Tuesday, 3 March 2015

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - Part 3)

Day 1 - 2/6/2014
Destinasi lawatan di hari pertama:

1 Masjid Raya Baiturrahman
2 Kapal PLTD Apung
3 Kapal Apung Lampulo
4 Makam Syiah Kuala


Day 2 - 3/6/2014
Destinasi lawatan pada hari kedua:

1 Taman Sari Gunongan
2 Masjid Teuku Omar
3 Muzium Rumah Cut Nyak Dien
4 Pantai Lampuuk Lhoknga
5 Masjid Rahmatullah Lampuuk
6 Masjid Baiturrahim Ulee Lheue
7 Pelabuhan Ulee Lheue
8 Kuburan Massal Ulee Lheue
9 Lapangan Blang Padang
10 Muzium Aceh
11 Pasar Aceh

Peta pelancong
Lapangan Blang Padang - inilah destinasi kami seterusnya selepas meninggalkan Kuburan Massal Ulee Lheue. Kami tiba di sini kira-kira pukul 2.50 ptg. Hari itu cuaca sangat panas. Saya dan suami tidak berdaya meninjau jauh di padang yang luas ini kerana sinaran matahari yang terik. Kami banyak berlindung di bawah pokok sahaja.

 Walaupun cuaca begitu panas tetapi masih ada warga yang mampu berjoging. Ada trek joging selebar satu meter mengelilingi lapangan ini. Sepanjang trek ini terdapat prasasti (batu bersurat) berbentuk perahu. Itu merupakan prasasti 'Thanks To The World'. iaitu sebuah bentuk ucapan terimakasih kepada negara-negara yang telah terlibat dalam program pemulihan Aceh setelah bencana. Keempat-empat anak kami berlarian menyusuri trek ini mencari prasasti dari negara Malaysia untuk bergambar dengannya sebagai kenang-kenangan.

Trek jogging yang di 'pagari' prasasti berbentuk perahu
Kelihatan kapal terbang dan tugu di background
Akhirnya berjumpa batu bersurat yang dituju ke negara Malaysia
dengan kata-kata.........
Our  deepest gratitude to Malaysia
Padang yang seluas 8 hektar ini selalu dijadikan sebagai tempat upacara hari-hari besar, pentas seni, pameran, expo, olahraga dan sejumlah kegiatan lainnya. Di dalam kawasan tanah Blang Padang ini juga terdapat  monumen Pesawat RI-001. Di sebelahnya  pula ada Tugu Peringatan Tsunami dan tidak jauh dari pintu keluar ada monumen 'Thanks To The World' yang menjadi peringatan kepada warga Aceh dan dunia akan keganasan tsunami 2004 yang telah melanda Aceh.

Prasasti menceritakan perasmian lapangan sepak takraw pada Ogos 2013
Kawasan lapang yang luas membolehkan berbagai aktiviti berlangsung di sini
Ini pula padang bola
Tugu Tsunami
Replika pesawat Dakota Seulawah RI-001
Dalam sejarahnya, pesawat Dakota DC-3 ini dibeli dari wang sumbangan rakyat Aceh dan menjadi titik-tolak tertubuhnya syarikat penerbangan Indonesia yang pertama, Indonesian Airways. Masyrakat Aceh menyumbang sebanyak 20 kilogram emas yang digunakan untuk membeli pesawat pada tahun 1948. Sebelum dibeli oleh Indonesia, pesawat Dakota DC-3 ini menggunakan nombor pendaftaran VR-HEC, yang kemudiannya ditukar menjadi RI-001. Presiden Soekarno memberi nama pesawat ini “Seulawah” yang bermaksud gunung emas. Secara tidak lansung, ia bermakna sebagai bentuk rasa terima kasih pemerintah Indonesia kepada masyarakat Aceh yang sudah memberikan emas untuk membeli pesawat.

