Tuesday 20 October 2015

Kembara Turki - Istanbul ke Bursa (part 1)

Republik Turki (bahasa Turki: Türkiye Cumhuriyeti), secara rasmi dipanggil Republik Turki, ialah sebuah negara Eurasia di Timur Tengah yang terletak di antara benua Eropah dan Asia. Sebahagian besar Turki terletak di Semenanjung Anatolia di Asia dan bahagian kecil wilayahnya terletak di Wilayah Balkan Barat Laut Benua Eropah. Turki bersempadan dengan 8 negara, iaitu Bulgariadi barat laut; Greece di barat; Georgia, Armenia dan Azerbaijan di timur laut; Iran di timur; dan Iraq dan Syria di tenggara. Selain itu, ia menyempadani Laut Hitam di utara, Laut Aegea di barat, dan Laut Mediterranean di selatan. Turki juga mengandungi Laut Marmara yang dipergunakan oleh para ahli geografi untuk menandakan sempadan di antara Eropah dan Asia dan oleh itu, menyebabkan Turki merupakan sebuah negara rentas benua. Disebabkan oleh lokasinya yang strategik di persilangan dua buah benua, budaya Turki merupakan campuran budaya Timur dan Barat yang unik yang sering diperihalkan sebagai jambatan antara dua buah peradaban.

Republik Turki serta jiran-jirannya
Pengembaraan kami ke Turki bermula pada 11 Februari 2014. Hampir 2 tahun sudah berlalu, baharu sekarang berkesempatan mencatatnya di blog ini. Percutian kami kali ini diurus oleh sebuah agensi pelancongan Poto Travel. Inilah julung-julung  kalinya kami mengambil pakej percutian untuk tujuan melancong. Sebelum ini semua percutian kami diatur dan diuruskan sendiri.

Rombongan ini terdiri daripada 30 orang termasuk  "tour leader" Dr Zainundin Ali, wakil dari Poto Travel. Kami menaiki pesawat MAS dari KLIA pada malam 11 Feb dan mendarat di Istanbul Atartuk Airport jam 6.25 pagi 12 Feb. Alhamdulillah segala urusan di sini berjalan dengan lancar,  Ramai juga di kalangan kami yang menukar duit ke Turki Lira (TL) di sini sebelum meneruskan perjalanan "Kembara Turki bersama Poto Travel". Jam 8.00 pagi bas kami meluncur meninggalkan airport....maka bermulalah kembara kami selama 8 hari.

Gambar pertama di bumi Turki...
.di luar  bangunan Atartuk Airport sementara menunggu bas
Airport taxi berbaris menunggu pelanggan
Siap sudah semua naik bas.....with Mr Buraq our tour guide
Day 1
Destinasi pertama untuk hari pertama kami adalah sebuah bandar yang sarat dengan sejarah iaitu Bursa. Dari sudut banyaknya khazanah seni yang ditinggalkan oleh pemerintah Usmaniah. Bursa jatuh tempat kedua selepas Istanbul. Ia sebuah bandar besar di Turki, terletak di barat-laut Anatolia (Turki Asia) dalam bahagian Marmara. Bursa bandar keempat terbesar di Turki, selepas Istanbul, Angkara dan Izmir, dan salah satu kota pusat perindustrian yang paling utama dalam negara ini. Kota ini juga pernah menjadi ibukota pertama Kesultanan Usmaniyah dari tahun 1326 sampai 1365 sebelum berpinah ke Edirne.


Bas yang kami naiki sangat selesa serta mempunyai kemudahan wifi. Pemandunya bernama Mr Ismeth, seorang pemandu yang sangat berpengalaman. Manakala tour guide kami pula bernama Mr Buraq, seorang yang sangat berpengetahuan. Perjalanan dari Istanbul ke Bursa mengambil masa 3 jam mengikut laluan yang terdekat. Ini bermakna bas kena menaiki feri terlebih dahulu sebelum sampai ke Bursa.

