Awal bulan May 2019 adalah kali pertama kami menjejak kaki ke negara China. Pada hujung bulan Ogos sekali lagi suami dijemput sebagai 'keynote speaker' dalam satu seminar yang dibuat di Guangzhou pula. Alhamdulillah ... bertambah lagi tempat yang dilawati dalam siri 'lawatan sambil bekerja' kami. Perjalanan ini merupakan percutian terakhir ke luar negara sebelum wabak covid-19 melanda satu dunia sehingga kini, yang melarang perjalanan ke luar negara tanpa kebenaran. Kami bertolak ke Guangzhou pada malam 28 Ogos 2019 dari lapangan terbang Senai Johor, dan tiba pada esok paginya. Biasanya kami ke luar negara melalui KLIA.
Oleh kerana penerbangan kami tiba di awal pagi di Guangzhou, kami telah menempah bilik penginapan untuk tidur dan berihat di Guangzhou Airport Voyage Service Apartment Baiyun Airport. Alhamdulillah sempat berihat dan kembali segar sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Guangzhou. Apartment ini hanya 5 minit dengan kenderaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou. Kaunter pendaftaran beroperasi 24 jam dan ada perkhidmatan 'shuttle' ke/dari airport 24 jam secara percuma. Keadaan bilik biasa-biasa sahaja tetapi cukup selesa untuk berihat sekadar sebentar.
Kaunter pendaftaran apartment ..... semasa check out
Jadual 'shuttle' ke airport ... setiap setengah atau sejam
Pada tengahari 29/8/2019 kami bertolak ke kota Guangzhou dengan menaiki teksi 'sapu' ( dikenakan tambang sebanyak 120 cny) dan terus ke hotel Amamouillage Inn yang telah ditempah lebih awal. Kami tinggal di hotel ini untuk satu malam sahaja kerana keesokanya kami perlu ke hotel yang menjadi tempat suami berseminar. Biasanya hotel yang dipilih oleh pihak penganjur agak mahal sedikit harga biliknya. Jadi selalunya kami akan mencari hotel yang lebih murah sebelum atau selepas seminar
Duduk di hotel ini untuk satu malam sahaja |
Bilik di Gangrun Hotel yang sangat luas ... |
Guangzhou yang juga dikenali sebagai Canton adalah ibu negeri wilayah Guandong. Ia terletak di Sungai Pearl (Mutiara) di Selatan China, kira-kira 120 km utara membarat laut dari Hong Kong dan 145 km utara dari Macau. Guangzhou telah wujud lebih daripada 2,200 tahun dan merupakan destinasi terakhir Laluan Sutera laut, perlabuhan utama dunia dan juga adalah antara tiga bandar terbesar China. Bermula dari penubuhannya semasa Dinasti Qin (221-206 S.M.), bandaraya ini menjadi pusat perdagangan antarabangsa yang penting. Selepas pembaharuan besar dalam tahun 1970-an, Guangzhou menjadi model contoh ekonomi kepada tempat lain di dalam negara ini.
Kali pertama ke China melawat bandar Shanghai dan Nanjing ...... kali kedua melawat bandar Guangzhou |
Pada masa kini, dalam perdagangan moden, Guangzhou terkenal dengan Pameran Canton (Canton Fair) tahunannya, pameran perdagangan tertua dan terbesar di China. Selama tiga tahun berturut-turut (2013-2015), Forbes meletakkan Guangzhou sebagai bandar komersial terbaik di tanah besar China.
Guangzhou menduduki tempat ke-10 di dunia dan ke-5 di China (selepas Beijing, Shanghai, Hong Kong dan Shenzhen) dari segi jumlah jutawan menurut Hurun Global Rich List 2020. Bandar ini menempatkan banyak universiti paling berprestij di China, termasuk Universiti Sun Yat-sen, Universiti Teknologi China Selatan, Universiti Normal China Selatan dan Universiti Jinan. Guangzhou juga merupakan salah satu bandar teratas di dunia dalam penyelidikan saintifik di samping Beijing, Shanghai, Nanjing dan Wuhan.
Guangzhou menduduki tempat ke-10 di dunia dan ke-5 di China (selepas Beijing, Shanghai, Hong Kong dan Shenzhen) dari segi jumlah jutawan menurut Hurun Global Rich List 2020. Bandar ini menempatkan banyak universiti paling berprestij di China, termasuk Universiti Sun Yat-sen, Universiti Teknologi China Selatan, Universiti Normal China Selatan dan Universiti Jinan. Guangzhou juga merupakan salah satu bandar teratas di dunia dalam penyelidikan saintifik di samping Beijing, Shanghai, Nanjing dan Wuhan.
