Showing posts with label yahudi. Show all posts
Showing posts with label yahudi. Show all posts

Wednesday, 10 March 2010

Kejamkah Hukum Islam(2) - Hukum Tuhan Vs Hukum Manusia



  Baru-baru ini kita disibukkan dengan berita tentang 3 orang wanita dan 4 lelaki disebat kerana berzina. Berikutan itu terdengarlah suara-suara sumbang yang menentang hukuman yang telah dijatuhkan ka atas pezina-pezina itu. Selain dari mereka yang bukan Islam yang menyuarakan rasa kurang senang di  atas tindakan yang telah diambil, ada juga di kalangan orang Islam sendiri yang menentang hukum sebat ini. Termasuk yang menentangnya adalah para pemimpin negara.

Apakah benar andaian-andaian setengah pihak yang mengatakan hukum Islam itu kejam? Kebanyakan mereka yang mengiakannya bukanlah dari kalangan yang pakar hukum. Bahkan sebahagian daripada mereka itu pun bukan dari kalangan penganut agama Islam. Mereka mengatakan demikian hanya berpandukan kepada akal fikiran mereka sahaja.

Sekali lagi saya bertanya, benarkah hukum Islam itu kejam? Apakah hukum yang dibuat oleh manusia itu lebih adil dan berperikemanusiaan? Siapakah kita untuk menilainya sedangkan diri kita ini sendiripun "tuhan Allah" yang menciptanya. Apabila Allah menurunkan Adam dan Hawa ke mukabumi, Allah juga menurunkan peraturan-peraturan hidup yang lengkap untuk keturunannya. Jika Allah yang mencipta manusia, maka sudah pastilah undang-undang atau peraturan hidup yang ditetapkan ke atas manusia sememangnya sesuai dengan keperluan manusia itu sendiri. Secara logiknya tidak timbul persoalan samada hukum-hukum Islam itu kejam atau tidak. Manusia hanya boleh menilai sesuatu perkara hanya berdasarkan pengetahuan dan ilmu yang cetek kerana akal fikirannya yang terbatas, sedangkan ilmu Allah itu tiada batasan. Firman Allah :

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِى السَّمَآءِ وَالاٌّرْضِ إِنَّ ذلِكَ فِى كِتَـبٍ إِنَّ ذلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.  ( surah Al-Hajj: 70)
 
Kembali semula kepada persoalan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada sesuatu kesalahan. Contohnya dalam pembicaraan kita sekarang ialah hukuman untuk mereka yang berzina. Apakah bentuk hukuman yang sebenarnya?

Zina Sebagai Satu kesalahan

 Sungguhpun perbuatan zina telah ditetapkan sebagai  satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sejak tahun ketiga Hijriah tetapi penetapan tersebut belum menjadi undang-undang pemerintah. Pada masa itu zina masih bersifat sebagai kejahatan keluarga atau masyarakat biasa. Oleh kerana itu pihak keluargalah yang menghukumnya. Hal ini diterangkan oleh firman Allah:

  وَاللَـتِى يَأْتِينَ الْفَـحِشَةَ مِن نِّسَآئِكُمْ فَاسْتَشْهِدُواْ عَلَيْهِنَّ أَرْبَعةً مِّنْكُمْ فَإِن شَهِدُواْ فَأَمْسِكُوهُنَّ فِى الْبُيُوتِ حَتَّى يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلاً - وَاللَّذَانَ يَأْتِيَـنِهَا مِنكُمْ فَـَاذُوهُمَا فَإِن تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُواْ عَنْهُمَآ إِنَّ اللَّهَ كَانَ تَوَّاباً رَّحِيماً

Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).

Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.

(An Nisa:15-16)

Dari ayat 15 surah ini nampak bahawa hukum zina masih bersifat sementara dan mengisyaratkan akan tiba hukum zina yang lebih pasti dan tetap.

