Monday, 10 September 2018

Kembara Tanah Tinggi (dalam negara) - Nyaman dan Memuaskan (part 1)

APA perasaan kita ketika berada di tanah tinggi dan melihat pemandangan di bawah? Bagi saya ia satu kepuasan kerana saya berjaya akhirnya sampai di atas walaupun mendaki dengan menaiki kenderaan 😄. Lebih-lebih lagi apabila melihat panorama yang indah nun jauh di bawah. Terasa sangat nyaman dan puas!

Ada beberapa tanah tinggi dalam negara yang telah saya lawati selain dari 3 buah yang telah saya ceritakan sebelum ini - Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser. Antara tanah tinggi yang pernah saya naiki ialah :

1. Bukit Bendera atau Penang Hill
Bukit ini daripada gugusan batu granit yang berada di bahagian tengah Pulau Pinang dan mencapai ketinggian 833 meter (2723 kaki) di Western Hill. Selain Western Hill, kemuncak-kemuncak lain yang merupakan sebahagian daripada Bukit Bendera termasuk Bukit Laksamana, Tiger Hill, Bukit Bendera dan Bukit Kerajaan. Nama Bukit Bendera sebenarnya merujuk kepada lokasi stesen keretapi bukit pada ketinggian 735 m (2450 kaki) atas aras laut. Tempat ini digelar Flagstaff Hill oleh orang British, sebab disinilah bendera British dikibarkan sebagai tanda isyarat tibanya penghantaran mel.

Ada beberapa cara untuk naik ke puncak Bukit Bendera, samada menaiki keretapi, mendaki melalui denai yang disediakan atau melalui jalan lasak menggunakan jeep. Namun ramai pelancong yang lebih gemar menaiki keretapi terutama yang bercuti bersama keluarga, kerana lebih mudah, cepat (7-8 minit perjalanan) dan selesa. Laluannya sangat curam dan pasti ia akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan bagi anak-anak. Semasa saya tinggal di Penang (anak sulong masih bayi lagi) pernah naik keretapi bukit ini, tetapi yang jenis lama. Perjalanannya tidaklah sepantas sekarang.


Tambang keretapi bagi pemegang Mykad
Bukit Bendera waktu musim cuti sekolah sangatlah sesak dengan manusia ... untuk beli tiket kena beratur panjang, begitu juga untuk menaiki keretapi.

Kaki bukit ..... sesak dengan orang ramai pd 28/11/2015
Pengunjung terpaksa beratur panjang untuk menaiki tren
Di kawasan menunggu ini ada dipamerkan gambar-gambar dan peralatan lama yang menarik sebagai menjamu mata sambil menunggu giliran.






Jom naik atas bukit pula!



Viewing Deck .... menjanjikan pemandangan
bandaraya Pulau Pinang yang cantik
Jambatan Pulau Pinang
Bandaraya Pulau Pinang

Dataran atau astaka .... tempat bersantai
Model keretapi Bukit Bendera generasi kedua
Camera man ... di  taman di bawah
penanda arah kota-kota besar di dunia
Owl Museum and clift cafe
Bersebelahan dengan astaka terletak sebuah bangunan kayu 4 tingkat yang menempatkan medan selera, kedai cenderahati dan juga muzium burung hantu. Berhampiran dengan dataran ini juga ada sebuah bukit yang menempatkan masjid dan beberapa bangunan lain,

Masjid Bukit Bendera
Aktiviti yang paling menarik ialah menaiki buggy. Bayaran perkhidmatan untuk sebuah buggy hanya RM 30, untuk perjalanan pergi dan balik sejauh 4 km .... satu perjalanan yang sangat santai. Dalam perjalanan pemandu akan menceritakan serba sedikit tentang tarikan-tarikan yang terdapat di sepanjang laluan dan berhenti di beberapa tempat menarik untuk bergambar dan juga untuk kita menikmati keindahan alam di sekeliling.

Buggy yang dinaiki
You've never been to Penang
Unless you've been to Penang Hill

Rumah-rumah banglo lama yang berpuluh tahun usianya

Nostalgia ...... zaman anak baru seorang
Penang Hill ..... 1984
2. Bukit Larut Taiping
Bukit Larut atau Bukit Maxwell terletak  kira-kira tiga hingga lima kilometer dari Taiping Perak, dengan ketinggian 1,200 m. Ia merupakan tempat peranginan tanah tinggi yang pertama dan tertua di Malaysia. Bukit Maxwell dinamakan sempena penolong residen British Perak ketika itu iaitu William Edward Maxwell pada 1879.

