Saturday 15 February 2020

Kota Batu - Swiss Kecil di Pulau Jawa (part 1)

Pada 8-13 Oktober 2018 saya dan suami ke Indonesia lagi. Ini merupakan lawatan yang ke-4 ke Indonesia bagi saya. Kali ini kami ke bahagian Jawa Timur pula. Tempat yang dituju secara tepat adalah Kota Batu, dan seperti biasa perjalanan ini juga termasuk dalam lawatan sambil bekerja. Sekali lagi catatan  ini dijadikan sebagai memori perjalanan kami.

Batu terkenal sebagai salah satu kota pelancongan terkemuka di Indonesia kerana potensi keindahan alam yang luar biasa yang dimilikinya. Kekaguman bangsa Belanda terhadap keindahan dan kecantikan alam Batu membuat mereka menyamakan wilayah kota Batu ini dengan sebuah negara di Eropah iaitu Switzerland, lalu diberi jolokan kepadanya sebagai 'Swiss Kecil di Pulau Jawa'.

Sejak abad ke-10, wilayah Batu dan sekitarnya telah dikenali sebagai tempat beristirehat bagi kalangan kakitangan kerajaan, kerana wilayahnya terdiri dari daerah pegunungan dengan kesejukan udara yang nyaman, ditambah pula keindahan pemandangan alamnya sebagai ciri khas daerah pegunungan.
Promosi melancong ke kota Batu 
Kota Batu adalah sebuah kota di Provinsi Jawa Timur, Indonesia. Kota ini terletak 90 km sebelah barat daya Surabaya atau 15 km sebelah barat laut Malang. Wilayah kota ini berada di ketinggian 700-2.000 meter dan purata ketinggian iaitu 871 meter di atas permukaan laut dengan suhu udara rata-rata mencapai 11-19 darjah Celsius.
Kedudukan kota Batu di tanah tinggi di bahagian Jawa Timur
Semua penerbangan ke kota Batu akan mendarat di lapangan terbang Abdul Rahman Saleh Malang, kerana kota Batu tidak mempunyai lapangan terbang. Walaupun jarak kota Malang ke Kota Batu hanya 15 km tetapi perjalanannya mengambil masa yang agak lama kerana kesesakan lalu-lintas yang teruk. Pada petang itu kami terpaksa mengharungi jalan ini selama kira-kira 2 jam untuk sampai ke Batu.
Melalui jalan tol Surabaya - Mojokerto ....
..... macet tiap-tiap hari dan masa
Pada masa sekarang ramai ahli perniagaan yang kaya-raya dari Surabaya dan Malang memiliki rumah  percutian di sini. Kawasan ini juga merupakan pusat pertanian utama kebun epal. Sehingga tahun 2001, Batu secara pentadbiran merupakan sebahagian dari Malang. Namun sejak tahun itu kota ini merupakan kota yang berdiri sendiri.

Pada pagi 9 Oktober suami dan rakan sejawatnya membuat lawatan ke Universitas Brawijaya. Pada sebelah petang kami berjalan-jalan di Kota Batu dan kawasan sekitar.

Antara tempat yang sempat kami melawat pada petang itu:

Alun-Alun Kota Batu
Alun-alun ini seperti sebuah dataran.  Ia merupakan jantung Kota Batu kerana banyak aktiviti setempat dijalankan di sini. Ia juga digunakan sebagai tempat rekreasi bagi warga kota. Dikatakan ramai warga kota yang datang ke sini untuk beraktiviti sukan seperti berjoging dan berbasikal.

Kami ke sini pada sebelah petang dan kelihatan beberapa keluarga membawa anak-anak kecil mereka bermain-main di taman. Taman ini menarik kerana terdapat beberapa buah replika 'buah gergasi'. Ada bangunan berbentuk strawberi dan epal yang berfungsi sebagai pusat maklumat dan bilik air awam. Kemudian ada tugu berbentuk buah epal di tengah taman. Jikalau ingin menikmati suasana taman kota yang indah bolehlah datang ke sini terutama di malam hari kerana ia akan bersepadu dengan gemerlapnya lampu taman yang dinyalakan.

