Monday, 27 January 2020

Jogjakarta - Never Ending Asia ( part 2 )

Ini adalah bahagian ke-2 daripada catatan memori lawatan kami ke Jogja. Bahagian pertama boleh dilihat di SINI . Jika di catatan sebelum ini saya menceritakan tentang lawatan ke tempat menarik yang berada di luar kota, tetapi pada kali ini yang berada berhampiran dengan kota pula.

Selepas pulang dari lawatan ke Gunung Merapi, kami berpindah ke Hotel Amaris yang lebih murah (400k rupiah untuk 2 malam) kerana kini perbelanjaan akan ditanggung sendirišŸ˜€Kami berpindah dengan menggunakan kereta sewa dan menginap di sini selama 2 malam lagi.

29 September 2017
Untuk lawatan hari ini kami tidak menyewa kereta. Kami hanya menggunakan kenderaan awam untuk bergerak ke tempat-tempat yang ingin dituju.

Kota Jogja sangat kaya akan budaya dan sejarah. Jika melawat Jogja, Malioboro dan Persimpangan Titik Nol Kilometer merupakan tempat wajib untuk didatangi. Ketika kita berkunjung ke kota ini, seboleh mungkin kita menyempatkan untuk singgah ke Tugu Jogja, Jalan Malioboro, dan Pasar Beringharjo. Kononya belum ke Jogja kalau belum ke kawasan ini.

Tempat yang pertama kami tuju pada hari ini ialah Tugu Yogyakarta dengan menaiki beca bermotor. Kami naik berdua dalam satu motor, yang sebenarnya muat untuk seorang sahaja, jika kita berbadan besar sepert kami, dan dikenakan bayaran sebanyak 25k rupiah.

Tugu Yogyakarta merupakan salah satu simbol atau ciri khas Yogyakarta. Ia terletak di simpang empat antara Jl Sudirman di sisi timur, Jl AM Sangaji di sisi utara, Jl Diponegoro di sisi barat dan Jl Mangkubumi di sisi selatan.
Tugu Yogyakarta di belakang .... pagi  29 Sept 2017
Tugu Yogyakarta ini dikenali sebagai Tugu Pal Putih atau dalam Bahasa Belanda disebut De Witte Paal. Dulu pada zaman Belanda juga disebut Tugu Golong-Gilig kerana di bahagian atas berbentuk seperti bulatan bola. Manakala di bahagian bawahnya atau penyangga berbentuk bulat panjang atau dalam Bahasa Jawa disebut gilig. Golong-Gilig membawa maksud menyatukan hubungan antara raja/kasultanan Yogyakarta dengan rakyatnya. Namun setelah terjadi gempa bumi pada tanggal 10 Jun 1867, tugu golong-gilig runtuh, kemudian dibina semula bentuknya seperti sekarang ini.

Tugu Yogyakarta merupakan penanda batas utara kota tua Yogya. Tugu Yogya bukanlah tugu sembarangan, tetapi ia adalah tugu yang memiliki mitos yang sangat bersejarah dan sejuta misteri di dalamnya, sehingga menjadi salah satu keistimewaan yang dimiliki kota Yogya. Ia  dibina pada tahun 1755 oleh Sri Sultan Hamengku Buwono I, yang juga membina kraton Yogyakarta. Satu pembinaan yang mempunyai nilai simbolik di mana kedudukannya berada dalam satu garis imaginasi menghubungkan Laut Selatan, Kraton Yogya dan Gunung Merapi.

Hari ini hari Jumaat. Lebih kurang jam 11.30 am kami singgah di Masjid Jami' Baitul Ma'mur untuk solat Jumaat/Zohor. Ada satu kemudahan dalam masjid ini yang saya sangat suka, iaitu tempat wuduknya yang sangat membantu bagi orang lama seperti kami.