Bas Mercedes Benz yang disediakan untuk kami.....sangat selesa
Dalam perjalanan, bas kami melintasi stadium bola Kelab Galatasaray, sebuah kelab bola profesional Turki. Stadium ini dikenali sebagai Turk Telekom Arena.



Türk Telekom Arena is the home ground of the Süper Lig club Galatasaray S.K.. The all-seater stadium has the capacity to host 52,652 spectators in football games. Türk Telekom Arena was the first stadium in Turkey that met the UEFA Euro 2016 requirements during the country's bid to host the European Championship

 Lebih kurang setengan jam perjalanan yang lancar, bas melalui jambatan yang memisahkan Istanbul Eropah dari Istanbul Asia . Jambatan ini dibina merentasi Selat Bosphorus yang memisahkan negara Turki menjadi dua bahagian; satu bahagian berada di benua Eropah manakala sebahagian lagi di benua Asia. Kami sangat teruja ketika melintasi jambatan gantung ini kerana dalam masa beberapa minit sahaja kami boleh berada di dua buah benua yang besar......hehehe! Jambatan yang dilalui ini adalah salah satu daripada dua jambatan yang merentasi selat Bosphorus ketika itu. Kini sudah ada jambatan yang ketiga, yang mempunyai lebuhraya untuk kenderaan yang bermotor dan juga jalan keretapi.
Kedudukan ketiga-tiga jambatan di selat Bosphorus 
  Dari atas jambatan ini kita dapat melihat satu pemandangan  alam yang sangat cantik. Kami hanya mampu menikmati keindahan alam ini dari atas bas sahaja.


Ini perjalanan melalui jambatan
ketika menuju ke Bursa dari Istanbul

Pemandangan ini dirakam dari atas jambatan ketika perjalanan pulang
 ke Istanbul .......kelihatan jambatan kedua nun jauh di belakang
(cuaca mendung tidak mengizinkan gambar yang lebih jelas) 
Saat ketika bas berada di atas jambatan......
Satu pemandangan yang indah......
Perjalanan hari ini agak menarik kerana selepas melalui jambatan, bas akan menaiki feri pula untuk ke Bursa. Ini merupakan jalan pintas untuk ke sana kerana jika mengikut jalan darat akan mengambil masa 4 jam perjalanan (lebih 1 jam). Bagi kami sebagai pelancong ia adalah perjalanan "2 in 1".... menjimat masa sambil menjamu mata.

Gambar feri lain yang dirakam dari feri yang kami naiki
 Ketika di atas feri sekali lagi kami dapat menikmati keindahan alam ciptaan Allah......kebiruan Laut Marmara sejauh mata memandang serta pemandangan indah jaluran pantainya sungguh mempesonakan. Angin laut yang menampar pipi sungguh menyegarkan....bukan selalu dapat berinteraksi dengan alam seperti ini. Walaupun matahari menyinari bumi pagi itu, namun cuaca hari itu agak sejuk juga kerana masih berada di pertengahan bulan Februari, yang dianggap bulan musim sejuk.




Kami juga sempat menjamu selera di kafe feri sambil menikmati pemandangan di luar. Terasa nyaman sekali duduk disini sambil menghirup kopi panas setelah kesejukan berada di luar atas geladak feri.


Setelah sampai Bursa perkara pertama dalam agenda kami ialah makan tengahari. Dalam pakej percutian ini setiap hari makan pagi, tengahari dan malam disediakan.....jadi kami tidak pernah kelaparan.

Berjalan-jalan bersama, makan pun bersama......ibarat satu keluarga yang besar

Ketika di luar restoran sementara menunggu bas
Agenda kami seterusnya ialah lawatan ke dua buah masjid utama di Bursa iaitu Ulu Cami dan Yesil Cami serta sebuah makam kepunyaan Sultan Mehmet 1. Kami juga dibawa ke pusat membeli belah di Silk Market yang khusus menjual sutra, salah satu produk yang terkenal di Bursa.

Insya Allah entri akan datang akan menceritakan aktiviti seterusnya bersama Poto Travel.




