Showing posts with label canton tower. Show all posts
Showing posts with label canton tower. Show all posts

Monday, 15 February 2021

Jalan-jalan di China 2 - Pearl River Cruise Guangzhou


Lawatan ke Guangzhou ini merupakan percutian terakhir kami ke luar negara sebelum wabak covid-19 melanda satu dunia sehingga kini, yang melarang perjalanan ke luar negara tanpa kebenaran. Kami bertolak ke Guangzhou pada malam 28 Ogos 2019 dari lapangan terbang Senai Johor, dan tiba pada esok paginya
Pearle River di waktu malam .... 29 Ogos 2019
Aktiviti menaiki bot menyusuri sungai atau selat sambil menikmati keindahan alam, telah menjadi aktiviti kegemaran kami ketika melancong sejak kebelakangan ini, kerana ia adalah satu aktiviti yang sangat sesuai untuk golongan warga emas seperti kami. Di setiap bandar yang kami lawat di China, pasti kami akan melakukan aktiviti ini.

Antara aktiviti yang sudah diikuti sejak melawat negara China:
1 Zhujiajiao Water Town -  menaiki bot menyusuri terusan di Shanghai
2 Huangpu River Tour - anak sungai Yangtze di Shanghai
3 Qinhai Water Tour - anak sungai Yangtze di Nanjing
4 Pearle River Cruise - Guangzhou

Tiket untuk Pearle River Cruise
Antara maklumat yang terdapat dalam tiket: harga (98 yuan), nama kapal (Star of Guangzhou Port), nombor tempat duduk, nama kita, tarikh dan masa serta tempat naik kapal (Canton Tower Fortune Pier).

Sungai Mutiara adalah sungai ketiga terpanjang di China, 2.400 kilometer (1,500 mi), setelah Sungai Yangtze dan Sungai Kuning, dan kedua terbesar mengikut isipadunya, setelah Sungai Yangtze. Di antara ribuan sungai, yang terdapat di China, Sungai Yangtze, Sungai Kuning dan Sungai Mutiara adalah tiga sungai utama di China.

Seperti Sungai Thames di London, Sungai Seine di Paris dan Sungai Huang Pu di Shanghai, Guangzhou juga mempunyai sungainya sendiri, Sungai Mutiara, yang melalui kota itu dari barat ke timur. Sungai ini indah, dihiasi dengan pemandangan menawan di sepanjang sungai. Pelayaran menyusuri sungai di Sungai Mutiara telah menjadi aktiviti wajib bagi pengunjung yang datang pertama kali ke Guangzhou, terutama di waktu malam.

Sungai ini digelar sedemikian  kerana ia mempunyai sebuah pulau batu yang menyerupai sebiji mutiara besar, digilap oleh air sungai yang sentiasa mengalir. Sungai yang mengalir melalui lapan wilayah ini terdiri dari empat sistem sungai termasuk Sungai Barat, Sungai Utara, Sungai Timur dan Sungai Liuxi. Keempat sistem sungai itu bersatu di Guangzhou dan mengalir ke Laut China Selatan.

Mengikut 'google translation' (dari maklumat yang dicetak di tiket), kami menaiki kapal di Canton Tower Fortune Pier. Dermaga ini terletak di sebelah timur Canton Tower. Kapal yang dinaiki pula bernama Star of Guangzhou Port. Di sini agak sukar untuk mendapat maklumat yang tepat kerana semua komunakasi menggunakan 100% bahasa China.
Tempat membeli tiket yang berada di sebelah Canton Tower dan 
Terminal Canton Tower Fortune .... malam 29 Ogos 2019
Peta metro Guangzhou
Stesen metro berada di bahagian bawah bangunan
Canton Tower
Pelayaran kami dijadualkan pada jam 21:10 tetapi kami dikehendaki berada di terminal sebelum 20:50. Jadi kami telah berada di sini lebih awal, dan sementara menunggu untuk masuk ke kapal, kami berjalan-jalan sambil bergambar di kawasan berdekatan.
Pemandangan malam yang cantik
di tebing Sungai Mutiara

Jom kita belayar!

Wahh! ... kapal mewah rupanya! Patutlah mahal harga tiket ...

Laluan kapal  'Pearle River Cruise'
sumber foto: https://www.travelchinaguide.com
Berbanding dengan pelayaran siang hari di Sungai Pearl, pelayaran malam lebih menarik. Kilauan lampu di kedua tebing sungai serta cahaya bulan yang memantul di permukaan airnya mengindahkan suasana. Mengikut maklumat dari internat, pelayaran ini bermula dari Kolam Goose Putih dan berakhir di Jambatan Guangzhou di timur atau Baihedong (Gua Kren Putih) di selatan, dan mengambil masa keseluruhannya selama 2 jam.