Masjid Jami' Baitul Ma'mur
Inilah tempat wuduknya .... ada 2 batang besi (atas dan bawah)
yang menjadi tempat untuk berpaut dan meletakkan kaki
ketika membasuh kaki
Tugu Yogyakarta juga lebih dikenali sebagai Tugu Malioboro. Ini bermakna jalan yang terkenal ini sudah tentu berada berdekatan dengannya. Selepas solat kami berjalan-jalan sebentar di kawasan ini dan berjumpalah papan tanda nama Jalan Malioboro. Jalan ini terletak di antara Kraton Yogya dan Tugu Pal Putih.
Terjumpa pulak orang yang tolong mengambil gambar kami berdua
Dalam bahasa Sanskrit, "Malioboro" bermakna "Karangan Bunga". Sebutan ini menurut sumber tertenru diyakini memiliki hubungan dengan masa lampau. Pada zaman dahulu, apabila Kraton mengadakan upacara besar-besaran, maka Jalan Malioboro akan dipenuhi dengan bunga.

Jalan Malioboro terkenal sebagai syurga membeli-belah di kalangan pelancong. Di sisi kiri dan kanan jalan, sejauh mata memandang, kita akan berjumpa berbagai jenis kedai yang menjual berbagai jenis ole-ole dari jenis makanan hingga batik. Di sini juga terdapat banyak andong iaitu sejenis kereta kuda.

Andong merupakan warisan budaya yang keberadaannya memberikan warna khas kota Jogja. Kami pun tidak melepaskan peluang menaikinya pada petang itu kerana bayaran yang dikenakan agak berpatutan. Kami menyewa secara pakej iaitu mengelilingi kota ke beberapa tempat yang biasa dikunjungi pelancong termasuk Kraton Jogja. Andong ini jalannya tidak laju. Oleh kerana itu kita dapat menikmati  suasana kota Jogja dengan lebih dekat secara bersantai dan menyenangkan.
Ketika berada dalam andong .....
Kraton Yogya .... foto diambil dari andong saja
Tidak masuk kerana kesuntukan masa
Kereta kuda yang dinaiki ...
..... ini pula penariknya
Di akhir perjalanan kami meminta pemandu andong menghantar kami ke Pasar Beringharjo. Kami ke sini 2 hari berturut .... pada petang ini dan esok paginya sebelum balik ke Malaysia untuk menghabiskan saki baki rupiah yang masih ada banyak di tangan.
Pasar Beringharjo .... pagi 30 Sept 2017
Suasana dalam pasar
Pada sebelah malamnya pula kami berjalan-jalan ke Malioboro Mall pula. Niat di hati hendak cari makan malam - makanan khas dari Jogja. Susah juga handak jumpa yang bukan dari jenis nasi. Akhirnya kami mencuba Nasi Gudeg.

Nasi Gudek .... nasi putih, gudek, telor, ayam kampung, krecek
Nasi Gudek adalah nasi putih yang dimakan bersama gudek, makanan khas Yogyakarta dan Jawa Tengah, yang dibuat dari nangka muda yang dimasak dengan santan. Masakan ini memerlukan masa berjam-jam untuk membuatnya. Warna coklat makanan ini biasanya dihasilkan oleh daun jati yang dimasak bersamanya. Turut disajikan bersama nasi gudek ialah telor, ayam kampong, tahu dan sambal goreng krecek (sambel goreng tempe dengan kerupuk kulit sapi)