Kembara Turki - Underground Cities in Cappadocia

Sunday 12 April 2015

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 6 )

Day 1 - 2/6/2014
Destinasi lawatan di hari pertama:

1 Masjid Raya Baiturrahman
2 Kapal PLTD Apung
3 Kapal Apung Lampulo
4 Makam Syiah Kuala

Day 2 - 3/6/2014
Destinasi lawatan pada hari kedua:

1 Taman Sari Gunongan
2 Masjid Teuku Omar
3 Muzium Rumah Cut Nyak Dien
4 Pantai Lampuuk Lhoknga
5 Masjid Rahmatullah Lampuuk
6 Masjid Baiturrahim Ulee Lheue
7 Pelabuhan Ulee Lheue
8 Kuburan Massal Ulee Lheue
9 Lapangan Blang Padang
10 Muzium Aceh
11 Pasar Aceh

Day 3 - 4/6/2014
Destinasi lawatan pada hari ketiga - Pulau Weh   

1. Tugu Kilometer Nol
2. Pantai Iboih
3. Pantai Gapang
4. Gerai Rojak Pulau Klah
5. Masjid Jamek Kota Sabang
6  Pantai Sumur Tiga
7. Sabang Hill
8. Kota Sabang
9. Taman Wisata Kuliner

Day 4 - 5/6/2014
Destinasi lawatan pada hari keempat :

1. Perjalanan pergi ke  Kota Lhokseumawe
2. Masjid Kayu Tua Indrapuri
3. Perpustakaan Kuno Tanoh Abee

Day 5 - 6/6/2014
Destinasi lawatan hari kelima :

1. Kota Lhokseumawe
2. Islamic Centre Lhokseumawe
3. Perjalanan pulang ke Banda Aceh

Day 6 - 7/6/2014
Hari terakhir lawatan ke Aceh



7/6/2014
Hari ini kami akan pulang ke Malaysia setelah bermusafir selama 5 hari di Tanah Rencong, Aceh. Penerbangan ke Malaysia dijadualkan pukul 12.55 tengahari, tetapi pada hari itu ada flight delay. Pukul 2.30 baharu kapalterbang dapat berlepas kerana masalah teknikal .... saspens juga kerana kapalterbang sudah bergerak, kemudian tiba-tiba berhenti menyebabkan kelewatan sehingga hampir  satu jam setengah. Apa-apa pun syukur alhamdulillah kami sampai ke KLIA dengan selamat. Pukul 5.30 ptg waktu Malaysia baharu selesai mengambil beg masing-masing.

Pagi itu kami cek-out dari hotel pukul 9.30 pagi. Sepertimana saya pernah sebut sebelum ini. pihak hotel ada menyediakan perkidmatan menjemput dan menghantar tetamunya ke airport.secara percuma Jadi pagi itu kami juga meminta supir singgah di Pasar Aceh sebentar sebelum ke airport kerana masih lagi awal untuk terus ke sana. Kami juga masih ada baki rupiah yang boleh dibelanjakan setelah mengenepikan cukai airport yang wajib dibayar sebelum boleh balik ke Malaysia.






Sambil menungu supir mengambil keretanya.....suasana dalam
Hotel Rumoh PMI (Palang Merah Indonesia)

Bergambar kenangan di luar hotel
Jom kita ke Banda Aceh International Airport 

Lapangan Terbang Banda Aceh dikenali sebagai Bandara Sultan Iskandar Muda. Bandara adalah kata ringkas dari dua perkataan iaitu bandar dan udara. Jadi sebetulnya lapangan terbangnya dipanggil Bandar Udara Internasional Sultan Iskandar Muda. Ia adalah sebuah bandar udara yang melayani Kota Banda Aceh dan sekitarnya, yang terletak di wilayah Kecamatan Blang Bintang, Aceh Besar, Provinsi Aceh. Bandara ini dikelola oleh PT Angkasa Pura II, untuk melayani laluan domestik dan internasional. Ketika ini sudah ada dua penerbangan internasional, iaitu Air Asia ke Kuala Lumpur dan Firefly ke Penang.

