Showing posts with label borneo. Show all posts
Showing posts with label borneo. Show all posts

Monday 15 September 2014

Cuti-cuti Sabah - Kota Belud

13 Dec 2012                                                                                                                                               
Tepat jam 12 tengahari kami sampai ke daerah Kota Belud. Kami memasuki pekannya dan ketika itu ada pasar tani yang agak besar juga. Kami berhenti berihat sambil berjalan-jalan melihat "negeri orang" dan juga untuk solat Zohor dan Asar sebelum menyambung perjalanan ke daerah Kudat.


Sebahagian besar penduduk Kota Belud terdiri dari kaum Samah (Bajau), Dusun, Tionghoa (Cina), Irranun dan Ubian. Daerah ini turut mendapat jolokan nama sebagai "Daerah Koboi Timur" kerana kehebatan penduduknya menunggang kuda, kerbau dan lembu. Selain itu, daerah ini juga terkenal dengan Tamu Besar atau Pasar Terbuka yang diadakan setiap hujung minggu (Ahad).

Nama Kota Belud ini berasal daripada bahasa Bajau, yakni "kota" yang bermaksud kubu pertahanan manakala "belud" pula bermaksud bukit. Justeru itu, Kota Belud diertikan sebagai "Kubu Pertahanan di atas Bukit".

Bajau Horsemen.....foto Mr Google
Brosur Kota Belud Sabah

Hari ini ialah hari Khamis. Saya tidak tahu samada pasar tani ini dibuka pada setiap hari atau pun hari-hari yang tertentu sahaja. Pasar tamu hanya dibuka pada hari Ahad.


 Di Pasar Tani kami hanya menjamu mata kerana tidak ada niat untuk membeli apa-apa. Tiba-tiba ternampak orang menjual durian liar lagi. Saya pun bertanya harganya untuk dibandingkan dengan yang kami beli di Kundasang. Ternyata di sini lebih murah. Mungkin kerana daerah Kota Belud ini jauh dari Kota Kinabalu dan pelancong tidak ramai di sini. Jadi permintaannya tidak setinggi di sana. Oleh kerana ianya lebih murah, kami pun membelinya lagi kerana durian ini tidak mudah ditemui.

Jom masuk pasar!  



           




Hmmm.......durian merah lagi
Jenis durian yang sama tetapi berisi kuning
Di luar kawasan pasar......berjalan menuju ke parkir kereta
Bangunan di sebelah kiri........Arked Kota Belud 
Kami berada di Kota Belud hanya selama sejam setengah. Sebelum meninggalkan pekan ini, kami ke masjid dulu untuk menunaikan solat jamak  Zohor-Asar. Semasa di masjid kami membuka dan memakan durian yang dibeli sebagai alas perut.  Kami tangguh makan tengahari kerana kami masih belum benar-benar lapar.

Puas  juga memusing-musing mencari jalan masuk ke masjid ini
Ini durian yang dimakan
Setelah selesai solat dan makan durian kami pun meneruskan perjalanan ke Kudat. Destinasi persinggahan kami seterusnya ialah Tanjung Simpang Mengayau Kudat (Tip of Borneo)

Jom ke sana!


Cuti-cuti Sabah (11) - Kota Kinabalu
Cuti-cuti Sabah (9) - Kudat

Monday 8 September 2014

Cuti-cuti Sabah - Taman Kinabalu


`12 Dec 2012

Selepas bermain-main dengan ikan di Tagal Moroli kami terus ke Kundasang  mencari tempat penginapan untuk malam itu, Namun sebelum ke sana kami singgah terlebih dahulu di Taman Kinabalu untuk melihat puncak Kinabalu dengan lebih dekat lagi.


Taman Kinabalu merupakan sebuah taman negara yang telah diwartakan pada 2002, dan terletak di negeri Sabah. Ianya dihiasi dengan Gunung Kinabalu yang tersergam dengan ketinggian 4,085 meter, yang merupakan antara gunung tertinggi di Asia Tenggara dan tertinggi di Borneo.

