Showing posts with label dataran. Show all posts
Showing posts with label dataran. Show all posts

Tuesday, 13 June 2023

Bercuti di Desaru - UPDATE

Di bawah ini adalah link ke post yang menceritakan lawatan pertama kami ke daerah Pontian dan Kota Tinggi.  Sejak dari lawatan ini sudah 2 kali kami ke sini. Posting saya kali ini bertujuan untuk menokok-nambah apa yang telah diceritakan sebelum ini kerana banyak juga tempat yang tidak sempat pergi semasa lawatan pertama, kami "cover" ketika lawatan kedua dan ketiga.

Bercuti di Desaru - Pontian

Cuti di Desaru - Tanjung Piai

Bercuti di Desaru - Sungai Rengit & Tanjung Pengelih

Bercuti di Desaru - Desaru Fruit Farm

UPDATE 1

Ok kita mula dulu dengan daerah Pontian - lawatan pertama pada 20 Ogos 2020, diikuti dengan lawatan kedua pada 4 dan 5 Nov 2021

Lawatan kedua ini merupakan program 'family gathering' yang boleh dikatakan aktiviti yang dibuat setiap tahun, kecuali ketika PKP. Bagi saya dan suami, kami mengambil peluang ini dengan meneroka tempat yang tidak bekesempatan dilawati pada kali pertama. Ketika melalui daerah Pontian sekali lagi kami singgah di bandar Pontian.

Petikan dari post pertama:
Inilah kali pertama kami datang ke dataran ini untuk bergambar sebagai kenang-kenangan. Lokasi "I Love Pontian" menjadi spot kegemaran pengunjung bergambar di sini. Di hujung taman adalah Laman Di Raja dengan monumen mahkota. Taman ini agak luas juga. Kami tidak pergi ke Laman Di Raja itu .... hanya melihatnya dari jauh. Kami tidak boleh berlama-lama di sini kerana ingin sampai ke Tanjung Piai seawal mungkin supaya cuaca tidak terlalu panas ketika di sana nanti.

Jika di lawatan pertama, kami hanya singgah di sini 'sekejap' sahaja tetapi pada kali ini kami ada banyak masa untuk meninjau Taman Tepi Laut dengan lebih jauh dan juga bersantai di Tambak Pontian  sambil menikmati keindahan pemandangan laut ciptaan Allah. Kalau sebelum ini Laman Di Raja itu dilihat dari jauh sahaja, tetapi kali ini kami betul-betul ke sana dan bergambar sakan😄dengan cucu-cucu.

Bersantai bersama anak-cucu di Tambak Pontian

Laman Di Raja dengan monumen mahkota

.... serta kawasan yang luas untuk anak-anak berlari-lari

Pada lawatan pertama kami hanya sempat ke Tanjung Piai Kukup dan tidak berkesempatan untuk berlama-lama di pekan Kukup, kerana terpaksa meneruskan perjalanan ke Tanjau Balau Desaru yang merupakan destinasi percutian kami yang sebenarnya. Namun pada lawatan kali kedua ini kami memang bermalam di sini. Jadi pada sebelah petang 4/11/21 kami ke Jeti perkampungan air (Kg Kukup Laut) untuk melihat matahari terbenam. Jauh jugalah kami berjalan mencari jetinya 😰 Kami juga pergi melihat bangunan Terminal Feri Antarabangsa Kukup.


Hanya bergambar di depan pintu masuk terminal feri

Melihat matahari terbenam di jeti .... tak berapa nampak
mataharinya pada petang itu

Sekitar kampung  air ... semua rumah dan
landasan pejalan kaki berada di atas air laut

UPDATE 2 (Muzium Nelayan)

Petikan dari post pertama:

Niat di hati hari ini hendak ke Pantai Desaru di Bandar Penawar, tetapi apabila cuba masuk jalan ke pantai, sudah ada penghalang merentas jalan serta penjaganya sekali.😒 Mungkin pantai sudah penuh agaknya kerana kami keluar sudah agak lewat sedikit. Kami pun teruskan perjalanan ke Sungai Rengit, yang merupakan bandar utama untuk Pengerang.