Dua setengah tahun kemudian turunlah ayat-ayat yang terdapat dalam surah An Nuur yang menghukumi zina secara tetap, dan seterusnya dijadikan undang-undang negara Islam.

 Hukuman Berzina dalam Islam

Firman Allah dalam surah An Nur ayat 2,

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِى فَاجْلِدُواْ كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِاْئَةَ جَلْدَةٍ وَلاَ تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِى دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الاٌّخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَآئِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Permpuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman

Banyak yang perlu kita fahami sebelum kita mengambil ayat ini sebagai dalil hukuman zina. Ada beberapa sudut yang perlu dijelaskan di sini iaitu masalah perundangan, sejarah dan tata kesusilaan yang bila tidak diperinci akan menimbulkan kebingungan dalam memahami undang-undang hukum Allah dan berbagai masalah kehidupan keluarga.

Masyarakat yang masih dekat dengan perasaan fitrah manusia masih memandang zina sebagai perbuatan yang memudaratkan, yang harus mendapat hukuman berat pada si pelaku. Sungguhpun demikian sikap mereka dalam menghadapi perzinaan sedikit demi sedikit luluh dan sesuai dengan alur kebudayaan yang mempengaruhi masyarakat.

Sejarah telah menunjukkan bagaimana kaum Yahudi dan Nasrani telah meminda-minda hukuman zina yang telah ditetapkan dalam kitab-kitab mereka. Mereka telah meringankan hukumannya dengan alasan tersendiri. Mereka telah mengambil undang-undang Mesir Kuno, Babilona, Ashor dan Hindu, sebagai rujukan apabila merubah hukum yang asal.

Undang-undang Islam menetapkan pezina mesti dihukum dan hukuman yang lebih berat dijatuhkan terhadap mereka yang telah berkeluarga. Dalam pandangan peraturan Islam, bila perbuatan zina dibiarkan begitu saja tanpa tali pengekang maka anak yang lahir dari hasil zina tidak akan dapat diketahui asal-usul keterunannya. Oleh kerana itulah hubungan lelaki dan perempuan hendaknya terbatas pada hubungan yang bersifat masih dapat dipertanggungjawabkan dengan peraturan. Hubungan yang terbatas ini tidak akan dapat terwujud selagi kita tidak menghalang tersebarnya unsur-unsur yang menggalakkan pergaulan bebas dalam masyarakat.
Pergaulan bebas seperti ini boleh membawa kepada perbuatan maksiat seperti zina dan seterusnya menjadi gejala sosial dalam masyarakat seperti pembuangan bayi hasil hubungan di luar nikah
Dalam Islam kesalahan berzina mempunyai hukuman yang berbeza di antara pezina yang sudah dan belum bernikah. Bagi yang belum bernikah mereka dijatuhkan hukuman disebat sebanyak 100 kali. Manakala bagi mereka yang sudah berkahwin direjam sehingga mati.

Walaupun hukuman ini nampak kejam tetapi keputusan untuk melaksanakannya tidakah boleh diambil sewenang-wenangnya. Sebelum sebarang hukuman dijatuhkan keterangan yang pasti dan jelas perlu di dapati samada dari pengakuan pezina atau para saksi, sungguhpun perbuatannya telah tersebar luas.

Mungkin ramai di antara kita yang tidak tahu bahawa Undang-undang hukum Islam tidak mengharuskan terdakwa mengakui perbuatannya. Orang yang melihat perbuatannya pun tidak diharuskan melapor kepada pihak pengadilan (hakim, penegak hukum). Namun bila perkara sampai kepada hakim maka hakim tidak boleh memaafkan terdakwa apabila telah terbukti nyata. Lain halnya bila belum terbukti maka hakim diizinkan memaafkan dan membebaskan terdakwa.

Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa melaporkan hal-hal kotor maka hendaknya dia menutup-nutupinya kerana Allah. Apabila telah jelas bagi kami maka akan kami hukumi dengan Kitabullah."