Taman Kinabalu juga merupakan kawasan yang mempunyai ekologi mega dengan kepelbagaian habitat dari kawasan rendah tropika, kawasan hutan hujan tropika, sehingga kawasan hutan gunung tropika; dan hutan separa alpine sehingga tumbuhan renek pada aras tinggi. Ia telah dikelaskan sebagai Pusat Kepelbagaian Tumbuhan Asia Tenggara. Kemungkinan taman ini mempunyai koleksi flora yang terkaya di dunia.

Para pendaki yang menuju ke Gunung Kinabalu pula memulakan perjalanan mereka di Kinabalu Park Headquarters yang juga merupakan pintu masuk ke dalam taman ini. Walaupun tarikan utama taman ini ialah Gunung Kinabalu, tetapi hanya 20% dari pengunjungnya yang betul-betul mendaki sehingga ke puncak. Manakala yang bakinya  datang ke sini hanya untuk menikmati keindahan taman dan ketenangannya.

Setiap pengunjung dikenakan bayaran masuk sebanyak RM 3.00, yang disebut sebagai Conservation Fee.. Tiket ini juga boleh digunakan untuk masuk ke Poring Hotspring. Ketika kami di sini hari sudah petang, dalam pukul 5, Oleh kerana itu cuacanya agak sejuk tetapi menyegarkan dan terasa nyaman sekali. Kami mendaki gunung dengan kereta saja......haha! Bagi mereka yang menginap di sini dan mempunyai masa yang banyak bolehlah mendaki dengan berjalan mengikut laluan-laluan yang telah disediakan sambil menikmati pemandangan dan udara segar gunung.

Di taman ini memang disediakan beberapa lokasi menarik untuk bergambar, berlatarbelakangkan puncak Gunung Kinabalu.

Dataran khas untuk bergamabar dan berihat sambil menjamu mata melihat keindahan puncak Kinabalu
Puncak Kinabalu yang berkabus.......

Selepas dataran ini kami menyambung "mendaki" lagi sehngga ke tempat permulaan pendaki-pendaki yang sebenar yang akan ke puncak. Di sini juga di sediakan kawasan berihat sambil menikmati pemandangan gunung.

Peta pendakian
Notis untuk para pendaki
Aaahh.....sungguh nyaman berihat di sini
Puncak gunung kelihatan lebih jelas dari sini.....tersergam indah



Kami berada di sini selama sejam lebih sedikit. Kemudian kami ke Kundasang mencari tempat bermalam. Jom ke Kundasang!


Tuesday 26 August 2014

Cuti-cuti Sabah - Ranau ("Tagal" Sg Moroli )

12 Disember 2012


Ini destinasi kami seterusnya selepas lawatan ke Ladang Teh Sabah

Tempat ini adalah salah satu daripada beberapa santuari ikan kelah yang terdapat di Malaysia. "Tagal" adalah bahasa Kadazan-Dusun yang bermakna "tidak dibenarkan menangkap ikan atau sebarang hidupan". Di mana-mana santuari ikan kelah, tidak dibenarkan menangkap ikannya kerana ia adalah projek menjaga alam sekitar dan ekosistem sungai oleh penduduk tempatan dengan bantuan kerajaan, demi generasi akan datang.

Sebelum masuk beli tiket dulu......RM5 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak bagi celupan kaki saja, RM10 untuk seluruh badan

Ni tiketnya........kamera pun kena yuran!.....hehe


Kawasan sungai yang berbatu, air yang bersih, jernih dan tidak tercemar
menjadi habitat semulajadi ikan kelah

Sebaik saja mencecah kaki ke dalam air,
 ikan-ikan yang jinak ini terus mengerumuni kaki

Kebanyakan ikan yang terdapat di Tagal Sg Moroli ialah jenis ikan Pelian atau Malaysian Mahseer.
Ikan kelah merupakan spesies ikan eksotik terkenal di Malaysia, mempunyai isi yang lembut dan sedap,sukar untuk dipancing serta hidup di habitat air yang bersih tanpa pencemaran. Ikan pelian di Sabah dirujuk sebagai spesis “Tor Duoronensis” atau ikan kelah biru.