Taman ini juga dilengkapi dengan sebuah 'Ferris Wheel' atau bianglala setinggi 60 meter, yang membolehkan kita menikmati pemandangan Kota Batu dari atas tetapi kami tidak menaikinya pada hari itu. Tidak pasti kenapa, tetapi nampak macam tidak beroperasi pada masa itu, Mungkin waktu rehat agaknya. Selalunya kami pun kurang berminat dengan aktiviti seperti ini. Ia sepatutnya dibuka dari 9 am - 10 pm dan ditutup ketika waktu rehat.
Tugu buah epal ... sepatutnya ada air pancut
di sekelilngnya tetapi tidak dibuka

..... petang 9 Oktober 2018
Bangunan buah strawberi dan epal
Tnada nama Alun-alun Kot Batu ... Ferris Wheel di belakang
Masjid An Nuur .... terletak berdekatan dengan alun-alun
Di belakang itu Pasar Laron ... juga berdekatan 
dengan alun-alun yang kelihatan masih lengang 
Pasar Laron ini adalah tempat Pedagang Kaki Lima yang berada di sekitar Alun-Alun. Nama unik yang dimiliki pasar ini mempunyai maksud yang sesuai dengan keadaan pasar yang sibuk ketika menjelang malam. Nama yang diambil dari kata laron (kelkatu), kerana sifat serangga tersebut yang selalu mendekati sumber cahaya, sama seperti aktiviti di pasar yang nampak ramai dan sibuk di waktu petang hingga malam hari di tengah gemerlapnya lampu-lampu kota Batu.

Universitas Muhammadiyah Malang (UMM)
Dari alun-alun kami terus ke kampus ke-3 UMM yang terletak di Jalan Raya Tlogomas 246 Malang. Universiti ini termasuk antara Pendidikan Tinggi Swasta (PTS) yang terkemuka di Indonesia. Ia dimiliki sepenuhnya oleh organisasi Muhammadiyah, iaitu sebuah organisasi Islam yang besar di Indonesia.

Sebenarnya ketika di sini kami hanya berada di persekitaran masjid universiti iaitu Masjid AR. Fachruddin. Masjid ini terletak berhampiran dengan salah satu gerbang masuk kampus. Lokasi masjid yang dekat dengan Jalan Raya, menjadi mudah bagi orang yang lalu jalan tersebut melihat Masjid AR Fachruddin. Ramai yang singgah untuk melaksanakan sholat dan ada juga, yang sperti kami, sekadar istirehat sebentar dan menikmati keindahan senibina serta alam sekitar masjid tersebut.

Masjid AR Fachruddin merupakan masjid kampus terbesar di Asia Tenggara. Di dalamnya terdapat 81 tiang sebagai penyokong bangunan masjid sehingga masjid menjadi kokoh. Walaupun beberapa kali terjadi gempabumi, namun  Masjid AR Fachruddin tidak terkesan apa- apa. Masjid ini mampu menampung sebanyak 5.500 jamaah. Masjid ini juga mempunyai sebuah menara dengan ketinggian 750 meter yang berfungsi sebagai tempat pembesar suara untuk azan dan juga sebagai antena Radio UMM FM.
Menara masjid setinggi 751 m .... petang 9 Okt 2018
Sebahagian lagi bangunan masjid
Tangga masjid
Senibina masjid yang sangat menarik ... dikatakan
gabungan antara gaya senibina modern, Jawa dan Arab 
Masjid AR. Fachruddin dibina pada tahun 1995 dan diresmikan oleh Presiden BJ. Habibie (Presiden RI ke 3) pada tahun 1998. Masjid ini terdiri dari 5 tingkat. Tingkat ketiga dan keempat menjadi tempat untuk melakukan ibadah solat. Manakala tingkat selain itu semuanya adalah sebagai tempat untuk berbagai kegiatan. Masjid AR. Fachruddin ini merupakan tempat pusat dakwah Muhammadiyah dan pusat kegiatan keislaman samada untuk mahasiswa UMM sendiri maupun masyarakat umum.
Halaman masjid ... cantik dihiasi tanaman dan air pancut

Di belakang kelihatan bangunan  yang diberi nama UMM Dome
.... juga merupakan pusat kegiatan terutama seni dan sukan
Kami datang ke sini dengan menaiki teksi. Ketika hendak pulang, tidak jumpa pula teksi yang mahu ke kota Batu. Terpaksa mencari kenderaan alternatif.

