Monday, 19 August 2024

Himpunan Pembebasan Palestin (4 Ogos 24)

Pendirian Malaysia yang lantang, keras dan konsisten dalam mengutuk kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin terus-menerus disuarakan di pelbagai peringkat, kali ini menerusi gelombang 'lautan putih' pada program Himpunan Malaysia Bersama Palestin.

Stadium Arena Axiata, Bukit Jalil yang menjadi lokasi Himpunan Pembebasan Palestin malam itu dipenuhi lebih 16,000 orang yang datang sejak awal petang. Himpunan itu turut dihadiri diplomat dan perwakilan, antaranya dari kedutaan Palestin, Maghribi, Tajikistan, Turkiye, Lubnan, Republik China, dan Guinea.

Himpunan itu antara lain bagi menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.
Ini adalah himpunan Palestin yang kedua saya dan suami turut serta pada tahun ini. Pada Mac lepas kami hanya turut serta di Padang Merbok pada Himpunan Mega Demi Palestin. Peserta pada perhimpunan ini dikehendaki berkumpul di Dataran Merdeka, selepas lebih empat kilometer berarak dari Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak. Selepas ke Dataran Merdeka, peserta himpunan diminta pula terus berarak ke Padang Merbok sebagai check point terakhir. Jadi kami hanya menunggu di sini.

Kami sangat teruja bila mendapati perhimpunan terbaru ini dibuat dalam dewan yang bertutup. Kami terus memutuskan untuk bersama demi rakyat Palestin. Seperti biasa di setiap perhimpunan Palestin kami akan bersama dengan anak-anak dan menantu. Tidak secara langsung ia menjadi program keluarga, Kami juga sempat menunaikan solat maghrib berjemaah yang diimamkan wakil Palestin,
Saya dan perempuan - perempuan lain berada di bahagian belakang saf.
Sesi pidato diteruskan selepas  solat maghrib, diselang seli dengan persembahan oleh penyanyi Amir Masdi dan Faizal Tahir serta persembahan puisi oleh personaliti Fedtri Yahya dan Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini. Peserta kemudian dipertonton tayangan video khas dari Gaza dan persembahan anak-anak Palestin yang menghibakan suasana perhimpunan.

Pidato Pembebasan Palestin diteruskan oleh wakil-wakil Ngo dan menteri-menteri. Antara nereka yang berucap adalah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengikut jadual program, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijadual menyampaikan Pidato Kemuncak Himpunan Pembebasan Palestin selepas tayangan video Belasungkawa Asy-Syahid Ismail Haniyeh dan himpunan dijadual berakhir dengan persembahan Kumpulan Rabbani dan Awla diikuti Doa Qunut Nazilah.
Video perhimpunsn 4 Ogos 2024
Walau bagaimanapun kami terus balik selepas ucapan kemuncak PMX kerana takut terlalu lewat sampai ke rumah. Esoknya adalah hari kerja. Mengapa pula saya teringin membuat catatan sebagai kenangan untuk perhimpunan kali ini? 😃Menariknya kali ini  muka saya dan suami ada terkeluar di liputan berita RTM ... tu yang teruja nak meyimpannya sebagai kenang - kenangan.

Walaupun rasa bersemangat hendak pergi ke program ini, namun hati tetap rasa risau dengan kemampuan saya untuk berjalan ke stadium Arena, kerana kami akan ke sana menaiki LRT dari stesyen Bukit Kinrara ke stesyen Bukit Jalil dan berjalan lagi ke stadiun Arena Axiata. Alhamdulillah berkat doa ke hadrat ilahi, Allah permudahkan segala-galanya.

Meriah sungguh hari itu. Dalam keluarga kami pun meriah suasananya. Pemergiam kami diraikan dengan gembiranya oleh ahli keluarga lain yang tidak pergi bersama. Semua bergambar kenangan dengan "rombongan" yang akan bertolak. 
Jom kita layan gambar ....
Bergambar sebelum bertolak di hadapan rumah anak di PUJ
Sebelum tren tiba di stesyen Bukit Kinrara
..... dalam tren
.... ketika sampai di stesyen Bukit Jalil

Persembahan Faisal Tahir
Selepas balik dari sini singgah di kedai mamak pekena roti nan cheese dan ayam tandoori kerana masing-nasing kelaparan, tidak sempat ambil makan malam. Kami bertolak pukul 6 ptg dari PUJ supaya sempat solat Maghrib berjemaah di arena, lokasi perhimpunan.

Begitulah berakhirnya hari yang sangat bermakna bagi kami dan seluruh rakyat Majaysia yang hanya mampu memberi sokongan moral sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin. Semoga 'outing' ini juga menambah eratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga kami ....ameen!
 Kenangan hari Perhimpuan Palestin  ..4 Ogos 2024

                                         

Thursday, 1 August 2024

Kejamkah Hukum Islam (4) - Fitnah di Akhir Zaman

HARI ini fitnah akhir zaman melanda kehidupan kita dari segenap penjuru dan ruang. Fitnah tidak mengenal orang besar atau peniaga jalanan, orang politik atau rakyat marhaen. Fitnah tidak membezakan orang jahil atau ilmuan. Fitnah juga tidak pernah mengira lelaki atau perempuan, tua atau muda, kufur atau bertakwa. Ia datang dan cuba menggugat iman agar tergelincir, menghasut umat agar kucar kacir.