Dakota DC-3.....kapal terbang pertama Indonesia
gambar Google - Blang Padang.....sejurus selepas tsunami
Ada 53 buah negara yang terlibat membantu Aceh membangun semula
Peta di sebelah menunjukkan kedudukan prasasti
  'Thanks To The World' setiap negara
Monumen 'Thanks To The World' yang berbentuk gelombang besar 
Lapangan Blang Padang terletak di tengah-tengah Kota Banda Aceh, Di sekeliling lapangan ini terdapat bangunan-bangunan besar dan utama seperti Muzium Tsunami, Muzium Aceh, Masjid Raya Baiturrahman, Pasar Aceh dan Pendopo Gubernur Aceh. Lapangan ini ada sejarahnya sendiri.

Pada masa kerajaan Aceh di pimpin oleh Sultan Iskandar Muda, ketika itu, Lapangan Blang Padang merupakan kawasan persawahan milik rakyat. Lalu, Sultan mengambil alih dengan membeli lokasi persawahan tersebut. Tidak lama kemudian, Sultan Iskandar Muda mewakafkannya kepada imam Masjid Raya Baiturrahman Banda Aceh.

 Apakah motif Sultan berbuat demikian? Sebenarnya Sultan seorang yang prihatin. Baginda melihat bahawa imam masjid menjalankan tugas tanpa bergaji. Sedangkan seorang imam juga perlu memenuhi keperluan keluarganya. Oleh sebab itu, wakaf ini tidak lain untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan bagi mencukupi kehidupan imam dan keluarganya, dengan mengerjakan sawah itu. Jadi, mengikut sejarah, lapangan ini adalah tanah wakaf.

Selepas 20 minit berada di sini, kami keluar dari lapangan dan menuju ke destinasi seterusnya iaitu Muzium Aceh yang berlokasi di sebelah timur Blang Padang. Muzium ini dibuka setiap hari kecuali hari Isnin untuk pengunjung.

Brosur
Maklumat dari brosur:
Muzium ini didirikan pada masa pemerintahan Hindia Belanda. Ia didirikan pada tanggal 31 Julai 1915 dengan nama Atjeh Museum yang dipimpin oleh F.W.Stammeshous. Ketika itu bangunan Muzium tersebut hanya berupa sebuah bangunan Rumah Tradisional Aceh ( Rumoh Aceh.). Bangunan tersebut berasal dari Pavilion  Aceh yang ditempatkan di arena Pameran Kolonial (De Koloniale Testooteling) di Semarang pada tanggal 13 Ogos hingga 15 November 1914.

 Pada tahun 1969 Muzium Aceh dipindahkan dari tempatnya yang lama (Blang Padang) ke tempatnya yang sekarang ini, di Jalan Sultan Alaidin Mahmudsyah pada tanah seluas 10,800 meter persegi. Ia terdiri dari Rumoh Aceh, Gedung Pemeran Tetap, Gedung Pertemuan, Gedung Pameran Temporer, Perpustakaan, Laboratorium, Rumah Dinas dan Gedung Galeri. Namun yang dibuka kepada umum hanyalah Rumoh Aceh, Gedung Galeri dan Perpustakaan.

Salah satu bangunan baru yang berfungsi sebagai Gedung Pertemuan
 dengan atap yang berbentuk "Bu Kulah" (bungkus nasi khas Aceh)
gambar Google - Ni dia "Bu Kulah".......ada persamaan tak?
Nasi biasa yang dibungkus dalam daun pisang mengeluarkan aroma yang enak
Gedung Pameran Tetap
Di muzium ini kita dapat melihat berbagai jenis perkakas, peralatan pertanian, peralatan rumah tangga, senjata tradisional dan pakaian tradisional. Di sini juga dipamerkan berbagai koleksi manuskrip kuno dan dokumentasi foto bersejarah. Rumoh Aceh itu juga adalah sebahagian daripada koleksi benda sejarah Muzium Aceh walaupun ia masih berfungsi sebagai media yang menyimpan dan mempamerkan bahan-bahan sejarah yang lain.

gambar Google - Rumoh  Aceh....

  
Taman cantik di hadapan rumah
.Jom naik ke atas rumah!