Balik naik van seperti ini 2x .... kena transit di stesyen
 sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Batu
Kami tiba balik ke hotel lewat petang
tetapi di sini hari cepat gelap ... singgah berfoto kerana
tertarik dengan lampu warna-warni di hadapan hotel
Sebelah malamnya kami dibawa oleh pihak penganjur seminar menjamu selera di rumah makan Sate Hotplet. Tempat ini antara yang terkenal di kalangan pelancong. Cara penyajian yang dihidangkan di atas hotplet bersama kuah kacang serta irisan bawang merah dan limau nipis. membezakan ia dari hidangan sate biasa. Selain dari sate ada juga menu lain khas dari Indonesia. Walaupun terdapat makanan yang sama seperti di Malaysia ( contoh tempe dan tahu) tetapi cara hidangan dan makannya berbeza sedikit. Secara keseluruhan makanannya enak bangat😋


Rumah makan Sate Hotplet .... malam 9 Okt 2018
Sate yang dihidang atas hotplate
Sumber foto:https://www.malang-guidance.com
Pada 10 Oktober 2018 suami menghadiri seminar dari pagi sampai ke petang. Pada sebelah malamnya kami dibawa oleh seorang supir dari sebuah universiti melawat Museum Angkut dengan keretanya.
Dibuka pada 9 Mac 2014 ... 
.... dipercayai yang pertama di Asia Tenggara
Muzium Angkut ini menarik kerana kita berpeluang melihat koleksi-koleksi kenderaan yang hebat dan memiliki nilai sejarah yang tinggi. Di sini juga kita dapat melihat evolusi kenderaan yang digunakan oleh manusia dari masa ke masa. Muzium ini memiliki keluasan sekitar 3 hektar dan dibahagi menjadi beberapa bahagian yang mempamerkan koleksi kenderaan yang berbeza-beza.

Di muzium ini kita seolah merasakan berkeliling dunia, menelusuri aneka kenderaan zaman dahulu dan masa kini dari berbagai negara asal pembuatnya. Tidak seperti kebanyakan muzium yang selalunya membosankan, keistimewaan Muzium Angkut ini dengan konsep melihat dan berinteraksi yang sangat menarik, sungguh meyeronokkan. Konsep yang menyepadukan antara sejarah dan perkembangan dunia pengangkutan dengan legenda Movie Stars atau para bintang film di zamannya. Lebih menarik lagi dengan latar belakang kota-kota dan bangunan eksotik seperti di Batavia, Eropah, Amerika, Chinatown dan sebagainya, sangat unik.
Pengangkutan yang menggunakan tenaga binatang 
Maklumat evolusi penciptaan basikal
Antara kereta awal jenis Ford .... menarik ada 'beg' di belakang
..... zaman sekarang guna 'roof box'
Kereta sport Italy .... Ferrari simbol kemewahan dan kekayaan.
Helikopter pertama  dimiliki Indonesia yang diberi nama Si Walet
Heli Bell 47J .... helikopter buatan Amerika pada 1958.
Apollo view .... pintu masuk ke menara
Menara Apollo
Pemandangan Kota Batu di waktu malam ... 850 mdpl
Di tingkat dua, pengunjung boleh menikmati pemandangan alam Kota Batu dari atas menara Apollo yang menyerupai pesawat ruang angkasa. Untuk sampai ke atas memerlukan kesabaran kerana harus  menaiki banyak anak tangga. Ini merupakan puncak tertinggi di muzium ini, 850 mdpl.Terasa sejuk dan nyaman berada di sini. Perjuangan untuk menaiki menara Apollo ini terbayar dengan pemandangan indahnya Kota Batu. Kami menaikinya di waktu malam. Jika datang waktu siang sudah pasti pemandangan alamnya lebih indah, dengan berbagai tumbuhan dan pergunungan yang mengelilingi kota. 
Suasana mirip Chinatown
Suasana seperti di Pelabuhan Sunda Kelapa


