Showing posts with label akhlak. Show all posts
Showing posts with label akhlak. Show all posts

Monday, 27 September 2021

Akhlak Remaja Bermula di Rumah

Sumber foto: Mr Google

" Baiti Jannati " ( Rumahku Syurgaku ). Satu gambaran bahawa rumahlah segala-galanya bermula dan tempat untuk kita dapat mengecapi kebahgiaan. " Syurga itu di bawah tapak kaki  ibu ", hadis dari Al-Tabarani. Hadis ini pula memberitahu bahawa kecemerlangan kehidupan seseorang itu bermula dengan mendampingi dan melayani kehendak seorang ibu.  Rumah dan ibu dikaitkan dengan syurga ...... suatu tempat yang menjadi idaman semua manusia yang beriman. Untuk mendapatkan syurga bukanlah semudah membeli barang. Ianya " priceless ". Hanya mereka yang bertakwa dan beriman yang layak mendapatkannya. Dari sini jelas dapat dilihat bahawa semua yang baik itu berpunca dari rumah yang didiami oleh seorang ibu atau bapa serta anak-anaknya. Rumahlah institusi pendidikan pertama bagi anak-anak.

Kata pepatah, " Melentur buluh biarlah dari rebungnya ". Samalah  juga bila mendidik anak-anak. Semua nilai-nilai yang mulia dalam Islam perlu diterapkan kepada anak-anak seawal yang mungkin. Janganlah kita biarkan mereka terbiasa dengan sifat-sifat yang negatif  semasa kecil kerana ini akan menyulitkan kita memperbetulkannya apabila remaja kelak. Wujudkanlah suasana "solehah" dalam rumah agar anak-anak tidak kekok dengan amalan-amalan dan cara hidup seorang muslim yang sebenarnya. Tarbiyah tidak cukup dengan hanya secara teori tetapi memerlukan amalan -amalan yang berterusan. Kita boleh hantar anak-anak ke sekolah agama untuk mendapatkan ilmu Islam, tetapi apakah kita yakin mereka mampu mempergunakannya dalam kehidupan mereka? Di sinilah peranan ibu-bapa dalam membimbing anak-anak mereka dengan menjalani dan sekaligus memberi gambaran kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT.

Peranan Ibu-bapa

Apabila membincangkan tajuk ini kita tidak boleh lari daripada membicarakan tentang peranan dan tanggungjawab ibu-bapa dalam mendidik dan mentarbiyah anak-anak. Ibu-bapa perlulah melihat anak-anak dalam kontek yang bebeza-beza agar timbul rasa keinsafan dalam diri dan rasa bersyukur terhadap anugerah Allah SWT ini. Cuba lihat bagaimana keadaan pasangan-pasangan yang tidak dikurniakan anak...... betapa 'kepinginnya' mereka kepada anak-anak.

1. Anak sebagai anugerah
Bila dilihat dari sudut ini, anak bukanlah rezeki semata-mata kerana tidak semua orang dapat anak sepertimana rezeki-rezeki yang lain. Semua orang tanpa terkecuali mendapat rezeki masing-masing..... cuma banyak dan sedikit sahaja yang membezakannya. Firman Allah yang bermaksud:

 “Ya Tuhan kami, anugerahkan kepada kami dari sisi Engkau zuriat yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. (QS Ali Imran: 38)

Anak yang dilahirkan adalah anugerah Ilahi dan kurniaan daripada Allah SWT kepada umatnya. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan malah bukti kekuasaan Allah. Namun malangnya, sejak akhir-akhir ini ada segelintir masyarakat masih lagi tidak mensyukuri kurniaan Allah SWT dengan melakukan  tindakan kejam seperti membuang, membunuh, menjual serta mendera bayi tanpa berperikemanusiaan.

2. Anak adalah perhiasan hidup.
Orang kata anak adalah permata hati pada ibu bapanya. Dalam al-Quran pula  Allah berfirman yang bermaksud:

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”.
(QS Al-Kahfi:46)

 Dalam hal ini anak diletakkan sebagai perhiasan dan kekayaan dunia bagi orang tuanya. Jika seorang anak itu dianggap sebagai perhiasan, maka sudah semestinya ia perlu dijaga dengan baik, digilap selalu agar sentiasa kelihatan cantik dan indah. Anak itu juga menjadi suatu yang sangat berharga kepada kedua ibu-bapa. Oleh kerana itu menjadi kewajipan para ibu dan bapa menyusun dan mengatur tarbiyah anak-anak  supaya mereka menjadi anak-anak yang indah  akhlaknya menurut nilai-nilai Islam. Didiklah mereka menjadi insan yang disukai oleh orang ramai sebagaimana indahnya  sebutir mutiara, tiada siapa yang membencinya. Pasangan -pasangan yang akan mendapat anak juga digalakkan berdoa seperti di bawah:

Ya Allah kurniakanlah kami zuriat yang terbaik, sesungguhnya Kau mendengar doa kami’.