Dalam hadis yang diriwayatkan Abi Daud, dikisahkan Maa'iz Al Asmami telah berzina dengan seorang budak (hamba) wanita. Kemudian dia telah disuruh oleh bapa angkatnya Hazzal bin Na'im untuk mengadap Rasulullah SAW dan mengakui perbuatannya, dengan harapan hukumannya akan diringankan. Sebaliknya Rasulullah SAW telah menghukum rejam Ma'iz dan terhadap Hazzal, Rasulullah berkata,

 "Sekiranya engkau menutup-nutupi masalahnya dengan kebesaranmu tentu hal itu baik bagimu"


Rujukan daripada buku: KEJAMKAH HUKUM ISLAM oleh Abdul A'la Almaududi

Friday, 23 May 2008

Halal Dan Haram Dalam Makanan

SEJAK dahulukala umat manusia berbeza-beza dalam menilai masalah makanan dan minuman mereka, ada yang boleh dan ada juga yang tidak boleh. Lebih-lebih dalam masalah makanan yang berupa binatang. Adapun masalah makanan dan minuman yang berupa tumbuh-tumbuhan, tidak banyak diperselisihkan. Dan Islam sendiri tidak mengharamkan hal tersebut, kecuali setelah menjadi arak, baik yang dibuat dari anggur, korma, gandum ataupun bahan-bahan lainnya, selama benda-benda tersebut sudah mencapai kadar memabukkan.

Begitu juga Islam mengharamkan semua benda yang dapat menghilangkan kesedaran dan melemahkan urat serta yang membahayakan tubuh. Adapun soal makanan berupa binatang, inilah yang terus diperselisihkan dengan hebat oleh agama-agama dan golongan yang peka.

Menyembelih dan Makan Binatang Dalam Pandangan Agama Hindu

Ada segolongan, misalnya Golongan Brahmana (Hindu) dan Filsuf yang mengharamkan dirinya menyembelih dan memakan binatang. Mereka cukup hidup dengan memakan makanan dari tumbuh-tumbuhan. Golongan ini berpendapat, bahawa menyembelih binatang termasuk suatu keganasan manusia terhadap binatang hidup. Manusia tidak berhak untuk menghalang binatang daripada hidup.
Namun kita juga tahu dari hasil pengamatan kita terhadap alam ini, bahawa diciptanya binatang-binatang itu tanpa ada suatu tujuan, sebab binatang tidak mempunyai akal dan kehendak. Bahkan secara nalurinya binatang-binatang itu dicipta untuk memenuhi (khidmat) keperluan manusia. Oleh kerana itu bukan sesuatu yang pelik kalau manusia dapat memanfaatkan dagingnya dengan cara menyembelih, sebagaimana halnya dia juga dapat memanfaatkan tenaganya dengan cara yang lazim.

Kita pun mengetahui dari sunnatullah (ketentuan Allah) terhadap makhluknya ini, iaitu: golongan rendah biasa berkorban untuk golongan atas. Misalnya daun-daunan yang masih hijau boleh dipotong/dipetik buat makanan binatang, dan binatang disembelih untuk makanan manusia dan, bahkan, seseorang berperang dan terbunuh untuk kepentingan orang ramai. Begitulah seterusnya.

Haruslah diingat, bahawa dengan melarang manusia dari menyembelih binatang, tidak juga dapat melindungi binatang tersebut dari bahaya maut dan binasa. Kalau tidak bergaduh antara satu sama lain, dia juga akan mati dengan sendirinya; dan kadang-kadang mati dalam keadaan demikian itu lebih sakit daripada ketajaman pisau.

Binatang yang Diharamkan Dalam Pandangan Yahudi dan Nasrani

Dalam pandangan agama Yahudi dan Nasrani (kitab), Allah mengharamkan kepada orang-orang Yahudi beberapa binatang laut dan darat. Penjelasannya dapat dilihat dalam Taurat (Perjanjian Lama) fasal 11 ayat 1 dan seterusnya.

