Showing posts with label jumaat. Show all posts
Showing posts with label jumaat. Show all posts

Thursday, 12 April 2012

Kaum Adam dan Solat Jumaat

Jumaat 20 Januari 2012

Hari ini selepas mengambil anak daripada Hospital Sultanah Aminah JB kami menyinggah di sebuah masjid yang terletak tidak jauh dari sekolah Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB). Jam sudah menunjukkan 12.50 tgh ketika itu. Kebetulan di tepi masjid ada sebuah kedai makan yang dibuka. Suami dan anak menjamu selera terlebih dahulu sebelum masuk ke masjid untuk menunaikan solat fardhu Jumaat. Saya tidak  makan bersama mereka kerana masih terasa kenyang.

Niat di hati nak join jemaah tetapi keadaan masjid tidak mengizinkan saya solat bersama. Sementara menunggu mereka selesai solat saya pun tunggu di kedai makan dan mengambil keputusan untuk makan sedikit supaya masa lapang itu terisi.

Hari itu sangat panas. Saya hendak menjamu selera di bawah kipas tetapi semua meja yang berada di bawah kipas sudah dipenuhi. Jadi saya pun tunggulah hingga selepas azan berkumandang untuk makan kerana waktu itu mesti semua pelanggan lelaki yang berada di situ akan keluar menuju ke masjid. Selepas azan hanya sebahagian saja yang keluar ...... saya agak hairan dan tertanya-tanya sendiri "Kenapa depa tak pi masjid?".

Saya pun masuk ke dalam kedai. Ada beberapa buah meja yang kosong dan saya duduk di sebuah meja yang berhadapan dengan 2 orang jejaka yang sedang menjamu selera dengan relaksnya  ..... tidak nampak lansung aksi nak dipercepatkan apa yang sedang dibuat. Saya gelar mereka berdua ini Mat Biru dan Mat Belang. Mat biru kacak berpakaian baju melayu biru langit dan berkain pelikat. Mat Belang pula berbaju T-shirt belang melintang biru tua dan putih, juga berkain pelikat. Mereka mungkin berada dalam golongan  pertengahan umur walaupun Mat Biru sudah beruban.

Lelaki-lelaki yang berada di situ samada sedang berborak-borak sambil minum atau makan ataupun sebahagian besar hanya duduk untuk menghabiskan rokok di tangan, walaupun  jelas kedengaran imam sedang berkhutbah. Di pertengahan khutbah pertama, Mat Belang sempat mengoder teh 'o' panas. Dalam hati saya beristighfar dan berkata.....Ssempat ke dia nak minum?". Selamba saja mereka berdua bersembang tanpa menghiraukan khutbah yang sedang dibaca.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Jika kamu berkata kepada temanmu pada hari Jum’at, “Diamlah kamu” sementara imam sedang berkhutbah, maka sungguh engkau telah berbuat kesia-siaan”. Muttafaqun ‘alaihi
Ucapan “diamlah kamu” teranggap memutuskan perhatian dari mendengar khutbah walaupun sebentar sehingga menghasilkan kesia-siaan. Ini adalah keadaan orang yang menasehati (baca: menegur), maka bagaimana pula dengan orang yang memulakannya (yang ditegur-pent.)

Al-Hafzh menyatakan dalam Al-Fath, “Maka jika beliau (Nabi) menghukumi ucapan “diamlah kamu” -padahal dia adalah orang yang beramar ma’ruf- sebagai kesia-siaan, maka ucapan yang lainnya lebih lagi dianggap sebagai kesia-siaan”.

Selesai khutbah pertama dibaca Mat Biru dan beberapa orang yang lain bangun meninggalkan kedai menuju masjid tetapi Mat Belang bersama beberapa orang yang lain, termasuk Pakcik 'ambil oder' dan mamat 'tukang bancuh air' masih berada dalam kedai. Apabila khutbah kedua mula dibaca Mat Belang minta ketul ais untuk tehnya yang masih panas untuk diminum. Selesai khutbah kedua dibaca barulah dia berserta beberapa yang lain bangun  menuju ke masjid.

Menurut jumhur ulamak, khutbah merupakan antara syarat sah solat Jumaat.  Sa’id bin Jubair berpendapat bahawa khutbah menyamai 2 rakaat solat zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan Solat Jumaat sahaja bererti kita telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.

Kemudian saya terpandang di sebalik almari lauk-pauk masih ada empat orang anak muda duduk bersembang-sembang di sebuah meja. "Mereka ini budak-budak China agaknya.", hati saya berkata-kata.

Semasa khutbah kedua sedang dibaca hujan turun dengan lebat sekali.....agaknya sebab itulah cuaca sebelum hujan itu sangat panas (mengikut teori orang tua-tua). Apabila solat hendak bermula saya pun berpindah duduk di bahagian luar kedai supaya saya dapat melihat bahagian dalam masjid. Mudah untuk saya tahu bila solat telah slesai sambil menunggu hujan rahmat berhenti.

Sebaik sahaja keluar terpandang di kiri saya dua orang budak sekolah sedang nyenyak tidur di sebuah sofa buruk. Saya pun kejutkan mereka dan dengan bingkas mereka bangun dan kelihatan begitu terkejut apabila terpandang saya, menyuruh mereka pergi solat. Tanpa banyak bicara mereka meninggalkan sofa buruk itu. Selepas itu saya mencari tempat duduk di sebelah kanan. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat sekumpulan empat orang anak muda yang saya sangka berketurunan China itu sebenarnya orang Melayu yang secara otomatiknya beragama Islan di Malaysia ini. Salah seorangnya lengkap memakai baju melayu berkain pelikat. Sampai hati mereka tak ke masjid yang hanya beberapa meter saja dari meja duduk mereka!

Siapakah yang hendak mereka tipu ....... ibu-bapa mereka, kawan-kawan, diri mereka ataupun Allah? Tidak ada lansung perasaan malu dalam diri mereka!

Salah Siapa?

Siapakah yang sepatutnya dipersalahkan dalam hal ini? Siapakah yang akan menanggung dosa ...... tuan kedai, pelanggan atau kedua-dua?

Islam tidak melarang umatnya berjual beli pada hari Jumaat tetapi bersyarat. Firman Allah di dalam surah al-Jum’ah ayat 9  yang bermaksud:

 "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah S.W.T dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu) ; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu , jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah S.W.T, serta ingatlah akan Allah S.W.T banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat).

Dalam kes di atas kami berasa selesa dapat menjamu selera di situ kerana dapat menjimatkan waktu supaya suami dan anak dapat masuk awal ke masjid.

Allah S.W.T  memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang sering berusaha datang awal ke Masjid  pada hari Jumaat terutama sebelum khatib berkhutbah. Dalam sepotong hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid  terdapat malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam / khatib telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengar khutbah.”

Dilema di atas boleh dielakkan jika semua pihak (penjual, pembeli dan pihak berkuasa) mengambil beberapa tindakan seperti di bawah:

Pertama: Aktiviti jual beli hendaklah ditangguhkan sementara waktu ketika mana  azan kedua berkumandang.

Kedua: Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja.

Ketiga:  Para jemaah lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping  mengambil peluang  masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah.

Ini hanyalah segelintir yang kita nampak dengan jelas kaum Adam yang ponteng solat Jumaat. Berapa ramai lagi yang di luar sana yang menyorok di rumah, di pejabat dan entah mana-mana lagi. Hanya Allah saja yang mengetahui!