Showing posts with label percutian. Show all posts
Showing posts with label percutian. Show all posts

Sunday 2 January 2022

Bercuti di Desaru - Desaru Fruit Farm

Percutian ini berlaku pada 20 Ogos 2020. Sudah lebih setahun, baru nak mencatatnya😄Memang blog saya ni bukan "live", tetapi lebih sebagai catatan dairi peribadi.

Pada sebelah pagi 21 Ogos kami berjalan-jalan di Sungai Rengit dan Tanjung Pengelih, dan kami makan tengahari di Bandar Penawar.
Restoran MK Swat Jalal
Pada sebelah petang pula kami melawat Desaru Fruit Farm dan mengikuti  salah satu dari beberapa aktiviti pakej lawatan yang ditawarkannya. Pakej yang kami ambil, iaitu Pakej Walk In (Tour + Fruit Box) dengan harga RM30 seorang dewasa.
Pakej tour yang ditawarkan
Mengikut pakej yang paling murah ini, aktiviti yang ditawarkan termasuklah, lawatan berjalan kaki ke ladang buah-buahan dengan berpandu, lawatan ke petak sayur, taman herba dan taman haiwan ternak mini. Di akhir lawatan setiap orang diberi sebekas potongan buah-buahan segar.

Desaru Fruit Farm telah dianugerahkan sebagai "tapak Agro- Pelancongan Terbaik"di Malaysia pada 2006 dan Tarikan Pelancongan Inovatif - Agro Pemuliharaan Pelancongan oleh Anugerah Pelancongan Malaysia 2010.  Tempat ini sangat sesuai untuk orang-orang bandar yang jarang dapat masuk ladang, terutama kanak-kanak. Bagi orang dewasa, kita memang kenal buah-buah bermusim yang biasa dijual di pasar tetapi amat jarang sekali kita dapat melihat bunganya sebelum menjadi putik buah. Di sini kita berpeluang mengenali pokoknya serta bunga, putik dan buahnya.

Jikalau kita mahu anak-anak tengok sendiri dari mana datangnya makanan mereka, Desaru Fruit Farm ini antara tempat terbaik. Tempat ini memang khas dibuat untuk menerima pelancong. Keluasan kebun buah ini melebihi 180 ekar, dengan jumlah pokok mencecah 3-4 ratus spesis. Selain dari itu ada disediakan aktiviti-aktiviti menarik bukan sahaja untuk dewasa tetapi juga untuk anak-anak.

Pasar mini Desa Fruit Farm
Bagi mereka yang mengambil pakej yang paling murah ini, semua peserta diminta berkumpul di bangunan ini, sebelum dibawa ke ladang dengan lori.😒Dalam hati rasa cemas bila disebut kena naik lori, tetapi terus tersenyum😊 apabila lori kami sampai.
Suasana dalam lori yang sangat menarik
Lori ini dalamannya telah diubahsuai seperti sebuah pondok tradisional, dan disediakan tangga kecil yang memudahkan orang seperti saya untuk naik ke dalam lori .... alhamdulillaaahh ....

Aktiviti utama di sini ialah:

1. Melawat Kebun Buah
Selain dari pokok buah yang biasa kita tengok di kampung, seperti rambutan, pisang, jambu dan mangga, tempat ini memberi peluang pada kita melihat pokok-pokok yang jarang ada di kawasan rumah. Antaranya pokok koko yang mana bijinya diproses untuk dijadikan coklat, amra atau kedondong, cermai dan durian belanda.

Jom saya belanja gambar-gambar pokok dan buah yang menarik!