Kawasan ini merupakan kawasan tanah tinggi yang paling basah di Malaysia. Hampir setiap hari pada waktu petang, hujan bukit turun di kawasan ini. Bukit Larut adalah ‘harta karun’ yang amat berharga untuk bandar Taiping kerana selain berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan, ia turut memiliki pelbagai keunikan seperti cuacanya yang sejuk dan boleh mencecah suhu antara 16 hingga 17 darjah Celsius pada waktu malam. Ia turut memiliki pelbagai spesies flora dan fauna antaranya orkid liar, pokok paku pakis, halia liar, ungka tangan hitam, kijang, kucing dahan, landak raya, harimau Malaya dan banyak lagi. Ia menjadi tempat tumpuan pencinta alam.

 Pada asalnya, bukit ini digunakan sebagai tempat untuk berehat buat pegawai-pegawai British di Malaya yang ingin melarikan diri dari kepanasan cuaca tropika. Pada zaman itu tiada jalan tar seperti sekarang. Oleh kerana itu untuk ke puncak mereka  perlu berjalan kaki merentas hutan sejauh 13 km atau menunggang kuda padi ataupun menaiki tandu yang diusung. Kini ada dua cara untuk ke puncak, samada menyewa kenderaan yang disediakan oleh pihak Bukit Larut atau berjalan mendaki ke puncak. Setiap hari lima trip Land Rover akan naik ke puncak Bukit Larut bagi membawa pengunjung dengan bayaran RM10 seorang bagi orang dewasa.


Kawasan kaki bukit Larut
Jom ke puncak!


Yeeh ... dah sampai ke atas dengan menaiki landrover pada 13/10/2017
Inilah dia kenderaan yang  membawa kami ke puncak bukit
Semua penumpang diturunkan di ketinggian ini
Ini adalah kali kedua saya dan suami menaiki kenderaan pacuan 4 roda untuk sampai ke puncak tanah tinggi. Kali pertama semasa menaiki gunung Merapi di Yogyakarta Indonesia. Kedua-dua perjalanan sangat lasak dan amatlah tidak selesa keadaannya .... bagaikan hendak terkeluar isi perut. Jika naik ke gunung Merapi melalui jalan yang berlubang-lubang dan berbatu-batu akibat letupan gunung berapi pada 2010, tetapi di bukit Larut ia disebabkan melalui jalan sempit dan melalui 72 selekoh berliku tajam dilereng bukit, yang sangat mencemaskan.

Berhawa dingin dan mendamaikan .....
........ serta mempunyai permandangan yang indah
Berbagai spesis tumbuhan yang ada di sini
Kelihatan bangunan yang masih ada di sini ....
ada yang terbiar tidak dijaga
Walaupum kawasan ini seperti terbiar
 tetapi ia tidak menjejaskan keindahan alam semulajadinya
Suka sangat background tumbuhan-tumbuhan ini
Ada jambatan gantung dan menara tinjau di bawah sana
Antara aktiviti yang sangat popular yang dijalankan di kawasan ini adalah melihat burung. Bagi pengunjung yang biasa-biasa seperti kami, aktivitinya berjalan-jalan menikmati keindahan alam sambil menghirup udara segar yang masih belum tercemar. Jom jalan lagi!

Jalan menuju ke bawah sedikit .... cuaca sudah mula berkabus
walaupun hari masih di awal petang
Berihat sebentar di playground kanak-kanak ... kepenatan ...
sebelum berjalan semula ke jambatan gantung
`
Akhirnya .... sampai juga di jabatan gantung
dalam keadaan lutut yang tidak berapa sihat
..... berjaya juga memanjat naik ke menara tinjau
tetapi malang kerana cuaca sangat berkabus pada petang itu
Datanglah ke sini jika ingin merasai suasana sebenar
 alam semula jadi yang masih terpelihara.
Bukit Larut dianggap stesen bukit yang paling kecil di Malaysia, namun ia masih mengekalkan persekitaran alam semula jadi dan menawarkan percutian yang tenang dan mendamaikan. Saya sangat berminat untuk bermalam di sini kerana suasananya begitu tenteram ....." back to nature"... jauh dari hiruk-pikuk bandar di bawah. Insya Allah  jikalau ada rezeki kami akan datang lagi ke sini.