Dan oleh al-Ouran disebutkan sebahagian binatang yang diharamkan buat orang-orang Yahudi itu serta alasan diharamkannya, iaitu seperti yang disebutkan di atas, bahawa diharamkannya binatang tersebut adalah sebagai hukuman berhubung kezaliman dan kesalahan yang mereka lakukan. Firman Allah yang bermaksud,

“Dan kepada orang-orang Yahudi kami haramkan semua binatang yang berkuku, dan dari sapi dan kambing kami haramkan lemak-lemaknya, kecuali (lemak) yang terdapat di punggungnya, atau yang terdapat dalam perut, atau yang tercampur dengan tulang. Yang demikian itu kami (sengaja) hukum mereka. Dan sesungguhnya Kami adalah (di pihak) yang benar.” (al-An'am: 146)

Demikianlah keadaan orang-orang Yahudi. Sedangkan orang-orang Nasrani sesuai dengan ketentuannya harus mengikuti orang-orang Yahudi. Kerana itu Injil menegaskan, bahawa Isa a.s. datang bukan untuk mengubah hukum Taurat (Namus) tetapi untuk menyempurnakannya.

Namun pada kenyataannya, mereka telah mengubah hukum Taurat itu. Apa yang diharamkan dalam Taurat telah dihapus oleh orang-orang Nasrani ,tanpa dihapus oleh Injilnya. Mereka mahu mengikuti Paul yang dipandang suci itu dalam masalah halalnya semua makanan dan minuman, kecuali yang memang disembelih untuk berhala kalau dengan tegas itu dikatakan kepada orang Kristian: "Bahawa binatang tersebut disembelih untuk berhala."
Paul memberikan alasan, bahawa semua yang suci halal untuk orang yang suci, dan semua yang masuk dalam mulut tidak dapat menajiskan mulut, yang dapat menajiskan mulut ialah apa yang keluar dari mulut.
Mereka juga telah menghalalkan babi, sekalipun dengan tegas babi itu diharamkan oleh Taurat sampai hari ini.

Menurut Pandangan Orang Arab Jahiliah

Orang-orang Arab jahiliah mengharamkan sebahagian binatang kerana kotor, dan sebahagiannya diharamkan kerana ada hubungannya dengan masalah peribadatan (ta'abbud), kerana untuk bertaqarrub kepada berhala dan kerana mengikuti anggapan-anggapan yang salah (waham).
Tetapi di sebalik itu, mereka banyak juga menghalalkan beberapa binatang yang kotor (khabaits), seperti bangkai dan darah yang mengalir.
Makanan Yang Haram Dalam Islam

Allah berfirman yang bermaksud,

“Allah hanya mengharamkan kepada kamu bangkai, darah ,daging babi dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah….” (al-Baqarah :173)

Jenis-jenis bangkai:

1. Binatang yang mati kerana dicekik

2. Binatang yang mati kerana dipukul

3. Binatang yang jatuh dari tempat yang tinggi, seperti ke dalam perigi, sehingga mati

4. Binatang yang bergaduh antara satu sama lain sehingga mati

5. Binatang yang disergap oleh binatang buas dengan dimakan sebahagian dagingnya

sehingga mati

Namun belalang, ikan dan kehidupan laut yang sepertinya dikecualikan dari kategori bangkai. Sabda Nabi SAW yang bermaksud,

“ Laut itu airnya suci dan bangkainya halal.”
( Riwayat Ahmad dan ahli sunnah)

Darah yang mengalir:

Limpa, walaupun adalah merupakan darah tetapi tidak diharamkan kerana ia bukan darah mengalir yang diharamkan.

Orang-orang jahiliah dahulu kalau lapar, diambilnya sesuatu yang tajam dari tulang ataupun lainya, lantas ditusukkannya kepada unta atau binatang dan darahnya yang mengalir itu dikumpulkan lalu diminum.

Dipetik dari buku Halal Dan Haram Dalam Islam