Sebelum naik pengunjung diminta membeli tiket masuk ke muzium terlebih dahulu. Setiap pengunjung dikenakan bayaran masuk sebanyak Rp 750.00 (25 sen) untuk dewasa. Ada pelancong dari barat yang menggambarkan Muzium Aceh ini sebagai "tired old place" kerana keadaan dalamnya yang berhabuk dan tidak bermaya seperti tidak terurus. Apalah yang nak diharapkan sangat dengan bayaran masuk yang sebegini murah.

Tiket Masuk
Serambi Depan
Gambar dari brosur

Serambi Belakang - bahagian dapur
Di perkarangan muzium juga ada dipamerkan koleksi-koleksi sejarah Aceh seperti meriam. Meriam merupakan salah satu simbol kekuatan tentera serta kemajuan peradaban yang mana pada masa Kesultanan Aceh Darussalam ia diletak pada nombor satu. Seluruh meriam bersejarah milik Aceh Darussalam mulai dari meriam Kesultanan Aceh Darussalam, meriam Turkey, meriam Belanda dan meriam Jepun serta beberapa meriam-meriam bersejarah lainnya dapat dilihat di setiap sudut Muzium Aceh,

Salah satu meriam yang dipamerkan

Lesung kayu 'kaki'
Tidak pasti ini alat apa .... kelihatan seperti
kereta tolak untuk meriam
Di Gedung Galeri pula banyak dipamerkan dokumen-dokumen lama seperti surat-menyurat dan foto-foto bersejarah. Ini dipamerkan di bahagian atas galeri. Manakala di bahagian bawah ada berbagai bahan sejarah yang lain. Ketika melangkah masuk  sahaja ke Gedung Galeri ini kami ternampak 2 benda yang menarik perhatian kami.

Galeri Melaka yang kosong terbiar tanpa ada sebarang hiasan
hmm...inilah agaknya kenapa ada tanggapan negatif seperti
 'tired old place'
Ini juga menarik perhatian kami....replika anak lembu kepala dua
 yang dilahirkan pada 1953....sempat hidup selama 2 bulan 10 hari
Suasana dalam galeri pada hari itu
Maklumat asal-usul Rumoh Aceh
dan fungsi setiap bahagian rumah
Potret yang kononya adalah Cut Nyak Dien,
seorang srikandi Islam, pahlawan kemerdekaan Indonesia




Antara manuskrip lama yang dipamerkan.
Salah satunya surat kepada Sultan Sulayman The Magnificent
memohon bantuan Turki mengahalau Portuguis
Di perkarangan muzium ada lagi satu benda bersejarah yang menjadi koleksi Muzium Aceh iaitu Lonceng Cakra Donya. Ia merupakan sebuah loceng besi besar yang dihadiahkan oleh kerajaan China melalui Laksamana Cheng Ho pada tahun 1414 M.

Banyak maklumat, seperti asal-usul dan saiz serta
bentuk loceng terdapat dalam brosur ini
Sedikit maklumat pasal Cheng Ho pun ada
Sebelum keluar dari kawasan Muzium semua pakat 
     bergambar pula dengan loceng gergasi ini.
Tertulis .... LONTJENG TJAKRA DUNIA ATJEH

Akhirnya sekitar pukul 4.10 ptg kami beredar dari perkarangan muzium dan menuju ke Pasar Aceh. Inilah destinasi terakhir kami untuk hari ini. Kota ini sedang pesat membangun. Walaupun tsunami telah menghancurluluhkan kota ini 10 tahun yang lalu, namun tiada terdapat kesan kehancuran disebabkan tsunami selain dari monumen-monumen yang sengaja ditinggalkan sebagai peringatan kepada generasi kemudian.