Malioboro Mall .... malam 29 Sept 2017
Kami pergi beberapa kali ke kawasan yang berhampiran Jalan Malioboro ini. Malioboro menjadi pusat kehidupan masyarakat Yogya. Banyak benda yang boleh dilihat selain berbelanja di sini. Salah satunya ialah seni melukis batik, di mana batik telah diiktiraf oleh UNESCO  sebagai warisan budaya Indonesia.
Sijil pengiktirafan UNESCO
Demo melukis batik
Peralatan membuat batik -
kain putih, lilin, serbuk abu, pewarna dan canting
Aktiviti ini ditempatkan di salah satu sudut dalam sebuah pusat membeli-belah iaitu Hamzah Batik. Kedai batik ini sangat popular di kalangan pelancong dan warga tempatan. Setelah puas berbelanja, bolehlah pergi pula ke persimpangan yang tidak jauh dari Malioboro, Titik Nol Kilometer namanya. Inilah titik permulaan di mana jarak semua jalan dari sini diukur
Lokasi km 0
Ini bukan persimpangan biasa. Lokasinya yang strategik iaitu di depan alun-alun utara, menjadikan tempat ini sebagai salah satu tempat paling tepat menikmati suasana Jogja secara nyaman. Kawasan pejalan kakinya yang luas mampu menampung ramai orang. Beberapa kerusi taman tersedia di sini, menambah kenyamanan pengunjung, dan dihiasi pula oleh lampu hias dan bangunan-bangunan lama peninggalan penjajah Belanda.

Jika kita menghadap ke selatan, nampak bangunan BNI dan Pejabat Pos  mengapit jalan menuju ke kraton. Jika menghadap ke utara, kita akan melihat jalan Malioboro sebagai jalan utama. Kita boleh melihat Gedung Agung (Istana Yogyakarta), Entente Vredeburg dan Monumen Serangan Umum 1 Maret di sebelah sini.
Pejabat Pos Besar Jogja
Bank Negara Indonesia (BNI) Jogja
Kawasan berhampiran monumen

Monumen Serangan Umum 1 Mac 1954
Monumen ini merupakan bukti bahawa persimpangan ini memiliki nilai sejarah yang tinggi. Monumen ini didirikan untuk menghargai jasa pahlawan. Dipimpin oleh Jendral Soedirman, serangan besar dilakukan untuk mengusir Belanda dari Yogyakarta.
Muzium Vredeburg
Kami juga melawat Benteng Vredeburg. Benteng ini dibina sebagai pusat pemerintahan dan pertahanan residen Belanda ketika itu. Benteng berbentuk persegi ini mempunyai bastion (menara pantau) di keempat sudutnya. Sekarang, benteng ini menjadi sebuah muzium.
Mesin cetak Heidelberg ......
salah satu objek yang dipamerkan
Pintu gerbang Kampoeng Ketandan
Selain daripada bangunan dan monumen kita juga boleh berjalan-jalan di kawasan berhampiran Malioboro untuk melihat budaya kehidupan warga Jogja. Dalam "jalan-jalan" ini kami ada melewati sebuah 'chinatown' yang dipanggil Kampung Ketandan. Ketandan dalam bahasa Jawa mempunyai maksud “tanda” atau “simbol”. Ia digelar Pekan Budaya Tionghoa Yogya (PBTY). Ia terletak tidak jauh dari kawasan Malioboro.

Warna-warni kehidupan di kota
Masih banyak lagi yang boleh dilihat di kota Jogja dan kawasan berdekatan. Kami hanya sempat melawat sebahagian kecil sahaja dari tempat-tempat menarik yang ada di daerah ini.


Related post:

Jogjakarta - Never Ending Asia ( part 1 )


Thursday, 9 January 2020

Jogjakarta - Never Ending Asia ( part 1 )

Perjalanan saya dan suami ke kota Jogja ini dibuat 2 tahun lepas, iaitu dari (25-30) September 2017. Ketika ini  suami ada seminar di sana. Begitulah kebiasaannya kami akan berjalan-jalan sehari dua selepas seminar atau di celah-celah masa lapang antara seminar. Tempat-tempat yang dituju selalunya bergantung pada kesuaian masa yang ada.

Pada tahun ini juga anak perempuan tunggal saya  melangsungkan perkahwinannya pada 25 Disember 2017. Jadi saya mengambil kesempatan bercuti ke Jogja ini  untuk "shopping" barang-barang keperluan sebagai persediaan majlis perkahwinannya. Oleh kerana itu lawatan kali ini bukan sahaja dianggap sebagai 'bercuti sambil bekerja' tetapi termasuk juga aktiviti membeli-belah.

