Tuesday, 31 March 2015

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 4 )

Day 1 - 2/6/2014
Destinasi lawatan di hari pertama:

1 Masjid Raya Baiturrahman
2 Kapal PLTD Apung
3 Kapal Apung Lampulo
4 Makam Syiah Kuala

Day 2 - 3/6/2014
Destinasi lawatan pada hari kedua:

1 Taman Sari Gunongan
2 Masjid Teuku Omar
3 Muzium Rumah Cut Nyak Dien
4 Pantai Lampuuk Lhoknga
5 Masjid Rahmatullah Lampuuk
6 Masjid Baiturrahim Ulee Lheue
7 Pelabuhan Ulee Lheue
8 Kuburan Massal Ulee Lheue
9 Lapangan Blang Padang
10 Muzium Aceh
11 Pasar Aceh

Day 3 - 4/6/2014
Destinasi lawatan pada hari ketiga - Pulau Weh   

1. Tugu Kilometer Nol
2. Pantai Iboih
3. Pantai Gapang
4. Gerai Rojak Pulau Klah
5. Masjid Jamek Kota Sabang
6  Pantai Sumur Tiga
7. Sabang Hill
8. Kota Sabang
9. Taman Wisata Kuliner

Day 4 - 5/6/2014
Destinasi lawatan pada hari keempat :

1. Perjalanan pergi ke  Kota Lhokseumawe
2. Masjid Kayu Tua Indrapuri
3. Perpustakaan Kuno Tanoh Abee

Kota Lhokseumawe


Lhokseumawe berada di pertengahan Jalan Lintas Banda Aceh - Medan
Kota Lhokseumawe adalah bandar kedua terbesar  di Provinsi Aceh dan ia berada di pertengahan jalur timur Sumatera, tepatnya di antara Kota Banda Aceh dan Kota Medan  Kedudukan  kota ini menjadikannya berfungsi sebagai pusat pengedaran dan perdagangan yang sangat penting bagi Aceh. Jarak tempuh Medan ke Lhokseumawe memakan waktu lebih kurang 6 jam melalui jalan jalur ini dan begitu juga untuk Banda Aceh ke Lhokseumawe.

 Kata Lhokseumawe berasal dari kata "Lhok" dan "Seumawe". Lhok artinya dalam, teluk, palung laut dan Seumawe artinya air yang berputar-putar atau pusat mata air. Kota kecil ini juga dikenali sebagai kota gas. Ia adalah sebuah pulau yang luasnya hanya 11 km yang dikelilingi laut dan dibelah sungai Krueng Cunda.

Kota Lhokseumawe terletak di sebelah utara yang berbatasan dengan Selat Malaka, sebelah Selatan dengan Kecamatan Kuta Makmur (Kabupaten Aceh Utara), sebelah barat dengan Kecamatan Dewantara (Kabupaten Aceh Utara) dan sebelah timur dengan Kecamatan Syamtalira Bayu (Kabupaten Aceh Utara).

Kota Lhokseumawe....sebuah "pulau " kecil
5/6/2015
Hari ini kami akan melakukan satu perjalanan yang sangat jauh. Ia akan bermula dari Kota Sabang dan berakhir `di Kota Lhokseumawe. Pagi ini kapal ke Banda Aceh dijadualkan bertolak jam 8.00 pagi. Oleh kerana itu pukul 6.45 pagi Mas Har sudah datang ke hotel menjemput kami (seperti yang dijanji) untuk dihantar ke Pelabuhan Balohan. Walau pun tempuh perjalanan dari hotel ke pelabuhan antara 15-20 minit sahaja tetapi kami tidak mahu mengambil risiko 'terlambat' kerana tiket sudah dibeli. Tambang ke pelabuhan ini dibayar asing daripada bayaran sewa sebelumnya kerana sudah termasuk hari lain.

Sebelum bertolak sempat bergambar di depan hotel sebagai kenang-kenangan pernah 'menjejak kaki di Sabang', kota paling barat di Indonesia.



Amaran dari pihak hotel kepada
 pelanggan-pelanggannya yang masih belum berkahwin
Alhamdulillah, tiada apa-apa halangan dalam perjalanan ke pelabuhan. Jam 7.05 pagi kami sudah sampai ke Pelabuahn Balohan. Masih ada banyak waktu lagi sementara menunggu kapal cepat yang akan bertolak pukul 8.00 pagi. Kami bersarapan dahulu di salah sebuah gerai yang banyak terdapat di situ. Pagi ni saya mencuba Nasi Gurih Aceh. Kami juga sempat bergambar di sekitar pelabuhan. Ketika sampai pagi semalam kami tidak dapat bergambar kerana hari hujan, tetapi hari ini cuaca sangat baik. 