Pada 28/8/2022 kami pergi ke daerah Kota Tinggi untuk kali yang ke-3. Lawatan kali ini untuk menziarah anak yang tinggal di Pengerang kerana sudah lama tidak dapat berjumpa ........ baca.seterusnya

UPDATE 3 (Sungai Rengit)
Inilah pertama kali kami sampai ke bandar Sungai Rengit. Untuk menyimpan kenangan ini, kami telah pergi ke datarannya untuk bergambar sambil menikmati keindahan laut. Kemudian kami ke Teluk Ramunia mencari pantai, kalau ada .... 😃😃 tak jumpa! Lepas itu kami ke Tanjung Pengelih, salah satu dari jeti yang menawarkan perkhidmatan feri ke Singapura dan beberapa pulau berdekatan. Satu lagi jeti adalah di Tanjung Belungkor yang juga terletak di Pengerang, Sebenarnya kami terlupa hendak ke sini.

Kali pertama kami ke sini (Sungai Rengit) pada 21 Ogos 2021. Kemudian kami ke sini sekali lagi dari 27 hingga 29 Disember 2021 bersama keluarga kerana ia menjadi lokasi pilihan Hari Keluarga kecil kami yang biasa dibuat pada hujung tahun........ baca seterusnya


Tuesday, 14 September 2021

Bercuti di Desaru - Pontian

Ini merupakan percutian pertama kami setelah habis PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang pertama, yang telah dibuat pada (20-22) Ogos 2020. Sudah agak lama jugalah kami tidak pergi bercuti. Oleh kerana itu sebaik sahaja selesai PKP, terus merancang untuk pergi bercuti.

Ada  beberapa faktor yang menyebabkan kami lama tidak dapat pergi bercuti. Pertama kerana saya telah menjalani pembedahan lutut (TKR) pada pertengahan Januari tahun lepas dan ia telah membataskan  pergerakan saya selama hampir setengah tahun. Kemudian seluruh negara diletakkan di bawah PKP, yang menyebabkan kita tidak boleh merentas sempadan negeri. dan juga daerah. 

 Kami tinggal di negeri Johor. Pada kali ini kami memutuskan untuk bercuti di dalam negeri sahaja. Walaupun kami sudah lama tinggal di Johor, tetapi masih ada banyak lagi tempat yang kami belum sampai. Orang kata, "kalau pergi melancong ke Johor Bahru, jangan lupa singgah ke Desaru yang terletak di daerah Kota Tinggi". Inilah destinasi utama percutian kami.

Sebut sahaja Desaru, pasti terbayang kewujudan pantai di tepian Laut China Selatan itu, yang menjadi tempat utama pengunjung bercuti untuk berehat dan meneroka pemandangan yang indah. Nikmat bersantai tidak lengkap jika terlepas peluang untuk menginap sambil meneroka pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan seisi keluarga di kawasan sekitarnya dan menjadikan ia pilihan sebagai destinasi yang menggamit memori.
Desaru Fruit Farm .... salah satu aktiviti menarik yang diikuti
Dari Parit Raja ke Tanjung Balau melalui Pontian ...
tetapi melencong ke Tanjung Piai terlebih dahulu
Kalau turun ke Johor jangan lupa juga singgah di Tanjung Piai Kukup. Ada apa  di sini? Bagi pencinta alam seperti kami, ia adalah destinasi yang wajib dikunjungi kerana titik kedudukannya yang istimewa dalam peta dunia. Tanjung Piai merupakan kawasan tarikan pelancongan terkenal di Malaysia kerana ia merupakan tanah paling selatan di benua Asia. Jika kita seorang pecinta alam, kita boleh datang melawat dua Taman Negara yang terdapat di Pontian iaitu Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup.

Tanjung Piai terletak dalam mukim Kukup, Daerah Pontian, Johor. Jadi post kali ini akan menceritakan sedikit kisah Pontian, tempat yang pertama kami singgah dalam perjalanan ke selatan ini. 

