Sunday 10 April 2011

Kenangan - Pusing-pusing di Kota Alex

DARI 25 Januari hingga 13 Februari 2011 berlaku revolusi kebangkitan rakyat Mesir terhadap kerajaan yang memerintah. Tiap-tiap hari mereka berdemo menentang rejim Mubarak di beberapa bandar besar. Tiap-tiap  hari pula kita melihat beritanya di kaca TV dan internet. Pada masa itulah saya terkenangkan lawatan kami ke Mesir selama lebih kurang 8 hari pada tahun 2008.

Demo anti-kerajaan di Alex pada 11 Feb 2011

Kami hanya melawat bandar Kaherah (Cairo) dan Iskandariah (Alexandria) atau lebih dikenali dengan panggilan Alex. Kebanyakan masa kami berada di Alex, sebuah bandar yang sangat cantik yang mendapat jolokan "The Pearl of the Mediterranean". Alex adalah bandar kedua terbesar di Mesir dan pelabuhannya yang terbesar.

Marhaban.....mengalu-alukan pelancong di Mumtazah
Pada tahun itu suami  kena menghadiri seminar di Alex. Jadi dia telah mengambil kesempatan itu dengan membawa saya bersama dan menjadikannya sebagai percutian kami. Selama 5 malam di Alex kami telah menginap di Windsor Palace Hotel Alexandria, sebuah bangunan tua yang terletak di tepi laut.

"Marhaban bi-dhuyuf al-Iskandariah"

Selamat datang kepada tetamu-tetamu Iskandariah atau Alexandria.
 o
Inilah tempat penginapan kami selama 5 malam....Windsor Palace Hotel
Tiap-tiap pagi kami bersarapan di dewan makannya yang terletak di tingkat enam hotel itu. Pemandangan dari situ sangat cantik sekali ...... laut Mediteranian yang biru  kelihatan begitu tenang , sejuk mata memandang .....meminggiri pantai sejauh 32 km bandar Alex.

pemandangan daripada atas hotel
Antara tempat menarik yang kami kunjungi seperti kubu Sultan Qaitbay (Fort Qaitbey), Masjid Mursi Abdul Abbas, Universiti Alexandria, Amphitheatre, Bibliotheca Alexandrina (Library of Alexandria) dan Montazah Garden. Kami hanya menggunakan kenderaan awam (selain berjalan kaki) ketika pusing-pusing di  kota Alex. Semua jenis kenderaan kami mencuba ......... teksi, van 'putih', bas dan juga tram.

Berposing di depan Fort Qaitbey ......
 keseluruhan bangunannya dibuat daripada batu-bata putih

Pemandangan  dari atas Fort Qaitbey
Dari kubu kami hanya berjalan kaki ke Masjid Mursi Abdul Abbas. Dalam perjalanan kami bersiar-siar di tepi pantai yang berdekatan kerana kami mengarah ke laluan yang sama. Sambil menikmati keindahan lautan biru seluas mata memandang, kami juga sempat membeli barangan suvenir dari gerai-gerai jualan yang banyak terdapat di sepanjang pantai..

Masjid Abdul Abbas .......perkarangannya dipenuhi dengan peminta-peminta sedekah

hmmm......cantik kaan laut di belakang?
Haa......kacak bos dengan topi yang baru dibeli.....di belakang kubu Oaitbey dari  jauh
Selepas meninggalkan pantai kami berjalan-jalan di bandar mencari makan dahulu sebelum ke masjid kerana terasa lapar. Cari punya cari terjumpalah gerai simple di tepi jalan. Ia menjual sejenis roti seperti piza. Kami makan di situ sahaja. Kemungkinan kebiasaannya orang beli 'takeaway' kerana kelihatan banyak kotak yang tersusun dan tempat duduk yang sedikit sahaja

Di sinilah kami makan.........
Jarang dapat bergambar bersama......tak ingat siapa yang tolong ambil?
Mungkin pakcik jual roti tuh
Agak menarik di Mesir ini terdapat peninggalan sejarah dari orang Rom, iaitu  Amphitheatre atau Roman Theatre yang terdapat di Alex. Ia adalah sebuah gelanggang terbuka yang berada di tengah-tengah dan dikelilingi tempat duduk penonoton, yang boleh memuatkan seramai lebih kurang 700-800 orang. Kawasan ini sebenarnya adalah muzium terbuka di mana kita boleh berjalan-jalan sambil melihat, menyentuh dan membaca maklumat-maklumat yang terdapat di situ.

Alexandria train station......Amphitheatre berdekatan  kawasan ini

Ketika berada dalam runtuhan binaan Amphitheatre

......antara bahan yang dipamerkan

Amphitheatre di belakang kami.....struktur yang kelihatan berada di level bawah
Ada lagi satu binaan tinggalan orang Rom yang terletak di El-Shukafa di kawasan Karunz, iaitu Pompey's Pilar dan Catacombs tetapi pintu pagarnya sudah ditutup ketika kami sampai kerana waktu lawatan sudah habis ( antara pukul 4-5 ptg). Jadi kami lihat apa yang dapat dilihat dari luar sahaja.




greetings.....kerana ini kawasan pelancong



Lagi satu tempat yang sangat menarik yang sempat dilawati di Alex ialah  Montazah Garden dan Montazah Palace. Ia terletak di satu kawasan berbukit batu yang menganjur ke laut Mediteranian .........sangat cantik dengan taman bunga yang dijaga rapi dan kebun tamar yang subur.