Ikan Pelian yang segar-bugar...
Ikan keli yang tersesat....
Di Malaysia, Ikan kelah mula menujukkan tanda kepupusannya  Faktor pencemaran sungai juga merupakan faktor utama kepupusan ikan ini yang hanya tinggal di dalam sungai yang jernih dan bersih. Ikan ini yang juga digelar "Raja Sungai" menjadi buruan kaki pancing.  Ringkasnya Ikan kelah ini digilai kerana untuk tujuan sukan, hiasan dan makan.

Ikan-ikan di Sg Moroli Kg Luanti ini telah dilatih oleh penduduk kampung untuk memberi perkhidmatan "fish massage". Aktiviti ini sangat unik dan menyeronokkan. Ada 10 spesis ikan yang hidup di sepanjang 3km kawasan sungai yang dilindungi ini. Namun sebahagian besarnya adalah ikan pelian atau kelah. Ikan-ikan ini sangat jinak dan tidak takut pada manusia. Ia memberi "massage" dengan menggigit dan memakan sel-sel kulit yang telah mati di kaki dan juga badan. Orang kampung percaya aktiviti ini boleh melicinkan kulit dan menyembuhkan penyakit psoriasis.

Ikan yang dilatih untuk makan sel-sel kulit yang mati
.....gigitan halus seperti dicubit-cubit manja
Ikan yang sangat jinak.....boleh dibelai dan ditangkap dengan tangan
Setiap sesi berendam kaki dalam sungai hanyalah untuk 15 miut. Ini bertujuan untuk mengelak terlalu ramai yang berada dalam sungai pada satu-satu masa, Apabila cukup 15 minit loceng akan berbunyi menandakan cukup masa. Kalau nak bagi ikan-ikan ini makan pun boleh. Ada disediakan pallet dengan harga 20 sen sebungkus (mungkin sudah naik harga sekarang). Campak saja ke mana-mana berlumba-lumba ikan mengejar ke arah pallet tersebut. Saya sangat teruja melihat ikan-akan itu bergerak ke arah yang sama dan berebut-rebut pallet yang dicampak.



Tuesday 24 June 2014

Cuti-cuti Sabah - Ranau (Ladang Teh Sabah)

12 Disember 2012
Selepas puas berjalan dan berendam di  Poring Hotspring, kami keluar dari kawasan ini lebih kurang jam 12.15 tgh. Seterusnya kami melawat Ladang Teh Sabah - ladang yang terbentang luas, dikelilingi oleh hutan hujan semula jadi dan udara dingin pergunungan.  Ladang Teh Sabah megah dengan keindahan latar belakangnya iaitu Gunung Kinabalu.
Ladang teh berlatarbelakangkan Gunong Kinabalu
Satu pemandangan yang indah bagaikan lukisan di kanvas.



Benar sebagaimana firman Allah SWT dalam surah An-Naml ayat 60 yang bermaksud:

" Atau siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi dan yang menurunkan air untukmu dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu kebun-kebun yang berpemandangan indah, yang kamu sekali-kali tidak mampu menumbuhkan pohon-pohonnya? Apakah disamping Allah ada tuhan (yang lain)? Bahkan (sebenarnya) mereka adalah orang-orang yang menyimpang (dari kebenaran)."

Maha Suci Allah yang telah memberi kita rezeki dan juga alam yang permai untuk kita hayati keindahannya di samping kita mensyukuri akan nikmatnya.

Teh Sabah ialah satu-satunya ladang teh organik di Borneo dan salah satu daripada beberapa ladang seumpamanya di dunia. Kawasan persekitaran ladang ini juga dihiasi dengan lanskap yang menarik.




 Pada hari itu kami hanya berniat untuk melawat ladang dan kilang teh. Malangnya kilang tidak beroperasi pada waktu itu. Sebenarnya Teh Sabah ada menyediakan beberapa pakej aktiviti yang menarik untuk para pelancong. Salah satu pakejnya  telah dianugerahi Program Pelancongan Terbaik (Pendidikan) dalam Majlis Anugerah Pelancongan Malaysia di Kuala Lumpur.