Fitnah sudah ada sejak dahulu lagi. Dalam sejarah Islam terdapat peristiwa fitnah yang melanda rumahtangga Rasulullah SAW di mana kisahnya telah disebut dalam Hadith al-Ifki (berita bohong). Fitnah ini dibuat terhadap Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah SAW. Cerita ini telah sengaja diada-adakan dan disebar oleh kaum munafik.

Ringkasnya, Hadith al-Ifki menyaksikan Aishah difitnah berdua-duaan bersama seorang Sahabat, Sofwan Ibnu Mu'attol  ketika dalam perjalanan pulang dari medan perang menentang Bani Mustaliq pada Syaaban tahun kelima ( atau keenam ) Hijrah. Aishah telah dituduh melakukan perkara yang tidak bermoral dengan Sofwan. Berikutan peristiwa tersebut, Aishah sendiri sebagai mangsa fitnah dan Rasulullah SAW sebagai suami telah menanggung aib dan malu. Kesan fitnah tersebut telah menyebabkan Nabi SAW tidak banyak bercakap dan terpaksa mengurungkan diri daripada masyarakat awam. Keadaan kembali pulih dengan turunnya wahyu Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat) [11]. 
Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata: ini ialah tuduhan dusta yang nyata [12].
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangksan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta [13]”- 
Surah An-Nur:11-13.

Penyakit fitnah yang diwarisi kini  melanda masyarakat bagaikan barah yang merebak ke seluruh anggota lapisan masyarakat. Pada hari ini, fitnah berlaku berleluasa dengan cara yang lebih mudah berbanding dahulu. Jika sebelum  ini fitnah disebar hanya dari mulut ke mulut, mungkin melalui jiran, ketika berborak di kedai kopi ataupun sekitar dalam kampung mereka sahaja tetapi pada hari ini teknologi yang semakin canggih menjadikan amalan fitnah juga berlaku di hujung jari dengan lebih pantas. Ia boleh dilakukan melalui teknologi maklumat seperti Internet yang mampu menyebarkan apa juga maklumat dengan sekelip mata tanpa dapat dibendung.

Khutbah Jumaat negeri P. Pinang
Nov 2020
Khutbah Jumaat negeri P. Pinang
Mac 2021
Perbuatan fitnah sudah menjadi seperti penyakit kronik di malaysia. Ia perlu dibendung sebelum lebih ramai yang teraniaya angkara fitnah dan penipuan yang tidak terkawal. Banyak sudah masjid-masjid dalam khutbah Jumaatnya mengingatkan  ahli kariah agar menjauhi perbuatan fitnah kerana kesan-kesan negatif yang ditinggalkan dalam kehidupan masyarakat.

Dosa fitnah juga disebut dalam hadis riwayat Ibnu Abbas RA. Ia berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW pernah berjalan melewati dua buah kubur. Salah satu penghuni kubur tersebut adalah orang yang selama hidupnya suka melakukan fitnah, lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya dua orang ahli kubur itu sedang diazab dan tidaklah kedua-duanya diazab kerana dosa besar. Ya, benar. Sesungguhnya dosa itu amatlah besar. Salah seorang di antara keduanya ialah (mereka) yang berjalan di muka bumi dengan menyebarkan fitnah (mengumpat). Sementara yang lain tidak bertirai ketika kencing.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa orang yang suka menyebarkan fitnah akan mendapatkan siksa yang amat pedih di alam kubur. Itu adalah balasan yang sesuai kerana telah mengabaikan perintah Allah.

Hukuman jenayah fitnah di dunia
Di sisi undang-undang negara, seksyen 499 Kanun Keseksaan memperuntukkan mengenai kesalahan fitnah. Secara kasarnya, Seksyen 499 menyatakan bahawa jika mana-mana individu ada membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain, serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat, adalah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah.

Lantas, jika sabit kesalahan memfitnah orang lain, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Selepas memfitnah bekas Menteri Agama ....
ada yang mohon maaf, ada yang menarik balik tuduhan
dan ada juga yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah
Hukuman jenayah fitnah ciptaan manusia ini amatlah ringan jika dibandingkan dengan hukuman dari Allah yang meliputi dunia dan akhirat seperti yang difirmankan  Allah di dalam al Quran yang bermaksud,  

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (surah An-Nur ayat 19)

Kejamkah hukum Islam

Petikan dari buku Kejamkah Hukum Islam
tulisan Abdul A'la Almaududi

Sebagai contoh, perbuatan qazaf yang bermaksud membuat tuduhan zina terhadap seorang Islam yang akil baligh dan dikenali sebagai seorang yang bersih dari perbuatan zina tanpa dibuktikan dengan empat orang saksi. Qazaf boleh berlaku dengan membuat kenyataan secara jelas seperti mengatakan seseorang itu telah berzina, atau dengan cara tersirat seperti menyatakan bahawa seseorang itu bukan anak atau bukan bapa kepada seseorang yang tertentu.

Orang yang melakukan qazaf disebat dengan 80 kali sebatan kecuali jika dia dapat membawa 4 orang saksi yang dapat mensabitkan kesalahan orang yang dikatakan berzina tadi dengan kesalahan zina. Hukuman ini berasaskan kepada kepentingan kehormatan dan maruah di kalangan masyarakat. Ia juga untuk memastikan tidak ada sebarang tuduhan zina yang dibuat tanpa asas yang kukuh, kerana tuduhan zina itu suatu yang amat memalukan dan boleh memporak-perandakan keharmonian keluarga.

