Monday, 23 August 2021

Kembara Tanah Tinggi (2) - Colmar Tropicale Bukit Tinggi

Pada pagi hari ke-3 di Genting Highlands, kami telah melawat Colmar Tropicale di Bukit Tinggi. Kami telah berada di Genting sejak 7 Oktober 2020 dan lawatan ini dibuat pada 9 Okt, dalam perjalanan ke Bukit Fraser, destinasi percutian kami seterusnya.

Colmar Tropical Berjaya Hills ialah resort penginapan bersejarah di Bukit Tinggi, Pahang. Ia adalah resort yang unik kerana dibina bertemakan perkampungan asli Colmar dari kurun ke-12.  Suasana di sini membuatkan pelancong seolah-olah seperti bercuti di negara Perancis, kerana rekaan bangunan-bangunan hotel di sini  mendapat ilhamnya dari Colmar Village Alsace, sebuah perkampungan Perancis yang terkenal dengan jalan batu buntar dan bangunan peninggalan zaman Renaissance. Tidak hairanlah tempat menarik di Bukit Tinggi ini menjadi destinasi yang popular di kalangan pelancong.
Kawasan sebelum masuk resort ..... pintu gerbang, air pancut dan
bangunan tempat letak kereta
Plak pada air pancut yang menyebut ia sebagai
cenderamata dari pejabat daerah Alsace,
bandar Colmar dan daerah selatan Alsace
Tempat letak kereta resort ini agak jauh daripada kedudukan hotel, menyebabkan kami tidak jadi menginap di sini. Ketika melawat hari itu, suami turunkan saya berdekatan dengan air pancut supaya saya tidak perlu berjalan jauh sangat sebab bekas pembedahan di lutut saya masih belum pulih sepenuhnya. Dari sini ke tempat letak kereta  mungkin lebih kurang 200 meter jauhnya.
Colmar Tropicale dikelilingi hutan belantara
Ia terletak 2,600 kaki (790 m) di atas paras laut dan dikelilingi sekitar 80 ekar hutan belantara asli. Tempat ini dibangunkan mengikut rekabentuk bangunan, susun-atur dan suasana perkampungan sebenar di Colmar, Perancis. Namun senibinanya diterapkan beberapa elemen perkampungan yang terdapat di Riquewihr, Turckheim dan Kaysersberg ( semua pekan atau kampung ini berada dalam wilayah Alsace). Keunikan ini pasti mengagumkan hati sesiapa sahaja yang pertama kali berkunjung ke Colmar Tropicale Berjaya Hills ini.
Suasana seperti berada di luar negara
Kami tidak menginap di sini, hanya datang melawat, menjamu selera, serta bergambar di lokasi menarik sebagai kenang-kenangan. Colmar Tropicale adalah lebih dari sekadar sebuah hotel. Pengunjung tidak semestinya menginap di sini untuk menikmati suasana ala Perancis ini. Bagi mereka yang merancang untuk balik hari, dikenakan sedikit bayaran untuk melawat kawasan ini. 
Harga Tiket: Dewasa (RM16) | Kanak-kanak (RM8)

Mengikut maklumat dari internet terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini  seperti rock climbing dan mountain biking. Pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan persembahan pelbagai jenis tarian termasuk tarian Perancis. Waktu persembahan adalah seperti berikut:
Selasa, Rabu, Khamis dan Ahad: 12.00pm, 4.00pm dan 9.30pm
Jumaat, Sabtu dan cuti umum: 12.00pm, 3.30pm, 7.30pm, 10.00pm

Kita juga boleh menajamu selera di kafe-kafe yang terdapat di sini, tetapi harga makanannya agak mahal. Antaranya:
La Cigogne: Hidangan tradisonal Perancis.
Le Blason: Masakan Melayu dan antarabangsa.
La Flamme: Sajian Itali seperti pasta, pizza dan lain-lain.
Le Paulet Roti: Menu utama adalah ayam panggang dan makanan sampingan yang lain.
La Boulangerie: Restoren Perancis yang menyajikan aneka roti dan minuman panas.
L’Orient: Restoren yang menyajikan makanan Asia
Deretan kafe-kafe .... kami hanya makan piza 
 Harga hotel di resort ini antara RM200 -RM250 semalam. Ada sebuah lagi resort di Bukit Tinggi ini, 
The Chateau Spa & Organic Wellness Resort yang juga menawarkan suasana penginapan gaya abad ke 12 zaman medieval tetapi bercitarasa moden dan perkhidmatan spa yang bertaraf dunia. Rekaan resort ini sungguh elegan membuatkan kita terasa seperti berada di negara Eropah. Harga bilik di sini pula antara RM400 - RM500 semalam.