3.  Anak adalah amanah,
Ini bermakana ia satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua ibu bapa. Islam menggesa setiap ibu bapa mengambil berat aspek pentarbiyahan atau pendidikan anak-anak. Firman Allah yang bermaksud:

  “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka.”
(QS At-Tahrim: 6)

Ayat itu menjelaskan ibu bapa perlu menitikberatkan hal berkaitan asuhan, bimbingan serta pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.Tentunya dalam hal ini, pendidikan agama serta menerapkan akidah perlu dilaksanakan dengan sempurna. Iman dan hidayah bukan seperti meninggalkan harta pusaka berbentuk fizikal, tetapi iman adalah kefahaman dan keyakinan dalam hati seseorang anak.

Tanggungjawab ini tidak akan dapat dijalankan dengan sempurna tanpa bantuan daripada anak-anak.  Maksudnya, anak-anak remaja yang sudah boleh berfikir, juga perlu ada perasaan tanggungjawab terhadap kedua ibu-bapa. Anak-anak yang bermasalah akan menyukarkan ibu-bapanya menjalankan tanggungjawab mereka.  
 
4. Anak adalah ujian.
 Firman Allah yang bermaksud:

“Dan Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. (QS Al Anfal : 28)

Anggaplah kerenah anak-anak yang  menimbulkan berbagai-bagai masalah itu sebagai satu ujian daripada Allah SWT. Ibu-bapa yang terpaksa berdepan dengan anak-anak yang seperti ini haruslah banyak bersabar . Berdoa dan bermunajat untuk anak-anak agar mereka diberi hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT. Jangan sekali-kali mendoakan keburukan terhadap anak-anak apabila dalam keadaan marah, takut-takut doanya termakbul ketika itu. Maksud hadis:

Dari Abi Hurairah, bahwasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba yang berbicara dengan kata-kata yang diridhai Allah ’Azza wa Jalla tanpa berpikir panjang, Allah akan mengangkatnya beberapa derajat dengan kata-katanya itu. Dan seorang hamba yang berbicara dengan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa berpikir panjang, Allah akan menjerumuskannya ke neraka Jahanam dengan kata-katanya itu”.
 (HR Bukhari, Ahmad, dan Malik).

Kebiasaan berbicara baik sudah masuk ke dalam memori otak bawah sedar, sehingga tanpa dipikir panjang pun, yang keluar dari lisannya selalu baik. Namun dalam keadaan marah selalunya apa yang diucapkan terkeluar dari kendalian otak yang bawah sedar sehingga terucap kata-kata keji yang dimurkai Allah.

5. Anak adalah pewaris
Pertama, anak akan mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan. Kedua, anak juga akan mewarisi agama dan perjuangan ibu-bapa. Anak-anak mestilah dididik agar membelanjakan harta yang diwarisi di jalan Allah SWT. Begitu juga dengan agama, anak-anak perlu diberitahu betapa pentingnya mempertahan dan memperjuangkan agama Islam yang dianutinya. Anak sebagai Zuriat (Penerus Keturunan), adalah anugerah Allah swt yang akan meneruskan garis keturunan dan cita-cita orangtua. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

"Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anaknya) katanya: Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam." ( QS Al-Baqarah:132)

6. Anak sebagai penerus amal soleh
Doa anak kepada ibu -bapa walaupun sesudah mati diterima oleh Allah SWT. Lain-lain Amal yang boleh dibuat oleh seorang anak terhadap ibu-bapanya yang telah meninggal dunia seperti bersedekah bagi pihak mereka dan menjelaskan hutang-hutang mereka samada dengan Allah maupun dengan manusia lain.

From Abu Hurayrah, may Allah be pleased with him, that the Messenger of Allah said:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّااِمنْ ثَلَاثٍ: وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ مِنْ بَعْدِهِ، أَوْ صَدَقَةٍ جَارِيَة

 (When a son of Adam dies, his deeds cease apart from three: a righteous child who will pray for him,
knowledge from which others may benefit after him, or ongoing charity.)

Makna hadis:

Apablia seorang anak Adam meninggal segala amalannya terputus kecuali tiga: anak yang soleh yang akan mendoakan untuknya, ilmu yang manusia mendapat manfaat darinya dan sedekah yang berterusan. (HR Muslim)

7. Anak sebagai penyejuk hati
Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami  isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”. (QS Al-Furqan:74)

Kita semua sangat mengharapkan hadirnya anak yang soleh dan solehah yang boleh menyejukkan hati dan mata, yang dalam kehidupannya taat beragama dan berakhlak mulia, serta taat  kepada kedua ibu bapanya. 

8. Anak itu membawa rezki
Allah swt berfirman yang bermaksud:

  “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka.”  (QS Al An’am:151)

Walaupun anak itu sendiri bukan rezeki, tetapi kita harus yakin bahawa anak-anak yang lahir ke bumi sudah membawa rezki. Jika anak-anak itu adalah anak-anak yang soleh dan solehah, yang membesar dalam beribadah kepada Allah, maka semakin bertambahlah kurnia yang Allah berikan kepada kedua orang tuanya. Hidup menjadi semakin berkat dengan kehadiran mereka. 