Dalam kawasan ladang
Pokok dan buah cermai atau malay gooseberry
Berbagai jenis pisang dan bunga jantung secara dekat
Ada jantung pisang yang menyacak ke atas dan ini pertama sekali saya melihatnya. Selalunya  jantung pisang menghala ke bawah. Ada pula yang jantungnya kelihatan lebih besar dari tandan buahnya dan kalau tidak silap yang ini dipanggil pisang belalai gajah atau thousand fingers banana.
Dari kiri mengikut putaran jam: buah markisa,
buah ciku, buah amra dan pokok ciku
Ini pula pokok koko, buah serta bunganya .... bijinya diproses  
dan dijadikan sebagai serbuk koko atau coklat
Kiri: pokok mengkudu serta bunganya
Bawah: pokok longan atau mata kucing
Buah malberi
2. Tanaman sayur dan herba
Atas: pokok misai kucing serta bunganya
Bawah: pokok selasih atau basil serta bunganya
Atas: pokok cili dan buah cili habanero yang sangat pedas
Bawah: pokok kantan yang mengeluarkan bunga kantan dan
pokok serta buah kacang botol yang sedap dijadikan ulam
3. Taman Haiwan Mini
Ini kawasan berkonsepkan "petting zoo". Di sini terdapat arnab dan kambing di mana anak-anak boleh memberi makan sambil membelainya. Mereka juga boleh bermain-main dengan ayam katik, ayam belanda dan ayam leher botak. 
Kura-kura besar dan kecil yang ada di sini
Saya lebih berminat melihat kura-kura yang ada di sini kerana ada seekor yang umurnya sudah agak tua, tetapi saya sudah lupa berapa tahun umurnya yang sebenar. Kura-kura dengan tempurung yang paling besar itu kelihatan seperti sudah berada lama di sini kerana tempurungnya sudah berlumut, sama seperti lantai tempat tinggalnya.
Ayam di sini semuanya leher botak ...
jarang dapat lihat ayam jenis ini
4. Berihat di taman
Di separuh lawatan, kami diminta berihat di sebuah taman sambil menjamu mata melihat lanskap yang menarik. Kalau dahaga boleh beli jus buah segar yang dibuat dari buah yang terdapat di ladang, yang dijual di gerai dalam taman. Ada juga kawasan kolam ikan koi warna-warni di sini. Bagi anak-anak yang suka memberi makan ikan bolehlah berseronok dengan aktiviti ini.
Pokok hiasan dalam ladang ....
Dari kiri atas: pokok Jatropha podagrica, bunganya dan buah pokok palma
Bawah: pokok kaktus. pokok bunga aliamanda atau golden trumpet dan bunganya
Lembu di belakang itu hanya hiasan

Berihat sambil menikmati lanskap yang menarik ....
kolam-kolam dengan jambatan yang merintangi kolam
 dan lain-lain hiasan selain dari pokok-pokok
Pokok palma menghiasi kolam menceriakan taman ....
boleh juga duduk berihat di tepi kolam sambil
menikmati jus buah yang dibeli di kedai berdekatan
Di akhir lawatan kami dibawa balik semula ke bangunan pasar mininya dengan bas. Kemudian kami diberi taklimat pasal lebah dan madu yang terdapat di ladang ini. Akhirnya kami diberi sebekas potongan buah - buahan segar setiap orang, sebelum meninggalkan ladang.


Friday 29 October 2021

Bercuti di Desaru - Sungai Rengit & Tanjung Pengelih

Percutian ini berlaku pada 20 Ogos 2020. Sudah lebih setahun, baru nak mencatatnya😄Memang blog saya ni bukan "live", tetapi lebih sebagai catatan dairi peribadi.

Alhamdulillah sebelum ke Desaru kami sempat menyinggah di Dataran Pontian dan melawat Taman Negara Tanjung Piai. Ketika di Desaru kami menginap di Bayu Balau Beach Resort (Hotel), yang telah ditempah lebih awal. Hotel ini terletak di Tanjung Balau. Resort ini juga ada penginapan jenis chalet. Asalnya resort ini dikenali sebagai  Pelangi Balau Resort dan ditukar ke Bayu Balau Beach Resort (BBBR).

Hotel ini berdekatan dengan pantai Tanjung Balau dan Muzium Nelayan Tanjung Balau. Malangnya ketika itu kedua tempat ini ditutup untuk kerja-kerja penaikan taraf. Dengar cerita Pantai Tanjung Balau ditutup untuk projek pantai 'walkway' yang masih belum siap setelah sekian lama. 
Belangkas masak lemak cili api .... makanan eksotik
BBBR juga ada menyediakan makanan eksotik dan tradisional. Belangkas dan Siput Gonggong telah diletakkan sebagai menu utama hotel. Malam itu kami makan malam di sini sahaja. Kami bertiga makan nasi putih yang berlaukkan belangkas masak lemak cili padi dan ikan pari masak asam pedas. Alhamdulillah sedap masakannya ataupun kami yang memang lapar😀

