Wednesday, 10 March 2010

Kejamkah Hukum Islam(2) - Hukum Tuhan Vs Hukum Manusia



  Baru-baru ini kita disibukkan dengan berita tentang 3 orang wanita dan 4 lelaki disebat kerana berzina. Berikutan itu terdengarlah suara-suara sumbang yang menentang hukuman yang telah dijatuhkan ka atas pezina-pezina itu. Selain dari mereka yang bukan Islam yang menyuarakan rasa kurang senang di  atas tindakan yang telah diambil, ada juga di kalangan orang Islam sendiri yang menentang hukum sebat ini. Termasuk yang menentangnya adalah para pemimpin negara.

Apakah benar andaian-andaian setengah pihak yang mengatakan hukum Islam itu kejam? Kebanyakan mereka yang mengiakannya bukanlah dari kalangan yang pakar hukum. Bahkan sebahagian daripada mereka itu pun bukan dari kalangan penganut agama Islam. Mereka mengatakan demikian hanya berpandukan kepada akal fikiran mereka sahaja.

Sekali lagi saya bertanya, benarkah hukum Islam itu kejam? Apakah hukum yang dibuat oleh manusia itu lebih adil dan berperikemanusiaan? Siapakah kita untuk menilainya sedangkan diri kita ini sendiripun "tuhan Allah" yang menciptanya. Apabila Allah menurunkan Adam dan Hawa ke mukabumi, Allah juga menurunkan peraturan-peraturan hidup yang lengkap untuk keturunannya. Jika Allah yang mencipta manusia, maka sudah pastilah undang-undang atau peraturan hidup yang ditetapkan ke atas manusia sememangnya sesuai dengan keperluan manusia itu sendiri. Secara logiknya tidak timbul persoalan samada hukum-hukum Islam itu kejam atau tidak. Manusia hanya boleh menilai sesuatu perkara hanya berdasarkan pengetahuan dan ilmu yang cetek kerana akal fikirannya yang terbatas, sedangkan ilmu Allah itu tiada batasan. Firman Allah :

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِى السَّمَآءِ وَالاٌّرْضِ إِنَّ ذلِكَ فِى كِتَـبٍ إِنَّ ذلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.  ( surah Al-Hajj: 70)
 
Kembali semula kepada persoalan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada sesuatu kesalahan. Contohnya dalam pembicaraan kita sekarang ialah hukuman untuk mereka yang berzina. Apakah bentuk hukuman yang sebenarnya?

Zina Sebagai Satu kesalahan

 Sungguhpun perbuatan zina telah ditetapkan sebagai  satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sejak tahun ketiga Hijriah tetapi penetapan tersebut belum menjadi undang-undang pemerintah. Pada masa itu zina masih bersifat sebagai kejahatan keluarga atau masyarakat biasa. Oleh kerana itu pihak keluargalah yang menghukumnya. Hal ini diterangkan oleh firman Allah:

  وَاللَـتِى يَأْتِينَ الْفَـحِشَةَ مِن نِّسَآئِكُمْ فَاسْتَشْهِدُواْ عَلَيْهِنَّ أَرْبَعةً مِّنْكُمْ فَإِن شَهِدُواْ فَأَمْسِكُوهُنَّ فِى الْبُيُوتِ حَتَّى يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلاً - وَاللَّذَانَ يَأْتِيَـنِهَا مِنكُمْ فَـَاذُوهُمَا فَإِن تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُواْ عَنْهُمَآ إِنَّ اللَّهَ كَانَ تَوَّاباً رَّحِيماً

Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).

Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.

(An Nisa:15-16)

Dari ayat 15 surah ini nampak bahawa hukum zina masih bersifat sementara dan mengisyaratkan akan tiba hukum zina yang lebih pasti dan tetap.

Dua setengah tahun kemudian turunlah ayat-ayat yang terdapat dalam surah An Nuur yang menghukumi zina secara tetap, dan seterusnya dijadikan undang-undang negara Islam.

 Hukuman Berzina dalam Islam

Firman Allah dalam surah An Nur ayat 2,

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِى فَاجْلِدُواْ كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِاْئَةَ جَلْدَةٍ وَلاَ تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِى دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الاٌّخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَآئِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Permpuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman

Banyak yang perlu kita fahami sebelum kita mengambil ayat ini sebagai dalil hukuman zina. Ada beberapa sudut yang perlu dijelaskan di sini iaitu masalah perundangan, sejarah dan tata kesusilaan yang bila tidak diperinci akan menimbulkan kebingungan dalam memahami undang-undang hukum Allah dan berbagai masalah kehidupan keluarga.