Sungai Mutiara di Guangzhou memiliki lebih dari 70 kilometer (44 batu) yang dapat dibahagikan kepada laluan sungai depan, laluan belakang dan laluan barat. Oleh kerana laluan depan melintasi kawasan pusat bandar, bahagian ini mempunyai pemandangan yang paling indah. Di bahagian ini, Menara Canton yang megah dapat dilihat dari sudut mana pun kita berada. 

Gambar yang sama tetapi Menara Canton di belakang tidak sama
Antara pemandangan yang menarik dari dalam kapal

Haiyin Bridge ... kapal ini melalui bawah 10 buah jambatan dalam pelayaran ini

Ini kawasan berdekatan dengan Haixinshs Island ... venue of the
opening and closing ceremonies of the 2010 Asean Games

Melihat Menara Canton secara dekat kerana kapal lalu di tepinya ...
struktur bangunan dapat dilihat dengan jelas
Ini hanyalah sebahagian dari  tempat-tempat menarik yang sempat kami ambil gambarnya. Di kebanyakan masa kami hanya menghayati keindahan malamnya.





Friday, 4 December 2020

Jalan-jalan di China 2 - Guangzhou

Awal bulan May 2019 adalah kali pertama kami menjejak kaki ke negara China. Pada hujung bulan Ogos sekali lagi suami dijemput sebagai 'keynote speaker' dalam satu seminar yang dibuat di Guangzhou pula. Alhamdulillah ... bertambah lagi tempat yang dilawati dalam siri 'lawatan sambil bekerja' kami. Perjalanan ini merupakan percutian terakhir ke luar negara sebelum wabak covid-19 melanda satu dunia sehingga kini, yang melarang perjalanan ke luar negara tanpa kebenaran. Kami bertolak ke Guangzhou pada malam 28 Ogos 2019 dari lapangan terbang Senai Johor, dan tiba pada esok paginya. Biasanya kami ke luar negara melalui KLIA.

Oleh kerana penerbangan kami tiba di awal pagi di Guangzhou, kami telah menempah bilik penginapan untuk tidur dan berihat di Guangzhou Airport Voyage Service Apartment Baiyun Airport. Alhamdulillah sempat berihat dan kembali segar sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Guangzhou. Apartment ini hanya 5 minit dengan kenderaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou. Kaunter pendaftaran beroperasi 24 jam dan ada perkhidmatan 'shuttle' ke/dari airport 24 jam secara percuma. Keadaan bilik biasa-biasa sahaja tetapi cukup selesa untuk berihat sekadar sebentar.
Kaunter pendaftaran  apartment ..... semasa check out
Jadual 'shuttle' ke airport ... setiap setengah atau sejam
Pada tengahari 29/8/2019 kami bertolak ke kota Guangzhou dengan menaiki teksi 'sapu' ( dikenakan tambang sebanyak 120 cny) dan terus ke hotel Amamouillage Inn yang telah ditempah lebih awal. Kami tinggal di hotel ini untuk satu malam sahaja kerana keesokanya kami perlu ke hotel yang menjadi tempat suami berseminar. Biasanya hotel yang dipilih oleh pihak penganjur agak mahal sedikit harga biliknya. Jadi selalunya kami akan mencari hotel yang lebih murah sebelum atau selepas seminar
Duduk di hotel ini untuk satu malam sahaja
Lobi Hotel Gangrun Guangzhou ... tempat seminar
Bilik di Gangrun Hotel yang sangat luas ...
Guangzhou yang juga dikenali sebagai Canton adalah ibu negeri wilayah Guandong. Ia terletak di Sungai Pearl (Mutiara) di Selatan China, kira-kira 120 km utara membarat laut dari Hong Kong dan 145 km utara dari Macau. Guangzhou telah wujud lebih daripada 2,200 tahun dan merupakan destinasi terakhir Laluan Sutera laut, perlabuhan utama dunia dan juga adalah antara tiga bandar terbesar China. Bermula dari penubuhannya semasa Dinasti Qin (221-206 S.M.), bandaraya ini menjadi pusat perdagangan antarabangsa yang penting. Selepas pembaharuan besar dalam tahun 1970-an, Guangzhou menjadi model contoh ekonomi kepada tempat lain di dalam negara ini.
Kali pertama ke China melawat bandar Shanghai dan Nanjing
...... kali kedua melawat bandar Guangzhou
Pada masa kini, dalam perdagangan moden, Guangzhou terkenal dengan Pameran Canton (Canton Fair) tahunannya, pameran perdagangan tertua dan terbesar di China. Selama tiga tahun berturut-turut (2013-2015), Forbes meletakkan Guangzhou sebagai bandar komersial terbaik di tanah besar China.
Guangzhou menduduki tempat ke-10 di dunia dan ke-5 di China (selepas Beijing, Shanghai, Hong Kong dan Shenzhen) dari segi jumlah jutawan menurut Hurun Global Rich List 2020. Bandar ini menempatkan banyak universiti paling berprestij di China, termasuk Universiti Sun Yat-sen, Universiti Teknologi China Selatan, Universiti Normal China Selatan dan Universiti Jinan. Guangzhou juga merupakan salah satu bandar teratas di dunia dalam  penyelidikan saintifik di samping Beijing, Shanghai, Nanjing dan Wuhan. 

