Thursday, 13 August 2009

Amalan Bida'ah di Bulan Sya'aban


jemaah

Hari ini 22 Sya'aban 1430 Hijrah bersamaan 13 Ogos 2009 . Minggu lepas banyak masjid dan surau di sekitar Johor mengadakan majlis khas sempena 'Nisfu Sya'aban' iaitu bersamaan 15 Sya'aban. Ada yang menamakannya sebagai Majlis Yasin Perdana, ada pula yang memanggilnya Majlis Tahlil Khas dan seumpamanya. Mereka berhimpun selepas solat maghrib.



Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya. Ini adalah di antara beberapa amalan yang dilakukan pada malam tersebut.

Sebenarnya hadis sahih mengenai keutamaan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu. Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah:

“Allah melihat kepada hamba-hamba- Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) " (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain)

Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang disebut di atas adalah bidaah. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Namun demikian,  ini bukanlah bererti malam tersebut tidak mempunyai kelebihannya. Bahkan, terdapat hadis-hadis thabit yang menyebut akan fadilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah.

Hal ini telah disebut al-Imam al-Suyuti:

"Dan pada malam Nisfu Syaaban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah.'' (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba' wa al-nahyu an al-ibtida' (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61) b)

Amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada bulan Sya'aban hanyalah amalan-amalan biasa seperti membaca Quran, berzikir , berdoa dan mengerjakan solat sunat. Hanya beliau memperbanyakkan puasa sunat pada bulan ini seperti yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasaai dan Abu Daud, disahihkan Khuzaimah daripada Usamah bin Zaid katanya:

"Aku bertanya Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah, Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa." (Hadis riwayat al-Nasaai)

Mengikut sunnah Nabi, Aishah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah berpuasa di kebanyakan hari dalam Sha'aban, tetapi beliau berhenti berpuasa apabila menjelang tibanya Ramadhan. Adalah lebih baik kita melakukan amalan sunat berpuasa sebanyak-banyaknya sebelum nisfu Sya'aban dan berhenti berpuasa  selepas nisfu Sya'aban, kecuali puasa ganti dan sebagainya.

Melalui amalan ini Rasulullah SAW ingin memberitahu kepada kita bahawa kita digalakkan mempersiapkan tubuh badan kita untuk menghadapi puasa Ramadhan di awal Sya'aban. Namun sebelum tiba Ramadhan, badan harus dirihatkan dari berpuasa seketika sebagai persediaan untuk berpuasa terus menerus selama sebulan di bulan Ramadhan. Ini juga adalah untuk membezakan antara puasa di bulan Syawal yang hanya dianggap sebagai latihan dan puasa yang dituntut di bulan Ramadhan. Itulah hikmahnya tidak dilakukan puasa Sya'aban terus-menerus bersambung dengan puasa Ramadhan.

Catitan:
Dari koleksi emel group

No comments:

Post a Comment