Bandar Guangzhou dilihat dari atas hotel |
Guangzhou adalah bandar ketiga terbesar di China selepas Beijing dan Shanghai. Bandar ini merupakan salah satu destinasi pilihan pemborong dari Malaysia. Dikatakan di sini ada bermacam-macam produk yang dijual dengan harga yang sangat murah. Ini mendorong ramai peniaga dan pemborong dari Malaysia sanggup ke sini untuk membeli barangan niaga mereka. Selain menjadi destinasi pemborang dunia, Guangzhou juga menjadi salah satu destinasi pelancongan popular di China bagi pelancong Muslim. Ini kerana di sini juga terdapat ramai orang Islam di kalangan masyarakatnya, dan boleh dikatakan senang untuk mencari restoran Halal di sekitar bandar Guangzhou. Semasa kami berada di sini, di mana-mana sahaja kami pergi pasti terjumpa 'orang Malaysia' .... ada yang datang melancong, ada yang bekerja di sini dan semestinya ada yang datang memborong berbagai-bagai jenis barangan😀
Seminar suami yang berlangsung di Gangrun Hotel |
Menara Canton termasuk dalam ketegori ' Strukutur Hyperboloid ' yang tertinggi di dunia. Apakah yang dimaksudkan dengan ketegori ini? Ini penerangan yang dipetik dari Wikipedia:
Kami tidak naik ke atas bangunan ini walaupun dikatakan pemandangan dari sini sangat cantik. Bagaimanapun pada malam itu kami menaiki Pearle River Cruise. Kami hanya menikmati keindahan menara ini dari jauh. Lampu berwarna-warni yang bersilih ganti menerangi bangunan ini di malam hari, sungguh mengasyikkan. Memang benar sekali teknologi yang diguna memberi kesan serta mempengaruhi kecantikan bangunan ini. Bentuk menara yang menarik menyebabkan penduduk tempatan memberinya berbagai gelaran seperti "Slim Waist" dan "Twisted Firewood".
Seperti biasa kami tidak banyak buat "shopping" di sini. Selalunya menjamu mata sahaja sambil mencari cenderahati untuk dibawa pulang. Ada sekali ke Beijing Street yang terkenal di kalangan "Shoppers" tetapi tidak membeli apa-apa pun kerana tidak terjumpa apa-apa yang berkenan di hati.
Kemudian sebelum pulang ke Malaysia kami ke Onelink International Plaza untuk mencari cenderahati. Mengikut maklumat dari internet, plaza ini adalah tempat memborong cenderahati dan bunga, tetapi ada bermacam-macam barang yang dijual di sini. Terdapat lebih dari 2,000 buah kedai dalam bangunan setinggi 6 tingkat. Antara barang yang terdapat di sini selain dari cenderahati, termasuk soft toys, educational toys, pakaian, kasut, beg tangan, jam, barangan elektronik, perhiasan rumah, perkakas telefon, dan aksesori wanita. Kami hanya membeli pin kerongsang, 'fridge magnet' dan jam tangan kanak-kanak di sini.
Plaza ini beroperasi dari jam 10.00 am sehingga jam 6.30 pm. Ketika pusing-pusing mencari barang, kami juga ternampak beberapa kelibat orang Melayu di sini dan sempat bersembang dengan seorang perempuan Melayu dari Malaysia yang baharu hendak berjinak-jinak menjadi peniaga. Dia sedang mencari alat elektronik yang berfungsi sebagai 'educational toys' untuk kanak-kanak, untuk dijual di Malaysia.
Depan pintu masuk Plaza Onelife International |
Petang itu tidak lama selepas kami keluar dari bangunan plaza dan mencari teksi untuk pulang ke hotel, tiba-tiba kelihatan semua orang berlari-lari masuk dalam bangunan berdekatan mencari perlindungan. Ketika itu angin sedang bertiup kencang tetapi hujan belum turun. Kami pun terpinga-pinga melihat suasana kelam-kabut .... hati jadi berdebar-debar😟Apabila melihat ke arah angin kencang yang bertiup, baharulah kami nampak segumpulan awan hitam yang sedang menuju ke arah kami. Terus kami pun masuk ke dalam bangunan yang paling dekat untuk berlindung. Tidak lama selepas itu baharulah hujan turun. Kebiasaannya di Malaysia, apabila hujan mulai turun baharulah kita mencari tempat untuk berteduh😊
Suasana di Beijng Road .... lewat petang 31 Ogos 2019 |
Pemberitahuan tentang Beijing Road Cultural Tourism Zone |
Guangzhou, seperti juga Najing dan Shanghai masih mengalami bencana pencemaran udara.Walaupun begitu mengikut maklumat terkini, bandaraya ini telah melakukan pelbagai usaha untuk menambah baik kualiti udaranya dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Terdapat kawalan pencemaran dan sistem keretapi bawah tanahnya jauh bertambah baik. Keretapi bawah tanah Guangzhou sebenarnya adalah salah satu cara pengangkutan yang paling cepat dan cekap untuk ke mana-mana, dan perkhidmatan ini melalui kebanyakan tempat tarikan utama.
Related posts:
Jalan-jalan di China 2 - Shamian Island