3. Gunung Mat Chinchang Langkawi


Puncak gunung
Lihat di sini

4. Gunung Kinabalu Sabah


Puncak gunung Kinabalu
Lihat di sini

5. Kundasang Sabah

Panorama indah di Kundasang
Lihat di sini

6. Gunung Jerai Kedah

Ini adalah antara tanah tinggi yang paling awal kami lawat, ketika anak sulong masih bayi lagi. Memang tidak berapa ingat apa yang ada di atas. Gambar-gambar pula entah di mana duduknya. Insya Allah kami akan melawatnya lagi masa akan datang. Untuk maklumat lanjut boleh ke portal rasmi Majlis Daerah Yan

Gunung Jerai
sumber - https://www.timothytye.com/malaysia/kedah/gunung-jerai.htm


Related Posts:

1. Kembara Tanah Tinggi - Cameron Highlands

2. Kembara Tanah Tinggi - Bukit Fraser

3. Kembara Tanah Tinggi - Genting Highlands

Wednesday, 1 August 2018

Di Manakah Letaknya Negara Cyprus, Kypros atau Kibris?

Ketika mula-mula suami menyuarakan hasratnya untuk pergi ke Cyprus, saya rasa macam "blur" kerana tidak berapa mengenali negara ini dan juga tidak tahu di mana kedudukannya yang sebenar. Oleh kerana itu bila dia mengajak saya pergi sekali, tidak timbul perasaan teruja seperti ketika ingin berjalan ke Turki😁, walaupun negara ini sebenarnya sangat hampir dengan negara Turki.

Cyprus atau dalam bahasa tempatan Kypros (bahasa Greek) dan Kıbrıs (bahasa Turki) ialah sebuah pulau di laut Mediteranean yang terletak hanya 75 km di selatan Turki, di sebelah barat Syria dan Lebanon dan barat-laut Israel. Nama "Cyprus" diambil daripada perkataan kuprum (tembaga)  dalam bahasa Greek yang telah dilatinkan memandangkan galian kuprum banyak dijumpai di Cyprus.

Kedudukan Pulau Cyprus di peta dunia
Cyprus terletak di Laut Tengah (Mediterranean) bahagian timur dan ia adalah pulau terbesar ketiga di Laut Tengah setelah Pulau Sicily dan Pulau Sardínia. Kedudukannya sangat strategík kerana berada di jalur lalu lintas antara Eropah dan Asia. Mengikut kedudukan  geografi, Cyprus adalah wilayah Asia namun uniknya Cyprus mempunyai pengalaman sejarah, budaya dan politik yang lebih dekat ke Eropah daripada Asia.

 Pulau ini dapat dibahagi kepada tiga daerah utama, iaitu Pergunungan Kyrenia dekat pantai utara, Pergunungan Troodos di bahagian barat daya, dan Dataran Mesaoria di antara kedua pergunungan tersebut. 

Sejarah Cyprus

Secara sejarah, Cyprus pernah didatangi oleh orang-orang dari Yunani (Greece), Asyria, Mesir, Rom  dan Turki. Ketika kekuasaan Byzantium runtuh, datanglah kekhalifahan Othmaniah yang datang membawa ajaran agama Islam pada pertengahan abad ke-16, dan kepemimpinan Othmaniah ini telah memberi keizinan tinggal kepada 20.000 penduduk muslim.

Pada 1878, sebagai hasil Persidangan Cyprus, United Kingdom mengambil alih pemerintahan Cyprus dalam bentuk negeri naungan daripada Empayar Uthmaniyyah. Selepas pembubaran Empayar Uthmaniyyah, Cypus dijadikan sebagai jajahan mahkota pada 1925.

Sebahagian besar penduduk Cyprus menganut agama Ortodoks Yunani dan Islam. Sekitar tiga perempat  penduduk pulau ini terdiri dari orang Cyprus-Yunani, manakala orang Cyprus-Turki, keturunan pendatang dari Turki yang memasuki negeri ini mulai tahun 1571, meliputi sekitar 22 % dari seluruh penduduk.

Cyprus, ketika masih merupakan jajahan British, akan diberikan kepada Greece, tetapi minoriti keturunan Turki menolak. Akhirnya persepakatan dicapai dan pada tahun 1959 dibentuk negara Cyprus merdeka tetapi kedua belah pihak tidak puas hati dan akhirnya pada tahun 1974 sebuah kelompok yang menginginkan persatuan dengan Greece merampas kuasa yang dibalas dengan serangan Turki. Semenjak itu Turki menduduki sepertiga utara pulau. Kini pulau ini dibahagi kepada Republik Cyprus dan Republik Turki Cyprus Utara, yang hanya diiktiraf oleh negara Turki.

Sesudah Republik Cyprus-Turki diisytiharkan, bahasa Turki, di samping bahasa Yunaní, tetap diakui sebagai bahasa resmi di Republik Cyprus, sedang di Republik Cyprus-Turki hanya diakui bahasa Turki. Bahasa Inggris dipakai secara luas di semua kelompok masyarakat.