Masyarakat yang masih dekat dengan perasaan fitrah manusia masih memandang zina sebagai perbuatan yang memudaratkan, yang harus mendapat hukuman berat pada si pelaku. Sungguhpun demikian sikap mereka dalam menghadapi perzinaan sedikit demi sedikit luluh dan sesuai dengan alur kebudayaan yang mempengaruhi masyarakat.

Sejarah telah menunjukkan bagaimana kaum Yahudi dan Nasrani telah meminda-minda hukuman zina yang telah ditetapkan dalam kitab-kitab mereka. Mereka telah meringankan hukumannya dengan alasan tersendiri. Mereka telah mengambil undang-undang Mesir Kuno, Babilona, Ashor dan Hindu, sebagai rujukan apabila merubah hukum yang asal.

Undang-undang Islam menetapkan pezina mesti dihukum dan hukuman yang lebih berat dijatuhkan terhadap mereka yang telah berkeluarga. Dalam pandangan peraturan Islam, bila perbuatan zina dibiarkan begitu saja tanpa tali pengekang maka anak yang lahir dari hasil zina tidak akan dapat diketahui asal-usul keterunannya. Oleh kerana itulah hubungan lelaki dan perempuan hendaknya terbatas pada hubungan yang bersifat masih dapat dipertanggungjawabkan dengan peraturan. Hubungan yang terbatas ini tidak akan dapat terwujud selagi kita tidak menghalang tersebarnya unsur-unsur yang menggalakkan pergaulan bebas dalam masyarakat.
Pergaulan bebas seperti ini boleh membawa kepada perbuatan maksiat seperti zina dan seterusnya menjadi gejala sosial dalam masyarakat seperti pembuangan bayi hasil hubungan di luar nikah
Dalam Islam kesalahan berzina mempunyai hukuman yang berbeza di antara pezina yang sudah dan belum bernikah. Bagi yang belum bernikah mereka dijatuhkan hukuman disebat sebanyak 100 kali. Manakala bagi mereka yang sudah berkahwin direjam sehingga mati.

Walaupun hukuman ini nampak kejam tetapi keputusan untuk melaksanakannya tidakah boleh diambil sewenang-wenangnya. Sebelum sebarang hukuman dijatuhkan keterangan yang pasti dan jelas perlu di dapati samada dari pengakuan pezina atau para saksi, sungguhpun perbuatannya telah tersebar luas.

Mungkin ramai di antara kita yang tidak tahu bahawa Undang-undang hukum Islam tidak mengharuskan terdakwa mengakui perbuatannya. Orang yang melihat perbuatannya pun tidak diharuskan melapor kepada pihak pengadilan (hakim, penegak hukum). Namun bila perkara sampai kepada hakim maka hakim tidak boleh memaafkan terdakwa apabila telah terbukti nyata. Lain halnya bila belum terbukti maka hakim diizinkan memaafkan dan membebaskan terdakwa.

Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa melaporkan hal-hal kotor maka hendaknya dia menutup-nutupinya kerana Allah. Apabila telah jelas bagi kami maka akan kami hukumi dengan Kitabullah."

Dalam hadis yang diriwayatkan Abi Daud, dikisahkan Maa'iz Al Asmami telah berzina dengan seorang budak (hamba) wanita. Kemudian dia telah disuruh oleh bapa angkatnya Hazzal bin Na'im untuk mengadap Rasulullah SAW dan mengakui perbuatannya, dengan harapan hukumannya akan diringankan. Sebaliknya Rasulullah SAW telah menghukum rejam Ma'iz dan terhadap Hazzal, Rasulullah berkata,

 "Sekiranya engkau menutup-nutupi masalahnya dengan kebesaranmu tentu hal itu baik bagimu"


Rujukan daripada buku: KEJAMKAH HUKUM ISLAM oleh Abdul A'la Almaududi

Monday, 22 February 2010

Kampung Pulau Gaya Asli - Sungguh Unik!