 Kawasannya sangat luas dan agak penat juga berjalan dari pintu masuk dan  bersiar-siar di dalam taman. Di dalam taman ini juga terdapat Istana Sultan Farouk, raja terakhir Mesir. Semasa pemerintahan Mubarak istana ini dijadikan sebagai "Rumah tetamu Presiden"



Kebun kurma yang terdapat dalam taman ........ kebanyakan pokoknya sedang berbuah dengan lebat

Montazah Palace ........tidak dibenarkan masuk, hanya boleh dilihat dari luar

Di bandar Alex ini juga terdapat sebuah perpustakaan yang baru dan  moden (dirasmikan pada  2002). Ia lebih dikenali dengan nama Bibliotheca Alexendrina atau dalam bahasa Arab Makatabat al-Iskandariah atau dalam bahasa Inggeris Library of Alexandria. Ianya bukan sekadar sebuah perpustakaan yang boleh memuatkan berjuta-juta buku sahaja, tetapi ia sebenarnya  adalah sebuah pusat mencari dan menyampaikan  ilmu. Di bawah satu bumbung terdapat beberapa buah perpustakaan yang khusus, planetarium, muzium, galeri seni dan lain-lain. Bentuk bangunannya juga adalah unik.


Di luar perpustakaan tetapi bahagian atas ....... ada kolam dan kelihatan bumbungnya yang unik

Pemandangan dari atas bumbung

Ini adalah antara bahan-bahan yang dipamerkan

Ini ruang membaca.....berlapis-lapis

....... lihat pada cahaya yang diterima melalui bumbungnya


Antara karya seni yang dipamerkan di galeri seni

Last but not least ialah lawatan kami ke Universiti Alexandria, di mana suami ada temujanji dengan pihak universiti. Ia sebuah universiti lama yang telah wujud sejak 1938. Pada hari itu Kami telah pergi khusus ke bahagian Fakulti Kejuruteraan. Ia merupakan universiti yang kedua terbesar di Mesir.

Bangunannya tersergam ......

Suasana dalam bangunan universiti

Suami bersama colleague

Suami bersama kakitangan universiti di salah sebuah bengkel elektrik ...

Papantanda  universiti ........bergambar sebagai kenangan

Related Post:

Mesir Bumi Anbiya'

Jaula ke Mesir

Thursday 3 March 2011

Mitos atau Hukum?......di sekitar permasalahan Haid Wanita

Banyak sekali kekeliruan berlaku dalam masyarakat kita hari ini mengenai hukum-hakam dalam Islam sehingga tidak dapat membezakan yang mana satu hukum dan yang mana satu adat atau ibadat. Banyak kekeliruan berlaku disebabkan sikap menerima apa saja yang disampaikan dari mulut ke mulut dan dari generasi ke generasi, tanpa mengambil tahu samada sesuatu hukum itu ada dalil yang sahih.

Dalam bab permasalahan haid wanita juga tidak dapat lari dari berlakunya kekeliruan ini. Banyak kekeliruan juga berlaku  disebabkan amalan" Tok Guru" dan ustaz-ustaz yang memberi "fatwa" yang jumud apabila membicarakannya.

Membuang tuala wanita

Pada minggu lepas saya ada terdengar seorang ustaz bercakap dalam salah satu slot agama di TV9 mengenai bagaimana membuang tuala wanita yang sudah terpakai. Tidak sangka jawapan yang diberi adalah sama seperti yang saya dengar 40 tahun yang lalu apabila saya baru mula memakainya  ............ kerana 10 tahun kemudian saya mendapat jawapan yang amat berbeza.

Jawapan Ustaz itu adalah ....... perlu dibasuh terlebih dahulu sebelum membuangnya kerana Islam amat mengambil berat tentang kebersihan .. .... dan kalau orang lelaki ternampak tuala yang berdarah ini akan menaikkan syahwat sesetengah lelaki ....

Jawapan yang saya terima 10 tahun kemudian ....... tidak perlu dibasuh terlebih dahulu .......cukup sekadar membalutnya dengan kertas atau plastik dan membuangnya di tong sampah ...... kerana kalau dibiarkan terdedah ia nampak kotor dan menjijikkan ....

Setelah rasa tidak puashati dengan jawapan Ustaz itu saya pun merayau-rayaulah dalam internet dan terjumpa forum yang bertanya soalan yang sama ........ lihatlah pandangan salah seorang daripada mereka yang bersembang itu di bawah  ......

Ini adalah satu mitos:

....darah haid itu perlulah kita basuh sbb itu adlh najis..klw kite x basuh,syaitan akn memakannya dan kte yg akn dpt dosa...drh itu adalh mknn syaitan...darah itu adlh aurat kte...klw kte buang pad tanpa basuh kedalam sanitary tu,klw mak cik yg pungut tu nmpk darah kte,kte yg dpt dosa,...tp,klw dh terbocor tu klw org nmpk,x dosa,tapi sebaik-baiknya cuci la cepat2...islam itu indah,so muslimah pun kena indah.....