Bagi mereka yang muda-muda ada banyak lagi aktiviti yang boleh dibuat di sini seperti melawat Taman Jepun yang berada tidak berapa jauh dari resort ini. Walaupun kami telah sampai ke tempat letak kereta taman ini, apabla melihat kecuraman dan ketinggian tangga untuk sampai ke sana, terus batalkan niat untuk melawatnya.😞Taman Arnabnya juga ditutup pada ketika itu.
Perjalanan hari ke-3 percutian kami
Dari sini kami teruskan perjalanan ke Bentong, tetapi sebelum ke sana kami melencong balik ke Kampung Janda Baik. Tujuan ke sini untuk melihat tapak Camp Site Sungai Kuali, yang menjadi tempat Hari Keluarga kami pada Januari 2021 akan datang. Kemudian baharulah kami terus ke Bentong dan Bukut Fraser.

Sungai Kuali Camp Site
Ketika melalui bandar Bentong kami singgah sebentar di sini untuk bergambar sebagai kenang-kenangan. Ini pertama kali kami sampai di Bentong.
Masjid Jamek Bentong & Dataran Bentong .... 4.50 ptg

Alhamdulillah .... akhirnya kami sampai di Bukit Fraser ketika hari sudah gelap. Insya Allah entri seterusnya percutian di Fraser Hill. Jumpa di sana!

Sunday, 22 August 2021

kata-kata Hadis

 Semua poster di bawah adalah rekaan saya sendiri

















Kata-kata Hikmah - Quran

Semua poster di bawah adalah rekaan saya sendiri
















Ucapan Hari Besar

 Semua poster di bawah adalah rekaan saya sendiri

Ucapan Ramadhan







 






Ucapan Maal Hijrah




Ucapan Eidul Adha



Lain-lain




Monday, 16 August 2021

Kelebihan Bulan Muharam


Banyaknya nikmat Allah tidak terkira. Berakhir musim haji yang penuh barakah, muncul pula bulan Muharam yang mengandungi pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang disediakan untuk hamba yang beriman dan mengharap keredhaan-Nya.