Semasa lawatan saya ke Kota Kinabalu baru-baru ini, salah satu  destinasi pelancongan yang menarik dan menjadi target lawatan kami  ialah kampungan rumah atas air. Hari terakhir kami di sana,  kami telah berkesempatan menyewa sebuah bot yang membawa kami ke Kampung Pulau Gaya Asli. Di Pulau Gaya terdapat lima buah kampung iaitu  Kampung Pondo, Kersuapan, Lok Urai, Lok Baru dan Kampung Pulau Gaya Asli.
Kampung Pulau Gaya Asli
Kami membayar sebanyak RM40 untuk satu bot. Hari itu laut agak bergelora juga, membuatkan bot yang dinaiki seperti dipukul. Kalau lalu jalan darat, rasanya seperti terlanggar benda di atas jalan. Hati berdebar-debar juga (berlaku setiap kali naik bot)  kerana kelemahan kami yang tidak tahu berenang. Walau apapun,  pada hari itu kami dibekalkan jaket keselamatan ....... tenanglah hati sikit!

Dalam perjalanan ke pulau itu kami melalui sebuah penempatan yang agak terpisah dari yang berada di pulau. Ia terletak lebih jauh ke tengah laut dan rupa-rupanya itu adalah penempatan pendatang asing dari Filipina. Kadangkala mereka ini diserbu oleh pihak keselamatan. Manakala yang tinggal berhampiran dengan Pulau Gaya kebanyakannya adalah dari kalangan bangsa Bajau dan Ubian.
Penempatan pendatang asing dari Filipina

Apabila sampai di Kampung  Pulau Gaya Asli kami dibawa ke SM Pulau Gaya. Kami ditinggalkan di situ selama lebih kurang 15 minit untuk meninjau sekolahnya. Lawatan kami hari itu hanyalah ke sekolah ini. Jadi kami tidak berkesempatan untuk melihat kampungnya dengan lebih dekat. Kami juga tidak pergi ke SK Pulau Gaya yang terletak di bahagian lain tetapi hanya melihatnya dari jauh.  Walau bagaimanapun ianya adalah satu pengalaman yang unik ....... sekolah di atas air ..... lengkap seperti sekolah biasa ...... ada air-cond, ada surau, ada bot lagi menggantikan bas! Malangnya kami tidak dibenarkan masuk lebih jauh ke dalam ........ jadi kami tidak dapat melihat padang permainannya. Mengikut pemandu kecil kami (berumur 11 tahun) mereka bermain di "bawah" ....... di daratlah agaknya.
SMK Pulau Gaya yang terletak di Kampung Pulau Gaya Asli

Salah satu kemudahan yang ada di SMK Pulau Gaya ... satelit besar
Bot Sekolah yang berperanan sebagai kenderaan rasmi
Surau ........ lagi satu kemudahan penting yang disediakan pihak sekolah
Selepas lawatan ke sekolah, kami dibawa pusing-pusing dan melihat dari jauh beberapa buah pulau yang  berhampiran. Kami juga melihat beberapa aktiviti harian yang menjadi norma kehidupan di  perkampungan itu ........ ada bot yang menghantar bekalan air bersih. Bekalan air bersih harus dibeli untuk tujuan makan dan minum,  tetapi untuk tujuan membasuh dan mandi-manda, mereka menggunakan air hujan yang dikumpul.
Bot yang membekalkan air bersih dari KK
Bagi kita yang sudah terbiasa dengan kehidupan yang mewah, mungkin akan mendapati kehidupan seperti itu agak  menyusahkan ......  cantik dilihat tetapi realitinya tidak seindah gambarannya. Namun bagi mereka yang sudah biasa itulah kehidupan yang mereka inginkan ...... tidak akan berpindah walaupun diberi alternatif. Bagi mereka yang ingin berdikari  dan memiliki rumah sendiri pula, inilah pilihan yang terbaik yang mereka mampu .......  kerana dengan hanya berbekalkan RM5000, mereka sudah boleh membuat sebuah rumah di pulau itu.



Friday, 12 February 2010

Apa ada pada Bahasa

JUMAAT lepas saya mengikuti suami bertugas di Kota Kinabalu Sabah. Inilah pertama kali saya memijak bumi  "Negeri di bawah Bayu"  ini. Oleh kerana  ianya merupakan lawatan rasmi, kami tidak mempunyai banyak masa untuk makan angin. Jadi kami hanya memilih tempat yang menjadi "must see" saja untuk sesi berjalan-jalan di KK. Tempat pertama yang kami lawati ialah kaki pergunungan Gunung Kinabalu, gunung yang tertinggi di Asia Tenggara dan menjadi kebanggaan penduduk Sabah.