Kota Banda Aceh pasca 10 tahun tsunami
Gambar Google - Kota Banda Aceh sejurus selepas tsunami
Kedudukan Pasar Atjeh sangat strategik kerana terletak di jantung Kota Banda Aceh. Pasar Aceh sudah ada sejak masa pemerintahan Sultan Iskandar Muda. Pasar Aceh juga menjadi simbol politik pada masa lalu. Pasar yang ada sekarang adalah pasar baharu yang berkonsepkan pasar moden.  Pasar Aceh lama yang telah hancur akibat bencana gempa dan tsunami tahun 2004 lalu, dibangun semula dalam dua tahap. Tahap pertama telah selesai dua tahun lalu melalui sumber dana bantuan Jepun. Manakala tahap II pula dibangun melalui pembiayaan beberapa pihak dan juga dari pinjaman Bank Dunia. Ia telah dirasmikan pada Julai 2013.

gambar Google - Pasar Aceh baharu
Hari terakhir sebelum balik, datang berbelanja lagi di sini
untuk menghabiskan rupiah
Di persekitaran pasar ini banyak kedai-kedai tradisional yang menjual bermacam-macam jenis barangan. Pedagang kaki lima (PKL) juga ramai di sekitar pasar ini. Pada hari itu, setelah Pak Iskandar menurunkan kami, dia menyuruh kami ke pasar baharu ini tetapi kami tidak menjumpainya. Pak Iskandar pergi solat Asar sendirian kerana kami sudah menjamaknya. Jadi kami berlegar-legar di pasar lama yang kepanasan itu sehinggalah Pak Iskandar bertemu kami kembali dan bertanya mengapa tidak ke gedung baharu?

Akhirnya dengan bantuan Pak Iskandar kami sampai ke Pasar Atjeh. Apabila melangkah masuk terasa nyaman sekali kerana gedung ini berhawa dingin. Barang yang dijual lebih kurang sama dengan yang terdapat di luar, tetapi lebih selesa untuk menjamu mata dalam cuaca yang begitu panas dalam gedung yang berhawa dingin ini.

Dalam pasar....nyaman sekali berbelanja
Mencuba tetapi tidak membeli kerana harga yang agak mahal,
sekitar 200 ribu rupiah
Termenung ...... mana satu pilihan hati?
Yess......this is the one!
Mengikut laporan akhbar, Pasar Aceh baharu sepi dari pengunjung kerana pembeli tidak mahu parkir di area parkir yang telah disediakan dengan alasan jauh. Para pekedai merungut jika perkara ini berterusan, dan ditambah sewa tapak yang mahal, mereka terpaksa 'gulung tikar'. Antara rungutan mereka lagi ialah akses dari pasar lama ke pasar baharu kurang. Mungkin ini ada kebenarannya ...... terpikir, mengapalah supir kami tidak turunkan sahaja kami di depan pasar baharu itu! Mereka juga merungut pasal PKL di mana sebahagian pengunjung sudah terlebih dahulu terjaring di pedagang kaki lima, sehingga tidak sempat melihat barang dagangan yang dijual di dalam pasar. Memang betul ........  kami juga sudah membeli banyak sebelum sampai ke sini.

Hari itu  banyak jugalah kami membeli ........ kasut, kain batik ela, kain batik sarong, kain pelikat, telekung dan berbagai jenis baju. Selepas berbelanja di Pasar Atjeh, kami mencari kedai yang menjual barangan cenderamata pula. Kami dibawa ke satu jalan yang terdapat banyak kedai menjual barang cenderamata yang lebih kurang sama. Tidak banyak pilihan ....beli keychain sahaja untuk kawan-kawan sebagai ole-ole dan fridge magnet untuk tambah koleksi yang sedia ada.

Akhirnya kami balik ke hotel setelah masuk waktu Maghrib. Kami ingin berehat awal malam itu kerana esoknya kami harus bangun awal untuk mendapatkan tiket feri ke Sabang. Makan malam pun beli nasi bungkus sahaja dan dimakan di hotel.

Ok lah kita jumpa di Sabang pula dalam entri yang lain!



Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - part 1)

Jejak Aceh - Pantai Lampuuk- Masjid Rahmatullah Lhoknga

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - part 2)

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 3)

Jejak Aceh - Perpustakaan Kuno Tanoh Abee

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 4 )

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 5 )

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 6 )

Hujung Dunia - KM 0 (Zero) Sabang

No comments:

Post a Comment