Mungkin apa yang saya akan kongsikan nanti sudah agak lama berlalu tetapi tujuan utama catatan pengalaman ini lebih kepada menjadikannya sebagai koleksi peribadi saya insya Allah.
Bandar  udara Adisutjipto - mungkin sekarang tidak lagi
 menjadi international airport .... petang 25 Sept 2017
Mengikut maklumat dari internet, semua penerbangan antarabangsa akan mula beroperasi di lapangan terbang yang baharu, Yogyakarta International Airport ( YIA ) di awal tahun ini.

Ketika di Jogja kami diberi penginapan di hotel bertaraf 5 bintang. Sangatlah mewah keadaan biliknya, alhamdulillah! Bukan selalu dapat yang semewah inišŸ˜ƒ
Ucapan selamat datang secara individu siap dipancar dalam tv
Hotel Tentrem .... kolam renang yang kelihatan begitu mewah sekali
... di kawasan lobinya bersama pengangkutan tuk tuk
yang dijadikan sebagai hiasan
Jokjakarta: 'Never Ending Asia' adalah nama jolokan yang diberikan kepadanya. Mungkin ada kebenarannya di situ kerana destinasi pelancongan yang begitu banyak dan pelbagai yang terdapat di wilayah ini. Mengikut salah satu laman web pelancongan resmi kerajaan dalam promosinya mengatakan bahawa Yogyakarta adalah perpaduan moden dari seni dan daya tarik masa silam. Tradisi dan sejarah di Yogyakarta begitu kaya. Destinasi ini semacam tidak akan habis memukau pelancong dengan alam ciptaan Allah, bangunan bersejarah, makan-makan, pasar dan manusia yang memegang teguh akan  budayanya.

Namanya sendiri pun mengelirukan. Mana yang benar, Yogyakarta atau Jogjakarta? Kalau diperhatikan kedua-dua nama ini digunakan secara meluas. Cuma namaYokyakarta digunakan dalam urusan resmi, manakala Jogjakarta pula dalam bahasa seharian. Terpulanglah kita hendak guna yang mana tetapi bagi saya lebih sedap menyebut Jogja sahaja.

Yokyakarta adalah ibu kota dan pusat pemerintahan Daerah Istimewa Yogyakarta, Indonesia. Kota Yogyakarta adalah kediaman bagi Sultan Hamengkubuwana dan Adipati Paku Alam. Ia merupakan salah satu kota terbesar di Indonesia dan  kempat terbesar  di wilayah Pulau Jawa bahagian selatan setelah Bandung, Malang dan Surakarta, menurut jumlah penduduk.
Destinasi pelancongan yang berada jauh dari kota Jogja
Kami hanya ada 2 hari untuk berjalan-jalan di sini. Oleh kerana terdapat begitu banyak sekali tempat menarik yang boleh dikunjungi, kami terpaksa membuat pilihan yang mana satu yang akan kami lawati dan meranacang dengan baik perjalanan kami. Untuk tujuan ini kami telah memutuskan sehari untuk lawatan di luar kota dan sehari lagi untuk tempat-tempat yang berhampiran dengan kota. 

28 September 2017
Pada hari ini kami melawat candi Borobudur dan Gunung Merapi. Kedua tempat ini berada jauh dari kota Jogja. Jadi untuk tujuan lawatan ini, kami telah menyewa sebuah kereta bersama supirnya dan benzin dengan bayaran sebanyak 400k rupiah, untuk hari ini sahaja.

