Friday, 9 July 2021

Ibadah Qurban

 Hari ini 29 Zulkaedah 1442 Hijrah. Esok 1 Zulhijjah dan 10 hari lagi insya Allah umat Islam di seluruh dunia akan menyambut I'dul Adha. Ramai di kalangan umat Islam di Malaysia yang masih tidak sedar akan kebesaran hari itu sama seperti Hari Raya Puasa. Maka hendaklah kita menyambutnya dengan kemeriahan (dalam lingkungan syarak) sepertimana kita menyambut I'dul Fitri .

Ramai juga yang tidak tahu bahawa amalan berqurban itu hukumnya sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan. Ini berdasarkan pada hadis:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Dari Abu Hurairah ra., nabi Muhammad saw bersabda,“Barang siapa yang mempunyai kemampuan tetapi ia tidak berqurban, maka janganlah ia menghampiri (mendekati) tempat solat kami”.

Rasulullah saw memerintahkan berqurban dengan bahasa yang tegas dan mudah, bahkan disertai ancaman untuk tidak dekat-dekat dengan tempat solat atau dengan istilah lain tidak diakui menjadi umat Muhammad.

Mengapa Islam sangat mengambil berat amalan berqurban ini?Apakah hakikat qurban sebenarnya?

Perintah untuk melaksanakan qurban adalah sebagai bukti rasa syukur kita kepada Allah SWT, yang telah menganugerahkan begitu banyak nikmat kepada manusia sehingga tidak terhitung jumlahnya.
Firman Allah SWT,

وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِن تَعُدُّواْ نِعْمَةَ اللَّهِ لاَ تُحْصُوهَا إِنَّ الإنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ

Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
( Ibrahim:34)
Dan yang paling besar anugerah Allah swt adalah nikmat Iman dan Islam. Ini digambarkan Allah sendiri,

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ الأِسْلاَمَ دِيناً فَمَنِ اضْطُرَّ فِى مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لإِثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

”Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat Ku, dan telah Ku ridhai Islam itu jadi agama bagimu.”
(Al-Ma’idah:3)

Berqurban tidak sekadar mengalirkan darah binatang ternak, tidak hanya memotong haiwan qurban, namun lebih dari itu. Berqurban bererti ketundukan menyeluruh terhadap perintah-perintah Allah SWT dan sikap menjauhi dari hal-hal yang dilarang-Nya. Allah swt ingin menguji hamba-hamba-Nya dengan suatu perintah; apakah dia bersangka baik kepada-Nya dan melaksanakan tuntutan itu dengan ikhlas tanpa ragu-ragu, seperti Nabi Ibrahim. Berqurban juga bererti wujud ketaatan dan peribadatan seseorang, dan dengan itu seluruh isi kehidupannya boleh menjadi manifestasi sikap berqurban.


 Larangan Memotong Kuku dan Rambut Peserta Korban

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya (sehingga selesai korban)." 

(Sahih Muslim No: 3655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dilarang (makruh)  menggunting rambut, mencukur, mencabut sebarang bulu di badan dan memotong kukunya bermula dari tarikh 1hb Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

2.  Menurut Imam al-Nawawi larangan di dalam hadis ini bermaksud makruh memotongnya. Larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain." (Syarah Muslim  Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139) 

3.  Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata: "Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada Allah. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." (Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96)

 4.  Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian mazhab Hanbali menyatakan makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1hb Zulhijjah hingga ibadah korban dilaksanakan.

Jom amalkan sunnah dengan tidak memotong kuku dan sebarang rambut bermula 1hb Zulhijjah bersamaan hari Ahad 11hb Julai ini bagi peserta korban sehingga ibadat korban dilaksanakan. 

Negara Rahmah Ummah Sejahtera


Petikan dari,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
9 Julai 2021
28 Zulkaedah 1442H





No comments:

Post a Comment