Hukuman Hudud ke atas pesalah qazaf adalah satu ketetapan Allah berasaskan firmanNya yang bermaksud:

Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang muhsanat(baik) dan kemudian mereka gagal membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka dengan lapan puluh sebatan dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.
( surah an-Nur:4)

Perlu difahami bahawa konsep undang-undang Hudud ini disyariatkan adalah untuk mendidik orang Islam khususnya dan orang bukan muslim amnya. Ini kerana untuk melaksanakan hudud itu sendiri bukanlah suatu yang mudah. Dalam sesuatu kes Hudud, ia memerlukan kepada kesaksian dan pembuktian yang ketat dan jelas. Jika terdapat keraguan walaupun sedikit maka pesalah tersebut tidak boleh dihukum dengan hukuman Hudud sepertimana yang ditunjukkan olah Rasulullah SAW. Prinsip “menolak hudud kerana ada keraguan” ini pada asasnya berdasarkan kepada hadis-hadis Rasulullah SAW. Antara hadis-hadis tersebut ialah yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:

“Tolaklah hudud daripada orang-orang Islam selagi boleh. Kalau masih ada jalan lepaskan mereka. Kerana kesilapan pemerintah dalam memberi kemaafan lebih baik daripada kesilapannya dalam mengenakan hukuman.” -Hadis riwayat al-Termizi6

Dengan kepayahan dan kesukaran untuk melaksanakan Hudud (contoh jenayah qazaf) jelas menunjukkan bahawa undang-undang ini tidaklah sekejam seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Malah sebaliknya ia telah pun mengambil kira unsur kemanusian bukan setakat kesan ke atas pesalah tersebut bahkan kepada umat Islam seluruhnya. Undang-undang ini bukanlah semata-mata untuk menghukum tetapi untuk perkara yang lebih besar iaitu melindungi kehidupan manusia. 

Fitnah di hujung jari
Hari ini perbuatan fitnah dalam masyarakat berlaku terlalu pantas ditambah pula dengan kemudahan teknologi yang membolehkan sesuatu disebarkan tanpa merujuk kepada situasi yang sebenar. Kewujudan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok membuatkan lebih banyak fitnah yang tersebar dan ia berlarutan seperti surat berangkai.

Hari ini angkara penipuan dan fitnah, telah berapa banyak rumahtangga yang musnah, hubungan kekeluargaan yang punah, silaturrahim yang terpisah, dan airmata yang tertumpah. Malangnya, fitnah akhir zaman yang sepatutnya dihindari, namun ramai yang berpusu- pusu terjun ke dalamnya. Maka jadilah kehidupan dunia hari ini, tenat dan melarat.  Kesannya, ramai yang terpalit dengan fitnah yang merupakan 'pembunuh' utama keharmonian masyarakat.

Namun apakah hakikat sebenar fitnah? Perkataan fitnah dalam bahasa Arab merujuk kepada  kekacauan, bencana, cubaan atau penyesatan. Walau bagaimanapun masyarakat pada hari ini, menggunakan kata fitnah itu memberi maksud suatu berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang atau memporak-perandakan masyarakat.

Walau bagaimanapun, pengertian fitnah daripada definisi Islam mempunyai maksud yang lebih luas. Ia mempunyai persamaan dengan ghibah (mengumpat). Bezanya, ghibah membicarakan keburukan orang lain berdasarkan kenyataan, sedangkan fitnah berunsur pembohongan. Namun, kedua-duanya diucapkan untuk maksud yang tidak baik. Hal itu sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang bermaksud: 

"Wahai Rasulullah, apakah ghibah itu? Lalu Rasulullah menjawab; ‘Menyebut sesuatu yang tidak disukai saudaramu semasa ketiadaannya.’ Kemudian sahabat kembali bertanya; ‘Bagaimana jika apa yang disebutkan itu benar?’ Rasulullah kemudian menjawab; ‘Sekiranya yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika hal itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (kebohongan besar).” 
(Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tirmidzi) 

Al-Ghazali dalam membicarakan tentang fitnah, beliau menyamakan fitnah sama ertinya dengan al-Namimah yang bermaksud membesar-besarkan perihal seseorang kepada pendengar - pendengar lain. Biasanya, dalam proses membesar-besarkan berita itu, terdapat penambahan yang tidak benar atau   biasanya manusia yang lemah imannya suka menyebar cerita-cerita yang sensasi dengan pembohongan. Sebab itu, al-Namimah terkandung di dalamnya fitnah dan mengumpat. Cuma perbezaan antara keduanya ialah fitnah lebih buruk dosanya daripada mengumpat.