Pulau dibahagi 2 sejak 1974 - Turki mengumumkan
kuasanya secara resmi 1983 dan dipisahkan oleh "Garis Hijau"
Nicosia adalah ibu negaranya. Ia juga dibahagi dua oleh garis hijau (green line), sama sepertimana tembok Berlin yang telah membahagikan bandar itu pada satu ketika dahulu. Bandar-bandar besar yang lain - Famagusta, Larnaca, Paphos, Limassol, Kyrenia.

Pada 1 Mei 2004, Cyprus menjadi anggota Kesatuan Eropah, tetapi hanya wilayah selatan sahaja yang dibenarkan bersama. Oleh kerana itu Republik Cyprus Selatan mengguna matawang Euro sementara wilayah utara, Lira Turki.

Mengikut cerita rakan suami, yang bertugas sebagai seorang pensyarah di METU atau Middle East Technical University yg terletak di Cyprus Utara, telah berlaku genosid di sini pada tahun 1974 oleh tentera Greek terhadap orang Islam sebelum campur tangan Turki. Setelah tentera Turki masuk, barulah pembunuhan beramai-ramai ini diberhentikan. Pihak PBB telah menjumpai kawasan perkuburan berama-ramai tetapi perkara ini telah disenyapkan sahaja dari pengetahuan dunia.

Sehingga kini ada di kalangan penduduk Cyprus Utara yang  masih rasa takut-takut untuk berjalan-jalan ke selatan, mengikut kata beliau. Ini tidak menghairankan kerana sikap bermusuh itu masih wujud sehingga ke hari ini. Beliau bagi contoh di mana ketika beliau belajar di USA dan telah mengepos barang ke keluarganya, tetapi tidak pernah sampai. Apabila bertanya kepada pekerja pos mereka mengatakan jika alamat yang ditulis adalah Cyprus ia mungkin hanya sampai ke Cyprus Selatan, kerana pekerja-pekerja pos di sana tidak mahu menghantarnya ke Cyprus Utara. Alamat surat menyurat untuk Cyprus Utara perlu dihantar ke Turki dahulu sebelum dihantar ke Cyprus.

Jom kenali Cyprus

Jika kita ingin melawat ke seluruh pulau Cyprus, lebih baik masuk  melalui Republik Cyprus kerana paspot akan dicop, tetapi jikalau masuk dari Cyprus-Turki paspot tidak akan dicop kerana ia tidak diiktiraf oleh dunia. Lebih elok juga jika tinggal di sini terlebih dahulu kerana ia memudahkan banyak urusan-urusan lain seperti menyewa kereta tanpa perlu banyak soalan jika kita bagi alamat tinggal di Republik Cyprus. Mereka sangat-sangat berasa curiga jika destinasi kita ke Cyprus Utara tetapi masuk melalui Cyprus Selatan ..... sikap bermusuhan itu masih menebal. Itu sebabnya sehingga ke hari ini usaha dari pihak PBB untuk menyatukan utara-selatan masih belum berjaya.

Abandoned-Nicosia-airport---00000100-6-SDR-by-DIMITRISSIDERIDISPhotography--0026-3938
 Nicosia International Airport abandoned since summer 1974......
 was once a bustling, state-of-the-art transport hub
sumber foto: CNN travel
Lapangan terbang utama di sini - Larnaca, Paphos dan Ercan (Cyprus Utara). Sebelum berlaku peperangan saudara 1974, lapangan terbang utamanya terletak di Nicosia tetapi kini ia berada dalam "buffer zone" (garisan hijau) yang dikawal oleh PBB. Selama 44 tahun ia telah ditinggalkan begitu sahaja dan  menjadi kawasan larangan kepada orang awam, kerana ia telah  menjadi sebahagian dari kompleks yang menempatkan ibu pejabat pasukan pengaman PBB  di pulau ini

Larnaca  Airport - 2 July 2018
Cyprus adalah antara pulau terindah di Eropah - bukit-bukau, flora dan fauna yang berbagai di daratan serta lautan yang luas terbentang mengelilinginya, menghasilkan panorama yang indah.  Cyprus juga mempunyai iklim  yang sederhana. Musim dinginnya tidak terlalu sejuk dan lembab, sedang musim panas bersuhu tinggí dan kering. Musim panas di Cyprus sangat lama sehingga lapan bulan, dari bulan April sampai November dengan suhu mencapai 75 derajah Fahrenheit. Musim panas biasanya hanya berlangsung selama empat bulan.  Pegunungan Troodos diselimuti salji selama kira-kira 10 minggu setiap tahun. Faktor-faktor ini menjadi sebahagian daripada tarikan ramai pelancong ke pulau ini.