Muharam adalah bulan yang mulia di sisi Allah taala. Firman-Nya bermaksud:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.”
(At-Taubah 9:36)
Maksud bulan haram yang disebut dalam ayat di atas, dijelaskan dalam sepotong hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abi Bakrah r.a. (maksudnya):
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya zaman beredar sebagaimana keadaannya pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada 12 bulan. Empat daripadanya adalah bulan haram, iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Dan Rejab diapit oleh Jamadilakhir dan Syakban.”
Di dalam ayat di atas, Allah melarang manusia melakukan kejahatan dan kezaliman sama ada terhadap diri sendiri atau terhadap makhluk-Nya yang lain dalam bulan-bulan haram. Apakah ini membawa maksud pada bulan-bulan lain kejahatan dan kezaliman tidak dilarang? Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Allah menyebut bulan haram secara khusus sebagai bulan yang diharamkan melakukan kezaliman sebagai tanda memuliakan bulan tersebut, pada hal perbuatan jahat dan zalim dilarang sepanjang masa dan tempat. Begitu juga dengan firman Allah mengenai musim haji yang bernaksud:
“(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji...”
(Al-Baqarah 2:197)
Allah larang membuat maksiat dan bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji tidak bererti di luar musim haji harus membuat maksiat dan bertengkar.
Yang manakah bulan haram paling afdal?
Ayat dan hadis di atas menyebut bahawa terdapat empat bulan haram. Adakah semuanya sama atau ada antara empat bulan itu lebih afdal daripada yang lain?
Menurut Ibn Rajab (736H-795H), ulamak berbeza pendapat mana antara bulan haram yang paling afdal? Al-Hasan dan lain-lain berpendapat yang paling afdal adalah bulan Muharam. Pendapat ini ditarjih oleh sekumpulan ulamak mutakhirin. Wahab bin Jarir meriwayatkan daripada Qurrah bin Khalid daripada al-Hasan, dia berkata: “Sesungguhnya Allah memulakan tahun dengan bulan haram dan menutupnya dengan bulan haram. Maka tidak ada bulan dalam setahun, selepas Ramadan, lebih mulia di sisi Allah selain bulan Muharam. Ia dinamakan bulan Allah al-Asomm (yang padu dan padat) kerana tersangat mulianya.”
An-Nasa’i meriwayatkan daripada Abu Dzar r.a. katanya: “Saya bertanya Nabi s.a.w., malam apakah yang paling afdal dan bulan apakah yang paling afdal?” Baginda s.a.w. menjawab (maksudnya): “Sebaik-baik malam adalah pertengahannya dan bulan paling afdal ialah Syahr-Allah (bulan Allah), iaitu yang kamu panggil Muharam.” Ibn Rajab menambah, maksud Muharam bulan paling afdal yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam Hadis ini ialah bulan yang paling afdal selepas bulan Ramadan.
Hadis lain yang menunjukkan kelebihan bulan Muharam ialah yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Puasa paling afdal selepas bulan Ramadan ialah bulan Allah yang dimuliakan (Muharam). Dan solat paling afdal selepas fardu ialah solat malam.”
Dalam hadis yang disebut di atas, kita dapati Nabi s.a.w. menisbahkan atau menamakan bulan Muharam ini sebagai bulan Allah. Ia sahaja sudah cukup untuk memberikan gambaran betapa mulianya bulan ini.
Dalam bulan ini telah berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Islam, peristiwa datangnya pertolongan Allah memenangkan kebenaran yang dibawa oleh pesuruh-Nya dan tumpasnya kebatilan yang cuba dipertahankan oleh musuhnya.
Antara peristiwa penting itu ialah Allah telah menyelamatkan Nabi Musa a.s. serta kaumnya daripada ancaman Firaun yang zalim, manakala Firaun serta pengikutnya mati lemas dalam keadaan yang hina.
Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan, apabila Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ke-10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya mengapa mereka berpuasa pada hari tersebut. Mereka menjawab, “10 Muharam adalah hari berlakunya peristiwa besar di mana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan kaumnya serta melemaskan Firaun dan pengikutnya. Musa telah berpuasa pada hari ini (10 Muharam) sebagai tanda bersyukur, maka kami pun ikut berpuasa.”
Mendengar jawapan itu, Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Maka kita (umat Islam) lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kamu (orang Yahudi).” Ibnu ‘Abbas menambah, maka Nabi s.a.w. berpuasa dan menyuruh umat Islam berpuasa.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah hadis yang sama dengan menambah: “Hari itu (10 Muharam) juga merupakan hari mendaratnya kapal Nabi Nuh di atas bukit Judi. Maka Nuh berpuasa sebagai tanda syukur.”
Kelebihan puasa hari ‘Asyura (hari ke-10 Muharam)
Daripada Abi Qatadah r.a., seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w. mengenai puasa hari ‘Asyura. Baginda s.a.w. menjawab (maksudnya): “Sesungguhnya aku mengharapkan Allah akan menghapuskan dosa satu tahun yang sebelumnya.”
(Sahih Muslim)
Daripada ar-Rabi’ binti Mu’awwiz , Rasulullah s.a.w. menghantar utusan ke kampung-kampung orang Ansar di sekitar Madinah supaya menyampaikan pesanannya: “Sesiapa yang bangun pagi dengan niat berpuasa pada hari ini (10 Muharam), hendaklah dia menyempurnakan puasanya. Dan sesiapa yang bangun pagi tidak berpuasa, maka teruskanlah.” Ar-Rabi’ berkata: “Selepas itu kami sentiasa berpuasa pada hari ‘Asyura dan menyuruh anak-anak kecil kami berpuasa. Kami membawa mereka ke masjid dengan membawa bersama permainan daripada bulu. Apabila mereka menangis meminta makanan, kami beri mereka permainan untuk melekakan mereka sehinggalah tiba waktu berbuka.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Cara berpuasa ‘Asyura:
1. Yang paling afdal ialah berpuasa pada hari kesembilan (tasu’a) dan ke-10 (‘asyura). Ini berdasarkan Hadis riwayat Muslim daripada Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa hari kesembilan dan ke-10.”
2. Berpuasa pada hari ke-10 dan ke-11. Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:
“Hendaklah kamu berbeza dengan Yahudi. Berpuasalah satu hari sebelumnya atau satu hari selepasnya.”
(Riwayat Ahmad dan Ibn Khuzaimah)
3. Berpuasa pada hari kesembilan, ke-10 dan ke-11 kerana terdapat hadis Ibnu ‘Abbas yang diriwayat secara marfu’ bermaksud: “Berpuasalah satu hari sebelumnya dan satu hari selepasnya.”
4. Berpuasa pada hari ke-10 sahaja. Hal ini berdasarkan hadis Abi Qatadah r.a. iaitu ketika seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w. mengenai puasa hari ‘Asyura, baginda sallallahu alaihi wasallam menjawab (maksudnya):
“Sesungguhnya aku mengharapkan Allah akan menghapuskan dosa satu tahun yang sebelumnya.”
(Sahih Muslim)
Dipetik daripada :http://www.malaysiaharmoni.com
Penulis: Ustazah Maznah Daud