Apakah hukumnya membuat fitnah? Perbuatan fitnah dari perspektif agama Islam hukumnya haram dan ditegah kerana ia boleh menjatuhkan maruah seseorang dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan dan kemusnahan harta serta kehilangan nyawa. Dalam Islam, fitnah adalah salah satu dari sifat terkeji dan amat dilarang. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir”.
Surah Al-Baqarah:191

Al quran telah memberikan peringatan kepada umat manusia bahawa dosa fitnah jauh lebih besar daripada pembunuhan. Seseorang yang suka memfitnah orang lain akan kehilangan imannya kepada Allah. Tidak hairan, jika pelakunya akan mendapat ganjaran besar dari Allah, seperti yang disebut dalam Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang beriman, baik laki-laki maupun perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam, dan bagi mereka azab neraka yang membakar.” (QS. Al-Buruj: 10)

Dalam Hadis pula, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: 

Berkata malaikat yang mengiringi Baginda Rasulullah, adapun orang yang disiksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan sehingga seluruh ufuk penjuru dunia. 
 [HR Ibn Hibban 655]

Fitnah berlaku dalam dua keadaan:
1. Apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.
2. Apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

Jenis-Jenis Fitnah Dalam Islam
1 Fitnah syubhah - ini merupakan fitnah yang paling berbahaya kerana kurangnya ilmu, ketika diiringi dengan niat buruk dan hawa nafsu maka timbullah fitnah besar dan keji seperti kekafiran, kemunafikan, dan bidaah penyebab perpecahan. 
2. Fitnah syahwat (penyakit yang mengikuti syahwat) - ia merupakan perbuatan yang dapat melemah dan mengikis iman seseorang disebabkan oleh hawa nafsu. Pelakunya akan mengikuti apa-apa yang disenangi oleh hati atau nafsu yang keluar dari batasan syari’at.

Ketika ini negara kita sedang dilanda fitnah syahwat yang melampau. Ia berlaku di kalangan ahli-ahli politk serta dituruti oleh pengiku-pengikut parti yang fanatik. Fitnah tahkta dan kedudukan termasuk dalam pembahagian fitnah syahwat, disebabkan seseorang berkeinginan dengan kekuasaan yang berkait rapat dengan nafsu mereka untuk berkuasa. Demikian juga apabila seseorang yang akan kehilangan kuasa, nafsu keinginan untuk kekal dalam kekuasaan sangat besar.

Fitnah lapok yang dimainkan pihak pembangkang
dan ditepis oleh PMX dalam dewan rakyat
Sebagai contoh kita lihat fitnah yang telah dilemparkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burung, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin dalam ceramah kempen sempena PRK DUN Sungai Bakap baru-baru ini, terhadap PMX, 

Ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tahun 2024 Jabatan Perdana Menteri, PMX telah berkata:

“Di Sungai Bakap, saya dipanggil anak angkat AS, Kementerian Kewangan pinjam dari IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan saya ikut nasihat yahudi, ikut saja".

“Itu dari ustaz pakai kopiah dan jubah tapi fitnah terang-terangan. Fakta di sebaliknya mana mungkin saya lakukan ini semua,” 

Perdana Menteri menegaskan, beliau sama sekali bukan anak angkat Amerika Syarikat (AS) mahupun mengikut telunjuk Yahudi seperti yang difitnah.

Islam tidak melarang umatnya berpolitik dengan ideologi yang pelbagai. Namun perbezaan pendapat dan ideologi antara kita bukanlah alasan untuk menghalalkan perbuatan memfitnah. Islam meletakkan syarat yang ketat apabila seorang Muslim ingin menuduh atau mendakwa seseorang yang lain seperti mengatakan si fulan itu penzina, pencuri, pemakan harta anak yatim, penyalah guna kuasa atau pelaku rasuah. Pendakwaan tersebut wajib disertai dengan saksi yang adil dan bukti yang kuat sebagai memenuhi syarat dia menuduh seseorang dengan sesuatu.

Dalam lipatan sejarah kita telah lihat bagaimana fitnah menjadi punca perselisihan para sahabat RA selepas kewafatan Rasulullah SAW sehingga membawa kepada pembunuhan Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman al-Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib. Akhirnya muncul fahaman dan aliran agama yang sesat lagi melampau seperti Syiah, Muktazilah, Jahmiyyah dan Murjiah yang kononnya diasaskan untuk menyelamatkan pengikutnya daripada fitnah sedangkan hakikat sebenar kemunculan ajaran ini juga berpunca daripada fitnah.

Perang Saudara Islam Pertama (656–661), juga dipanggil Fitnah Pertama. "Fitnah Pembunuhan Uthman" adalah perang saudara pertama dalam Khilafah Islam. Ia timbul akibat perselisihan siapa yang berhak menjadi khalifah. Pertikaian ini memecahkan perpaduan umat Islam dan memulakan arah aliran jangka panjang yang berakhir dengan pemecahan Islam kepada mazhab Syiah dan Sunni.

Dewasa ini amat sukar sekali bagi kita untuk mendapatkan kebenaran hinggakan apa yang batil itu akan terlihat benar dan yang benar itu sukar dipastikan. Abu Hurairah RA telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

 “Bersegeralah kamu melakukan amal soleh sebelum datangnya fitnah yang seperti potongan-potongan malam yang gelap gelita. Iaitu seseorang yang pada waktu paginya beriman, tetapi dipetang hari sudah menjadi kafir.” (Riwayat Muslim)
Marilah kita sama-sama membendung perbuatan fitnah agar seluruh masyarakat dapat hidup secara aman damai tanpa ada prasangka antara satu sama lain. Setiap kita mesti memainkan peranan dengan mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama: Senantiasa menyelidiki setiap maklumat dan berita yang sampai kepada kita, terutamanya di media sosial. 
Kedua: Tidak menjadi terlalu taksub terhadap sesuatu kelompok kumpulan atau pertubuhan hingga menyebabkan terputusnya silaturrahim. 
Ketiga: Menjauhkan diri dari fitnah, atau terlibat menjadi salah seorang yang mencetuskan fitnah.
Keempat: Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan solat dan berdoa agar diri serta keluarga dilindungi dari bahaya fitnah akhir zaman.