Semasa search itu saya juga terjumpa sebuah blog bernama "blog hukum hakam". Lihatlah apa yg ditulis dalam bab ini.

Termasuk dalam kepercayaan khurafat wanita yang beranggapan kain tuala wanita yang dipenuhi darah haid, hendaklah terlebih dahulu dibersihkan sebelum dibuang. Kononnya untuk mengelak dari dimakan syaitan dan seumpamanya. Kepercayaan ini adalah karut dan bertentangan dengan apa yang dilakukan di kalangan para wanita di zaman Nabi s.a.w. Abu Sa’id al-Khudriy r.a. bekata:

قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَتَوَضَّأُ مِنْ بِئْرِ بُضَاعَةَ وَهِيَ بِئْرٌ يُلْقَى فِيهَا الْحِيَضُ وَلُحُومُ الْكِلَابِ وَالنَّتْنُ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِنَّ الْمَاءَ طَهُورٌ لا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ

Maksudnya: Pernah ditanya kepada Rasulullah s.a.w., apakah kami boleh berwudhu dengan air dari telagan Budha’ah, Iaitu telaga yang tempat dibuang kain tuala wanita (bekas haid), sisa anjing dan kotoran? Nabi s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya air itu suci, tidak menajiskannya sesuatupun.”

Versi bahasa Inggeris (hadis dalam Sunan Abudawud)

(1) Narrated AbuSa'id al-Khudri: The people asked the Messenger of Allah (peace_be_upon_him): Can we perform ablution out of the well of Buda'ah, which is a well into which menstrual clothes, dead dogs and stinking things were thrown? He replied: Water is pure and is not defiled by anything.  (Book #1, Hadith #0066)

Kalimah al-Hiyadhu (الحِيَضُ) ialah kalimah plural untuk حِيْضَةٌ ia bermaksud kain yang digunakan untuk menahan darah haid, seperti dijelaskan oleh al-MUbarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini. Hadith ini menunjukkan para wanita di zaman Nabi s.a.w. membuang kain tuala wanita dalam keadaan dipenuhi darah, tanpa membasuhnya terlebih dahulu.

Boleh tonoton video UAI agar lebih yakin dan jelas akan jawapan kepada permasalahan ini.


Memotong kuku, rambut  ketika haid

Lagi satu mitos:

APAKAH benar seseorang yang datang haid tidak boleh potong kuku, gunting rambut dan jika berbuat juga akan dituntut di akhirat kelak?

Ada pendapat yang menyatakan bahawa jika seseorang dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum mandi junub. Ini kerana potongan itu akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.



Jawapannya:

Ada ulamak yang berpendapat hukumnya makruh, seperti Imam al-Ghazali dan Abu al-Faraj as-Syirazi (seorang ulamak dari mazhab Hanbali).
Mereka berdalilkan hadis yang dikatakan dari Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

لا يقلمن أحد ظفراً ، ولا يقص شعراً ، إلا وَهوَ طاهر

“Janganlah sesiapa memotong kukunya dan menggunting rambut kecuali ketika ia suci” (Riwayat al-Ismaili dari Saidina ‘Ali r.a.)

Namun jumhur ulamak tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Menurut mereka; tidak ada dalil dari Nabi s.a.w. yang menegah orang berjunub atau wanita yang sedang haid atau nifas dari melakukan perkara-perkara yang disebut tadi. Adapun hadis di atas, ia adalah munkar dan maudhu’ (yakni palsu), tidak harus sekali-kali dijadikan hujjah (lihat; Syarah Soheh al-Bukhari, oleh; Imam Ibnu Rajab)..

Berkata Imam ‘Atha’ (seorang Tabi’in terkenal);

“Harus orang yang berjunub untuk berbekam, memotong kuku dan mencukur rambut sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Malah Nabi s.a.w. ada bersabda kepada orang kafir yang baru masuk Islam;

ألق عنك شعر الكفر ثم اختتن

“Buangkanlah darimu rambut/bulu kekufuran (yakni rambut/bulu yang tumbuh semasa kamu kafir), kemudian berkatanlah”

(HR Imam Ahmad dan Abu Daud dari ‘Uthaim bin Kulaib r.a. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no; 1580).

Di dalam hadis di atas Nabi s.a.w. hanya menyuruh orang yang baru masuk Islam itu agar berkhatan dan membuang rambut/bulu di badannya. Tidak ada arahan dari baginda supaya ia melakukannya selepas mandi, menunjukkan bahawa membuang rambut/bulu dan berkhitan itu harus dilakukan sama ada sebelum mandi atau selepas mandi.

Mitos tambahan:

Ada juga pendapat yang mengatakan wajib atau sunat menanam rambut, kuku yang dipotong dan sebagainya. Ini juga tiada sebarang dalil (kecuali jika dibimbangi akan diambil dan disihirkan), demikian juga larangan memotong kuku di waktu malam.