BERATUS tahun lamanya legenda naga mengisi pemikiran dan kepercayaan Orang Asli yang berumah di sekitar Tasik Chini, Pekan, Pahang. Saya sendiri telah mendengar kisah kewujudan naga di Tasik Chini sejak kecil lagi. Memang sudah lama teringin hendak pergi melihat tasik yang penuh misteri ini tetapi tidak pernah kesampaian sehinggalah pada akhir tahun 2012. Tepatnya pada 17 Nov 2012.
Beberapa hari sebelumnya saya bersama seorang anak telah mengikuti suami berkursus di Dungun, Terengganu. Pada hari tersebut kami dalan perjalanan pulang dari Dungun ke Batu Pahat, Johor. Bila tiba di Pahang, hari sudah petang sedangkan perjalanan masih jauh dan badan pula sudah terasa keletihan. Jadi kami memutuskan untuk menangguh perjalanan dan mencuba cari tempat bermalam di Tasik Chini...... kira-kira macam 2 in 1 lah....
Tasik Chini bukanlah satu tempat yang berada berdekatan dengan jalan utama. Untuk sampai ke sana kami perlu melencong jauh dari jalan utama dan melalui jalan yang agak terpencil. Kebetulan hari pula semakin gelap, dan jalan yang dilalui bagaikan tiada penghujungnya, membuat kami berasa cemas sepanjang perjalanan. Alhamdulillah akhirnya kami sampai juga.
|
Dari Pekan kena masuk jauh ke dalam untuk sampai ke Tasik Chini |
Kami bernasib baik pada malam itu kerana kami dapat blik untuk bermalam di Lake Chini Resort, walaupun harga biliknya agak mahal. Namun yang penting kami ada tempat untuk berihat dan pada masa yang sama berpeluang menikmati keindahan Tasik Chini yang selama ini hanya terbayang di minda.
|
Resit bilik dan resit sewa bot |
Malam itu kami seolah-olah bermalam di dalam hutan kerana resort ini memang dikelilingi hutan dan terletak di pinggir Tasik Chini. Suasananya nyaman dan sangat berbeza dari resort-resort lain yang berdekatan dengan bandar-bandar
.
|
Pemandangan keluar dari balkoni bilik kami |
Tasik Chini
|
bunga lotus atau teratai |
Tasik Chini salah satu tasik daripada 12 tasik yang berdekatan denganSungai Pahang di Pahang tengah, Malaysia. Tasik Chini yang merupakan tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera. Pinggiran tasik berkenaan didiami oleh orang asli suku Jakun.
Sungai Chini, yang mengalir keluar dari tasik itu, mengalir ke dalam Sungai Pahang. Sungai berkenaan diempang untuk mengekalkan kedalaman tasik tersebut semasa musim kering. Walau bagaimanapun, cara ini akan mengganggu ekologi semulajadi tasik itu dan menyebabkan kematian pokok-pokok pada pesisiran tasik disebabkan oleh kenaikan aras air.
Tasik ini juga terkenal dengan musim berbunga lotus dari Jun hingga September.
Kesokan paginya selepas sarapan kami menyewa bot untuk menyusuri Tasik Chini. Memang tasik ini nampak tenang. Namun, di sebalik ketenangannya itu, banyak kisah yang tersembunyi.....cerita-cerita mistik dari nenek moyang sehinggalah ke cerita-cerita misteri dari pengalaman penduduk-penduduk kampung.
Di antara produk yang dibuat dari hasil hutan seperti sumpit buluh, ubat tradisional dari akar kayu dan pemukul bantal dari akar rotan.
Sebelum pulang saya telah membeli sebatang pemukul rotan untuk dibawa balik sebagai ole-ole dan juga sebagai kenangan "semalam di Tasik Chini".
Jom kita pulang
Dengan berakhirnya lawatan ke kampung ini, maka pengembaraan kami di Tasik chini ini juga sudah hampir ke penghujungnya. Dalam perjalanan pulang bot kami menyusur di pergigian air berhampiran dengan tempat penginapan kami. Kami sempat merakam beberapa pemandangan yang menarik dan indah bagaikan lukisan di kanvas.
|
Itu jeti ke tempat penginapan kami...Lake Chini Resort |
Mengikut cerita penduduk asli di sni, di masa lampau air tasik ini sangat jernih dan mereka menjadikannya sebagai sumber minuman mereka. Kini tidak lagi, bahkan ada notis memberi amaran kepada pelawat agar tidak menyentuh air kerana ianya dicemari dan boleh membahayakan kesihatan. Di masa lalu juga dikatakan pemandangan di tasik jauh lebih cantik dari sekarang. Kerosakan ini semua disebabkan gara-gara pembalakan haram dan pembukaan ladang-ladang kelapa sawit.
Akhir sekali, marilah kita sama-sama menjaga bumi kita dari kerosakan. Di mana sahaja kita tinggal, peliharalah alam sekitar agar kehidupan kita diberkahi Allah sebagai penciptanya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)" Ar-Rum:41
Berlakunya kerosakan di atas mukabumi disebabkan sikap manusia itu sendiri yang tamak haloba dan rakus terhadap sumber alam seperti pembalakan haram yang tidak dikawal.Kadang kala Allah turunkan bencana kepada mereka akibat kerosakan yang dibuat sebagai peringatan, seperti tanah runtuh di bukit-bukit yang telah digondolkan mereka.