Borobudur 
Perjalanan dengan kereta dari kota Jokja ke Borobudur mengambil masa selama sejam lebih sedikit.
Borobudur ialah kuil atau candi agama Buddha yang terbesar di dunia, yang terletak di desa Boro, Kabupaten Magelang, Jawa Tengah, Indonesia. Borobudur terletak kira-kira 100 km di barat daya Semarang dan 40 km di sebelah barat laut Yogyakarta.  Kawasan Borobudur ini telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia sejak 1991. Ia juga termasuk dalam 7 keajaiban dunia.
Kemudahan dan tarikan-tarikan lain yang berada
dalam Borobudur Park
Sejarah - Nama Borobudur pertama kali ditulis dalam buku "Sejarah Pulau Jawa" karya Sir Thomas Stamford Raffles. Banyak teori yang berusaha menjelaskan nama candi ini. Mengikut teori  Raffles,yang paling mudah, mengatakan nama ini berasal dari perkataan 'Bore' (Boro) iaitu sebuah desa berhampiran dan perkataan  'Buda' (Budur) yang dalam bahasa Jawa bermakna purba. Pada zaman itu kebanyakan candi memang seringkali dinamai berdasarkan desa tempat candi itu berada. Jadi nama Borobudur bermakana "Boro purba" mengikut penulisan bahasa Inggeris.
Borobudur .... pagi 27 Sept 2017
Pengiktirafan UNESCO - Borobudur sebagai Warisan Dunia
Ke puncak tidak berapa tinggi .....
Borobudur Park
Candi Borobudur dari bawah
.... pemandangan dari atas
Candi Borobudur ini telah dibina pada kurun ke-9 dan dibina atas sebuah bukit semulajadi hanya setinggi 265 meter dari dasar laut.  Bentuk binaannya tidak sama dengan kuil-kuil Buddha di India dan China, tetapi teknik bangunan sama dengan kuil-kuil lain di Indonesia.

Borobudur apabila dilihat dari atas berbentuk empat segi. Ia mempunyai 9 tingkat, di mana 6 tingkat bawah berbentuk empat segi manakala 3 tingkat atasnya berbentuk bulat. Ada stupa induk berbentuk loceng di tengah candi dan ia menjadi puncak tertinggi monumen, iaitu 35m dari permukaan tanah.  Stupa puncak tersebut pula dikelilingi oleh tiga barisan dari 72 stupa berlubang dan ada juga yang menempatkan patung Buddha di dalamnya.
Di tengah itu adalah stupa induk dikelilingi oleh
sebarisan stupa (paling hampir) yang berlubang empat segi
Ini barisan kedua (terhampir dengan stupa induk)
 stupa yang berlubang bentuk rombus
Di sebelah kiri ini pula barisan ketiga stupa yang mengelilingi
stupa induk .... dalamnya ada patung Buddha
Ini bahagian tingkat yang berbentuk 4 segi .... ada sebanyak
504 buah patung Buddha ( seperti di kiri gambar )
dalam berbagai saiz dan posisi di candi ini
Pemandangan dari tingkat berbentuk bulat .... 
Dinding Candi juga dihiasi dengan kira-kira
2,672 panel relief .... contoh dinding di sebelah kiri
Muzium Kapal Samudra Raksa
Peta Taman Arkeologi Borobudur
Dalam taman ini ada Muzium Kapal Samudra Raksa. Kami singgah di sini terlebih dahulu sebelum keluar dari kawasan ini. Pembangunan muzium ini bertujuan untuk mengingatkan kembali akan kejayaan nenek moyang bangsa Indonesia yang berhasil mengharungi Lautan Hindi hingga ke wilayah Afrika. Pengunjung dapat melihat betapa kokohnya kapal Samudraraksa yang dibuat secara tradisional.
Gambar dari video yang dimainkan
Kapal Samudraraksa
Gambar kenangan
Kapal Samudraraksa berukuran 18.29 x 4.5 meter dengan tinggi badan 2.25 meter. Kapal ini terbahagi menjadi tiga bahagian, iaitu depan sebagai kabin tempat tidur, tengah untuk ruang makan dan navigasi, sedangkan buritan difungsikan sebagai ruang kemudi, dapur, dan tempat mencuci pinggan.