Welcome To Sabang, Weh Island
Tepat jam 8.00 pagi kapal bertolak ke Banda Aceh. Kali ini pelayarannya tenang......tidak seperti pagi semalam yang agak 'ganas', kerana cuaca pagi ini sangat elok sekali. Tempoh perjalanan juga terasa sekejap sahaja berbanding ketika datang semalam.


Pagi ni happy.....tak mabuk laut....
Pelayaran tenang aje!
 Sekali lagi alhamdulillah, kami selamat sampai di Pelabuhan Ulee Lheue. Syukur yang tidak terhingga kepada Ilahi yang telah memudahkan segala urusan kami dari awal sehingga akhir pengembaraan ringkas kami, sehari semalam, ke Pulau Weh. Walau pun sangat sekejap tetapi kami tetap berpuas hati kerana diberi kesempatan mengunjunginya.

Hari ini kami akan membuat satu lagi pengembaraan ringkas, dua hari satu malam, tetapi kali ini melalui Jalan Lintas Sumatera. Kami sudah berurusan dengan Pak Iskandar untuk terus menyewa keretanya ke Lhokseumawe tetapi dengan harga yang lain kerana ia melibatkan perjalanan di luar kota. Harga sewa yang baharu yang telah dipersetujui ialah 650 ribu sehari, termasuk supir tetapi tidak termasuk benzin atau minyak. Seperti biasa makan minum supir ditanggung dan kali ini tempat tidurnya juga ditanggung.

Lebih kurang pukul 9.30 pagi kami memulakan perjalanan. Singgah sebentar di bank untuk menukar ringgit ke rupiah....RM 1000 dapat Rp 3.4 juta. Oleh kerana perjalanan ini agak jauh, kami perlu bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku...."sediakan payung sebelum hujan".  

Dalam perjalanan ini kami memang merancang untuk berhenti dan melawat 2 tempat yang sarat dengan sejarah Aceh. Tempat pertama yang kami lawat ialah Masjid Tuha (tua) Indrapuri.  Letaknya tidak jauh dari pasar Indrapuri atau sekitar 24 kilometer ke arah Utara dari Banda Aceh. Lokasinya berhampiran jalan Banda Aceh-Medan, Desa Pasar Indrapuri, Kecamatan Indrapuri, Aceh Besar

  

Gambar Google
Tembok tinggi itu adalah bekas candi yang mengelingi masjid
 Ada beberapa versi yang menceritakan bagaimana terdirinya bangunan ini. Ada versi yang mengatakan ianya dibina ketika masuknya Islam di Aceh pada masa Sultan Iskandar Muda sekitar tahun 1607-1636. Dengan berkembangnya Islam, candi itu harus diruntuhkan. Sultan akhirnya membina masjid di atas runtuhan tempat beribadah umat Hindu itu.

Versi lain pula mengatakan bahawa bangunan ini telah dibina sejak abad 10 Masehi lagi sebagai peninggalan kerajaan Poli/Puri yang kemudian disebut kerajaan Lamuri oleh bangsa Arab.

Sebelum masa Iskandar Muda, seorang pendakwah Islam bernama Abdullah Kan’an yang bergelar Tengku Abdullah Lampeuneuen dari Peurelak, bersama Meurah Johan dari kerajaan Lingga mencuba mengajak raja beserta rakyat Kerajaan Lamuri untuk memeluk Islam. Hasil dari dakwah mereka dan juga bantuan yang diberi ketika menentang musuh Kerajaan Lamuri sehingga membawa kejayaan, menyebabkan Raja dan rakyat Lamuri menerima Islam.

Setelah menjadi kerajaan Islam, Raja Lamuri diberi gelaran Sultan Alaidin Johan Syah Dhilullah Fil’alam. Raja memerintahkan rakyat agar meruntuhkan semua tempat peribadatan mereka. Candi-candi itu pun diruntuhkan dan kemudian di  atas runtuhan candi itu dibinalah masjid.

Dalam mana-mana versi pun. masjid ini tetap menjadi saksi masuknya Islam di Aceh kerana yang pasti ia dibina  di atas pertapakan bekas candi. Masjid ini diperbuat daripada kayu, didirikan di atas tapak binaan daripada batu kapur dan tanah liat. Ia dikelilingi tembok batu yang bertingkat-tingkat.