Bagi pembuat fitnah dan penyebar fitnah mereka kena sedar bahawa dengan sebab perbuatan mereka berapa ramai orang yang bercerai-berai, bergaduh antara adik beradik, memutuskan tali silaturrahim disebabkan oleh fitnah yang disebarkan. Mereka harus ingat apa yang mereka lakukan sekarang Allah pasti akan membalasanya sama ada di dunia ataupun di akhirat nanti. 

KDAS (Kg Dato' Ahmad Said) 
Ogos 2024

 


Saturday, 6 July 2024

Galerì Rumah Lat

Kami telah melawat Galeri Rumah Lat ini pada 30 Julai 2023, iaitu antara hari-hari terakhir tawaran masuk percuma. Jadi tidak hairanlah pengunjung pada hari itu tersangatlah ramai. Sejak pembukaan rasminya pada 8 Julai, Galeri Rumah Lat dibuka secara percuma kepada pengunjung sehingga 31 Julai, 2023. Hampir setahun sudah berlalu lawatan ini😀Inilah sudahnya kerja bertangguh!

 Kos pembangunan Galeri Rumah Lat dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan kos pembinaan berjumlah RM3.81 juta dan siap sepenuhnya pada Januari 2022. Galeri ini dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 8 Julai 2023 dan dibuka kepada umum sehari kemudian.

Galeri Rumah Lat ialah galeri seni yang terletak di Batu Gajah, Perak. Ia menempatkan hasil karya seni, memorabilia dan bahan-bahan berkaitan kartunis Malaysia, Lat. Dahulunya kawasan lokasi ini hutan, kawasan lombong tinggal, sunyi tetapi kini meriah  dengan kehadiran galeri ini. Ia dibuka pada setiap Selasa sehingga Jumaat dari jam 10 pagi sehingga 4 petang dan ditutup pada Isnin.

Galeri Rumah Lat terdiri daripada dua komponen iaitu Galeri Lat yang menempatkan ruang pameran karya Lat dan rumah kayu Lat.

Bahagian ruang pameran mengabadikan sejarah dan pencapaian Lat. Ini termasuklah  koleksi lukisan terpilih karikaturnya sejak dari 1963 serta biografi beliau. Terdapat juga  ruang mengadakan bengkel seni lukis kartun selain ruangan pameran. Di bahagian ini juga ada kedai cenderahati, kafe, taman karya Lat dan ruangan pejabat serta ruangan audiovisual. Di sudut lain turut boleh dilihat meja kegemaran yang digunakan oleh Lat melukis karyanya.

Di suatu sudut lain pula terdapat gambar poster bersaiz besar Lat bergaya di atas sebuah motosikal yang dibeli hasil beliau berkarya sewaktu usianya 17 tahun.

Terdapat juga jualan cenderamata seperti kemeja T, rantai kunci, mug dan topi yang mengabadikan kartun beliau menjadi rebutan pengunjung.

Bergaya Lat di atas motosikal barunya 
......Motosikal Lat yang sebenar?

                                                 

Replika rumah kayu Lat yang dikenali sebagai Rumah Limas
Manakala Rumah Lat pula merupakan rumah Melayu berbumbung lima atau Rumah Limas potongan Perak yang dibina menggunakan kaedah tradisional. Antara komponen di Rumah Lat ialah perabot, kelengkapan rumah bahagian anjung, rumah ibu dan dapur, hiasan dalaman dan kelengkapan dapur.

Apa yang membuatkan Galeri Rumah Lat menarik adalah replika rumah kayu ini dibina berdasarkan rumah Mat dalam Kampung Boy (majalah komik Lat yang terkenal). 

Rumah Mat dari majalah komik The Kampung Boy
Kami tidak masuk dalam rumah pada hari tersebut kerana terlalu ramai menunggu giliran untuk masuk pada hari itu. Mengikut maklumat dari internet, rumah kayu replika tradisional Perak yang menjadi lambang galeri ini turut menempatkan pelbagai barangan peribadi dan koleksi keluarga beliau. Mereka yang hadir di sini seolah-olah akan merasa kehadiran Lat di sini.

Lukisan-lukisan yang menggambarkan rumahnya
 

Datuk Lat dilahirkan pada 5 Mac 1951 di Kota Bharu Kelantan. Nama sebenar beliau Datuk Mohd Nor Khalid tetapi lebih dikenali sebagai Datuk Lat. Perjalanan seni Datuk Lat bermula sejak usia muda ketika beliau menemui minat terhadap bidang seni melukis. Beliau mengeluarkan jalur komik pertama pada tahun 1974 berjudul 'Kampung Boy' diterbitkan dalam Berita Minggu. Kampung Boy berkisar kehidupan seorang budak Melayu bernama Mat yang membesar di sebuah kampung tradisional di Malaysia. Kejayaan jalur komik ini membuatkan nama beliau menjadi terkenal.
Datuk Lat bersama .....
Antara lukisan karikatur yang dipamerkan
Lukisan awalnya sering menggambarkan kehidupan harian yang dapat mencerminkan budaya dan gaya hidup masyarakat Malaysia pada waktu itu. Karya-karyanya yang menceritakan tentang kehidupan rakyat dengan semangat, nilai kepelbagaian serta keunikan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat. Kartun beliau bukan sahaja menghiburkan, tetapi ia juga berfungsi sebagai cermin masyarakat Malaysia melalui aspek budaya, dinamik keluarga dan peristiwa politik.
 