Gunung Merapi
Dalam pukul 11.15 pagi kami sudah keluar dari taman arkeologi Borobudur ini. Dari sini kami terus menuju ke Gunung Merapi untuk mengikuti aktiviti "Merapi Lava Tour".
Kedudukan Gunung Merapi di 2 wilayah
Gunung Merapi mempunyai ketinggian puncak 2,930 mdpl. Ia adalah gunung berapi di bahagian tengah Pulau Jawa dan merupakan salah satu gunung api teraktif di Indonesia. Lereng di sebelah selatan berada di bawah pentadbiran Kabupaten Sleman, Daerah Istimewa Yogyakarta, dan bakinya berada dalam wilayah Provinsi Jawa Tengah, iaitu Kabupaten Magelang di sebelah barat, Kabupaten Boyolali di sebelah utara dan timur, serta Kabupaten Klaten di sebelah tenggara. Kawasan hutan di sekitar puncaknya menjadi kawasan Taman Nasional Gunung Merapi sejak tahun 2004.

Gunung ini sangat merbahaya kerana menurut catatan moden ia meletup setiap dua atau lima tahun sekali dan dikelilingi oleh permukiman yang sangat padat. Kota Magelang dan Kota Yogyakarta adalah kota besar terdekat, berjarak kurang dari 30 km dari puncaknya. Di lerengnya masih terdapat permukiman sampai ketinggian 1700 m dan hanya berjarak empat kilometer dari puncak. 
Merapi Lava Tour 
Dalam aktiviti ini  kita dapat melihat lava atau lahar yang berasal dari letupan gunung Merapi pada tahun 2010. Bagi tujuan ini ada ejen yang menyediakan perkhidmatan jeep dengan mengambil pakej-pakej tertentu. Mereka akan membawa kita menyusuri daerah-daerah yang hancur akibat letupan gunung Merapi 2010 dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah pasca letupan.

Jeep-jeep yang tersedia ada
Ada beberapa pilihan pakej yang boleh diambil dengan harga yang berbeza dan juga laluan yang berbeza. Kami memilih pakej Jeep Short dengan harga 350k rupiah dan perjalanan selama lebih kurang 90 minit. Antara tempat menarik yang disinggah melalui pakej ini : Muzium Mini Sisa Hartaku, Batu Alien dan Bunker Kaliadem.

1. Museum Mini Sisa Harta Ku
Museum ini terletak di Dusun Petung, Desa Kepuharjo, Kecamatan Cangkringan, Sleman. Museum ini merupakan satu dari sekian banyak rumah yang hancur akibat letusan Gunung Merapi tahun 2010. Keadaan rumah yang rosak teruk mampu membuat kita membayangkan betapa mengerikannya bencana letupan Merapi yang terjadi pada tahun itu.
Letupan terakhir Gunung Merapi pada 2010 ...
Koleksi gambar ketika kerja-kerja menyelamat dijalankan
Speda motor sebagai salah satu saksi bisu .... menggamit memori
Di dalam muzium, kita dapat melihat kumpulan benda-benda yang menjadi saksi bisu kedahsyatan letupan Merapi tahun 2010. Benda tersebut antara lain sepeda motor, gamelan, rangka haiwan dan berbagai kelengkapan rumah lain yang meleleh akibat keganasan awan panas atau lebih dikenal dengan 'wedhus gembel' dikalangan warga tempatan. 
Rangka Haiwan
Model bangunan yang kini muzium sebelum letupan
Jam Letupan ... cukup terkesan bila melihatnya
 Jam ini merupakan satu-satunya jam yang menunjukkan waktu ketika rumah atau daerah di wilayah tersebut hancur akibat letupan  Merapi. Jarum pendek menunjuk angka 12 sedangkan jarum panjang menunjuk angka 5, atau dengan kata lain wilayah dusun Petung hancur pada pukul 12.05 WIB malam 5 November 2010.
Saki-baki perabot rumah

Cuba bayangkan kepanasan di waktu ini apabila melihat
TV dan lain-lain peralatan rumah hancur meleleh
Dari sini kami dibawa ke satu tempat lain untuk melihat Batu Alien.