Masjid ini telah menjadi saksi sejarah sejumlah peristiwa penting semasa Kerajaan Aceh Darussalam.
Ia pernah berfungsi sebagai benteng pertahanan ketika pendudukan Portugis dan Belanda di Aceh. Di masjid ini, Muhammad Daud Syah dilantik sebagai Sultan Aceh yang terakhir pada tahun 1874. Ketika itu dikatakan Indrapuri menjadi ibu kota Kesultanan Aceh untuk selama beberapa bulan sebelum dikuasai Belanda., Dari masjid ini pula, banyak ulama besar dan para pemikir Aceh muncul.

Pintu gerbang ......Benteng/Masjid Indrapuri
Sebelum masuk ke dalam kawasan bangunan, ada sebuah pintu gerbang kecil di bahagian timur. Setelah melepasi gerbang kecil itu, kita harus berjalan seperti melewati pelataran. Demikian luasnya halaman masjid ini.

Di halaman masjid
Di halaman tingkat kedua, terdapat kolam yang menampung air hujan. Gunanya sebagai tempat untuk menyucikan diri. Halaman kedua ini sekitar 10 meter, yang dibuat mengelilingi masjid. Sekali pandang, bentuk bangunan ini berkonsepkan perpaduan masjid dan benteng, sekaligus bercorak candi.


Di halaman masjid tingkat 2
Pada bahagian dalam masjid terdapat satu mimbar, yang biasa digunakan khatib ketika menyampaikan khutbah Jumaat. Untuk naik ke mimbar ini, ada tiga anak tangga yang harus diinjak, masing-masing luasnya setapak kaki orang dewasa.




Meski pun masjid ini dilihat kurang terurus, namun ia masih tetap terjaga dan tetap menjalankan fungsinya sebagai rumah ibadah bagi warga di sekitarnya

Lebih kurang pukul 10.30 pagi kami meninggalkan Indrapuri dan meneruskan ke lokasi kedua dalam agenda lawatan iaitu Perputakaan Kuno Tanoh Abee. 



Sebenarnya lokasi perpustakaan ini tidaklah jauh sangat daripada Indrapuri, mengikut jalan Lintas Banda Aceh - Medan. Walau bagaimana pun kedudukannya yang jauh dari jalan utama membuat kami tersesat kerana silap masuk simpang. Ada satu ketika kami tersesat hingga ke kaki Gunung Seulawah.....mendaki naik menyebabkan kami berasa curiga dan terus berpatah balik. Kami hampir saja berputus asa mencarinya kerana wujud masalah bahasa apabila suami turun bertanya arah kepada penduduk sekitar. Yang peliknya supir kami langsung tidak ingin membantu dalam masalah ini. Apabila suami ahkirnya 'give up' bertanya, baharulah dia turun dari kenderaan dan membantu bertanya arah daripada penduduk setempat. Alhamdulillah, setelah melalui gunung, hutan, sawah dan kampong selama lebih sejam, akhirnya kami sampai juga ke destinasi yang dituju.

Setelah tiba dan siap hendak masuk ke kawasan zauyah ( dayah/pondok/pesantren) ini, saya mendapat satu kejutan. Saya tidak dibenarkan masuk  oleh salah seorang santri zauyah. kerana memakai celana.  Hari itu saya memakai seluar panjang dengan bajuh labuh sampai ke lutut. Terpaksalah saya menyalin pakai kain. Tidak lama kemudian, ketika hendak masuk bilik perpustakaan, saya dan anak perempuan mendapat kejutan lagi. Orang perempuan tidak dibenarkan masuk kecuali dengan izin umi tetapi umi tidak sihat hari itu untuk keluar bertemu kami. Aahh..... tempat ini memang anti-wanita! Ironinya, yang bertanggungjawab menjaga perpustakaan ini sekarang ialah seorang wanita. Hmm....tidak sangka masih lagi wujud diskriminasi terhadap wanita di zaman ini.

 Namun ada satu hal yang peraturannya berbolak-balik, iaitu menghisap rokok dalam kawasan zauyah. Ada satu masa dilarang merokok dalam kawasan ini tetapi kini dibolehkan pula. Mungkin yang mengepalai zauyah ini sekarang mempunyai pandangan yang berbeza daripada pemimpin sebelum ini sehingga membenarkan perokok berada dalam kawasan zauyah....kuasa lelaki!

 Ikutilah  coretan saya seterusnya pasal Perpustakaan kuno Tanoh Abee ini di sini.