9.  Anak sebagai musuh. 
Allah swt berfirman yang bermaksud:

 “Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS At-Taghabun:14)

Di sini kita perlu lebih berhati-hati bagaimana anak-anak itu boleh menjadi musuh orangtua, kerana kemungkinan mereka boleh menjauhkan kita dari zikir kepada Allah dan berjuang di jalan-Nya dan boleh melemahkan tekad kita. Semoga kita boleh memaafkan mereka dan menyantuninya dengan penuh kasih sayang.

Bersyukurlah ibu-bapa yang dikurniakan anak, tidak kira dalam keadaan apa pun mereka itu berada.... yang bijak , yang kurang cerdik, yang kacak, yang tidak cantik, yang sempurna, yang kurang upaya, yang berakhlak, yang panjang akal dan sebagainya. Mereka telah diamanahkan kepada kita, maka lindungilah mereka dan penuhilah keperluan-keperluan mereka setakat yang termampu. Semua itu bermula di rumah....jangan harapkan pihak sekolah atau pengasuh melaksanakan tanggungjawab yang  sepatutnya kita pikul.

Bagi pihak anak-anak pula bersyukurlah dengan apa yang telah disediakan oleh kedua ibu-bapa. Jika kita terasa apa yang didapati daripada ibu-bapa itu masih belum mencukupi keperluan, cuba bayangkan mereka yang tidak ada ibu-bapa langsung. Jadilah anak yang tahu membalas jasa kedua ibu-bapa bagi menandakan kesyukuran kita terhadap mereka.

Related posts:

Pemuda-pemudi berakhlak tunjang negara

Thursday, 1 August 2019

Pemuda-pemudi Berakhlak Tunjang Negara

Mukaddimah

“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” Saidina Ali R.A Ini adalah satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan oleh para pemimpin negara dan 'kita' yang prihatin.. Mereka merupakan waris kepimpinan negara pada masa akan datang

Remaja hari ini akan membesar menjadi orang dewasa suatu hari nanti dan merekalah yang akan mengambil alih pucuk kepimpinan negara , negeri, daerah, kawasan, tempat kerja atau pun setidak-tidaknya sebagai ketua keluarga apabila sudah berumah-tangga nanti.. Nabi pernah bersabda yang bermaksud:

” Setiap daripada kamu adalah pemimpin.yang bertanggungjawab terhadap mereka yang di bawah jagaannya. Pemimpin negara bertanggungjawab ke atas rakyat di bawah pemerintahannya; seorang lelaki adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap keluarganya; seorang wanita adalah penjaga rumah suami serta anak-anaknya; seorang hamba bertanggungjawab terhadap harta tuannya; kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas mereka yang dalam jagaan kamereka merupakanwaris kepimpinan negara pada masa akan datang.mu.”

( Hadis Sahih Bukhari )

Tiada siapa dalam dunia ini yang boleh lari daripada tanggungjawab masing-masing. Sebagai pelajar , maka menjadi tanggungjawab mereka untuk belajar. Sebagai anak mereka juga ada tanggungjawab terhadap kedua ibu-bapa. Sebagai abang, kakak, adik., rakan , jiran dan berbagai-bagai lagi tanggungjawab yang boleh dipikul oleh seorang remaja.

Peranan Remaja

Remaja memainkan peranan penting dalam menentukan maju atau mundurnya suatu bangsa. Malah remaja menjadi tunggak harapan negara. Remaja juga disebut sebagai generasi penerus yang berperanan penting dalam perjuangan bangsa dan negara. Zaman remaja adalah masa muda dalam kehidupan yang penuh dengan tenaga, harapan dan semangat. Adalah penting agar golongan remaja ini diberi didikan dan pengetahuan yang jelas supaya jangan sampai tenaga yang penuh energetik itu disalahgunakan, sehingga timbul berbagai-bagai masalah yang tidak diinginkan samada kepada masyarakat atau pun dirinya sendiri.

Pemuda adalah barisan pemimpin pelapis negara yang akan mencorakkan lanskap negara masa depan. Jikalau rosak akhlak remaja hari ini, bermakna pemimpin negara yang akan datang juga terdiri dari mereka yang tidak berkualiti dan tidak bermoral. Disebabkan inilah remaja hari ini mesti diberi bimbingan dan didikan serta pengetahuan yang cukup sebagai persediaan membina barisan pelapis pemimpin negara yang berwibawa.

Persediaan awal ke atas remaja mestilah memfokuskan kepada 3 peranan remaja yang utama:

1. Remaja sebagai individu
2. Remaja sebagai anak
3. Remaja sebagai ahli masyarakat

1. Remaja sebagai individu

Apa yang dimaksudkan disini ialah tanggungjawab remaja terhadap Rabbnya yakni Allah SWT yang telah menciptanya . Dia hendaklah melihat dirinya sebagai hamba Allah yang kerdil, yang sentiasa mengharapkan petunjuk, pertolongan dan bantuan dariNya. Justeru untuk menjadi remaja yang cemerlang dan berkualiti mereka hendaklah berusaha melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya

2. Remaja sebagai anak

Sebagai seorang anak adalah menjadi kewajipannya mematuhi segala arahan ibu dan bapanya., selagi mana arahan itu tidak bercanggah dengan syariat Allah. Dia harus berusaha menjadi anak yang soleh dengan melakukan kebaikan kepada kedua mereka serta berlemah lembut dengan mereka ketika berbicara. Arahan ini jelas disebut dalam al-Quran surah al-Isra` ayat 23 yang bermaksud :

” Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ”ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

3. Remaja sebagai ahli masyarakat

Apabila seseorang remaja itu berakhlak mulia , dengan sendirinya dia akan menjadi ahli masyarakat yang baik, berbudi dan perihatin. Dia adalah sebahagian daripada anggota masyarakat dan oleh kerana itu dia harus memainkan peranannya . Jika dia tidak mampu untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat, sekurang-kurangnya dia hendaklah menjauhkan diri daripada sebarang gejala sosial yang boleh merosakkan masyarakat. Sentiasa bekerjasama dalam perkara kebaikan agar kehidupan lebih cemerlang sebagaimana pepatah mengatakan , ”Bersatu teguh bercerai roboh.”

Namun apa yang membimbangkan adalah hampir setiap hari terdapat laporan mengenai masalah sosial dan jenayah yang melibatkan remaja. Pembangunan modal insan yang diperlukan oleh negara sewajarnya bermula dari sekolah. Ini termasuk usaha membangunkan peribadi yang baik dalam kalangan pelajar dengan menyemai nilai-nilai murni. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing, sama ada sekolah, institusi keluarga atau pihak lain yang berkenaan.

Remaja berkualiti

Remaja berkualiti adalah remaja yang berdiri atas kakinya sendiri iaitu dia tidak seratus peratus bergantung pada ibu-bapa atau orang lain. Remaja begini akan bersemangat dalam apa juga yang dilakukan; dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang diimpikannya tanpa banyak kerenah. Biasanya remaja yang suka berdikari ini mempunyai personaliti yang menarik iaitu dalam dirinya ada banyak sifat positif yang tertanam atau hidup subur dalam dirinya seperti sifat suka membantu orang lain, berusaha bersungguh-sungguh, menyayangi diri sendiri, ibu bapa, dan masyarakat, tidak mementingkan diri sendiri, bersikap prihatin dan peka dengan persekitaran, serta bersih dari perlakuan buruk .

Peranan Ibu-bapa

Ibu-bapa tidak boleh berlepas tangan dari tanggungjawab mendidik anak-anak ini. Golongan bawah umur ini amat mudah untuk terjebak di dalam kegiatan yang  membawa bahaya kepada diri mereka serta orang sekeliling mereka. seperti gangsterism, kongsi gelap, lepak, merokok, ponteng sekolah, merempit dan lain-lain lagi.

Tidak ada satu faktor penentu yang boleh menjadi penyebab utama terhadap berlakunya segala masalah atau perlakuan anti sosial ini. Ianya boleh berlaku akibat daripada pelbagai punca seperti kurangnya perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh keluarga terutamanya pihak ibu-bapa serta penjaga terhadap anak-anak jagaan mereka, kurangnya pendedahan pendidikan di sekolah khususnya mengenai aspek masalah sosial yang kian menular dalam masyarakat dalam negara kita, silap memilih kawan, tiada tempat yang sesuai untuk dituju sekiranya menghadapi masalah, kurangnya penguatkuasaan undang-undang yang mengawal salah laku golongan bawah umur seperti larangan penjualan rokok serta bahan-bahan larangan yang lain khususnya terhadap golongan bawah umur dalam negara kita, pengaruh media dan internet yang susah untuk dikawal dan lain-lain punca lagi.

Akhlak remaja juga bermula dari rumah. Oleh kerana itu sangat penting ibu-bapa memainkan peranan mereka dalam menanamkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak ini.

Cara mendidik anak ada diajarkan oleh Allah SWT seperti yang terdapat dalam Al-Qur’an surah Luqman ayat 13-19 yang dapat kita simpulkan sebagai berikut :

1. Menanamkan jiwa tauhid.
2. Menghargai dan menghormati orang tua.
3. Memelihara dan memperlakukan orang tua dengan baik.
4. Kejujuran, bahawa tidak ada satupun yang dapat disembunyikan di hadapan Allah SWT.
5. Mendirikan sholat dan ibadah lain.
6. Mengajak kepada perbuatan baik dan mencegah perbuatan munkar.
7. Bersabar.
8. Melarang keangkuhan dan kesombongan dalam pergaulan.
9. Sederhana dalam sikap, berjalan dan berbicara.

Realiti hari ini

Negara kita masih berhadapan pelbagai masalah sosial seperti ancaman dadah yang serius serta jenayah juvana termasuk melibatkan kekerasan. Lebih menggusarkan, ancaman baharu seperti ketagihan bahan khayal seperti gam, petrol dan cecair pemetik api turut mencemari golongan muda yang bakal menjadi modal insan dan pemimpin akan datang.

Pelbagai langkah boleh diambil bagi menyelesaikan masalah ini. Antaranya ialah melalui aspek pengukuhan undang-undang dengan mewujudkan akta khusus bagi membendung salah laku dikalangan golongan kanak-kanak dan remaja dalam negara kita.

Marilah kita sama-sama membantu menangani masalah sosial di kalangan mereka ini dengan mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita dan berusaha memperbaiki keadaan dengan mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya.