 Selepas bergambar di ladang dan persekitaran, kami pergi pula ke kedainya yang menjual pelbagai jenis teh dengan pelbagai jenis perisa.

Sabah Tea Garden....souvenir shop, reception, restaurant


Friday 20 June 2014

Cuti-cuti Sabah - Ranau ( Poring Hot Spring)

Pada 11 Desember 2012 saya dan suami sekali lagi bercuti ke Sabah tetapi kali ini kami ditemani 2 orang anak lelaki. Bagi kami berdua, ini adalah kali ketiga kami ke sana. Namun bagi anak-anak, inilah julung-julung kalinya mereka ke Sabah. Sepertimana lawatan pertama dan kedua kami ke Sabah, lawatan kali ini juga berbentuk bercuti sambil bekerja. Suami bertugas mengajar pada 15 dan 16 Disember di Kota Kinabalu. Kebetulan tarikh mengajar ini jatuh pada cuti sekolah. Maka kami membuat perancangan dan menjadikannya sebagai percutian keluarga.

Kami merancang untuk bermalam di daerah Ranau pada hari pertama dan kedua. Seterusnya kami akan ke daerah Kudat sebelum berpatah balik ke Kota Kinabalu.


Pada hari pertama setelah tiba di KK kami terus ke Ranau  lebih kurang pukul 3.00  ptg. Dalam perjalanan kami singgah di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (Masjid Terapung) di Likas untuk menunaikan solat Zohor-Asar. Jom ke Masjid!

Lebih kurang pukul 3.40 ptg kami tinggalkan masjid dan meneruskan perjalanan ke Ranau. Ia satu perjalanan yang jauh. Kami tiba di pekan Ranau ketika hari sudah gelap, dalam pukul 6 lebih. Rupanya tempat penginapan kami malam itu masih jauh lagi ke dalam. Kami singgah sebentar di supermarket membeli bekalan makanan sedikiti sebelum meneruskan perjalanan. Lebih kurang setengah jam kemudian (memandu perlahan kerana keadaan yang gelap dan tiada kepastian) barulah kami tiba di Keenomulok Home; tempat kami bermalam. Kawasan ini hanya 13km dari pekan Ranau.

Mengikut perancangan......kami akan memandu dari KK - Ranau - Kudat melalui
Tuaran, Kota Belud, Simpang Menggayau
Ranau adalah nama bagi sebuah pekan dan juga daerah. Nama Ranau berasal daripada bahasa kaum Dusun "ranahon" yang bermaksud sawah padi. Penduduk di sini menanam 2 jenis padi iaitu padi bukit bagi yang tinggal di tanah tinggi dan padi sawah bagi yang tinggal di tanah pamah. Daerah Ranau terkenal dengan mukabuminya yang berbukit-bukit. Di sinilah letaknya Gunung Kinabalu yang terkenal di kalangan pendaki-pendaki dunia. Ranau juga adalah pengeluar utama tanaman dan sayuran tanah tinggi di Sabah. Selain daripda pertanian tanah tinggi, pelancongan juga menjadi induustri utama daerah ini.

Homestay tempat kami bermalam itu sebenarnya berada dalam kawasan Poring Hot Spring. Pemandangan di sekitarnya sangat cantik.

Keenomulok Home Ranau

Terasa nyaman ketika berada di luar.....
Keindahan Banjaran Kinabalu......
Kabus di puncak Kinabalu.....
12 /12/2012
Seawal 8.30 pg kami telah cek-out dari tempat penginapan kerana kami ingin melawat sebanyak tempat yang boleh. Kami cuma berada 1 hari sahaja di Ranau. Pada keesokan harinya kami akan ke Kudat. Pada hari itu kami sempat melawat beberapa tempat yang memang popular dengan pelancong.

1. Poring Hot Spring - ia sebahagian daripada Kinabalu National Park yang sangat luas. Ini adalah destinasi pelancongan yang paling terkenal di kalangan pelancong luar negara dan juga tempatan.  Di dalamnya terdapat berbagai-bagai aktivitik lasak dan menarik, yang sesuai untuk individu dan juga keluarga.


