaman para nabi.

Hujah seumpama ini telah ditolak oleh golongan Yahudi Ortodoks yang berpegang dengan ajaran sebenar Yahudi seperti golongan Naturei Karta yang bermazhab Hesedim. Menurut mereka, aqidah sebenar kaum Yahudi mengatakan bahawa selepas mereka diusir dari bumi Palestin di zaman Nebuchadnezar, mereka tidak boleh lagi pulang ke bumi tersebut sehinggalah datangnya Messiah di akhir zaman yang akan membawa mereka pulang dan memimpin mereka. Selagi Messiah ini tidak muncul, kaum Yahudi HARAM pulang ke bumi tersebut. Ini jugalah merupakan inti ajaran Talmud (Meshna Tora) yang merupakan kitab penafsiran kepada Old Testament mereka
.

Related Posts:

Gua Ashabul Kahfi  
Rose City of Petra Jordan