Related posts:

Akhlak Remaja Bermula Di Rumah

Thursday, 12 April 2012

Kaum Adam dan Solat Jumaat

Jumaat 20 Januari 2012

Hari ini selepas mengambil anak daripada Hospital Sultanah Aminah JB kami menyinggah di sebuah masjid yang terletak tidak jauh dari sekolah Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB). Jam sudah menunjukkan 12.50 tgh ketika itu. Kebetulan di tepi masjid ada sebuah kedai makan yang dibuka. Suami dan anak menjamu selera terlebih dahulu sebelum masuk ke masjid untuk menunaikan solat fardhu Jumaat. Saya tidak  makan bersama mereka kerana masih terasa kenyang.

Niat di hati nak join jemaah tetapi keadaan masjid tidak mengizinkan saya solat bersama. Sementara menunggu mereka selesai solat saya pun tunggu di kedai makan dan mengambil keputusan untuk makan sedikit supaya masa lapang itu terisi.

Hari itu sangat panas. Saya hendak menjamu selera di bawah kipas tetapi semua meja yang berada di bawah kipas sudah dipenuhi. Jadi saya pun tunggulah hingga selepas azan berkumandang untuk makan kerana waktu itu mesti semua pelanggan lelaki yang berada di situ akan keluar menuju ke masjid. Selepas azan hanya sebahagian saja yang keluar ...... saya agak hairan dan tertanya-tanya sendiri "Kenapa depa tak pi masjid?".

Saya pun masuk ke dalam kedai. Ada beberapa buah meja yang kosong dan saya duduk di sebuah meja yang berhadapan dengan 2 orang jejaka yang sedang menjamu selera dengan relaksnya  ..... tidak nampak lansung aksi nak dipercepatkan apa yang sedang dibuat. Saya gelar mereka berdua ini Mat Biru dan Mat Belang. Mat biru kacak berpakaian baju melayu biru langit dan berkain pelikat. Mat Belang pula berbaju T-shirt belang melintang biru tua dan putih, juga berkain pelikat. Mereka mungkin berada dalam golongan  pertengahan umur walaupun Mat Biru sudah beruban.

Lelaki-lelaki yang berada di situ samada sedang berborak-borak sambil minum atau makan ataupun sebahagian besar hanya duduk untuk menghabiskan rokok di tangan, walaupun  jelas kedengaran imam sedang berkhutbah. Di pertengahan khutbah pertama, Mat Belang sempat mengoder teh 'o' panas. Dalam hati saya beristighfar dan berkata.....Ssempat ke dia nak minum?". Selamba saja mereka berdua bersembang tanpa menghiraukan khutbah yang sedang dibaca.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Jika kamu berkata kepada temanmu pada hari Jum’at, “Diamlah kamu” sementara imam sedang berkhutbah, maka sungguh engkau telah berbuat kesia-siaan”. Muttafaqun ‘alaihi
Ucapan “diamlah kamu” teranggap memutuskan perhatian dari mendengar khutbah walaupun sebentar sehingga menghasilkan kesia-siaan. Ini adalah keadaan orang yang menasehati (baca: menegur), maka bagaimana pula dengan orang yang memulakannya (yang ditegur-pent.)

Al-Hafzh menyatakan dalam Al-Fath, “Maka jika beliau (Nabi) menghukumi ucapan “diamlah kamu” -padahal dia adalah orang yang beramar ma’ruf- sebagai kesia-siaan, maka ucapan yang lainnya lebih lagi dianggap sebagai kesia-siaan”.

Selesai khutbah pertama dibaca Mat Biru dan beberapa orang yang lain bangun meninggalkan kedai menuju masjid tetapi Mat Belang bersama beberapa orang yang lain, termasuk Pakcik 'ambil oder' dan mamat 'tukang bancuh air' masih berada dalam kedai. Apabila khutbah kedua mula dibaca Mat Belang minta ketul ais untuk tehnya yang masih panas untuk diminum. Selesai khutbah kedua dibaca barulah dia berserta beberapa yang lain bangun  menuju ke masjid.

Menurut jumhur ulamak, khutbah merupakan antara syarat sah solat Jumaat.  Sa’id bin Jubair berpendapat bahawa khutbah menyamai 2 rakaat solat zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan Solat Jumaat sahaja bererti kita telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.

Kemudian saya terpandang di sebalik almari lauk-pauk masih ada empat orang anak muda duduk bersembang-sembang di sebuah meja. "Mereka ini budak-budak China agaknya.", hati saya berkata-kata.

Semasa khutbah kedua sedang dibaca hujan turun dengan lebat sekali.....agaknya sebab itulah cuaca sebelum hujan itu sangat panas (mengikut teori orang tua-tua). Apabila solat hendak bermula saya pun berpindah duduk di bahagian luar kedai supaya saya dapat melihat bahagian dalam masjid. Mudah untuk saya tahu bila solat telah slesai sambil menunggu hujan rahmat berhenti.