BBBR adalah hotel ketegori sederhana yang menawarkan harga RM180 semalam untuk hotel dan RM100 untuk chalet. Kedudukannya juga tidak jauh dari Bandar Penawar.
Bandar Penawar ..... tidak berapa jauh dari sini
21/8/20
Pagi ini selepas Subuh kami berjalan ke pantai untuk melihat matahari naik. Ini salah satu aktiviti kegemaran kami jika ada kesempatan. Untuk sampai ke pantai memang banyak halangan kerana ianya ditutup kepada orang ramai disebabkan kerja-kerja projek pantai walkway itu.
Keadaan langit sebelum dan ketika matahari terbit dari
7.00 pg - 7.15 pg pada 21 Ogos 2020
Keadaan pantai Tanjung Balau
Bergambar depan hotel sebelum keluar

Ini bahagian chalet hotel .... cantik kawasan persekitaran
Inilah perjalanan kami pada 21/8/2020
Niat di hati hari ini hendak ke Pantai Desaru di Bandar Penawar, tetapi apabila cuba masuk jalan ke pantai, sudah ada penghalang merentas jalan serta penjaganya sekali.😒 Mungkin pantai sudah penuh agaknya kerana kami keluar sudah agak lewat sedikit. Kami pun teruskan perjalanan ke Sungai Rengit, yang merupakan bandar utama untuk Pengerang.

Inilah pertama kali kami sampai ke bandar Sungai Rengit. Untuk menyimpan kenangan ini, kami telah pergi ke datarannya untuk bergambar sambil menikmati keindahan laut. Kemudian kami ke Teluk Rumania mencari pantai, kalau ada .... 😃😃 tak jumpa! Lepas itu kami ke Tanjung Pengelih, salah satu dari jeti yang menawarkan perkhidmatan feri ke Singapura dan beberapa pulau berdekatan. Satu lagi jeti adalah di Tanjung Belungkor yang juga terletak di Pengerang, Sebenarnya kami terlupa hendak ke sini.

Dikatakan orang Singapura banyak masuk ke Johor melalui sini. Dari sini mereka akan ke Sungai Rengit dengan menaiki teksi untuk menikmati makanan laut, terutama menu 'lobster' atau udang kara, yang dikatakan lebih murah dari negara mereka. Di sini juga boleh melihat matahari terbenam sambil makan di tepi laut. Kalau laut di sebelah Desaru, kita hanya boleh melihat matahari naik.
Dataran Sungai Rengit dengan mercu tanda lobster
serta pemandangan laut yang ditaburi pelantar minyak
Mee Rebus Legend Wak Nasro
Walaupun masih terasa kenyang kerana baru lepas bersarapan ketika itu, kami pesan juga sepinggan mee rebus ini untuk 'merasainya' ...... yumm ... memang sedap! Ingat hendak mencuba makan lobster untuk makan tengahari tetapi tidak kesampaian kerana banyak kedai makan masih belum dibuka pada masa itu.

Dalam  perjalanan ke Tanjung Pengelih kami lalu di hadapan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC). Pertama kali kami melihatnya walaupun selalu mendengar cerita tentangnya kerana ada seorang menantu yang masih bekerja di sini. Sebelum ini salah seorang daripada anak kami juga bekerja di sini tetapi telah berhenti kerana masalah keluarga yang ditinggalkan di Shah Alam. Teruja jugalah bila dapat melihat sendiri keadaan tempat ini, walaupun hanya melihatnya dari jauh.