Tiket masuk.....conservation fee RM3.00
 (boleh guna untuk masuk ke Kinabalu Park di kaki gunung),
canopy walkway RM3.00 dan camera fee RM5.00




Petikan dari web Sabahattraction:
It is never a complete to hike up Mount Kinabalu but not swing by at the Poring Hot Springs. This hot springs is situated about 40 kilometers slightly northeast from the Kinabalu Parks Headquarters. Poring is situated in the lowlands which are contrasting with the Park's headquarters. Poring Hot Springs is the best place to distress and soak away all the sores and aches in your muscles. The water of the hot springs contains sulphuric minerals which have been deemed to have special healing properties and is very famous among the locals.

Other than the natural hot spring as the main attraction at Poring Hot Springs, there are also other interesting areas in the park which is worth visiting. There is a butterfly farm, the Poring Orchid Conservation Center, the tropical garden, the Poring canopy walkway and the Rafflesia flower site.

The butterfly farm is the first butterfly farm in Borneo. It features a vast garden, nursery and hatchery for the purpose of education, research and preservation. The Poring Orchid Conservation Center is the house of the largest collection of Sabah orchids as well as the rare endemic orchids. There is a staggering 1200 species of orchids in this center. It is at the tropical gardens where you get a chance to glimpse at mousedeer and deer sauntering in the garden in the company of some flamboyantly colored birds in the aviary. The Poring canopy walkway is a must visit for those who has ever set foot in the Poring Hot Springs as you can take a stroll amidst the lush greenery of the Menggaris tree. The walkway is 157.8 meters long and is 41 meters high. You also have the opportunity to see the largest flower in the world, the Rafflesia.


Untuk menghabiskan aktiviti di sini sahaja kita memerlukan beberapa hari. Oleh kerana kami hanya mempunyai sedikit  masa di sini, kami terpaksa memilih aktiviti tertentu sahaja. Pertama sekali sudah tentu berendam dalam air panasnya.

Merendam kaki dalam air yang mengandungi mineral  sulfurik
Merendam badan terus....
Kelihatan kolam-kolam untuk berendam
Telaga air panas sulfur yang membahayakan
Papantanda yang menceritakan pembentukan telaga air panas sulfur
Setelah puas berendam kami ke canopy walkway pula. Ini aktiviti yang agak lasak dan hanya sesuai bagi mereka yang tidak fobia dengan ketinggian. Mereka yang ada masalah jantung juga tidak digalak melakukan aktiviti ini. Canopy walkway ini sebenarnya jambatan gantung yang panjangnya melebihi 175 meter dan 41-43 meter tinggi. Aktiviti ini jatuh tempat kedua selepas 'air panas Poring', yang paling digemari pelancong.
Jom kita masuk!



Untuk sampai ke permulaan Canopy Walkway ini kita perlu berjalan lebih kurang setengah jam lagi, mendaki jalan yang berbatu-batu. Pakailah kasut sukan supaya lebih selesa, tetapi kami pakai kasut biasa sahaja pada hari itu. Anak-anak saya pakai selipar kerana itu sahaja yang kami ada. Bawa juga bekalan air minum yang banyak untuk mengelak kehausan.

Pondok Manggas ..... poin permulaan jambatan....belum mula lagi dah penat!
Budak berdua ni tak tahu penat.....tenaga muda
Jambatan gantung ini dihubungkan di antara 3 batang pokok yang super besar. Jambatan ini berayun apabila kita berjalan di atasnya. Bagi kanak-kanak dan remaja keadaan ini menyeronokkan mereka tetapi bagi kami ia satu yang menakutkan. Saya sangat berhati-hati ketika melangkah untuk mengurangkan kesan 'berayun' ini. Jambatan ini juga sempit dan hanya 6 orang sahaja boleh berada di atasnya dalam satu masa.