Sebaik sahaja keluar terpandang di kiri saya dua orang budak sekolah sedang nyenyak tidur di sebuah sofa buruk. Saya pun kejutkan mereka dan dengan bingkas mereka bangun dan kelihatan begitu terkejut apabila terpandang saya, menyuruh mereka pergi solat. Tanpa banyak bicara mereka meninggalkan sofa buruk itu. Selepas itu saya mencari tempat duduk di sebelah kanan. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat sekumpulan empat orang anak muda yang saya sangka berketurunan China itu sebenarnya orang Melayu yang secara otomatiknya beragama Islan di Malaysia ini. Salah seorangnya lengkap memakai baju melayu berkain pelikat. Sampai hati mereka tak ke masjid yang hanya beberapa meter saja dari meja duduk mereka!

Siapakah yang hendak mereka tipu ....... ibu-bapa mereka, kawan-kawan, diri mereka ataupun Allah? Tidak ada lansung perasaan malu dalam diri mereka!

Salah Siapa?

Siapakah yang sepatutnya dipersalahkan dalam hal ini? Siapakah yang akan menanggung dosa ...... tuan kedai, pelanggan atau kedua-dua?

Islam tidak melarang umatnya berjual beli pada hari Jumaat tetapi bersyarat. Firman Allah di dalam surah al-Jum’ah ayat 9  yang bermaksud:

 "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah S.W.T dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu) ; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu , jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah S.W.T, serta ingatlah akan Allah S.W.T banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat).

Dalam kes di atas kami berasa selesa dapat menjamu selera di situ kerana dapat menjimatkan waktu supaya suami dan anak dapat masuk awal ke masjid.

Allah S.W.T  memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang sering berusaha datang awal ke Masjid  pada hari Jumaat terutama sebelum khatib berkhutbah. Dalam sepotong hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid  terdapat malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam / khatib telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengar khutbah.”

Dilema di atas boleh dielakkan jika semua pihak (penjual, pembeli dan pihak berkuasa) mengambil beberapa tindakan seperti di bawah:

Pertama: Aktiviti jual beli hendaklah ditangguhkan sementara waktu ketika mana  azan kedua berkumandang.

Kedua: Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja.

Ketiga:  Para jemaah lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping  mengambil peluang  masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah.

Ini hanyalah segelintir yang kita nampak dengan jelas kaum Adam yang ponteng solat Jumaat. Berapa ramai lagi yang di luar sana yang menyorok di rumah, di pejabat dan entah mana-mana lagi. Hanya Allah saja yang mengetahui!

Wednesday, 12 October 2011

Labbaikallahumma Labbaik - Aku memenuhi panggilanMu

Bacaan Talbiah:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ

 إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ

Labbaikallahumma Labbaik
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaik
Innalhamda Wan Ni'mata
Laka Wal Mulk
Laa Syarikalak

Erti bacaan talbiyah:

Aku memenuhi panggilanMu ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujian dan ni’mat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu



Setiap kali  mendengar bacaan talbiah ini teringat ketika saya dan suami berada di Tanah Suci menunaikan ibadat haji lebih kurang 10 tahun yang lalu. Pilu dan sedih mendengarnya dek perasaan rindu untuk menziarahinya sekali lagi. Kami teringin sangat untuk kembali ke sana tetapi keadaan tidak menizinkan buat masa ini.

Sehingga ke hari ini saya masih tertanya-tanya, "Apakah saya mendapat haji mabrur?", "Apakah saya sudah laksanakan semua rukun-rukun haji itu dengan sempurna?". Alangkah ruginya kalau ibadat haji saya itu tidak diterima ..... kerana itulah perlu berhati-hati dalam menunaikannya ...... persediaan dari sudut fizikal dan rohani amat-amat  diperlukan.

Apakah Haji Mabrur?

Para pakar fiqh mengatakan bahawa yang dimaksud haji mabrur adalah haji yang tidak dikotori dengan kemaksiatan pada ketika melaksanakan rangkaian manasiknya (tata cara haji).

Al Hasan Al Bashri rahimahullah mengatakan,

“Haji mabrur adalah jika sekembali dari haji menjadi orang yang zuhud dengan dunia dan merindukan akhirat.”

Al Qurthubi rahimahullah  menyimpulkan,

“Haji mabrur adalah haji yang tidak dikotori oleh maksiat ketika melaksanakan manasik dan tidak lagi gemar bermaksiat setelah balik haji.”


Manakala An Nawawi rahimahullah pula berkata,

“Pendapat yang paling kuat dan yang paling terkenal, haji mabrur adalah haji yang tidak  dinodai oleh dosa, diambil dari kata-kata birr yang bermakna ketaatan. Ada juga yang berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang diterima. Di antara tanda diterimanya haji seseorang adalah adanya perubahan menuju yang lebih baik setelah pulang dari pergi haji dan tidak membiasakan diri melakukan berbagai maksiat. Ada pula yang mengatakan bahawa haji mabrur adalah haji yang tidak dicampuri unsur riya’. Ulama yang lain berpendapat bahawa haji mabrur adalah jika sekembali dari haji tidak lagi bermaksiat. Dua pendapat yang terakhir telah tercakup dalam pendapat-pendapat sebelumnya.”