Sedikit maklumat dari wikipedia:
Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) is a megaproject development in Pengerang, Kota Tinggi District, Johor, Malaysia. It spans over an area of 80 km2 and will house oil refineries, naphtha crackers, petrochemical plants, liquefied natural gas (LNG) terminals and a regasification plant upon completion.The site where it stands now was chosen because of its location along major shipping routes between the Middle East and China. The project was launched to increase Malaysia's petrochemical output. The components of PIPC was first initiated with the development of the 5 million cubic meters capacity of Pengerang Deepwater Terminal (PDT), a joint-venture between Dialog Group, Royal Vopak of the Netherlands and Johor. The other component of PIPC is the Petronas Pengerang Integrated Complex (PIC). 
Antara beberapa lokasi kompleks yang dapat dilihat dari jalanraya
..... keseluruhan kawasan meliputi keluasan 80 km2
Mengikut maklumat yang dikumpul dari internet terdapat 10 terminal feri di Johor yang mana 8 daripadanya adalah terminal feri antarabangsa sementara 2 lagi terminal feri domestik.Terminal Feri Antarabangsa merangkumi Muar, Minyak Beku Batu Pahat, Tanjung Pengelih dan Tanjung Belungkor di Kota Tinggi, Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Pontian, Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour dan Terminal Feri Stulang, Stulang Laut ( Berjaya Waterfront Ferry Terminal) di Johor Bahru serta Terminal Feri Pasir Gudang. Sepatutnya ada satu lagi terminal feri yang baharu yang dijangka beroperasi tahun ini, tetapi tiada kedengaran berita mengenainya, iaitu Terminal Feri Desaru Coast yang terletak kira-kira 6 kilometer dari Bandar Penawar, Kota Tinggi. Terminal feri domestik pula adalah Jeti Penumpang Mersing dan Jeti Tanjung Leman.
Kedudukan Marina dan Jeti penumpang Tg Pengelih

Marina Awam Tg Pengelih
Sebahagian dari bangunan kompleks jeti penumpang
Ada cerita menarik di sebalik pembinaan marina-marina awam di Malaysia ini, yang saya sendiri pun baru mendengarnya. Mengikut satu berita, dikatakan daripada 11 marina awam yang dibina, hanya lima masih beroperasi tetapi gagal menggalakkan industri kapal layar dan pelancongan marin di Malaysia. Kesemua 11 projek marina awam ini adalah di bawah Rancangan Malaysia ke-8 dan Rancangan Malaysia ke-9 yang menelan belanja keseluruhan RM323.16 juta.😲Kononnya objektif pembangunan marina awam ialah untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bagi pendaratan kapal rekreasi di seluruh negara bagi menggalakkan aktiviti pelayaran dan pelancongan marin. Bagaimanapun, ia gagal mencapai objektifnya.

 Nama-nama 11 marina awam yang dibina
Menurut satu laporan,  marina Kuala Kedah tidak pernah beroperasi sejak siap dibina pada 2003, manakala marina Pulau Mentagor di Perak tidak mencatatkan sebarang kemasukan kapal layar sejak mula beroperasi pada 2010. Menurut satu berita pada 2019 Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk menswastakan pengurusan 6 marina awam bermasalah termasuk di Pulau Mentagor yang kini dikendalikan oleh Jabatan Laut Malaysia. Lima marina lain ialah di Batu Uban (Pulau Pinang), Pulau Indah (Selangor), Melaka, Pulau Tioman dan Kuching. Dua lagi marina awam, iaitu di Muar, Johor dan marina Tanjong City di Pulau Pinang pula menghentikan operasi apabila mengalami kerosakan serius pada struktur pontun, manakala marina Tanjung Gemok di Pahang yang berhenti operasi diserahkan untuk kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). 

Beralih kepada Tanjung Pengelih, salah satu jeti yang ada marina awam, juga ada cerita yang menarik di sebalik pembinaannya. Jeti asal yang dibina pada 1936 ini pernah beberapa kali dicadangkan supaya ditutup kerana saingan daripada Jeti Tanjung Belungkor dekat sini dan dikatakan berbahaya, apabila pusat latihan tentera KD Sultan Ismail yang terletak berhampiran dibuka. Sebaliknya, kerajaan menaik taraf jeti dengan menyediakan kemudahan serba lengkap dengan kos RM39 juta, yang memberi khabar gembira kepada penduduk sekali gus mengubah wajah Tanjung Pengelih serta memberi impak besar kepada penduduk.