Bandara ini juga pernah difungsikan sebagai pengkalan pengiriman ubat-ubatan sesudah gempa bumi Lautan Hindi 2004. Kapalterbang  dari serata pelosok dunia,berulang-alik membawa ubat-ubatan  kepada para mangsa yang tepisah di berbagai wilayah yang dilanda tsunami di Aceh. Setelah selesai fungsi tersebut, bandara ini telah direnovasi dan kini memiliki landasan sepanjang 3.000 meter yang mampu menampung pesawat berbadan lebar. Seterusnya ia menjadi tempat transit bagi perusahaan penerbangan internasional.

Nama bandara ini diambil dari nama Sultan Iskandar Muda, seorang pahlawan Nasional Indonesia dari Aceh.

Lokasi Sultan Iskandar Muda International Airport
Bandara Sultan Iskandar Muda
sumber:http://www.skyscrapercity.com







Balai Berlepas
Bandara Internasional Sultan Iskandar Muda 
Jangan lupa bayar cukai airport.....
PSC INTERNASIONAL IDR 100,000
Rp 100,000 seorang.....paid

Arrival and Departure card (belakang dan depan)
Jangan lupa isi waktu tiba dan waktu nak balik
Selesai semua baharulah kita boleh naik pesawat dan balik ke Malaysia.





Puncak Seulawah di kejauhan
Selamat tinggal Aceh
Ole-ole dari Aceh
Dalam salah satu perjalanan kami bersama Pak Iskandar dia menceritakan bagaimana orang Malaysia sukaaa... sangat bershopping di Pasar Aceh. Tidak cukup sekali pergi .... mesti  berkali-kali dengan alasan hendak habiskan duit rupiah. Kami juga pergi 2 kali.....kali yang kedua itu memang hendak habiskan rupiah tetapi tidak sempat kerana kesuntukan masa. Bila ditukar balik ke ringgit kita mendapat nilai yang lebih rendah, menyebabkan kerugian.

Apa yang menarik shopping di sana? Mungkin produknya berlain sedikit dari Malaysia atau pun sebab terdapat banyak pilihan. tidak kurang juga kerana harga yang menarik. Anak-anak membeli baju yang mereka rasakan ada kelainan dari segi reka bentuknya. Saya pula mencari baju yang murah dari bahan kain yang selesa dipakai. Kain pelikat dan kain batik Indon juga menjadi kegemaran orang Malaysia untuk dijadikan sebagai buah tangan bagi sanak-saudara di Malaysia.

Telekung ini hanya berharga Rp 29,000 (Rm 8-9)...
dibuat daripada kain kapas yang sangat selesa dipakai

Kraf tangan unik dari Aceh
Apabila kita ke negeri orang, selain memiliki barangan produk yang boleh dipakai atau diguna, kita juga seharusnya merasai produk makanan khas tempatan. Baharulah kita berasa telah benar-benar meneroka tempat yang dilawati......melihat, merasa dan mengalami.

Buah salak dari Sabang .....sangat manis
  Kue Adee Meureudu Kak Nah.....
(kuih bengkang tepung dan ubi)
....ikon Kabupaten Pidie Jaya, Aceh
Ole-ole khas Aceh (dari kiri) .......
 ikan kayu kering, daging kering 'Dendeng', kopi Aceh
Keropok kulit sapi......belum pernah jumpa di Malaysia
Syukur alhamdulillah,..... Allah telah memberi rezeki dan kesempatan kepada kami membawa anak-anak bercuti bersama menikmati alam ciptaanNya sambil mengeratkan hubungan kekeluargaan. Saya juga sangat bersyukur kerana percutian berjalan sebaik yang dirancang tanpa sebarang musibah. Pada Allahlah kita memohon segala kebaikan dan pada Allah jualah kita menabur kesyukuran di atas segala nikmat yang diberi.



Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - part 1)

Jejak Aceh - Pantai Lampuuk- Masjid Rahmatullah Lhoknga

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - part 2)

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - Part 3)

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 3)

Jejak Aceh - Perpustakaan Kuno Tanoh Abee

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 4 )

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 5 )

Hujung Dunia - KM 0 (Zero) Sabang