Pemandangan gunung dari Kundasang
Pada petang Jumaat 29 Januari 2010 saya dan suami ke Kinabalu Park di Kundasang. Kami  ke sana dengan menaiki sebuah kereta sewa yang dipandu oleh seorang penuntut dari Politeknik Sabah. Jika kami sendiri yang memandunya kemungkinan tidak sampai ke destinasi yang dituju ....... takut sesat jalan . Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 2 jam. Jalan yang kami lalu itu boleh membawa kita terus ke Sandakan, yang akan mengambil masa selama lebih kurang 10 jam perjalanan dengan bas.

Di sepanjang perjalanan saya dapati terdapat begitu banyak papan tanda yang menunjukkan ke arah gereja di kawasan berkenaan. Mengikut kawan “pemandu” kami yang ikut serta dalam lawatan ini, ada 29 buah gereja di sepanjang perjalanan dari KK ke Sandakan. Beliau berasal dari  sana. Waktu perjalanan pulang dari kaki gunung, saya cuba mengira berapa buah gereja yang saya lalu. Malangnya kejap saya tertidur dan kejap terjaga. Namun dalam keadaan saya yang tidak
papantanda gereja dan patung Jesus

sepenuh sedar itu, saya dapat mengira terdapat hampir 15 buah papan tanda gereja yang kami lewati sebelum tiba ke KK. Tidak ada satupun papan tanda surau atau masjid yang terdapat di sana ……. kemungkinan tidak ditunjukkan papan   tandanya atapun memang tidak ada institusi itu di sana ……. sehinggalah  ketika kami masuk balik ke bandar KK, barulah kelihatan masjid yang tersergam indah.

papantanda menunjuk arah gereja
Apa yang jelas di sini ialah kawasan ini memang kawasan yang majoriti penduduknya beragama Keristian. Kadang-kadang kami jumpa gerai kepunyaan mereka yang terpampang papantanda seperti;  “Babi Hutan Salai” dan “Bahar (tuak) dijual di sini”. Bahasa yang digunakan adalah Bahasa Melayu. Apakah orang-orang Islam Melayu patut rasa tersinggung dengan papantanda seperti ini? Sudah tentu tidak kerana  itu memang bahasa komunikasi masyarakat di sana. Bahasa tidak ada kena mengena dengan agama yang kita anuti.

Keadaan ini mengingatkan saya tentang isu yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia kini, iaitu penggunaan kata Allah oleh mereka yang bukan dari kalangan orang Islam. Setelah mendengar, membaca dan melihat  perbincangan- perbincangan ilmiah mengenai isu ini, saya lebih condong bersetuju dengan pendapat yang membenarkan orang Keristian mengguna kalimah Allah dan juga istilah-istilah lain yang berkait rapat dengan Islam. Namun begitu saya juga berpendapat  perlunya  ada pengawasan dari sudut penggunaannya agar tidak timbul kekeliruan yang melampau kepada penganut  agama Islam. Biarlah  keadaannya kekal seperti sekarang……. ada perbezaan yang jelas antara kedua-dua agama.  Kita tidak mahu  wujudnya  suasana yang kurang enak sepertimana berlakunya di Indonesia ....... sungguh mengelirukan ....... dari sudut nama, status agama, tanah perkuburan, ceramah agama sehinggalah ke rumah ibadah.

Bahasa bukanlah punca utama yang menyebabkan umat Islam terpesong aqidahnya. Salah  asuhan dan didikan agama yang  tidak cukup membuat seseorang cepat terpengaruh dengan gaya hidup masyarakat barat yang bersifat materialistik dan“hedonisma” atau hanya berseronok. Ini lebih bahaya dan patut diberi perhatian …… lihat saja berbagai-bagai pesta besar yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang berpengaruh seperti TV 3……... Semuanya mengajak orangramai lalai dan leka dengan hiburan yag disediakan.