Kira-kira jam 12 tengahari kami tinggalkan dayah Tanoh Abee, meneruskan pejalanan ke Kota Lhokseumawe. Dalam perjalanan kami singgah makan tengahari di sebuah kedai makan yang terletak di pinggir jalan, yang kelihatan seperti kawasan  R&R kalau di Malaysia. Kedai makan ini berada di  Mukim Saree, kecamatan Lembah Seulawah, Kabupaten Aceh Besar.

Makan nasi longgok -  Rp 98,000
Rumah Makan Rayhan
Masakan Khas Minang Saree Aceh
Selesai makan kami ke masjid pula untuk menunaikan solat Zohor-Asar di Masjid Baitul Muttaqin yang juga berada di Saree, Aceh Besar. Daerah Seulawah, pasti dilewati siapa pun yang memasuki Banda Aceh melalui jalan lintas Sumatera. Ia terletak di antara perbatasan Kabupaten Pidie dan Aceh Besar, Aceh. Saree terkenal dngan produk kerepek ubi keledek dan juga tapai ubi kayu dalam wilayah Aceh tetapi kami tidak berkesempatan membeli apa-apa kerana perjalanan masih jauh.


Masjid Baitul Muttaqin Saree Aceh Besar


Lima minit selepas meninggalkan masjid, kami telah masuk ke Kecamatan Sigli, Kabupaten Pidie. Perjalanan diteruskan sehingga ke Bireun, salah satu kabupaten di Aceh. Di sini, Pak Iskandar berhenti di sebuah gerai air tebu untuk kudapan petang sambil melepaskan lenguh dan berihat sebentar.


Pemandangan unik....mengikuti lori yang dipenuhi wanita-wanita
Air tebu yang dijual digerai ini agak istimewa, tidak seperti air tebu di Malaysia. Air tebunya asli, tidak dicampur gula mahupun ketul ais. Rasanya sangat manis dan kalau dicampur ais pasti sedap sangat. Kebetulan cuaca pula sangat panas hari itu. Namun apakan daya, memang tiada ais di gerai tersebut. Kami juga makan rojak Aceh di sini dan pulut pandan. Lama juga kami berihat di sini, lebih kurang 40 minit.


Selepas diperah terus masuk gelas            


Suasana gerai air tebu

Rojak Aceh yang disediakan secara tradisional.....
memang sedap
Selepas ini kami meneruskan perjalanan tanpa berhenti sehingga sampai ke destinasi yang dituju. Kami tiba di Kota Lhokseumawe lewat petang. Perkara pertama yang harus diselesaikan ialah mencari tempat penginapan. Tidak banyak pilihan di sini....lama juga kami mencari. Nasib baik Pak Iskandar biasa ke sini dan dia bawa ke sebuah hotel bajet. Terpaksalah terima apa yang ada.

Hotel Kita Karang Baru, Lhokseumawe
Alhamdulillah kami dapat juga bilik penginapan akhirnya untuk bermalam, tetapi inilah bilik yang paling teruk yang pernah saya nginap. Saya tidak kisah tempat tidurnya ..... asalkan boleh tidur, dah ok. Namun saya sangat kisah pasal kebersihan bilik air di mana sahaja saya menginap. Agak kesal juga negeri yang mendapat jolokan "Serambi Mekah" tetapi tidak mengamalkan kebersihan sepertimana yang dianjurkan oleh Islam. Sedikit terhibur apabila pihak hotel tetap menyediakan sarapan nasi bungkus walaupun ia hanyalah sebuah hotel bajet.

Sebelah malamnya kami keluar lewat sedikit untuk makan malam, setelah berihat dan selesai solat Isyak-Maghrib, kerana keletihan. Tiada tempat yang khusus dituju dan tiada menu tertentu yang dicari. Masing-masing meminta apa yang diingini.

Sate ada, kerang rebus ada..... suasana lebih kurang sama di Malaysia
Selesai makan kami pusing-pusing sebentar melihat kota Lhokseumawe di sebelah malam. Bandarnya agak gelap kerana tidak banyak dipasang lampu jalan untuk menjimatkan kos letrik.






Lhokseumawe at nite
Beginilah kami mengakhiri hari keempat lawatan ke Aceh sebelum pulang ke hotel. InsyaAllah kita berjumpa lagi di hari kelima dalam entri yang lain.



Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - part 1)

Jejak Aceh - Pantai Lampuuk- Masjid Rahmatullah Lhoknga

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - part 2)

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - Part 3)

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 3)

Jejak Aceh - Perpustakaan Kuno Tanoh Abee

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 5 )

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 6 )

Hujung Dunia - KM 0 (Zero) Sabang

No comments:

Post a Comment