Walaupun rasa cemas ketika berjalan di atasnya namun saya sangat teruja kerana terasa seperti berjalan di atas pokok-pokok  dan dapat  melihat silara pokok di paras mata secara dekat.




Hutan yang kami 'redah' ini adalah hutanhujan Borneo. Dalamnya ada banyak spesis pokok yang besar-besar dan pokok jenis inilah yang dijadikan sebagai pengikat untuk mengokohkan kedudukan jambatan gantung ini.

Hah!.....tak terpeluk dek terlalu besarnya batang
 salah satu daripada pokok yang menjadi  'pengikat'


ciri-ciri keselamatan jambatan.....jaring di kiri kanan serta tali pengikat

Platform Seraya 2....diikat pada satu lagi pokok


Amaran di bahagian batang pokok.....
yang ini bahagian atas pokok

Menuju ke platform terakhir  jambatan
Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya dan suami mengatur langkah ketika berjalan di atas jambatan ini, terutama suami yang sedikit 'gayat' dengan ketinggian. Namun sebaliknya anak-anak saya begitu 'santai' mereka berjalan, siap dengan aksi-aksi tersendiri.





Perjalanan dari platform pertama sehingga terakhir mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja. Itu pun jalan-jalan yang sangat santai sambil berposing serta menikmati keindahan alam fauna ciptaan Allah di sekeliling.
Walaupun letih tetapi terasa begitu puas dengan aktiviti ini. Semua anggota badan berperanan aktif- fizikal. otak, perasaan , mata dan juga pendengaran.


Berihat di pondok terakhir
Selepas berihat terpaksa berjalan lagi untuk sampai ke pintu masuk. Jika sewaktu pergi mengambil masa hampir 30 minit ke poin bermulanya jambatan, tetapi kali ini masa yang diambil hanya 20 minit kerana sekarang berjalan menurun. Masih juga melalui jalan yang berbatu-batu dan semak-samun.

Kali ini berjalan menurun.....
                                                         Amaran.....jalan yang semak-samun                                                 
Walaupun menurun tetapi perlu berhati-hati melangkah
Suasana hutan yang mententeramkan.....
Setelah puas berjalan, anak-anak mengajak ke air terjun. Jika sebelumnya mereka berendam dalam air panas, kali ini mereka ingin berendam dalam air sejuk pula. Ada 2 air terjun di sini tetapi kami memilih yang paling dekat iaitu Air Terjun Kipungit. Walaupun dekat tetapi mengambil masa 15 minit juga berjalan ke sana.

Air Terjun ni jauh ke bawah.....penat juga turun
Berseronok betul budak berdua ni
Sepertimana biasa saya hanya merendam kaki


Taman rekreasi ini mempunyai kawasan hutan yang luas. Ketika berjalan melaluinya kita dapat melihat berbagai jenis tumbuhan, samada yang liar ataupun yang bukan liar. Tumbuhan-tumbuhan 'domestik' ditanam untuk mencantikkan lanskap. Sambil berjalan anak-anak saya sempat 'mengelik' dan merakam  Flora dan Fauna serta hidupan liar taman ini.

Gambar di bawah antara tumbuhan hutan yang kami jumpa.






Gambar yang seterusnya adalah tumbuhan yang biasa kita tanam di kawasan rumah.




Hutan dalam taman ini juga menjadi habitat semulajadi haiwan dan serangga.





Akhir sekali, keindahan alam  ciptaan Allah..... nyaman dan menyegarkan.


Lebih kurang pukul 12.15 tengahari kami tinggalkan Taman Rekreasi Poring. Tempat seterusnya yang kami lawat ialah Ladang Teh Sabah.


Related Posts:

Cuti-cuti Sabah (1) - Masjid Terapung Likas
Cuti-cuti Sabah (3) - Ranau (Ladang Teh Sabah)
Cuti-cuti Sabah (4) - Ranau ("Tagal" Sg Moroli )
Cuti-cuti Sabah ( 5)- Taman Kinabalu
Cuti-cuti Sabah (7) - Kota Belud Cuti-cuti Sabah (11) - Kota Kinabalu
Cuti-cuti Sabah (9) - Kudat