Kompleks yang mula beroperasi pada 2009 dilengkapi kemudahan untuk pelbagai saiz bot penumpang awam dan kapal layar berlabuh, serta menyediakan kemudahan marina awam untuk pemilik bot dan kapal layar persendirian. Ia turut dilengkapi jeti sepanjang 36.4 meter, kemudahan KIK (Kumpulan Inovatif dan Kreatif) yang menempatkan 4 jabatan kerajaan, iaitu Jabatan Laut, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan. Terdapat juga restoran, Kelab Marina, kedai serba guna dan kemudahan letak kereta yang luas. Jeti ini menyediakan perkhidmatan bumboat ke Changi Point Singapura dan perkhidmatan feri ke Pulau Batam dan Pulau Bintan (Tanjung Pinang) Indonesia.

Bercerita pasal jeti ini, ada satu jeti lama yang menjadi lokasi popular bagi mereka yang suka bersuafoto, iaitu jeti lama Sungai Rengit di Kg Sungai Rengit Pengerang. Ketika kami ke sini tidak tahu pula wujudnya struktur jeti lama yang sangat menarik ini. Mungkin akan mencarinya kalau ke sana lagi insya Allah. Mengikut kata mereka yang sudah ke sini disarankan datang pada awal pagi atau hampir maghrib untuk mendapat pemandangan yang memukau. Terpaksa pinjam gambar dari google untuk meninjukkan keindahannya ....
Jeti lama Sg Rengit
Sumber foto:https://www.facebook.com/viralmuafakatjohor
Selain daripada cerita jeti dan marina awam, ada satu lagi lokasi menarik di Tanjung Pengelih ini. Kami pun tidak tahu ia wujud sehinggalah membaca mengenainya di internet, iaitu Pengerang Coastal Battery (unit bersenjata), yang merupakan salah satu tinggalan kubu Tentera British semasa Perang Dunia Kedua. Ia terletak di kampong Tanjung Pengelih dan merupakan kubu pertahanan Tentera British terbesar dan terkuat bagi pertahanan rantau ini dari serangan tentera Jepun ketika perang dunia kedua. Kemudahan yang terdapat di kubu ini termasuk tempat simpanan peluru, wisma pegawai, hospital dan bilik jentera bawah tanah.

Di sini juga terletaknya KD SULTAN ISMAI, sebuah pangkalan TLDM yang berfungsi sebagai pusat latihan perajurit muda yang telah dibuka pada tahun 2000 dengan nama pusat latihan rekrut TLDM (PULAREK TLDM). Pada tanggal 18 Februari 2005 PULAREK telah di tauliahkan dengan nama KD SULTAN ISMAIL (KDSI). Dengan keluasan 200 ekar, pusat latihan ini dilengkapi dengan pelbagai fasiliti latihan untuk Perajurit Muda TDLM. Walaupun pusat latihan ini telah lama wujud namun mungkin tidak semua rakyat mahupun anggota TLDM sendiri tahu bahawa pusat latihan ini dibina di atas tapak tinggalan sejarah era Perang Dunia Kedua (World War II).

Inilah serba sedikit sejarah dan latar belakang Sungai Rengit dan Tanjung Pengelih yang agak menarik juga untuk dijadikan sebagai destinasi percutian dalam negara.


 Related  Posts:

Bercuti di Desaru - Pontian

Cuti di Desaru - Tanjung Piai

Bercuti di Desaru - Desaru Fruit Farm


Bercuti di Desaru - UPDATE 3 (Sungai Rengit)

Thursday 23 September 2021

Cuti di Desaru - Tanjung Piai

20/8/2020
Sebelum ke Tanjung Piai, kami singgah dahulu di bandar Pontian Kechil, ibu daerah Pontian. Sengaja  ke sini untuk bergambar di Dataran Pontian yang juga dikenali sebagai Taman Tepi Laut Pontian. Dari sini kami terus menuju ke Tanjung Piai. Ketka tiba di sini hari sudah mula panas kerana sudah hampir tenghari.

Tanjung Piai termasuklah dalam ketegori salah satu tanah yang paling hujung di dunia. Walaupun ia terletak di "depan mata" namun baharu sekarang kami berkesempatan melawatnya. Kami pernah sampai di sini beberapa tahun yang lalu tetapi tidak dapat masuk kerana cuaca tidak elok ketika itu. Lagi pun jambatan yang membolehkan kita sampai ke tanah hujung juga sudah rosak menyebabkan kita tidak akan dapat ke sana walaupun kita dapat masuk. Untuk beberapa ketika bahagian ini ditutup kepada pengunjung.