Bagi ibu-bapa yang masih mempunyai anak-anak yang kecil, didiklah mereka dengan memberi pengetahuan yang cukup tentang Islam ……. bukan setakat teori sahaja tetapi jadikanlah ia sebagai satu cara hidup. Jikalau iklan Piala Dunia Bola  menghendaki peminatnya agar “tidur dengan bola, makan dengan bola, ……” dan seterusnya untuk menunjukkan keseriusan pihak penganjur, apatah lagi Islam. Hasil yang baik mestilah disertai dengan amalan yang berterusan ……. makan dengan Islam, tidur dengan Islam, bermain dengan Islam, berhibur dengan Islam ……. serba-serbi amalan dalam kehidupan kita sebagai orang Islam mestilah berlandaskan ajaran Islam. Barulah kita dapat melahirkan seorang Islam yang sejati yang aqidahnya tidak mudah tergugat dek kerana imannya yang tinggi.

Wallahu'alam!


Saturday, 23 January 2010

Minda yang Terkongkong - Flowers are Red

Menurut pandangan Prof  Dato'  Dr Khoo Kay Kim, sistem pendidikan hari ini melahirkan generasi yang mindanya terkongkong ...... baik pelajarnya maupun gurunya.

Petikan daripada HarakahDaily.Net

KHOO KAY KIM: Sistem pendidikan hari ini membuat andaian yang salah. Kalau diperhatikan dasar pelajaran secara rasmi, yang disebut tidak sama dengan apa yang berlaku. Kita perlu beri perhatian pada apa yang berlaku bukan apa yang tertulis di kertas. Contohnya pada  1956 Kerajaan keluarkan Penyata Razak mengenai Dasar Pelajaran Kerajaan. Dasar tersebut mengatakan objektif utama sistem pelajaran kebangsaan ialah perpaduan negara. Sekarang tidak ada sekolah memberi keutamaan tersebut. Lama kelamaan kita dapati dasar utama setiap sekolah ialah murid mesti mendapat grad A seberapa banyak dalam peperiksaan. Akhbar juga memberi perhatian utama pada perkara ini.
Keputusan peperiksaan sebenarya tidak menjamin masa depan. Kita boleh mendapat 15A tahun ini tapi sepuluh tahun akan datang apa yang akan terjadi? Sebenarnya tidak ada jaminan, terutama jika mendapat A kerana cekap menghafal.


Berdasarkan pengalaman Prof di universiti, adakah situasi yang sama dihadapi di universiti?

Ya, mereka di universiti hari ini ramai yang lulus peperiksaan kerana menghafal. Mereka menggunakan perkataan atau istilah dengan tidak memahami istilah atau perkataan tersebut. Mereka hanya dikehendaki memberi jawapan untuk satu soalan. Walhal banyak soalan memerlukan lebih dari satu jawapan. Setiap orang itu mesti berfikir bukan permudah. Jadi, jika kita belajar sehingga universiti dan berpendapat untuk setiap soalan ada satu jawapan, itu bererti kita belum terdidik.


Pendidikan bererti banyak aspek yang perlu diutamakan. Bukan hanya lulus peperiksaan. Seseorang itu mesti diberi latihan untuk mendidik murid. Ini bererti memberi perhatian pada setiap orang murid itu sebagai individu, watak seseorang itu, kelemahan kecenderungan, latar belakang. Dengan cara ini, seorang pendidik itu beransur-ansur mendidik murid.

Keadaan di universiti sekarang sudah sampai ke satu peringkat di mana pensyarah takut gagalkan penuntut. Pemikiran mereka ialah apabila mereka gagalkan seseorang penuntut, itu akan merosakkan periuk nasinya. Jika peperiksaan tidak dikaitkan dengan periuk nasi, barulah sesebuah universiti itu dapat memberi manfaat pada masyarakat. Mereka yang datang ke universiti untuk meluaskan pemikiran, bukan pasport untuk mendapatkan pekerjaan.

Tidak ada faedah jika lulus peperiksaan hanya untuk bergelar graduan saja. Minda akan terkongkong, sepatutnya pensyarah cuba membebaskan minda penuntutnya, supaya jika kurang faham, dia berani menyoal dan ingin menambahkan pengetahuan. Semua ini penting.

Bagaimanakah ciri-ciri universiti yang ideal?
Ia adalah universiti yang berani meneroka idea baru, universiti yang tidak menerima jawapan biasa sebagai jawapan muktamad dan universiti di mana orang akan sentiasa mencipta idea. Bukan bagaimana kita seharusnya melakukan sesuatu. Ini pendekatan yang ada struktur yang tidak akan membawa pada kreativiti. Jika kita biasa buat apa yang orang buat, tidak ada daya cipta.