Datuk Lat memainkan peranan penting dalam mempromosikan perpaduan dan pemahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Karya beliau dapat melampaui batas sempadan etnik dan budaya, membina identiti dan kebanggan kebangsaan. Kebolehan beliau untuk melukis cerita dengan menangkap suasana kehidupan seharian masyarakat membuatkan ia sangat dekat dalam hati masyarakat. 
Video menggambarkan suasana di luar dan dalam
kawasan galeri ... tengahari 30 Julai 2023

Thursday, 24 August 2023

Kampung Gajah di penghujung jalan A15

Lawatan ke Pasir Salak dan Kg Gajah ini dibuat pada 30 Julai 2023, pada hari yang sama kami melawat Galeri Rumah Lat di Batu Gajah.

Kampung Gajah terletak di tepi tebing kanan Sungai Perak, Perak, kira-kira 75 km dari Bandar Ipoh. Bandar Teluk Intan terletak di selatan Kampung Gajah, kira-kira 25 km

Kedudukan pekan Kampung gajah
Kampung Gajah merupakan sebuah pekan yang sedang membangun. Secara umum, penduduk Kampung Gajah berbangsa Melayu, kurang bangsa Cina dan India seperti bandar-bandar yang lain. Kampung Gajah juga adalah salah sebuah mukim dalam Daerah Perak Tengah.

Di sepanjang Sungai Perak di daerah Kampong Gajah ini terdapat kampung-kampung tua. Kewujudan kampung ini boleh dilihat sebagai petanda betapa pertempatan telah lama wujud di sini. Kewujudan kampung-kampung ini membuktikan bahawa daerah Kampung Gajah ini amat bersejarah di negeri Perak. Tidak jauh dari Kg Gajah, iaitu di mukim Pasir Salak, terdapat Kompleks Sejarah Pasir Salak.
Pekan Kg Gajah di tebing kanan Sg Perak
Pasir Salak di tebing kiri
Kampung Gajah juga sinonim dengan buah durian, kerana terdapat banyaknya kebun-kebun yang ditanam dengan pokok durian. Pokok-pokok durian ini berusia puluhan malahan ratusan tahun. Antara nama durian yang popular ialah durian Tok Paduka Raja. Antara kampung-kampung yang amat popular dengan tanaman durian ialah Selat Pulau, Kepala Pulau, Pasir Salak dan Pulau Tiga.

Ramai orang luar yang keliru antara Kampung Gajah dengan Batu Gajah dan Alor Gajah. Alor Gajah terletak di negeri Melaka. Batu Gajah terletak di Perak juga. Saya sendiri selalu tersasul apabila menyebut 2 tempat di Perak ini.
Penghujung Jalan A 15 atau KM 0 (bertanda biru)
di tengah pekan Kampung Gajah
Selepas balik dari lawatan ke Kompleks Sejarah Pasir Salak, kami terus ke Kg Gajah untuk mencari makan tengahari dan kemudian ke masjidnya untuk solat zohor. Sebelum balik ke Ipoh sempat bergambar di  beberapa tempat menarik di sini.
Masjid  Sultan Azlan Shah Kg Gajah
Jalan A 15 adalah jalan negeri Perak yang  utama. Ia juga dikenali sebagai Jalan Tanjung Tualang. Hujung utaranya bermula di Pusing Batu Gajah dan hujung selatannya pula berakhir di Kg Gajah. 
Dari sini 1 km ke Kg Gajah dan 60 km ke Ipoh
melalui jalan negeri A 15
Di pekan Kg Gajah ini sepatutnya boleh diletakkan monumen KM 0 sebagai tarikan kepada pelancong ke sini. Jadi petang itu kami mencari-carilah kalau ada sebarang penanda 0 km di pekan ini, tetapi memang tiada. Walaupun begitu ada beberapa monumen yang menarik untuk bergambar di pekan ini. 

Kami singgah makan di satu-satunya medan selera di Kg Gajah. Mengikut review orang ramai, inilah tempat yang paling 'best' kalau nak makan kerana terdapat pelbagai jenis lauk-pauk, dari sarapan hingga ke tengahari. Di sini ada  ikan dan ayam bakar yang dipanggang atas api arang, lauk-pauk kampung dan ulam-ulaman serta pelbagai jenis sambal seperti sambal kelapa Perak .... dan harganya berpatutan. Mungkin kekuranganya dari segi kebersihan yang perlu diberi perhatian dan diperbaiki.

Selepas makan kami  bergambar di monumen "Kampong Gajah Kampungku Warisanku" yang terletak di hadapan medan selera ini.
Monumen Keris menceritakan sejarah
 ...... Peringatan Perang Perak 1875-1876
Beberapa monumen menarik yang terletak 
di tengah bulatan dan kawasan sekitar
Saya boleh andaikan bulatan atau "roundabout" inilah bermulanya Jalan A 15 negeri Perak di Kg Gajah atau selalu yang disebut KM 0 di lain-lain tempat.

Post berkaitan:




Thursday, 17 August 2023

Kompleks Sejarah Pasir Salak

Lawatan ke Pasir Salak ini dibuat pada 30 Julai 2023, pada hari yang sama kami melawat Galeri Rumah Lat di Batu Gajah.