Kalau dikira, Tanjung Piai ini adalah tanah hujung yang ke-5 kami lawati, 4 yang lain ialah:

Tanjung Piai, kira-kira 30 kilometer dari bandar Pontian tidak asing dalam kalangan masyarakat tempatan mahupun negara luar kerana di sini terletaknya kawasan pelancongan terkenal, Taman Negara Johor Tanjung Piai. Ia merupakan tanah paling selatan di benua Asia yang terletak dalam mukim Kukup, Daerah Pontian, Johor. Secara tepatnya Tanjung Piai terletak pada latitud 01.16 `Utara dan longitud 103.30.46 ` Timur .
Arca glob ... penanda tanah paling selatan
tanah besar benua Asia
Petikan dari Wikipedia
Asia (mainland)
Northernmost Point — Cape Chelyuskin, Russia (77°43'N)
Southernmost Point — Tanjung Piai, Malaysia (1°16'N)
Westernmost Point — Cape Baba, Turkey (26°4'E)
Easternmost Point — Cape Dezhnev (East Cape), Russia (169°40'W)³

Benua Asia yang meliputi Arab Saudi di bahagian barat, Russia di utara, Kepulauan Maldives di selatan, dan Jepun di timur merupakan benua yang terbesar di dunia, meliputi 55.8 juta kilometer persegi atau satu pertiga daratan dunia. Ia mempunyai penduduk paling ramai, iaitu lebih kurang 60 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

Tanjung Piai dinamakan sempena pokok paku-pakis tempatan yang dikenali sebagai pokok paku piai. Hutan bakau yang luas di sini digazetkan sebagai Hutan Simpan Paya Bakau oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor. Keseluruhan kawasan Taman Negara Tanjung Piai meliputi 526 hektar kawasan bakau dan 400 hektar kawasan tanah lembut dan berlumpur. Hutan paya bakau di sini sangat indah dan ia masih belum terdedah kepada pencemaran mahupun pembangunan.

Sebuah mercu tanda telah dibina di sini bagi menandakan 'Tanah Terselatan Benua Asia' yang dibina pada 2001. Gentian konkrit mesra alam berukuran 20 m tinggi dan 10 m lebar ini dibina oleh kerajaan negeri Johor. Warna kelabu pada mercu tanda Tanjung Piai menggambarkan kekayaan hutan paya bakau dan dataran lumpurnya.
Mercu tanda 'Tanah Terselatan Benua Asia'
Dua pelepah Paku Piai Raya (acrostichum aureum) diukir di permukaan mercu tanda bagi mengabadikan sejarah nama Tanjung Piai. Paku Piai didapati tumbuh dengan banyaknya bersama dirian bakau di sini. Tanjung pula bermaksud tanah atau tanah tinggi yang menganjur ke laut. Peta dunia yang terpapar menjelaskan kedudukan sebenar Tanah Terselatan Benua Asia , supaya dapat dihayati dan dihargai oleh para pelawat.

Maklumat dari internet:
Taman ini juga telah diisytiharkan tapak Ramsar pada 31 Januari 2003. Ramsar mengambil sempena nama sebuah bandar di Iran yang menjadi tuan rumah Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa yang pertama pada tahun 1971. Tujuan utama konvensyen ini adalah untuk memulihara tanah lembap yang merupakan tempat berehat dan mencari makanan bagi burung-burung hijrah.
Malaysia menganggotai Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atau Ramsar pada tahun 1994. Tasek Bera di Negeri Pahang telah diisytiharkan sebagai tapak Ramsar pertama negara ini pada tahun tersebut. Sehingga kini, antara kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Tapak Ramsar ialah Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup di Johor dan Kuching Wetland National Park di Sarawak. Terdapat 26 kawasan lain di seluruh Malaysia turut dikenal pasti sebagai kawasan tanah lembap yang mempunyai kepentingan antarabangsa.
Kedudukan Tanjung Piai
Ini bahagian luar lokasi .... parking, pondok wakaf dan mercu tanda
Setiap orang yang masuk ke taman dikenakan sedikit bayaran, iaitu RM5 bagi dewasa dan RM3 bagi pelawat yang berumur bawah 18 tahun. Warga emas juga akan diberi harga istimewa. Pelawat dari luar negara dikenakan harga yang berbeza. Banyak aktiviti yang boleh dibuat di sini. Antara aktiviti pelawat yang datang ke sini adalah berkhemah, memancing, dan melihat pemandangan serta keindahan Selat Teberau (Johor). Pelancong, terutama pelajar boleh mendapatkan maklumat tentang hutan bakau dan maklumat lain yang dipamerkan dalam kawasan taman. Setiap maklumat disertakan gambar yang berkaitan supaya senang difahami.