Flowers are Red




A little boy went first day at school
He got some crayons and he started to draw
He put colors all over the paper
For colors was what he saw
The teacher said, "What you doin' young man?"
"I'm paintin' flowers see"

"Well this is not the time for art young man
And anyway flowers are green and red
There's a time for everything young man
a way it should be done
You've got to show concern for everyone else
For you're not the only one"
And she said...
"Flowers are red
Green leaves are green
There's no need to see flowers any other way
Than the way they always have been seen "
But the little boy said...
"There are so many colors in the rainbow
So many colors in the morning sun
So many colors in the flower and I see every one"
Well the teacher said… "You're sassy
There's a way that things should be
And you'll paint flowers the way they are

So repeat after me..."
she said...
"Flowers are red

Green leaves are green
There's no need to see flowers any other way
Than the way they always have been seen "
But the little boy said again...
"There are so many colors in the rainbow
So many colors in the morning sun
So many colors in the flower and I see every one"
Well the teacher put him in a corner
She said… "It's for your own good…

And you won't come out 'til you get it right 
responding like you should"
Well finally he got lonely
Frightened thoughts filled his head
And he went up to that teacher
And this is what he said
"Flowers are red, green leaves are green
There's no need to see flowers any other way
Than the way they always have been seen"


Well time went by like it always does
he moved to another town
And the little boy went to another school
And this is what he found
The teacher there was smilin'
She said..."Painting should be fun
And there are so many colors in a flower
So let's paint every one"
that little boy painted flowers
In neat rows of green and red
And when the teacher asked him "why"


This is what he said..
"Flowers are red, green leaves are green
There's no need to see flowers any other way
Than the way they always have been seen."
But there must still be a way to have our children say,
There are so many colors in the rainbow
So many colors in the morning sun
So many colors in the flower and I see every one
There are so many colors in the rainbow
So many colors in the morning sun
So many colors in the flower and I see every one


Penyanyi asal lagu ini ialah Harry Chapin. Dia juga pencipta lagu ini. Pada suatu hari dia telah dipanggil ke sekolah anaknya untuk berbincang dengan gurunya perihal anaknya yang bermasalah. Hasil dari pertemuan itu dia merasakan berlaku pertembungan karekter antara anak  dan gurunya itu. Dia melahirkan perasaannya itu dengan mengabadikannya dalam bentuk lagu Flowers are Red.

Lagu ini telah dinyanyikan semula oleh Dawud Wharnsby dalam versi yang lebih menarik. Ada orang komen, " What has this song got to do with Islam? ",  sebab penyanyi ini selalunya menyanyi lagu yang ada kena mengena dengan Islam.

Memang benar tidak terdapat satu istilahpun di dalam lagu itu yang boleh dikaitkan dengan Islam. Namun mesej yang hendak disampaikan sangat diambil berat oleh mereka yang benar-benar faham tentang pendidikan anak-anak dalam Islam atau istilah Arabnya " Tarbiatul Aulad ".

Anak-anak lahir ke atas bumi ini dalam keadaan suci dan bersih seperti mana hadis Rasulullah s.a.w. menjelaskan yang bermaksud:

Setiap anak yang lahir itu ibarat kain putih, ibu bapanya yang mencorakkan sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Beginilah keadaannya, apabila  yang mendidik terkongkong mindanya, maka yang dididik juga akan mempunyai minda yang terkongkong. Para pendidik harus melakukan anjakan paradigma agar apa yang ingin disampaikan selari dengan keadaan semasa.


Jikalau dahulu anak-anak di tadika tidak tahu bagaimana hendak mewarnakan gambar nasi .....  kenapa?......" sebab nasi berwarna putih......kalau warna pun tak nampak sebab kertasnya warna putih."

Tetapi pada hari ini saya yakin anak-anak tadika tidak lagi mempunyai masalah  untuk mewarnai gambar nasi ...... kerana sekarang terdapat berbagai-bagai warna nasi! ....... ada warna merah, hijau, biru, kuning, oren, dan sebagainya.