Macam suasana di Eropah .... menara condong Pisa Italy
Kumpulan kereta Mercedes-Benz .... di German?
Kereta Mr Bin yang sangat terkenal .... dari UK
Bernuansakan Hollywood
Kawasan muzium ini sangatlah luas. Sebaiknya luangkanlah masa yang banyak untuk berada di sini. Rasanya ada lagi bahagian yang kami tidak 'terpergi' malam itu. Pertama sebab masa yang suntuk dan ditambah pula rasa keletihan. Antaranya seperti bahagian  D’Topeng Kingdom dan replika kapalterbang presiden Indonesia.
Replika pesawat Presiden ..... petang 11 Okt 2018

Related Post:

1. Kota Batu - Swiss Kecil di Pulau Jawa (part 2)


2. Surabaya - Kota Pahlawan

Monday 27 January 2020

Jogjakarta - Never Ending Asia ( part 2 )

Ini adalah bahagian ke-2 daripada catatan memori lawatan kami ke Jogja. Bahagian pertama boleh dilihat di SINI . Jika di catatan sebelum ini saya menceritakan tentang lawatan ke tempat menarik yang berada di luar kota, tetapi pada kali ini yang berada berhampiran dengan kota pula.

Selepas pulang dari lawatan ke Gunung Merapi, kami berpindah ke Hotel Amaris yang lebih murah (400k rupiah untuk 2 malam) kerana kini perbelanjaan akan ditanggung sendiri😀Kami berpindah dengan menggunakan kereta sewa dan menginap di sini selama 2 malam lagi.

29 September 2017
Untuk lawatan hari ini kami tidak menyewa kereta. Kami hanya menggunakan kenderaan awam untuk bergerak ke tempat-tempat yang ingin dituju.

Kota Jogja sangat kaya akan budaya dan sejarah. Jika melawat Jogja, Malioboro dan Persimpangan Titik Nol Kilometer merupakan tempat wajib untuk didatangi. Ketika kita berkunjung ke kota ini, seboleh mungkin kita menyempatkan untuk singgah ke Tugu Jogja, Jalan Malioboro, dan Pasar Beringharjo. Kononya belum ke Jogja kalau belum ke kawasan ini.

Tempat yang pertama kami tuju pada hari ini ialah Tugu Yogyakarta dengan menaiki beca bermotor. Kami naik berdua dalam satu motor, yang sebenarnya muat untuk seorang sahaja, jika kita berbadan besar sepert kami, dan dikenakan bayaran sebanyak 25k rupiah.

Tugu Yogyakarta merupakan salah satu simbol atau ciri khas Yogyakarta. Ia terletak di simpang empat antara Jl Sudirman di sisi timur, Jl AM Sangaji di sisi utara, Jl Diponegoro di sisi barat dan Jl Mangkubumi di sisi selatan.
Tugu Yogyakarta di belakang .... pagi  29 Sept 2017
Tugu Yogyakarta ini dikenali sebagai Tugu Pal Putih atau dalam Bahasa Belanda disebut De Witte Paal. Dulu pada zaman Belanda juga disebut Tugu Golong-Gilig kerana di bahagian atas berbentuk seperti bulatan bola. Manakala di bahagian bawahnya atau penyangga berbentuk bulat panjang atau dalam Bahasa Jawa disebut gilig. Golong-Gilig membawa maksud menyatukan hubungan antara raja/kasultanan Yogyakarta dengan rakyatnya. Namun setelah terjadi gempa bumi pada tanggal 10 Jun 1867, tugu golong-gilig runtuh, kemudian dibina semula bentuknya seperti sekarang ini.

