Sunday, 24 October 2021

MAULIDUR RASUL, LONJAK PERJUANGAN ISLAM

Alhamdulillah sekali lagi kita diberi kesempatan untuk menyambut Maulidur Rasul. Tahun 1443H disambut pada 19 Oktober 2021 dan bertemakan "Manhaj Rabbani, Umah Berkualiti".

Cinta baginda telah pun mengalir dalam diri setiap umatnya sejak 1443 tahun dahulu sehingga membuatkan kekasih Allah ini terlalu istimewa untuk umatnya. Saban tahun kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal bertujuan untuk memperingati kekasih ummah ini yang berjuang menyebarkan dakwah dan risalah kenabian sehingga hari ini..

Haruslah diketahui bahawa cinta kepada Rasulullah adalah salah satu dasar dan rukun keimanan. Sebagaimana sabda Rasulullah :

Daripada Anas Radiallahuanhu, berkata, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia seluruhnya (Riwayat al-Bukhari)

Bulan ini adalah bulan Maulidurasul, maka sewajarnyalah kita menyambut kelahiran Ar-Rasul SAW dengan suatu penghasilan yang membawa kita kepada realiti kehidupan masyarakat Islam kini. Realiti masyarakat Islam kita hari ini berada dalam suatu keadaan seolah-olah kita berada dalam satu lembah yang dikelilingi oleh banjaran gunung yang membuat pelakuan, pemikiran dan nilai afektif, tertahan oleh banjaran gunung ini.

Masyarakat Islam sejak beberapa dekad lalu telah mula merasai keperluan terhadap konsep perjuangan memakmurkan Islam dan penganutnya. Namun ia terbantut oleh banjaran gunung pemisah ini. Bersempena dengan bulan kelahiran Ar-Rasul marilah kita menyemak semula komitmen dan iltizam kita untuk merelisasikan sebuah masyarakat yang benar-benar dalam penghayatan Islam.

Marilah kita beriltizam dengan melaksanakan persediaan terhadap kefahaman tentang tasawur perjuangan Ar-Rasul. Tasawwur amal Ar-Rasul SAW, hendaklah diasaskan kepada dasar dakwah sebagaimana diperjuangkan oleh Ar-Rasul SAW. Dakwah Ar-Rasul SAW adalah berdasarkan kepada kefahaman terhadap ayat Quran Surah An-Nahl, 36 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul pada setiap umat ( untuk menyerukan): ‘Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah taghut."

 Ar-Rasul diutuskan bagi menyeru supaya manusia kembali berubudiyah kepada Allah SWT. Seteruskan Allah SWT memberikan jalan dan peluang kepada kita , melalui ayat Quran Surah Al-Ahzab, 45-46, yang bermaksud:

”Hai Nabi!, sesungguhnya  Kami mengutuskan kamu untuk menjadi saksi, dan pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru kepada deen Allah dengan izinnya dan menjadi cahaya yang menerangi.” 

Ayat-ayat tersebut menjelaskan matlamat pengutusan Ar-Rasul untuk memanggil manusia kepada penyembahan kepada Allah SWT dan juga menerangkan beberapa ciri usaha dakwah. Antaranya:

1) Syahid atau saksi. 

Ar-Rasul SAW adalah saksi kepada keesaan Allah, bahawa tidak ada Ilah yang disembah kecuali Allah. Baginda adalah saksi yang adil dan diterima terhadap umat manusia dan amal perbuatan mereka yang baik atau buruk kelak di hari kiamat.

2) Mubasysyir atau pembawa berita gembira.

Mubasysyir adalah penyampai khabar gembira kepada kaum mukmin yang bertakwa, beriman, beramal soleh dan meninggalkan maksiat. Di dunia mereka akan diberikan balasan kebaikan, sedangkan di akhirat mereka diberi kenikmatan yang kekal. Amal yang mendatangkan khabar gembira itu adalah amal soleh, iaitu amal yang diperintahkan Allah dan Rasul SAW.

3) Nazir atau pemberi peringatan.

Nazir adalah pemberi peringatan kepada orang-orang kafir, yang mendustakan dan pelaku maksiat. Di dunia mereka akan mendapat hukuman akibat kebodohan dan kezalimannya, sedangkan di akhirat mereka akan mendapat azab yang mengerikan, menyakitkan dan berpanjangan. Amal yang mendatangkan peringatan itu adalah amal maksiat, terutama sekali yang paling besarnya iaitu syirik dan kekufuran serta dosa-dosa besar lainnya.

4) Da’i iallah atau penyeru kepada Allah.

Da’i adalah penyeru kepada Allah. Allah SWT mengutus Ar-Rasul SAW untuk menyeru dan mengajak manusia kepada maaruf dan melarang kepada kemungkaran, serta memerintahkan mereka untuk beribadah hanya kepada Allah SWT. Itulah tujuan penciptaan manusia. Mukmin harus tetap istiqamah dalam berdakwah, mengenalkan manusia kepada Allah SWT dan syariatNya.

5) Sirajan Munir atau Sebagai cahaya yang terang

Sirajan munir adalah pelita yang menerangi. Allah SWT mengutus Ar-Rasul SAW, menyinari kegelapan, sehingga manusia mengetahui kebenaran.

Bagaimanapun, melahirkan rasa cinta kepada Baginda SAW bukan hanya sekadar berarak dengan membawa sepanduk dan berselawat semata-mata. Ia sepatutnya lebih daripada itu. Kita hendaklah menghayati semangat dan roh di sebalik sambutannya. Kita tidak melupakan perjuangan baginda menyebarkan Islam di seluruh pelusok dunia. Maka, kita yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW hendaklah menunjukkan rasa cinta kita kepada kekasih Allah ini bukan sahaja di bulan kelahiran baginda bahkan setiap saat dan detik.

Tidak kurang juga kita mengikuti setiap sunnah baginda dalam segenap aspek kehidupan agar kehidupan kita akan diberkati dunia dan akhirat.

IKRAM Batu Pahat, [20.10.21 10:18]

No comments:

Post a Comment