Para pendidik tidak sepatutnya mendidik anak-anak dengan mempamerkan kuasa yang ada pada mereka sehingga menyebabkan anak-anak itu sangat takut kepada guru mereka. Jadikanlah anak-anak didik mereka sebagai kawan yang boleh bertukar-tukar pendapat dan tegur-menegur. Dari dulu sampai sekarang kebanyakan anak-anak sekolah (terutama yang luar bandar) mempunyai pandangan yang sama ... "The teacher is always right" ...... kalau tahu cikgu salah pun, tak berani nak tegur!

Ketika anak bongsu saya baru mula masuk sistem pendidikan di Malaysia, dia tidak berani membetulkan kesalahan gurunya. Hatta sehingga sekarang! Dia hanya boleh merungut di rumah sahaja, "Cikgu sebut sandcastle tak betul" dan ada beberapa lagi yang dia komplen terutama dari sudut sebutan dan ejaan dalam bahasa Inggeris. Namun pada masa sekarang sudah jarang  dia komplen ........ samaada gurunya sudah memperbaiki mutu bahasa Inggerisnya ataupun he doesn't care anymore ...... dah terima hakikat itu.

Namun keadaan ini sangat berbeza apabila anak-anak saya bersekolah di UK. Rata-rata gurunya "sangat baik" .... mereka boleh dianggap sebagai kawan yang boleh diajak bersembang dan bergurau. Hubungan antara guru dengan murid sangat baik. Mungkin ada yang kata, ini menyebabkan murid berani "pijak kepala guru". Mungkin ada kebenarannya tetapi nilai-nilai positif yang ada mengatasi nilai negatifnya.

Sistem pendidikan di sana  tidak memberatkan ujian. Mereka lebih  utamakan kemaslahatan murid-muridnya ....... jarang bawa balik kerja sekolah ke rumah, tidak ada beg sekolah yang berat perlu dipikul (hanya bawa file bag saja), tidak ada ujian yang besar ( hanya sekadar latihan ), dan sudah tentu tidak ada nombor kedudukan dalam kelas. Semasa perjumpaan ibu-bapa dan guru pada hari terbuka, semua yang diceritakan oleh guru tentang muridnya, yang baik-baik belaka.

Dari pengalaman dan perhatian saya, anak-anak yang melalui sistem ini mempunyai keyakinan diri. Mereka berani tampil ke hadapan apabila diminta oleh guru tanpa segan silu. Apabila ditawarkan tugasan, masing-masing berebut-rebut mengangkat tangan untuk dipilih. Guru dan murid boleh berbual seperti kawan-kawan.

Tahun yang terakhir kami berada di sana kami telah merancang untuk bercuti ke Spain semasa Easter break selama 2 minggu. Semua anak-anak telah mengetahuinya. Jadi hari terakhir sebelum mula bercuti,  guru anak saya yang bongsu itu telah menanya pada dia,

GuruWhere are you going for the holiday Afnan?  ( Memang budaya mereka 'makan angin'     apabila cuti panjang)

Afnan:  Spain.

Guru:  Oh! ...really? Can I come with you?

Afnan: I don't know .... (balik kena tanya mak ayah dulu kot)

Perbualan inilah yang anak saya selalu ingat sampai sekarang. Apabila kami pergi bercuti dia akan recall balik perbualan di atas.

Walaupun anak saya sudah melalui sistem itu selama empat tahun, namun apabila dia masuk sistem pendidikan di Malaysia, hilang semua keyakinan dirinya. Ini kerana dia terkejut dengan budaya belajar di sini. Sehingga sekarang, setelah tiga tahun belajar di sini, dia masih tidak berani untuk bercakap dengan mana-mana guru sekolahnya. Ini kerana dia melihat guru-guru di sini sebagai "harimau yang nak terkam dia". Hal ini terjadi kerana beberapa kali dia melihat gurunya menampar dan memukul rakan sekelasnya. Walaupun perkara ini tidak pernah terjadi pada dirinya, namun dia masih merasai ketakutan itu sehingga kadang-kadang dia merengek tidak mahu  ke sekolah jikalau tidak sempat siapkan kerja sekolahnya.

Kita tidak mahu sistem pendidikan kita hanya mampu melahirkan generasi "burung kakak tua" yang hanya pandai mengulangi apa yang telah diajarkan kepadanya. Kita mahu generasi yang ada mampu menggunakan akal yang dianugerahkan ilahi dengan meneroka setiap sudut pelusuk alam. Biarlah mereka menjadi individu yang berinovasi, berani mencipta dan mencuba idea-idea baru supaya mereka benar-benar tahu dan mengenal potensi yang ada pada diri mereka.