2.Batu Alien

Batu Alien merupakan salah satu batu besar yang keluar dari mulut gunung merapi ketika letupan tahun 2010. Ia memiliki diameter lebih kurang 5 meter. Batu tersebut digelar batu Alien karena bentuknya yang menyerupai wajah manusia. Jika dilihat dari sebelah kiri batu, nampak jelas bentuk batu seperti kepala manusia lengkap dengan mata, hidung, mulut, telinga, dagu dan kening. Ramai orang berpendapat bahawa wajah di batu tersebut menunjukkan kesedihan atau sedang menangis.
Batu A[ien ... kelihatan seperti muka yang sedih
Bandingkan saiznya dengan kami ... perlu ambil foto dari 
sudut tertentu untuk dapat melihat dengan jelas wajahnya
Kawasan berhampiran .... petang ini cuaca mendung
Kemudian kami dibawa pula melihat Bunker Kaliadem.

3. Bunker Kaliadem
Pada tahun 2005, dibina sebuah bunker di lereng gunung Merapi, tepatnya di dusun Kaliadem, Desa Kepuharjo, Kecamatan Cangkringan, Sleman. Tujuannya ialah sebagai tempat perlindungan atau persembunyian ketika gunung Merapi meletus. Bunker tersebut berukuran 12 x 8 meter dan terletak di bawah tanah dengan kedalaman sekitar 3 meter. Di dalam bunker dilengkapi sebuah ruang tabung oksigen, kamar mandi, dan lampu untuk penerangan.

Pada tahun 2006 lalu, bunker ini tertimbun dengan lava akibat letupan gunung Merapi. Di dalam bunker tersebut dijumpai 2 orang mayat yang meninggal terbakar kerana suhu lava yang sangat panas  Tahun 2010 bunker Kaliadem sekali lagi ditimbun ava akibat letupan gunung Merapi. Meskipun  sudah 2 kali tertimbun lava merapi, namun sehingga hari ini bangunan bunker masih  berdiri dengan kokoh.
Keadaan Bunker selepas letepun 2010
Hanya bergambar dari luar ... tidak masuk kerana
hari hujan menyebabkan keadaan licin dan merbahaya
Juga tidak sempat naik ke sini kerana hujan semakin lebat
Dari atas bunker, dikatakan kita dapat melihat aliran lava di sungai Gendol. Kita juga dapat melihat bukit Glagahsari dari sana. Di sekitar bunker pula terdapat hamparan pasir batu yang terlihat seperti gurun. 
Keadaan kawasan yang berpasir batu
Jeep yang membawa kami (Grinata Adventure)
.... bersedia untuk perjalanan balik
Pemandu jeep kami bernama Eko, seorang yang peramah. Dialah yang mengambil gambar kami berdua sepanjang lawatan ini. 
Pakej yang kami ambil ini tidaklah mengambil masa yang lama tetapi perjalanan yang dilalui sangatlah memenatkan. Kami terpaksa melalui jalan yang sudah terbelah dan berlubang-lubang. Ketika berada dalam jeep, terasa seperti terlambung-lambung dengan hentakan-hentakan yang menyakitkan. Nasib baik kami belum makan tengahari lagi. Jika tidak, saya pasti akan terkeluar isi perut disebabkan keadaan ini. 
Satu pengalaman yang sangat menarik dan menginsafkan kerana melihat kerosakan teruk mukabumi yang dilalui. Kekuasaan Allah yang tiada siapa dapat menahannya, jika Dia menghendaki sesuatu terjadi, maka jadilah ia.


Related post:
Jogjakarta - Never Ending Asia ( part 2 )