Oeh kerana bandaraya ini berkembang dengan sangat pesat, terdapat ramai penduduk sementara dan pendatang asing dari Asia Tenggara, Timur Tengah, Eropah Timur dan Afrika. Kemasukan penduduk yang beramai-ramai ini menyebabkan ia mendapat gelaran sebagai "Ibu Kota Dunia Ketiga".
Bandar Guangzhou dilihat dari atas hotel
Guangzhou adalah bandar ketiga terbesar di China selepas Beijing dan Shanghai. Bandar ini merupakan salah satu destinasi pilihan pemborong dari Malaysia. Dikatakan di sini ada bermacam-macam produk yang dijual dengan harga yang sangat murah. Ini mendorong ramai peniaga dan pemborong dari Malaysia sanggup ke sini untuk membeli barangan niaga mereka. Selain menjadi destinasi pemborang dunia, Guangzhou juga menjadi salah satu destinasi pelancongan popular di China bagi pelancong Muslim. Ini kerana di sini juga terdapat ramai orang Islam di kalangan masyarakatnya,  dan boleh dikatakan senang untuk mencari restoran Halal di sekitar bandar Guangzhou. Semasa kami berada di sini, di mana-mana sahaja kami pergi pasti terjumpa 'orang Malaysia' .... ada yang datang melancong, ada yang bekerja di sini dan semestinya ada yang datang memborong berbagai-bagai jenis barangan😀

Kami datang sebagai 'pelancong sambil bekerja'😁Kami tiba 2 hari sebelum hari seminar suami. Sebagai pelancong (yang sangat terbatas tenaga dan waktunya), kami berkesempatan melawat beberapa tempat menarik yang menjadi kegemaran para pelancong, seperti Kompleks Saad Abu Waqas, Shamian Island dan Masjid Huaisheng. Kami juga telah mengikuti aktiviti Pearle River Tour.
Seminar suami yang berlangsung di Gangrun Hotel
Satu daripada tanda paling jelas yang menggambarkan kekuatan dan sifat moden bandaraya ini ialah Menara Canton. Ia adalah menara pemerhatian (observation tower) yang sangat tinggi dengan pelbagai kegunaan setinggi 604 meter (1,982 kaki)  Menara ini telah siap dibina pada tahun 2009 dan mula beroperasi pada 29 September 2010 bersempena Sukan Asia 2010. Menara ini secara ringkas pernah memegang gelaran menara tertinggi di dunia, menggantikan Menara CN di Kanada, sebelum dikalahkan oleh Tokyo Sky Tree di Jepun pada 2011. Ia adalah struktur tertinggi di China sebelum dikalahkan oleh Menara Shanghai pada 3 Ogos 2013. 

Menara Canton termasuk dalam ketegori ' Strukutur Hyperboloid ' yang tertinggi di dunia. Apakah yang dimaksudkan dengan ketegori ini? Ini penerangan yang dipetik dari Wikipedia:

Hyperboloid structures are architectural structures designed using a hyperboloid in one sheet. Often these are tall structures such as towers where the hyperboloid geometry's structural strength is used to support an object high off the ground, but hyperboloid geometry is also often used for decorative effect as well as structural economy. The first hyperboloid structures were built by Russian engineer Vladimir Shukhov (1853–1939).The world's first hyperboloid tower is located in Polibino, Dankovsky District, Lipetsk Oblast, Russia.
Canton Tower dibina mengguna teknologi 'hyperboloid'
Kami tidak naik ke atas bangunan ini walaupun dikatakan pemandangan dari sini sangat cantik. Bagaimanapun pada malam itu kami menaiki Pearle River Cruise. Kami hanya menikmati keindahan menara ini dari jauh. Lampu berwarna-warni yang bersilih ganti menerangi bangunan ini di malam hari, sungguh mengasyikkan. Memang benar sekali teknologi  yang diguna memberi kesan serta mempengaruhi kecantikan bangunan ini. Bentuk menara yang menarik menyebabkan penduduk tempatan memberinya berbagai gelaran seperti "Slim Waist" dan "Twisted Firewood".

Mungkin ini pemandangan yang akan dilihat dari atas ... kota Guangzhou 
Seperti biasa kami tidak banyak buat "shopping" di sini. Selalunya menjamu mata sahaja sambil mencari cenderahati untuk dibawa pulang. Ada sekali ke Beijing Street yang terkenal di kalangan "Shoppers" tetapi tidak membeli apa-apa pun kerana tidak terjumpa apa-apa yang berkenan di hati. 

Kemudian sebelum pulang ke Malaysia kami ke Onelink International Plaza untuk mencari cenderahati. Mengikut maklumat dari internet, plaza ini adalah tempat memborong cenderahati dan bunga, tetapi ada bermacam-macam barang yang dijual di sini. Terdapat lebih dari 2,000 buah kedai dalam bangunan setinggi 6 tingkat. Antara barang yang terdapat di sini selain dari cenderahati, termasuk soft toys, educational toys, pakaian, kasut, beg tangan, jam, barangan elektronik, perhiasan rumah, perkakas telefon, dan aksesori wanita. Kami hanya  membeli pin kerongsang, 'fridge magnet' dan jam tangan kanak-kanak di sini. 

Plaza ini beroperasi dari jam 10.00 am sehingga jam 6.30 pm. Ketika pusing-pusing mencari barang, kami juga ternampak beberapa kelibat orang Melayu di sini dan sempat bersembang dengan seorang perempuan Melayu dari Malaysia yang baharu hendak berjinak-jinak menjadi peniaga. Dia sedang mencari alat elektronik yang berfungsi sebagai 'educational toys' untuk kanak-kanak, untuk dijual di Malaysia.
Depan pintu masuk Plaza Onelife International
Hujan ribut di Guangzhou ..... petang 1 Sept 2019
Petang itu tidak lama selepas kami keluar dari bangunan plaza dan mencari teksi untuk pulang ke hotel, tiba-tiba kelihatan semua orang berlari-lari masuk dalam bangunan berdekatan mencari perlindungan. Ketika itu angin sedang bertiup kencang tetapi hujan belum turun. Kami pun terpinga-pinga melihat suasana kelam-kabut .... hati jadi berdebar-debar😟Apabila melihat ke arah angin kencang yang bertiup, baharulah kami nampak segumpulan awan hitam yang sedang menuju ke arah kami. Terus kami pun masuk ke dalam bangunan yang paling dekat untuk berlindung. Tidak lama selepas itu baharulah hujan turun. Kebiasaannya di Malaysia, apabila hujan mulai turun baharulah kita mencari tempat untuk berteduh😊
Suasana di Beijng Road  ....  lewat petang 31 Ogos 2019
Pemberitahuan tentang
Beijing Road Cultural Tourism Zone
Zon 'cultural tourism' di Beijig Road ini berada di satu tapak di mana bandar Guangzhou mula-mula dibangun 2,200 tahun dahulu. Guangzou mungkin telah menetapkan rancangan masa depannya, tetapi bandar ini tidak menghapuskan hubungannya dengan masa lampau. Warisan tempatan masih boleh dilihat pada tokong, masjid, senibina klasik, serta seni dan kraf tradisional yang terdapat di bandar raya ini.

Guangzhou, seperti juga Najing dan Shanghai masih mengalami bencana pencemaran udara.Walaupun begitu mengikut maklumat terkini, bandaraya ini telah melakukan pelbagai usaha untuk menambah baik kualiti udaranya dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Terdapat kawalan pencemaran dan sistem keretapi bawah tanahnya jauh bertambah baik. Keretapi bawah tanah Guangzhou sebenarnya adalah salah satu cara pengangkutan yang paling cepat dan cekap untuk ke mana-mana, dan perkhidmatan ini melalui kebanyakan tempat tarikan utama.