Wallahualam!



Tuesday, 19 January 2010

Syubhahkah menyertai Facebook?

Perkataan syubhah itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bererti samar iaitu tidak jelas. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Halal dan Haram dalam Islam mendefinasikan perkara syubhah ini sebagai suatu perenggan di tengah-tengah halal( yang terang) dan haram (yang jelas), yang masih samar-samar dan mengelirukan manusia, yakni masih samar-samar samada ia halal ataupun haram.

Beliau menjelaskan cara yang paling afdal ialah dengan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang memang nyata haramnya. Ini termasuk dalam kaedah saddul-zara'i iaitu menutup pintu-pintu kerosakan.

Dalam perkara ini, Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud:

"Yang halal itu sudah jelas, dan yang haram pun sudah jelas. Dan di antara kedua-duanya itu ada beberapa perkara yang masih samar-samar (syubhah).

(riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi)

ULASAN Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Soalan:

Ustaz, syubhahkah menyertai Facebook? Saya terbaca artikel yang menyatakan pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan Facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?

Jawapan:

Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak juga ditulis oleh pelbagai individu di forum juga blog. Dalam menentukan keputusan dan hukum menyertai Facebook, menurut pendapat saya, ada beberapa isu yang perlu diperhati:

1. Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi? Kesimpulannya, dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, mengguna pakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal. Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis sahih berurusan dan membuat transaksi jual beli juga cagaran dengan seorang Yahudi iaitu:

“Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda.”

( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841).


2. Apa maksud penyoal dengan ayat 'menyumbang kepada bangsa Yahudi'? Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah SAW dan sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi di Madinah. Cuma persoalannya adakah ia bermaksud menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis? Sejauh mana kebenaran dakwaan itu? Adakah sebarang bukti jelas atau hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?

3. Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin? Begini, jika ternyata daripada sumber yang sahih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang hasil pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama. Dalam konteks Facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang membantah Facebook tidak menyertakan bukti jelas berkaitan hal itu. Semuanya membuat andaian itu dan ini sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar mengajak kita untuk berhati-hati dan peka. Malah majoriti pengguna Facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat itu kecuali yang menyertai skim ditawarkan (ini memerlukan perbincangan berasingan).

Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum, boleh saya katakan, kajian sudah dibuat dan kami gagal menemui bukti untuk menyokong andaian pihak yang membuat andaian. Jika dikatakan: “Bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pengurusan Facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap,” maka jawapannya, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama itu. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak ia mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara juga aktiviti lain.

Ini kerana, larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam iaitu yang beragama Hindu, Kristian, Buddha dan sebagainya. Penjual terbabit juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap, akhirnya, kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri hingga bermusuh dengan semua tanpa bukti jelas. Oleh itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukumnya adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun Facebook. Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syubhah di ketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian satu persatu.

4. Hak peribadi pengguna Facebook dijajah? Ini mungkin ada benarnya, selepas saya menghabiskan bacaan polisi hak peribadi yang terkandung di dalam web Facebook, ia memberi gambaran bahawa gambar, maklumat dan segala yang terkandung di dalam Facebook kita boleh wujud juga di akaun Facebook orang lain yang dikongsi dan saya yakin pihak Facebook juga mempunyai simpanan data terbabit. Walaupun begitu, ia sekali lagi tidak cukup kuat untuk sampai menjadikan penggunaan Facebook sebagai haram. Apa yang perlu adalah kawalan dan had.

KESIMPULAN

Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut:

1. Hukum membuka akaun dan menggunakan Facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika Syarikat dan lainnya.

2. Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka dinasihatkan TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna Facebook supaya sentiasa berhati-hati namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram.

3. Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan:

a. Memanipulasi akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c. Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had kerana ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat, kerana ia akan kekal di Facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook itu sendiri.

d. Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e. Tidak terbabit dengan permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

f. Tidak mempercayai tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

g- Menyedari bahawa maklumat kita di Facebook boleh menjadi pangkalan data pihak asing untuk memantau kehidupan dan maklumat peribadi kita jika tidak dikawal. Pangkalan data sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana Facebook. Hatta, parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu terkini sebagaimana Facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan. Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna Facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Jika terdapat unsur syubhah sekalipun, ia diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui Facebook itu.

Coretan dari koleksi emel