Pontian ialah salah satu daerah di Johor, Malaysia. Ibu daerah Pontian ialah Pontian Kechil. Kebanyakan kawasan di sini adalah terdiri daripada paya bakau. Menangkap ikan masih merupakan aktiviti utama penduduk di daerah ini. Ianya di tadbir oleh Majlis Daerah Pontian.Pontian diduduki oleh kaum Melayu yang berketurunan suku Melayu, Bugis dan Jawa. Melayu dan Bugis di kawasan pesisiran manakala Jawa di kawasan pedalaman.

Mengikut fakta sejarah perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar iaitu tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka ketika itu. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kechil menjadi bandar utama bagi daerah Pontian.

Daerah Pontian sangat sinonim dengan buah nanas. Johor merupakan pengeluar terbesar nanas di dunia. Bagi pecinta Sejarah mereka boleh singgah di Muzium Bugis dan Muzium Nanas. Muzium Bugis memaparkan susur galur sejarah Bugis di negara ini seperti adat istiadat, makanan, pakaian, artifak asli dan banyak lagi. Turut termasuk dalam senarai tempat yang harus dilawati di Pontian adalah pekan Kukup. Pekan Kukup merupakan perkampungan nelayan di atas air yang sinonim dengan makanan laut segar, kerepek, keropok lekor dan hasil kraftangan. 
Rencam Pontian ... tanda mercu replika nanas dan dataran Pontian
 yang juga dikenali sebagai Taman Tepi Laut Pontian
Ada beberapa kali kami lalu daerah pontian ini tetapi tidak pernah singgah di sini. Inilah kali pertama kami datang ke dataran ini untuk bergambar sebagai kenang-kenangan. Lokasi "I Love Pontian" menjadi spot kegemaran pengunjung bergambar di sini. Di hujung taman adalah Laman Di Raja dengan monumen mahkota. Taman ini agak luas juga. Kami tidak pergi ke Laman Di Raja itu .... hanya melihatnya dari jauh. Kami tidak boleh berlama-lama di sini kerana ingin sampai ke Tanjung Piai seawal mungkin supaya cuaca tidak terlalu panas ketika di sana nanti. 
Dataran ini berada di pekan Pontian Kechil
.... kedudukannya menganjur ke laut
Taman Rekreasi ini sangat sesuai untuk menikmati pemandangan laut yang indah di Selat Melaka bersama anak-anak dan keluarga. Ada kawasan berumput terbuka untuk anak-anak berlari-lari dan juga kawasan yg dilapisi dengan bata yang saling berkait serta kawasan lapang yang berjubin, sangat sesuai untuk kanak-kanak berbasikal, berskuter atau berkasut roda. Taman ini juga sesuai bagi mereka yang ingin berjoging, berbasikal, bersiar-siar, melihat matahari terbenam, atau duduk bersantai sambil menikmati bayu laut petang yang nyaman.
Di hujung jalan ini adalah Laman Di Raja
di mana terletaknya Gerbang Mahkota
Salah satu kawasan lapang yang terdapat di dataran
Camera man (anak bongsu kami) nak bergambar sekali😍
Dataran Pontian yang juga di kenali sebagai Taman Tepi laut Pontian
Taman ini cantik dan bersih. Semoga ia terus kekal begini, kerana kebiasaannya pihak berkuasa hanya menjaga di awal-awal pembinaan sahaja. Setelah masa berlalu, apabila berlaku kerosakan, ia tidak diambil perhatian.

Alhamdulillah sempat melawat sebentar dataran yang cantik ini. Insya Allah jika ada kesempatan kami akan kembali melawatnya untuk masa yang lebih lama lagi. Jom ke Tanjung Piai Kukup pula.


Related  Posts:

Cuti di Desaru - Tanjung Piai

Bercuti di Desaru - Sungai Rengit & Tanjung Pengelih

Bercuti di Desaru - Desaru Fruit Farm


Bercuti di Desaru - UPDATE