Tugu Yogyakarta merupakan penanda batas utara kota tua Yogya. Tugu Yogya bukanlah tugu sembarangan, tetapi ia adalah tugu yang memiliki mitos yang sangat bersejarah dan sejuta misteri di dalamnya, sehingga menjadi salah satu keistimewaan yang dimiliki kota Yogya. Ia  dibina pada tahun 1755 oleh Sri Sultan Hamengku Buwono I, yang juga membina kraton Yogyakarta. Satu pembinaan yang mempunyai nilai simbolik di mana kedudukannya berada dalam satu garis imaginasi menghubungkan Laut Selatan, Kraton Yogya dan Gunung Merapi.

Hari ini hari Jumaat. Lebih kurang jam 11.30 am kami singgah di Masjid Jami' Baitul Ma'mur untuk solat Jumaat/Zohor. Ada satu kemudahan dalam masjid ini yang saya sangat suka, iaitu tempat wuduknya yang sangat membantu bagi orang lama seperti kami.

Masjid Jami' Baitul Ma'mur
Inilah tempat wuduknya .... ada 2 batang besi (atas dan bawah)
yang menjadi tempat untuk berpaut dan meletakkan kaki
ketika membasuh kaki
Tugu Yogyakarta juga lebih dikenali sebagai Tugu Malioboro. Ini bermakna jalan yang terkenal ini sudah tentu berada berdekatan dengannya. Selepas solat kami berjalan-jalan sebentar di kawasan ini dan berjumpalah papan tanda nama Jalan Malioboro. Jalan ini terletak di antara Kraton Yogya dan Tugu Pal Putih.
Terjumpa pulak orang yang tolong mengambil gambar kami berdua
Dalam bahasa Sanskrit, "Malioboro" bermakna "Karangan Bunga". Sebutan ini menurut sumber tertenru diyakini memiliki hubungan dengan masa lampau. Pada zaman dahulu, apabila Kraton mengadakan upacara besar-besaran, maka Jalan Malioboro akan dipenuhi dengan bunga.

Jalan Malioboro terkenal sebagai syurga membeli-belah di kalangan pelancong. Di sisi kiri dan kanan jalan, sejauh mata memandang, kita akan berjumpa berbagai jenis kedai yang menjual berbagai jenis ole-ole dari jenis makanan hingga batik. Di sini juga terdapat banyak andong iaitu sejenis kereta kuda.

Andong merupakan warisan budaya yang keberadaannya memberikan warna khas kota Jogja. Kami pun tidak melepaskan peluang menaikinya pada petang itu kerana bayaran yang dikenakan agak berpatutan. Kami menyewa secara pakej iaitu mengelilingi kota ke beberapa tempat yang biasa dikunjungi pelancong termasuk Kraton Jogja. Andong ini jalannya tidak laju. Oleh kerana itu kita dapat menikmati  suasana kota Jogja dengan lebih dekat secara bersantai dan menyenangkan.
Ketika berada dalam andong .....
Kraton Yogya .... foto diambil dari andong saja
Tidak masuk kerana kesuntukan masa
Kereta kuda yang dinaiki ...
..... ini pula penariknya
Di akhir perjalanan kami meminta pemandu andong menghantar kami ke Pasar Beringharjo. Kami ke sini 2 hari berturut .... pada petang ini dan esok paginya sebelum balik ke Malaysia untuk menghabiskan saki baki rupiah yang masih ada banyak di tangan.
Pasar Beringharjo .... pagi 30 Sept 2017
Suasana dalam pasar
Pada sebelah malamnya pula kami berjalan-jalan ke Malioboro Mall pula. Niat di hati hendak cari makan malam - makanan khas dari Jogja. Susah juga handak jumpa yang bukan dari jenis nasi. Akhirnya kami mencuba Nasi Gudeg.