Antara maklumat yang dipamerkan ....
pokok Piai Raya dan Teruntum
Dalam kawasan taman, disediakan laluan khas berupa jambatan kayu yang dibina merentasi hutan paya bakau ke beberapa destinasi. Kini sebahagian dari jambatan kayu ini telah diganti dengan jambatan batu. Terdapat laluan untuk ke pelantar yang sering menjadi tumpuan kaki pancing. Pelantar ini juga menjadi tempat pelancong menikmati keindahan Selat Melaka. Dari kejauhan kelihatan kapal-kapal yang melalui selat ini. Sewaktu cuaca cerah, Pulau Kerimon, Indonesia juga dapat dilihat dari pelantar ini.

Terdapat laluan untuk pelawat menuju ke destinasi yang mesti dikunjungi, iaitu pelantar yang dibina menganjur ke laut Selat Melaka. Di pelantar ini dibina sebuah mercu tanda berbentuk bumi bagi menggambarkan bahawa di sinilah titik paling hujung di Benua Asia.
Peta di lokasi
Ada 4 pelantar utama di sini, dari atas sekali (dalam peta),
1. M - Jeti memancing
2. N - Monumen titik paling hujung tanah besar benua Asia
3. L - Menara pemerhati (observation tower)
4. K - 3 Kingdoms Jetty

Petikan dari https://www.johornationalparks.gov.my/v3/tanjung-piai/
Since the park’s inception, it has been an ongoing battle by all involved to protect its mangrove forest which has faced serious erosion issues due to strong waves generated by thousands of tankers that sail past each year, as well as the occasional pollution events from oil spills and illegal dumping of ballast water. With the installation of offshore breakwaters, coupled with intensive mangrove replanting, the tide has now turned, and many areas that were previously eroded have now been re-colonised by healthy mangroves, and the park is now in better condition that it has ever been.

Dengan keluasan 325 hektar, Tanjung Piai merupakan taman negara yang terkecil tetapi paling banyak dikunjungi di antara lima taman negara yang terdapat di Johor. Ia sememangnya tempat yang bagus untuk menghabiskan masa seharian dengan memerhati dan menghayati kepelbagaian biologi, melihat pemandangan alam dan mengagumi hubungan rumit yang wujud antara manusia dan alam. Taman ini mempunyai banyak kemudahan untuk keselesaan pengunjung.  
Jambatan  yang merentasi hutan paya bakau .... jambatan kayu,
jambatan batu dan jambatan yang telah ditenggelami air
Penghuni hutan ... umang-umang dan monyet
... juga papan-papan tanda dari syarikat-syarikat 
yang membiayai penanaman semula pokok-pokok bakau
Pokok bakau ..... putik dan buahnya
Akhirnya 😃....kami sampai di hujung dunia
Menara Pemerhati ... saya tidak naik kerana sakit lutut
3 Kingdoms Jetty .... dari sini dapat lihat Singapore, Indonesia dan Malaysia
Penerangan yang terdapat di jeti
Dari jeti 3 Kingdoms boleh lihat Malysia, Singapore
dan Pulau Karimunbesar Indonesia serta Selat Melaka
Daripada 4 buah pelantar yang ada di sini kami hanya pergi ke tiga pelantar. Kami tidak pergi ke pelantar memancing kerana tidak ada apa yang menarik di situ, dan juga untuk mengelak kepenatan kerana hari semakin panas. Lebih kurang 2 jam di sini kami pun meneruskan perjalanan ke Desaru. Syukur alhamdulillah kami diberi kesempatan melawat dan berjaya sampai ke penghujung terselatan tanah besar benua Asia selepas 2 kali mencuba ke sini.😀