Pasir Salak merupakan sebuah mukim dan kawasan bersejarah yang terletak di tepi Sungai Perak, Perak Tengah, Perak, Malaysia. Di seberang sungai terletaknya pekan Kampung Gajah. Kampung Gajah juga adalah sebuah mukim dalam Daerah Perak Tengah.
Kedudukan Kampung Gajah berdekatan dengan Pasir Salak
Di sepanjang Sungai Perak di daerah Kampong Gajah ini terdapat kampung-kampung tua. Kewujudan kampung ini boleh dilihat sebagai petanda betapa pertempatan telah lama wujud di sini. Kewujudan kampung-kampung ini membuktikan bahawa daerah Kampung Gajah ini amat bersejarah di negeri Perak.

Di belakang Pasir Salak terletaknya jelapang padi Seberang Perak. Kini Pasir Salak berbangga dengan adanya Kompleks Sejarah Pasir Salak. Kompleks ini dibina di Pasir Salak kerana di sinilah mula tumpahnya darah pejuang-pejuang Malaysia menentang penjajah British.
Kedudukan kompleks Sejarah Pasir Salak
Nama Pasir Salak berasal dari pasir di tepi sungai Perak yang dipenuhi kulit buah salak. Salak ialah sejenis buah, kulitnya berwarna coklat, isi agak putih dan pokoknya seperti Pokok Nipah. Sungai Perak yang di sini airnya jernih kerana ia jauh dari kawasan pencemaran air lombong bijih timah yang amat-amat keruh. Oleh kerana itu banyaklah pokok salak tumbuh liar di kawasan ini dan sesetengahnya ditanam.
Buah salak
Sungai merupakan nadi kehidupan masyarakat di tepi sungai sebagaimana penduduk Pasir Salak. Di sungai inilah penduduk kampung menyara hidup dengan menjadi nelayan sungai, bot penambang, menghanyutkan buluh dan balak, mengangkut buah durian dan lain-lain buah-buahan ke Teluk Intan.

Sebelum tahun 1980, ramai penduduk kampung di tepian Sungai Perak terpaksa menaiki bot penambang berenjin untuk pergi ke bandar Teluk Intan. Sebelum tahun 1987, penduduk Pasir Salak terpaksa naik bot penambang kayuhan tangan untuk pergi ke Kampung Gajah yang terletak di seberang sungai. Sehingga 2005, Pasir Salak masih lagi merupakan sebuah kampung tradisional Melayu beridentitikan rumah kutai dan rumah limas negeri Perak.

Pada tahun 1987, sebuah jambatan telah dibina antara Kampung Gajah dengan Pasir Salak. Sejak itu perkhidmatan bot penambang telah ditutup, bekalan air dibekalkan ke merata kampung dan jalan tar dibina ke semua hujung kampung.

Latarbelakang sejarah

Pasir Salak sinonim dengan sejarah kebangkitan orang Melayu menentang penjajah British yang memandai-mandai mengutip cukai mengikut peraturan mereka. Lantaran itu Dato' Maharaja Lela Pandak Lam bingkas bangun menjulang keris apabila Sultan Abdulah iaitu Sultan Perak pada tahun 1874 yang curiga, kesal dan 'terlajak' dengan Perjanjian Pangkor yang ditandatangani di dalam HMS Pluto di Pulau Pangkor. 

Mengikut fakta sejarah Perang Perak bermula dan terjadi di sini pada tahun 1875 selepas setahun Sultan Perak setuju menerima nasihat Residen British. Residen British yang pertama di Perak ialah J.W.W. Birch yang buta jiwa Melayu, tuli kepada bahasa Melayu dan naif dengan budi bahasa. 

Ia bermula apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani dan Perak secara rasmi berada di bawah perlindungan kerajaan British. Perjanjian tersebut juga mewajibkan kerajaan negeri Perak menerima seorang penasihat yang akan menasihati Sultan atas semua urusan berkaitan pentadbiran negeri Perak kecuali hal yang melibatkan agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.

Namun nasihat yang difahami oleh Sultan dan pembesar-pembesar Melayu yang menandatangani perjanjian tersebut bukanlah seperti yang dimaksudkan oleh pihak British. Nasihat di sini adalah bahasa diplomasi keatas pemerintah yang bermakna setiap “nasihat” Residen mestilah dituruti.

Bermula dari titik inilah yang menyebabkan orang-orang Melayu rasa tidak dihormati sehingga membawa kepada terbunuhnya J.W.W. Birch pada 2 November 1875 sewaktu umat Islam masih menyambut Hari Raya Aidilfitri ke 2.

Tiga hari kemudian, tentera British memulakan siri serangan untuk membalas dendam di atas kematian Birch dalam peristiwa yang disebut sebagai Perang Perak.

Jom ke kompleks!

Kompleks ini dibina pada tahun 1990 atas inisiatif Tan Sri Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak ketika itu dan telah dibuka oleh DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada 26 Mei 1990. Terletak di tebing Sungai Perak, kompleks sejarah ini dibina dengan harapan supaya generasi-generasi muda akan sentiasa memperingati peristiwa berdarah Pasir Salak pada tahun 1875 yang merupakan kemuncak dalam gerakan orang Melayu menentang penjajah Inggeris di Perak serta mengenang akan jasa dan pengorbanan para pahlawan yang mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

Bangunan-bangunan yang berada di dalam kompleks ini dibina dengan bercirikan rumah tradisional Melayu Perak. Kompleks ini  dirasmikan sepenuhnya oleh DYMM Paduka Sri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 5 Julai 2004.
Contoh rumah tradisional Melayu Perak .... model rumah
dan rumah dalam komik Lat The Kampung Boy
Pada hari kami melawat kompleks ini, hujan turun dengan sangat lebat, sehingga menghalang kami keluar dari kereta. Ketika kami berjaya masuk ke kawasan kompleks hujan masih turun renyai-renyai. Suasana tenang dan damai dapat dirasai ketika berada di kompleks yang sangat luas kawasannya. 