Setelah faham apa yang dimaksudkan dengan haji mabrur, maka sewajarnya orang yang berhasil mencapai ketetapan  tersebut akan mendapatkan keutamaan sebagaimana yang disebutkan dalam sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,

وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

“Dan haji mabrur tidak ada balasan yang layak baginya selain syurga.”

(HR. Bukhari no. 1773 dan Muslim no. 1349).

An Nawawi rahimahullah menjelaskan, “Yang dimaksud, ‘tidak ada balasan yang layak baginya selain syurga’, bahawasanya haji mabrur tidak cukup jika pelakunya dihapuskan sebagian kesalahannya; bahkan ia memang layak untuk masuk syurga.”

Di antara bukti dari haji mabrur adalah gemar berbuat baik terhadap sesama insan.Dari Jabir, ia berkata bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang haji yang mabrur. Jawapan beliau,

إطعام الطعام و طيب الكلام

“Suka bersedekah dengan cara memberi makan dan memiliki tutur kata yang baik”      (HR. Hakim no. 1778)
Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan.

Demikianlah kriteria haji mabrur. Kriteria penting pada haji mabrur adalah haji tersebut dilakukan dengan ikhlas dan bukan atas dasar riya’, hanya ingin mencari pujian, seperti ingin disebut “Pak Haji”. Ketika melakukan haji pun melalui jalan yang benar, bukan dengan cara menipu atau menggunakan harta yang haram. Ketika melakukan manasik haji, harus menjauhi maksiat, ini juga termasuk kriteria mabrur. Begitu pula disebut mabrur adalah sesudah menunaikan haji tidak boleh lagi berbuat maksiat tetapi berusaha menjadi yang lebih baik.

Adalah  menjadi tanda tanya besar jika seseorang selepas haji  masih meneruskan maksiat yang dulu sering ia lakukan, seperti seringnya ponteng solat lima waktu, masih suka mengisap rokok atau malah masih berseronok berkumpul untuk berjudi. Kalau di kalangan artis pula masih aktif dengan aktiviti lama mereka dan kalau yang perempuan masih tidak menutup aurat, malah masih ada yang berpakaian seksi. Manakala para pemimpin pula tidak menunjukkan sebarang perubahan pada cara kepimpinan mereka, masih mengamalkan rasuah, menipu dan tidak amanah.

Jika demikian keadaannya, maka sungguh sia-sia haji yang ia lakukan. Pembiayaan  yang beribu dan tenaga yang tercurah selama haji, jadi sia-sia belaka.

Tuesday, 7 April 2009

...hanya kerana sebiji epal!




Cari Pasangan

Mari-marilah
Dengarlah ini kisah silam oh kawan
Sangatlah berguna
Moga hidup aman bahagia

Di malam pertama jumpa mertua
Tersintak si jejaka di beritakan
Isterinya tidak sempurna rupa
Anggota zahirnya lumpuh semua
Tiada upaya mengurus diri


Terkejut si jejaka penuh persoalan di hatinya
Mungkinkah sudah jodoh itulah isterinya
Ibanya rasa hati
Namun tetap redha pada takdir



Asalkan punya iman itulah paling penting
Saat-sata berjumpa
Terpesona memandang
Benarkah isterinya Menawan sungguh cantik


Reff :
Cari-cari... carilah
Pasangan hidup betul-betul oh kawan
Bahagia berseri
Rumah tangga akan harmoni


Terhurai dijawablah oleh mertua
Zahirnya tak sempurna kiasan saja
Memberi makna sucinya diri
Wanita sholehah terpelihara


Terharu si jejaka tunduk bersyukur
Jangan mudah percaya harta pangkat dan rupa
Indahnya di mata berawaslah
Rasul sudah bersabda insan punya agama
Akhlaknya mulia fahamilah


Pertama kali saya mendengar lirik lagu nasyid  di atas, hati saya tertanya-tanya apakah cerita sebenarnya di sebalik lirik lagu ini. Lagu ini dinyanyikan oleh kumpulan Rabbani.

Kebetulan baru-baru ini saya terjumpa cerita kisah seorang ulamak yang hampir serupa seperti di atas dan saya yakin ia adalah kisah silam yang dimaksudkan.

Ia adalah kisah seorang  pemuda yang bernama Tsabit iaitu bapa kepada Imam besar Abu Hanifah. Dalam kisah  ini Tsabit telah diuji dan "diperangkap" oleh pemilik kebun epal untuk berkahwin dengan anak perempuannya. Peristiwa ini semuanya bermula dari hanya sebiji epal yang dijumpai oleh Tsabit ketika dia begitu lapar, lalu terus memakannya tanpa meminta keizinan dari pemiliknya.

Mesej yang ingin disampaikan sangatlah besar dari sudut kualiti seorang insan.

Teruskanlah membaca ceritanya agar ia menjadi iktibar bagi kita yang masih hidup.

Wednesday, 16 April 2008

KEJAMKAH HUKUM ISLAM ( 1 )


PARA Orientalis, orang kafir dan tidak kurang juga orang-orang Islam sendiri menyifatkan Islam sebagai satu agama yang sudah ketinggalan zaman, kuno, "barbaric" dan seumpamanya. Mereka menuduh hukum Islam kejam. Mereka mencela hukum qisas, hukum sebat dan pengasingan dalam Undang-Undang Islam.

