Friday, 23 May 2008

Halal Dan Haram Dalam Makanan

SEJAK dahulukala umat manusia berbeza-beza dalam menilai masalah makanan dan minuman mereka, ada yang boleh dan ada juga yang tidak boleh. Lebih-lebih dalam masalah makanan yang berupa binatang. Adapun masalah makanan dan minuman yang berupa tumbuh-tumbuhan, tidak banyak diperselisihkan. Dan Islam sendiri tidak mengharamkan hal tersebut, kecuali setelah menjadi arak, baik yang dibuat dari anggur, korma, gandum ataupun bahan-bahan lainnya, selama benda-benda tersebut sudah mencapai kadar memabukkan.

Begitu juga Islam mengharamkan semua benda yang dapat menghilangkan kesedaran dan melemahkan urat serta yang membahayakan tubuh. Adapun soal makanan berupa binatang, inilah yang terus diperselisihkan dengan hebat oleh agama-agama dan golongan yang peka.

Menyembelih dan Makan Binatang Dalam Pandangan Agama Hindu

Ada segolongan, misalnya Golongan Brahmana (Hindu) dan Filsuf yang mengharamkan dirinya menyembelih dan memakan binatang. Mereka cukup hidup dengan memakan makanan dari tumbuh-tumbuhan. Golongan ini berpendapat, bahawa menyembelih binatang termasuk suatu keganasan manusia terhadap binatang hidup. Manusia tidak berhak untuk menghalang binatang daripada hidup.
Namun kita juga tahu dari hasil pengamatan kita terhadap alam ini, bahawa diciptanya binatang-binatang itu tanpa ada suatu tujuan, sebab binatang tidak mempunyai akal dan kehendak. Bahkan secara nalurinya binatang-binatang itu dicipta untuk memenuhi (khidmat) keperluan manusia. Oleh kerana itu bukan sesuatu yang pelik kalau manusia dapat memanfaatkan dagingnya dengan cara menyembelih, sebagaimana halnya dia juga dapat memanfaatkan tenaganya dengan cara yang lazim.

Kita pun mengetahui dari sunnatullah (ketentuan Allah) terhadap makhluknya ini, iaitu: golongan rendah biasa berkorban untuk golongan atas. Misalnya daun-daunan yang masih hijau boleh dipotong/dipetik buat makanan binatang, dan binatang disembelih untuk makanan manusia dan, bahkan, seseorang berperang dan terbunuh untuk kepentingan orang ramai. Begitulah seterusnya.

Haruslah diingat, bahawa dengan melarang manusia dari menyembelih binatang, tidak juga dapat melindungi binatang tersebut dari bahaya maut dan binasa. Kalau tidak bergaduh antara satu sama lain, dia juga akan mati dengan sendirinya; dan kadang-kadang mati dalam keadaan demikian itu lebih sakit daripada ketajaman pisau.

Binatang yang Diharamkan Dalam Pandangan Yahudi dan Nasrani

Dalam pandangan agama Yahudi dan Nasrani (kitab), Allah mengharamkan kepada orang-orang Yahudi beberapa binatang laut dan darat. Penjelasannya dapat dilihat dalam Taurat (Perjanjian Lama) fasal 11 ayat 1 dan seterusnya.

Dan oleh al-Ouran disebutkan sebahagian binatang yang diharamkan buat orang-orang Yahudi itu serta alasan diharamkannya, iaitu seperti yang disebutkan di atas, bahawa diharamkannya binatang tersebut adalah sebagai hukuman berhubung kezaliman dan kesalahan yang mereka lakukan. Firman Allah yang bermaksud,

“Dan kepada orang-orang Yahudi kami haramkan semua binatang yang berkuku, dan dari sapi dan kambing kami haramkan lemak-lemaknya, kecuali (lemak) yang terdapat di punggungnya, atau yang terdapat dalam perut, atau yang tercampur dengan tulang. Yang demikian itu kami (sengaja) hukum mereka. Dan sesungguhnya Kami adalah (di pihak) yang benar.” (al-An'am: 146)

Demikianlah keadaan orang-orang Yahudi. Sedangkan orang-orang Nasrani sesuai dengan ketentuannya harus mengikuti orang-orang Yahudi. Kerana itu Injil menegaskan, bahawa Isa a.s. datang bukan untuk mengubah hukum Taurat (Namus) tetapi untuk menyempurnakannya.

Namun pada kenyataannya, mereka telah mengubah hukum Taurat itu. Apa yang diharamkan dalam Taurat telah dihapus oleh orang-orang Nasrani ,tanpa dihapus oleh Injilnya. Mereka mahu mengikuti Paul yang dipandang suci itu dalam masalah halalnya semua makanan dan minuman, kecuali yang memang disembelih untuk berhala kalau dengan tegas itu dikatakan kepada orang Kristian: "Bahawa binatang tersebut disembelih untuk berhala."
Paul memberikan alasan, bahawa semua yang suci halal untuk orang yang suci, dan semua yang masuk dalam mulut tidak dapat menajiskan mulut, yang dapat menajiskan mulut ialah apa yang keluar dari mulut.
Mereka juga telah menghalalkan babi, sekalipun dengan tegas babi itu diharamkan oleh Taurat sampai hari ini.

Menurut Pandangan Orang Arab Jahiliah

Orang-orang Arab jahiliah mengharamkan sebahagian binatang kerana kotor, dan sebahagiannya diharamkan kerana ada hubungannya dengan masalah peribadatan (ta'abbud), kerana untuk bertaqarrub kepada berhala dan kerana mengikuti anggapan-anggapan yang salah (waham).
Tetapi di sebalik itu, mereka banyak juga menghalalkan beberapa binatang yang kotor (khabaits), seperti bangkai dan darah yang mengalir.
Makanan Yang Haram Dalam Islam

Allah berfirman yang bermaksud,

“Allah hanya mengharamkan kepada kamu bangkai, darah ,daging babi dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah….” (al-Baqarah :173)

Jenis-jenis bangkai:

1. Binatang yang mati kerana dicekik

2. Binatang yang mati kerana dipukul

3. Binatang yang jatuh dari tempat yang tinggi, seperti ke dalam perigi, sehingga mati

4. Binatang yang bergaduh antara satu sama lain sehingga mati

5. Binatang yang disergap oleh binatang buas dengan dimakan sebahagian dagingnya

sehingga mati

Namun belalang, ikan dan kehidupan laut yang sepertinya dikecualikan dari kategori bangkai. Sabda Nabi SAW yang bermaksud,

“ Laut itu airnya suci dan bangkainya halal.”
( Riwayat Ahmad dan ahli sunnah)

Darah yang mengalir:

Limpa, walaupun adalah merupakan darah tetapi tidak diharamkan kerana ia bukan darah mengalir yang diharamkan.

Orang-orang jahiliah dahulu kalau lapar, diambilnya sesuatu yang tajam dari tulang ataupun lainya, lantas ditusukkannya kepada unta atau binatang dan darahnya yang mengalir itu dikumpulkan lalu diminum.

Dipetik dari buku Halal Dan Haram Dalam Islam

No comments:

Post a Comment