Petra tou Romiou, Kouklia ..... 27 Jun 2018
Pergunungan Troodos ..... 28 Jun 2018
Negara ini mempunyai banyak tapak arkeologi tersebar di seluruh pulaunya, mulai dari zaman batu hingga masa kerajaan Rom kuno. Pulau ini juga masih memiliki banyak kawasan perairan yang hampir belum disentuh, yang sangat indah untuk dijelajah.

Jom kita jelajah Cyprus! ..... tunggu entri saya yang seterusnya insya Allah ....




Related Posts:

Kembara Cyprus

Tuesday, 26 June 2018

Kembara Tanah Tinggi - Genting Highlands

Dari 6-9 April lepas, saya dan suami serta seorang anak telah membuat satu perjalanan merentasi Banjaran Titiwangsa .... Cerita selanjutnya boleh didapati di sini: 
Kembara Tanah Tinggi - Bukit Fraser
Kembara Tanah Tinggi - Cameron Highlands

Catatan ini hanyalah untuk menceritakan tentang Genting Highlands sebagai salah satu dari 3 buah pusat peranginan bercuaca sejuk yang utama di Semenanjung Malaysia, yang terletak di Banjaran Titiwangsa. Dalam kembara kali ini kami tidak ke sini.Tempat ini juga terkenal sebagai pusat perjudian berlesen yang utama di Malaysia, dan juga dikenali sebagai "Las Vegas" Malaysia. Ramai juga pelancong tempatan yang ke sini semata-mata kerana ingin berjudi.

Banjaran Titiwangsa menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Di kalangan penduduk tempatan ia lebih dikenali sebagai Banjaran Besar. Banjaran ini terdiri dari rantaian gunung dan bukit yang membentuk tulang belakang Semenanjung Malaysia. Ia sebenarnya menganjur dari Banjaran Himalaya, di mana bahagian utaranya berada di selatan Thailand. Kemuncaknya yang tertinggi adalah Gunung Korbu yang terletak di Perak.  Di sini juga terdapat tiga buah pusat peranginan yang tekenal, iaitu Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser.

Di kalangan pelancong, Cameron Highlands terkenal dengan ladang teh dan sayur-sayurannya, manakala Bukit Fraser pula lebih dikenali sebagai "The Little England of Malaysia" dan Genting Highlands mendapat jolokan kota keriangan,
Genting Highlands hanya sejam perjalanan dari Lembah Klang
Dalam pejalanan yang terbaharu ini kami tidak ke Genting Highlands tetapi saya dan suami pernah sekali sampai ke sini, beberapa tahun yang lalu. Dari pembacaan saya di internet, kini sudah ada banyak benda-benda baharu di sini, dan juga yang akan datang, dan kebanyakannya bertemakan hiburan .... tepat bagai nama jolokannya "kota keriangan".

Sewaktu saya dan suami ke sini, juga atas urusan kerja, kami tidaklah ke mana-mana sangat memandangkan kebanyakan tempatnya bertemakan hiburan untuk orang-orang muda. Kami pula tidak membawa anak-anak. Kami hanya menikmati cuacanya yang sejuk dan nyaman serta keindahan alam ciptaan Allah.
Genting Highlands Resort - cuaca yang berkabus 
Di luar .... cuaca berangin, sejuk dan berkabus 
Pemandangan lanskap yang indah dilihat dari hotel Awana Genting
Cuaca di Genting Highlands agak unik kerana ianya boleh berubah sekelip mata, cukup berbeza dengan suhu di Lembah Klang yang hanyalah 1 jam pemanduan dari pusat peranginan ini. Kabus yang tebal dengan wap yang terbentuk setiap kali menarik nafas cukup untuk menggambarkan kedinginan cuaca yang dapat dinikmati di ‘Las Vegas’ Malaysia ini.

Kedudukannya yang terletak tidak jauh dari bandar seharusnya menjadikan ia destinasi percutian pilihan setiap kali tiba musim cuti ataupun di hujung minggu. Dengan suhu serendah 14 ke 16 darjah Celsius, keadaannya tidak ubah seperti bercuti di negara-negara yang sejuk. Suhu nyaman dan pemandangan mempesonakan di Genting Highlands menjadikan ia tarikan yang menarik untuk dilawati bukan sahaja penduduk Malaysia tetapi juga dari luar negara.


Related Posts:

Kembara Tanah Tinggi (2) - Colmar Tropicale Bukit Tinggi