Benarkah begitu? Sekali-sekala terdengar ahli-ahli poitik bukan Islam memperkatakan sesuatu yang kurang enak tentang Islam. Apakah mereka layak membahas tentang isu-isu semasa dalam Islam sedangkan mereka hanya mengenali Islam melalui lisan rakan -rakan mereka atau pun melalui pemerhatian cara hidup masyarakat Islam sekeliling mereka. Sungguh malang sekali apabila ada di kalangan ahli poitik ini yang sanggup mengeluarkan kata-kata " over my dead body " bagi menunjukkan penentangan habis-habisan terhadap cetusan harapan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.
Kadang-kadang saya terfikir mengapa mereka ini yang dilahirkan dan membesar dalam sebuah negara yang mengaku Islam sebagai agama rasminya memusuhi Islam sedemikiam rupa. Semasa saya di UK apabila ada sekumpulan aktivis Islam menyatakan hasrat mereka untuk menjadikan England sebuah negara Islam , tidak ada pula ahli politiknya yang mengeluarkan kenyataan yang mengancam seperti itu walaupun mereka tidak setuju. Apabila diminta komen mereka (ahli politik) mengatakan itu adalah hak mereka (aktivis) dan mereka boleh mencubanya (menjadikan England sebuah negara Islam). Ini adalah kenyataan yang datangnya daripada mereka yang dilahirkan dan dibesarkan di sebuah negara yang agama rasminya adalah Keristian.

Malah lebih kurang 2 bulan lepas ada seorang Paderi Besarnya menyarankan kerajaannya menggunapakai sesetengah hukum-hukum Islam dalam menyelesaikan masalah kekeluargaan terutamanya di kalangan orang-orang Islam.Yang peliknya, di antara mereka yang menentang saranan ini dengan lantangnya adalah seorang paderi yang mempunyai nama seperti seorang Islam. Berkemungkinan beliau adalah dari keturunan Arab.

Petikan berita dari BBC News UK, 7 Feb 2008

The Archbishop of Canterbury says the adoption of certain aspects of Sharia law in the UK "seems unavoidable".

Dr Rowan Williams told Radio 4's World at One that the UK has to "face up to the fact" that some of its citizens do not relate to the British legal system.
Dr Williams argues that adopting parts of Islamic Sharia law would help maintain social cohesion.
For example, Muslims could choose to have marital disputes or financial matters dealt with in a Sharia court.
He says Muslims should not have to choose between "the stark alternatives of cultural loyalty or state loyalty".

Last month, the Bishop of Rochester, the Right Reverend Dr Michael Nazir-Ali, said some places in the UK were no-go areas for non-Muslims.

Dari manakah orang-orang yang terpelajar ( seperti ahli politik, kumpulan Hak Asasi Manusia, Woman's Right, Animal's Right, dll. ) ini mendapat gambaran yang salah tentang Islam? Kemungkinan jikalau mereka terbaca pun bahan-bahan pasal Islam, mereka tidak dapat menghayatinya kerana tidak mahu atau masih belum diberi hidayah. Sama seperti orang Islam sendiri jikalau diberitahu sesuatu perkara yang dituntut Islam mengerjakanya, dia masih mengingkarinya kerana kedegilannya.
Sebaliknya jika mereka memperolehinya melalui berinteraksi dengan orang Islam iaitu melalui contoh yang dipamerkan oleh penganut-penganut Islam, maka yang patut dipersalahkan di sini ialah kita sebagai model Islam. Sebagaimana yang kita maklum bukan semua orang Islam yang di luar sana itu " good muslim". Berapa ramai yang meminum arak, yang berzina , yang mencuri, yang membohong, menipu ,yang mengambil rasuah, yang membuang anak, yang membunuh dan macam-macam lagi. Sebut saja apa jenis maksiat , orang Islam ada melakukanya. Jadi tidak hairanlah mereka mempunyai tanggapan yang sangat negatif terhadap Islam. Mereka tidak dapat melihat Islam dalam bentuknya yang cantik dan indah.

Sebagai orang Islam marilah kita sama-sama memperbaiki ahklak kita seperti yang di anjurkan oleh Islam. Hiasilah diri kita dengan sifat-sifat mahmudah ( terpuji) dan jauhilah diri dari sifat-sifat mazmumah (negatif atau keji). Berdasarkan sebuah Hadis Nabi s.a.w. dalam bentuk doa, ada lapan sifat negatif yang menyebabkan kemurkaan Allah iaitu:
 (1) kesusahan yang tidak diatasi,
 (2) kedukacitaan yang berterusan,
 (3) lemah,
 (4) malas,
 (5) penakut dan pengecut yang tidak kena pada tempatnya,
 (6) bakhil,
 (7) hutang keliling pinggang dan
(8) merelakan diri ditindas orang.

 Jikalau semua orang Islam bebas daripada sifat-sifat yang disebut di atas sudah pasti tidak akan kedengaran komen-komen negatif daripada "non-muslim" seperti "orang Islam malas" , "orang Islam pengotor" dsbnya.