Walaupun kawasan kompleks nampak cantik dan terjaga namun agak sedih melihat keadaan bangunan yang kelihatan terabai dan semakin rosak. Banyak kawasan yang sudah tidak boleh dimasuki, mungkin kerana keadaan yang tidak mengizinkan. 
Lanskap yang sangat cantik ...... binaan dalam gambar
ini adalah "lookout tower" tetapi berkunci
Pemandangan di tepi Sungai Perak ... kawasan di hadapan
muzium atau Terowong Masa
Sundial atau Jam Matahari
tetapi sudah tidak berfungsi
Pihak media pernah melaporkan keadaan Kompleks Sejarah Pasir Salak yang satu ketika dahulu gah tetapi kini semakin hilang seri apabila beberapa bangunan di situ sudah reput dan tidak lagi boleh dikunjungi orang ramai. Tinjauan mendapati semua Rumah Kutai yang terdapat di kompleks tersebut tidak boleh dimasuki pengunjung termasuklah Galeri Sejarah Negeri Perak. Hanya beberapa tugu dan terowong masa yang masih boleh dikunjungi pelawat.

Pembaikan serta pemulihan Kompleks Sejarah Pasir Salak dijangka menelan belanja yang tinggi ekoran kerosakan bangunan bersejarah tersebut terlalu banyak.

Kami bernasib baik kerana terowong masa masih boleh dikunjungi pada hari itu. Sebenarnya ia adalah sebuah muzium dan ia dinamakan sebagai Terowong Sejarah. Rentetan-rentetan peristiwa sejarah dipamerkan di dalam Terowong Sejarah dengan menggunakan teknik pameran diorama iaitu pameran tiga dimensi. Setiap peristiwa dan episod penting dalam sejarah tanah air serta perkembangannya disusun dan disampaikan mengikut kronologi sejarah. Selain itu Kompleks ini juga merupakan sebuah pusat yang menyediakan sumber rujukan mengenai sejarah dan kebudayaan negeri Perak. Di sini juga terdapat Galeri Keris.
Pintu masuk terowong Sejarah
Kaunter tiket
Dalam terowong sejarah ini tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar. Tidak tahulah apa tujuan larangan ini .... mungkin untuk keselamatan negara seperti larangan di setengah bahagian dalam kawasan lapangan terbang😀
Sempat ambil gambar ini sebelum diberitahu
 pasal larangan mengambil gambar dalam muzium
Untuk masuk ke muzium setiap pengunjung dikenakan sebanyak RM 4 bagi dewasa dan RM 2 bagi kanak-kanak dan tidak ada peruntukan khas bagi warga emas. Walaupun bayaran masuk nampak sangat murah tetapi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memperbaiki keadaan dalam muzium agar lebih selesa ketika berada di dalamnya. 

Sebahagian besar kawasan muzium sangat gelap. Saya rasa perlu ada pencahayaan yang lebih agar pengunjung di kalangan warga emas seperti kami terasa lebih selesa apabila membaca maklumat-maklumat yang dipamerkan. Sebahagian besar juga kawasan dalam muzium terasa sangat panas kecuali di Galeri Keris. Tidak pasti samada penyaman udara sengaja ditutup atau ia mengalami kerosakan. Dengan suasana yang gelap dan keadaan yang panas kami tidak mampu untuk berlama-lama di dalamnya.
Dapur Keris
Salah satu keris yang dipamerkan dalam 
Galeri Keris ... gambar yang diambil secara curi-curi
Situasi ini sangat berbeza dengan yang terdapat di Muzium Nelayan di Tanjung Balau Johor. Konsep yang sama digunakan iaitu teknik pameran diorama, tetapi dalam suasana yang lebih selesa .... sangat terang dan sejuk. Bayaran masuk hanya RM 2 untuk dewasa dan RM 1 untuk kanak=kanak. Kami sebagai warga emas diberi masuk percuma😃 .... dan tiada larangan mengambil gambar langsung. Tangkaplah dan ambillah sebanyak mana yang kita mahu😂

Kompleks sejarah ini sangat berpotensi dijadikan sebagai tarikan pelancong ke daerah Kampung Gajah secara khusus dan Perak secara amnya. Namun ia perlu diperbaiki dan diberi penambahbaikan terlebih dahulu jika ingin mengembalikan kegemilangannya semula.

Video memaparkan suasana dalam kawasan  kompleks yang tenang dan damai, diambil  dari dalam bangunan muzium, dari anjungnya.
Keadaan di luar kompleks pun sangat
menyedihkan ... tanda nama jalan yang hampir roboh
Pandak Endut adalah salah seorang watak yang utama dalam perancangan pembunuhan Residen British yang pertama di Perak iaitu J.W.W. Birch 

Kalau ada yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut pasal Muzium Nelayan, boleh membaca di bawah ini ....