Nasi Gudek .... nasi putih, gudek, telor, ayam kampung, krecek
Nasi Gudek adalah nasi putih yang dimakan bersama gudek, makanan khas Yogyakarta dan Jawa Tengah, yang dibuat dari nangka muda yang dimasak dengan santan. Masakan ini memerlukan masa berjam-jam untuk membuatnya. Warna coklat makanan ini biasanya dihasilkan oleh daun jati yang dimasak bersamanya. Turut disajikan bersama nasi gudek ialah telor, ayam kampong, tahu dan sambal goreng krecek (sambel goreng tempe dengan kerupuk kulit sapi)

Malioboro Mall .... malam 29 Sept 2017
Kami pergi beberapa kali ke kawasan yang berhampiran Jalan Malioboro ini. Malioboro menjadi pusat kehidupan masyarakat Yogya. Banyak benda yang boleh dilihat selain berbelanja di sini. Salah satunya ialah seni melukis batik, di mana batik telah diiktiraf oleh UNESCO  sebagai warisan budaya Indonesia.
Sijil pengiktirafan UNESCO
Demo melukis batik
Peralatan membuat batik -
kain putih, lilin, serbuk abu, pewarna dan canting
Aktiviti ini ditempatkan di salah satu sudut dalam sebuah pusat membeli-belah iaitu Hamzah Batik. Kedai batik ini sangat popular di kalangan pelancong dan warga tempatan. Setelah puas berbelanja, bolehlah pergi pula ke persimpangan yang tidak jauh dari Malioboro, Titik Nol Kilometer namanya. Inilah titik permulaan di mana jarak semua jalan dari sini diukur
Lokasi km 0
Ini bukan persimpangan biasa. Lokasinya yang strategik iaitu di depan alun-alun utara, menjadikan tempat ini sebagai salah satu tempat paling tepat menikmati suasana Jogja secara nyaman. Kawasan pejalan kakinya yang luas mampu menampung ramai orang. Beberapa kerusi taman tersedia di sini, menambah kenyamanan pengunjung, dan dihiasi pula oleh lampu hias dan bangunan-bangunan lama peninggalan penjajah Belanda.

Jika kita menghadap ke selatan, nampak bangunan BNI dan Pejabat Pos  mengapit jalan menuju ke kraton. Jika menghadap ke utara, kita akan melihat jalan Malioboro sebagai jalan utama. Kita boleh melihat Gedung Agung (Istana Yogyakarta), Entente Vredeburg dan Monumen Serangan Umum 1 Maret di sebelah sini.
Pejabat Pos Besar Jogja
Bank Negara Indonesia (BNI) Jogja
Kawasan berhampiran monumen

Monumen Serangan Umum 1 Mac 1954
Monumen ini merupakan bukti bahawa persimpangan ini memiliki nilai sejarah yang tinggi. Monumen ini didirikan untuk menghargai jasa pahlawan. Dipimpin oleh Jendral Soedirman, serangan besar dilakukan untuk mengusir Belanda dari Yogyakarta.
Muzium Vredeburg
Kami juga melawat Benteng Vredeburg. Benteng ini dibina sebagai pusat pemerintahan dan pertahanan residen Belanda ketika itu. Benteng berbentuk persegi ini mempunyai bastion (menara pantau) di keempat sudutnya. Sekarang, benteng ini menjadi sebuah muzium.
Mesin cetak Heidelberg ......
salah satu objek yang dipamerkan
Pintu gerbang Kampoeng Ketandan
Selain daripada bangunan dan monumen kita juga boleh berjalan-jalan di kawasan berhampiran Malioboro untuk melihat budaya kehidupan warga Jogja. Dalam "jalan-jalan" ini kami ada melewati sebuah 'chinatown' yang dipanggil Kampung Ketandan. Ketandan dalam bahasa Jawa mempunyai maksud “tanda” atau “simbol”. Ia digelar Pekan Budaya Tionghoa Yogya (PBTY). Ia terletak tidak jauh dari kawasan Malioboro.

Warna-warni kehidupan di kota
Masih banyak lagi yang boleh dilihat di kota Jogja dan kawasan berdekatan. Kami hanya sempat melawat sebahagian kecil sahaja dari tempat-tempat menarik yang ada di daerah ini.


Related post:

Jogjakarta - Never Ending Asia ( part 1 )